Wednesday, November 12, 2014

922/1 C: Misa Sagaraga antagonis.....

Anda boleh mengatakan dirinya antagonis jika mampu membuktikannya. Benarkah Misa Sagaraga seorang yang zalim. Sejauhmana kezalimannya. Merampas hak orang lain itu mungkin zalim namun jika ada bukti dirinya pernah membunuh orang lain tanpa hak, tentu kezalimannya lebih terserlah. Anas Samanda mati kerana rancangannya ke?

Apa lagi dalil yang menunjukkan beliau jahat dan negatif. Mungkin kita boleh mengatakan dirinya bersikap mementingkan diri. Jika dia mementingkan diri apa hujahan yang paling kukuh untuk mengatakan beliau bersikap begitu. Ya mungkin sikap mementingkan dirinya terserlah ketika hendak memiliki Asiah Samiah. Tanpa mementingkan perasaan orang lain, Misa Sagaraga tetap ingin menjadi menantu Tuan Setiawan Tanjung kerana bakal mertuanya banyak harta dan akan menjadi miliknya.

Mungkin belum cukup buruk perangainya jika setakat itu hujah kita. Ya ... mungkin tamak salah satu daripada sifatnya. Mengapa dia tamak... Wah merampas tanah tanpa belas bukan tamak, Tidak, itu mungkin sifat zalim. Tamak boleh dilihat dari sikapnya ingin memiliki segalanya dan menghalang orang lain dari memiliki. Tidak kira samada citanya untuk harta atau lainnya...sila buktikan.

Lagi...apa antagonisnya. Cuba lihat cara hidupnya ketika mengumpul harta perniagaan. Misa tidak memikirkan halal haram. Segala jenis harga ingin dimiliki oleh beliau.. 

Sekadar membuka minda....jika ingin menghujah, kita perlu ada bukti kukuh dan tepat, Sepatutnya Misa tidak begitu. Jika Misa jadi orang kaya yang pemurah alangkah bagusnya. Jika Misa jadi penyayang kepada perempuan alangkah manisnya. Jika Misa menjaga kebajikan orang lain tentu mulia. Jika Misa berniaga dan kumpul kekayaan cara baik tentu akan disanjung.

Sunday, September 21, 2014

Maksud Mitos Secekak Kertas Tisu

Tidak usah risau dengan maksud secekak kertas tisu. Andainya kita masih ragu tentang erti secekak kertas tisu. Lalu apa perkara pun yang kita bincang samada tentang tema, persoalan, latar, plot, teknik penulisan maupun gaya bahasa, maka kita sebut sahaja Secekak Kertas Tisu. Penyebutan ini adalah menyelamatkan diri daripada sebarang pertikaian terhadap erti yang tidak pasti itu. Penulis cerpen ini percaya bahawa khalayak dan pembaca boleh memberi erti yang bebas terhadap apa jua perkara berkaitan isi penulisan ini. Namun apa yang hendak diperkatakan perlu ada asas yang kuat dan mempunyai batasan tertentu supaya pemikiran dan pendapat tidak tersasar jauh. Penulis tentunya menyerahkan kepada pembaca untuk membuat sebarang tafsiran dan tanggapan. Oleh itu sebarang tulisan yang memberi maksud tertentu terhadap SKT itu adalah tanggapan dan tafsiran penulis tersebut dan tidak boleh dijadikan anutan yang hakiki. Mereka juga mempunyai hak untuk memberi tafsiran masing-masing.

Selamat berdiskusi..............


Bincangkan watak "dia" dalam cerpen mitos secekak kertas tisu.

1. Dia telah ditafsirkan dengan pelbagai maksud.
2. Dia asalnya adalah kertas tisu.
3. Dia asalnya mempunyai nilai yang rendah
4. Dia telah diberi nilai yang tinggi.
5. Dia kemudianya telah jatuh nilai.
6. Dia kini sudah menghilang.
7. Dia telah membuat manusia resah gelisah.
8. Dia mempunyai sejarah yang panjang.
9. Dia telah menjadikan manusia sedar tentang kebesaran Allah.
Catatan: Sila rujuk halaman berkenaan sebagai salah satu usaha mengukuhkan ingatan anda.

Saturday, September 20, 2014

922/3 . Berdasarkan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), kemajuan Melaka adalah dipengaruhi oleh sistem pengurusan yang baik dan sesuai dengan zamannya. Bincangkan prinsip pengurusan yang telah dilaksanakan berdasarkan teks berkenaan.

1. Perancangan. Melaka ditadbir secara terancang mengikut kesesuaian sistem feudal. Mesyuarat dan perjumpaan sering diadakan bagi merangka program negara. Sebarang masalah dibincangkan pada peringkat istana. Susun atur pemerintahan dibincangkan dengan jelas dan teratur. Raja diwariskan mengikut keturunan. 

2. Pengorganisasian – Pengorganisasian pemerintahan Melaka adalah disusun secara hiraki. Pengurus atasan adalah golongan raja. Pengurus pertengahan adalah golongan pembesar. Di bawah pembesar adalah golongan bawahan yang bertindak sebagai pelaksana seperti hulubalang, peniaga dan rakyat biasa.

3. Penstafan – Pemilihan jawatan yang bersesuaian dengan kebolehan. Peringkat pembesar pula dipilih mengikut kebolehan dan kelayakan. Bendahara dipilih kerana kebijaksanaan. Laksamana pula dipilih mengikut kebolehan ilmu pahlawan. Mampu merangka strategi perang dan berkhidmat dengan cemerlang kepada empat orang sultan Melaka.

4. Kepimpinan – Melaka mempunyai pemimpin berwibawa. Sultan Mansur Syah  yang cemerlang dan Tun perak selaku Perdana Menteri yang hebat. Tun Perak dipilih oleh Sultan Muzzafar setelah didapati mempunyai kepimpinan yang baik ketika menentang seragan Siam kali petama di Kelang. Hang Tuah pula mempuunyai kepimpinan yang paling berkesan dalam kalangan pahlawan Melaka.

5. Pengawalan – mewujudkan undang-undang yang perlu dipatuhi. Raja sebagai pengawal tingkah laku. Apabila Raja tidak mampu mengawal akibatnya Melaka jatuh.

Thursday, September 4, 2014

922/1 bahagian C: Watak Marga digambarkan seorang yang berpijak di bumi nyata.

Marga seorang yang pernah melalui zaman perit lantaran kehidupannya yang penuh cabaran. Bapanya ditangkap kerana berjuang menentang ketidakadilan. Adik beradiknya hidup dalam keadaan susah dan tidak dipedulikan oleh masyarakat sekitar. Marga adalah rakan baik kepada Asiah Samiah. Beliau telah menjaga anak Asiah Samiah iaitu Laila Anurisah. Ketika beliau membawa Laila Anurisah dan hendak mencari Anas Samanda, beliau telah ditangkap kerana berada dalam satu perhimpunan menentang ketidakadilan anjuran Anas Samanda sekalipun kehadirannya bukan berniat untuk menyertai perjuangan Anas.

1. Beliau digambarkan sebagai seorang yang matang berfikir. Mungkin kematangan beliau diperoleh kerana telah melalui pengalaman perit ketika beliau muda. Bapanya telah dipenjarakan dan keluarganya hidup susah.

2. Marga sentiasa sabar dan bertenang. Ketenangan beliau dapat dilihat ketika berbincang dengan Anas. Beliau mampu memberikan pandangan yang bernas. Dia tidak mahu terburu-buru  untuk segera menyokong tindakan Anas Samanda walaupun apa yang diperjuangkan beliau adalah menentang ketidakadilan dan mempertahankan maruah. 

3. Sentiasa rasional. Beliau menasihati Anas Samanda agar sentiasa bertindak rasional. Apa yang telah Marga lalui telah dicurahkan kepada Anas supaya sentiasa bijak bertindak dan jangan terburu-buru. Segala pengalaman hidupnya yang susah telah mendorong dirinya tidak mahu terlibat dengan perjuangan Anas.

4. Beliau juga berpandangan jauh. Dirinya sering berfikir tentang masa depan agar apa yang akan dilakukan tidak memberi kesan negatif dan menyusahkan keluarga. Pandangan kritis beliau telah dikemukakan ketika berbincang dengan Anas Samanda.

5. Mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi. Sifat kemanusiaan beliau terserlah apabila beliau sanggup menjaga Laila Anurisah ketika kecil lantaran ibunya yang kurang siuman. Malah beliau sentiasa mengambil berat tentang hal ehwal Asiah Samiah ketika hidup tertekan dan terganggu pemikiran.

Semua sifat dan tindakan Marga yang dikemukakan telah menggambarkan bahawa beliau seorang yang realis dan sentiasa berpijak di bumi nyata dalam segala tindakan beliau. Sikap beliau patut dicontohi oleh ramai orang kerana sikap itu boleh menjadikan masyarakat hidup aman harmoni dan mampu mengelakkan konflik yang melampau. Semoga ramai insan dapat mencontohi sikap ini sekalipun kadangkala sikap Marga ini menyebabkan dirinya dianggap penakut.


Saturday, April 26, 2014

922/2 Pembangunan negara dari sudut ekonomi

Bincangkan kegiatan ekonomi berdasarkan Saudagar Besar dari Kuala Lumpur yang mungkin boleh membantu pembangunan negara pada masa kini.                                   [25]                                                             
Pendahuluan
Kegiatan ekonomi merupakan salah satu kegiatan penting yang mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan sesebuah negara. Antara kegiatan ekonomi yang biasa dilakukan adalah terdiri daripada kegiatan pertanian, jual beli. perdagangan, perikanan dan perlombongan. Sumbangan yang boleh diberi kepada pembangunan negara pula adalah seperti peningkatan produktiviti negara, peluang pekerjaan, tambahan sumber pendapatan negara, pembangunan fizikal atau infrastruktur dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Perbincangan
1. Kegiatan pertanian adalah salah satu jenis sumber ekonomi yang dibicarakan dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Kemampuan pertanian memberi sumbangan kepada negara memang tidak dapat dinafikan. Jika dilakukan secara kecil-kecilan tentu, kegiatan ekonomi mampu memberikan pendapatan kepada sebahagian besar rakyat dalam negara. Jika dilakukan secara besar-besaran sudah pasti ia memberi peluang pekerjaan yang banyak selain dari menambahkan pengeluaran dalam sesebuah negara. Kegiatan tanaman orkid yang diusahakan oleh cik puan Tipah boleh menjadi salah satu contoh tebaik bahawa usaha pertanian ini mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Walaupun bermula dengan kegiatan pertanian secara kecil-kecilan, namun usaha tersebut boleh ditingkatkan kepada kegiatan pertanian secara besar-besaran. Dengan ini, terbukti bahawa kegiatan pertanian akan mampu membangunkan sesebuah negara. 

2. Jual beli. Contoh : broker kereta

3. Perdagangan.Contoh : eksprot lada hitam

4. Perikanan. Contoh : Tangkap ikan di Jeram Medang

5. Perlombongan. Contoh: Rancangan melombong bijih timah.

6. Perniagaan kecil-kecilan. Contoh : Pak Salim berniaga di warung.

Penutup
Berdasarkan beberapa contoh tentang kegiatan ekonomi yang telah disebut dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur ternyata kegiatan tersebut mampu membangunkan negara. Namun kegiatan tersebut perlu digiatkan lagi dengan meneroka peluang-peluang baru pada masa kini. Jika kegiatan ekonomi ditingkatkan secara aktif, pembangunan negara akan bergerak lebih pantas dan akan berlaku sebaliknya jika kegiatan ekonomi tidak digiatkan.


Saturday, February 22, 2014

922/2 Pembangunan Masyarakat Dari Sudut Pendidikan

Objektif Pembelajaran : Menjelaskan kepentingan pendidikan dalam pembangunan masyarakat.

Aktiviti Perbincangan
Pendidikan penting dalam pembangunan masyarakat. Bincangkan berdasarkan Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.     

Pengenalan.
Definisi pendidikan: Bermaksud proses membentuk tingkah laku manusia yang baik. Manusia akan dianggap baik apabila dirinya berakhlak dan seterusnya mampu menjadi warga negara yang baik.
Definisi pembangunan masyarakat: Pembangunan masyarakat pada hakikatnya adalah merupakan suatu proses perubahan menuju kehidupan yang lebih baik lagi bagi masyarakat.
Apabila ramai individu berubah menjadi baik maka akan terbentuklah sebuah masyarakat yang baik keseluruhannya yang boleh dikategorikan sebagai masyarakat yang membangun.

Isi  perbincangan:
1. Pendidikan membentuk masyarakat yang berakhlak mulia.

Pendidikan mampu membentuk masyarakat yang berakhlak mulia. Golongan yang beramal dengan ilmunya akan mempraktikkan sifat-sifat baik yang dianggap mulia. Antara sifat mulia yang boleh diamalkan oleh masyarakat ialah bersopan santun, berbudi bahasa dan sabar. Contoh yang paling sesuai berdasarkan SBDKL yang jelas ialah sifat Mahani yang berpendidikan kesetiausahaan. Di tempat kerja beliau sangat berbudi bahasa kepada sesiapa sahaja yang datang ke pejabat encik Muhammad termasuk Datuk Tan. Beliau begitu senang melayani tetamu yang datang ke pejabatnya. Sifat ini patut diamalkan oleh setiap ahli masyarakat kerana golongan seperti ini akan menjadi contoh masyarakat yang dianggap membangun mindanya. Jika sebaliknya, nama baik masyarakat yang diwakili akan jatuh dan wujud tanggapan buruk.


2. Pendidikan melahirkan masyarakat yang berpelajaran tinggi.
3. Pendidikan mampu membangun masyarakat dari sudut ekonomi.
4. Pendidikan menjadikan masyarakat yang beramal dengan agama.
5. Pendidikan mengajak masyarakat agar bekerjasama
6. Pendidikan mengajar masyarakat supaya saling tolong menolong.
7. Pendidikan membentuk masyarakat yang hormat menghormati sesama mereka.
8. Pendidikan berupaya membentuk masyarakat bersatu padu.

Kesimpulan.
Perbincangan di atas telah menunjukkan bahawa pendidikan mampu membangunkan sesebuah masyarakat. Pembangunan tersebut adalah dilihat melalui amalan dan perubahan tingkahlaku yang dialami oleh masyarakat dalam novel SBDKL. Tanpa pendidikan mungkin masyarakat akan gagal dipimpin dan disatukan. Akibatnya masyarakat akan terus berpecah belah.










Friday, February 14, 2014

922/2 Perbincangan tentang Sastera dan Pembangunan Insan : Keagamaan

Matlamat Pembelajaran Pembangunan Insan dari sudut Keagamaan ialah pelajar perlu menghuraikan nilai Islam dan kehidupan beragama sebagai tonggak pembangunan sahsiah.

Pernyataan yang perlu bincangkan adalah seperti berikut:

Nilai Islam dan kehidupan beragama merupakan tonggak pembangunan sahsiah. Bincangkan berdasarkan Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur.

Pengenalan
Nilai bermaksud kualiti, mutu, taraf dan sifat ketinggian dari sudut pemikiran, agama dan kemasyarakatan. Apabila nilai dikaitkan dengan agama Islam bererti ia berkait dengan kualiti kehidupan beragama yang menjadi pegangan dan amalan seseorang individu. Nilai Islam akan menjadi tonggak kekuatan pembentukan peribadi atau sahsiah seseorang apabila diamalkan dalam setiap kehidupan individu tersebut. Segala langkah dalam kehidupan individu perlu mengamalkan nilai agama yang suci ini supaya hidupnya tidak tergelincir dari landasan kehidupan yang sepatutnya individu itu amalkan. Nilai dari perspektif Islam merangkumi keseluruhan aspek kehidupan insan, termasuklah kedudukan, sosial, jawatan, pendidikan, pentadbiran, politik, ekonomi, kebudayaan dan seterusnya kepada hubungan antarabangsa. Tonggak kepada segala nilai Muslim adalah berpusat kepada akidah dan syariat berlandaskan kepada suruhan Allah.

Isi perbincangan.
Insan yang mempunyai pegangan agama yang kukuh akan berjaya dalam kehidupannya. Kehidupan insan yang kuat berpegang kepada akidah sudah tentu sentiasa memikirkan tentang balasan hari akhirat dalam semua tindakannya. Lebai Maarup sentiasa berfikir bagaimana untuk memastikan setiap individu dalam masyarakatnya sentiasa beramal agama setiap masa. Beliau sanggup mewakafkan tanah untuk tujuan pembinaan tempat solat dalam projek pembangunan Kampung Tualang. Sebaliknya jika Lebai Maarup tidak mempunyai pegangan agama yang kuat mungkin beliau tidak akan menghiraukan tentang apa jua perkara yang bakal terjadi di kampung beliau. Ini membuktikan bahawa amalan nilai Islam telah menjadikan Lebai Maarup seorang insan yang berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat.

       Seterusnya insan yang berpegang dengan nilai Islam akan sentiasa rajin berusaha. Individu tersebut akan terus berusaha memperbaiki diri sekalipun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan dugaan. Sudin yang terdidik dengan agama oleh Imam Saad tetap berusaha untuk menjadikan dirinya insan yang rajin bekerja. Dia sanggup melaksanakan apa juga tugas yang diberikan dan sentiasa menjaga nama baik keluarga. Dirinya mengenali siapa rakan dan lawan. Berbeza dengan Mat Akil yang kurang amalan agamanya dimana dirinya bersikap malas. Oleh itu hasil didikan agama yang baik dari ibu bapa telah menjadikan seseorang itu insan yang rajin berusaha.

      Selain dari itu, amalan nilai Islam juga akan menjadikan seseorang individu itu menghormati orang lain. Insan yang beramal dengan nilai Islam tentunya lebih merendah diri dan cuba memuliakan insan yang lain. Tutur kata dan adab sopannya akan menjadi bualan orang lain. Lebai Maarup sentiasa menjaga tutur katanya ketika berkomunikasi dengan pihak lain. Malah beliau tidak suka membuka aib orang lain sekalipun beliau mengetahui siapa yang telah memukul dirinya. Dirinya sanggup membuat perjumpaan dengan orang ramai semata-mata ingin mengelakkan perbuatan buruk sangka sesama orang kampung lantaran kes beliau dipukul itu. Jika beliau tidak berpegang kepada nilai dan amalan agama, sudah tentu dirinya akan menghebohkan pihak yang telah menganiaya beliau. Oleh itu amalan menghormati orang lain seharusnya menjadi amalan setiap individu yang beragama.

            Di samping itu, amalan nilai Islam boleh menjadikan diri seseorang itu menjadi pemimpin yang baik. Encik Muhammad telah mendapat didikan agama di kampung sebelum melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Bekal pengetahuan agama yang telah diterimanya menjadikan beliau seorang yang mampu memimpin organisasi perniagaan dengan cekap dan berkesan. Tanpa latar agama yang kuat, encik Muhammad mungkin sukar menerima pendapat daripada Lebai Maarup yang sebenarnya berniat baik demi kemajuan kampungnya. Beliau menerima pendapat Lebai agar menyeimbangkan pencapaian hidup di dunia dan akhirat. Sikap terbuka encik Muhammad ini telah menyebabkan usaha beliau dalam bidang perniagaan terus maju dan mendapat sokongan ramai pihak.


                Akhirnya, kehidupan beragama Islam mampu membentuk diri menjadi seorang yang amanah. Perkara ini dapat dilihat dalam diri YAB Mohd Yusuf yang sentiasa menjadi amanah menjadi pemimpin masyarakat yang dilantik melalui pilihan raya. Beliau telah menjalankan amanah kepimpinan seperti menolong orang kampung supaya dapat berpindah ke FELDA. Bagi mereka yang tidak layak ke FELDA pula diuruskan supaya mendapat kehidupan yang lebih baik lagi. Imam Saad telah dapat menjadi imam di Pekan Tualang manakala Tuk Empat Dahlan menjadi penghulu. Pak Salim pula diusahakan supaya mendapat tapak perniagaan yang baru. Semua usaha tersebut dilakukan oleh YAB Mohd Yusuf dengan bantuan para pembantunya. Sifat amanah terhadap kerja ini telah menjadikan YAB Mohd Yusuf terus dihormati dan dipilih oleh rakyat. Ini membuktikan bahawa seseorang yang hidup beragama akan menjadi cemerlang dalam kerja. Sebaliknya jika mengabaikan cara hidup Islam, mungkin YAB Mohd Yusuf akan tenggelam dengan kedudukan pangkatnya tanpa memberi apa-apa khidmat kepada rakyat yang beliau pimpin.

Penutup.
Tegasnya, nilai Islam dan kehidupan beragama mampu menjuruskan diri seseorang itu untuk menjadi seorang yang berakhlak baik, rajin, menghormati orang lain, amanah dan berjaya dalam hidup. Sebaliknya tanpa pegangan hidup beragama yang kukuh pula boleh menjuruskan diri kepada perkara-perkara yang negatif. Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan nilai Islam dan cara hidup Islam.






Friday, January 3, 2014

Mengenali Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)

Apabila kita membaca Sejarah Melayu, kita perlu memahami beberapa latar tempat penting yang menjadi panduan kita. Berikut adalah latar penting bagi Sejarah Melayu:

1. Negeri Kida Hindi.
Negeri ini penting dikenali kerana menjadi jajahan takluk Iskandar Zulkarnain ketika hendak melihat negeri Matahari Terbit. Iskandar Zulkarnain telah berkahwin dengan puteri Shahrul Bariah. Lalu lahirlah keturunan raja melaka sehinggalah pemerintahan Raja Suran. Raja Suran dikatakan mewarisi sifat Iskandar Zulkarnain yang hebat dalam peperangan dan penakluk yang hebat. Setelah ditipu oleh orang-orang China, barulah kegiatan penaklukan bertukar kepada penerokaan negeri bawah laut. Raja Suran telah turun ke dalam laut dengan peti kaca berpesawat. Rajanya bernama Aktabul Ard, dari kaum Bu Sum yang rakyatnya separuh kafir dan separuh Islam. Seterusnya, perkahwinan Raja Suran dengan puteri Mahtabul Bahri telah melahirkan tiga orang putera Nila Utama, Nila Pahlawan dan Krisyna Pendita.

2. Bukit Siguntang Mahameru.
Negeri ini adalah tempat mula-mula tiga orang putera Raja Suran mendarat dengan menggunakan kenderaan seekor lembu dari negeri bawah laut. Kehadiran mereka telah menyebabkan persekitaran Bukit Siguntang menjadi bercahaya pada waktu malam. Setelah diperiksa oleh Wan Empuk dan Wan Malini, didapati kawasan perhumaan mereka telah berubah dimana pokok padinya bertukar sifat. Pokok padi telah berbuahkan emas, berbatangkan perak dan daunnya suasa.

Pertemuan tiga anak raja dengan Demang Lebar Daun telah menjalin hubungan baik antara golongan raja dan rakyat. Peristiwa perkahwinan putera Raja Suran dengan anak Lebar Daun telah melahirkan sebuah Waad atau perjanjian antara pihak raja dan rakyat. Setelah perjanjian, maka tiga orang anak raja ini telah menjadi raja di tempat masing-masing iaitu di Tanjung Pura, Minangkabau dan Singapura. 

3. Singapura
Nila Utama telah membuka Singapura dan menjadi raja di sana bergelar Seri Teri Buana. Peristiwa pembukaan Singapura bermula dengan perkembangan negara berkenaan yang sangat hebat. Terdapat cerita hubungan Singapura secara anakronisme dengan Majapahit. Singapura sangat hebat terutama dalam peristiwa tatal kayu dan kepala budak ditarah. Seterusnya Badang yang telah makan muntah hantu menjadi kuat dan menjadi lambang kekuatan Singapura. Cerita perkembangan Singapura terhenti sebentar apabila buku ini menyelitkan peritiwa di Semundera Pasai yang bermula dengan kisah pembukaan negeri berkenaan.

Setelah cerita Semundera Pasai tamat, kisah dalam Sejarah Melayu telah kembali semula ke Singapura. Pada kali ini kisah di Singapura lebih menjurus kepada faktor-faktor kejatuhan pemerintahan. Kisah bermula dengan Pembunuhan Tuan Jana Khatib, Singapura dilanggar todak dan pembunuhan anak Sang Rajuna Tapa. Pemerintahan Sigapura berakhir dengan kedatangan tentera Majapahit yang dijemput oleh Sang Rajuna Tapa serta tentera Singapura yang kelaparan kerana beras disorokkan. Pintu kota dibuka dan Singapura alah. Sang Rajuna Tapa dan keluarga menjadi batu dan raja Singapura melarikan diri ke Johor.

4. Semundera Pasai 
Pembukaan negeri dengan kisah Merah Silu menahan lukah dan mendapat cacing gelang-gelang. Cacing gelang-gelang direbus dan menjadi emas. Peristiwa semut besar menyebabkan nama tempat Semundera dan anjing yang menyalak bernama Pasai meneybabkan nama tempat bernama Pasai. Kemudian berlaku kisah Merah Silu memeluk Islam dan bertukar nama menjadi Sultan Maliku Saleh.

Maliku Saleh meninggal dan dua orang anak baginda dilantik menjadi pemerintah Semundera dan Pasai. Mereka ialah Maliku Mansur dan Maliku Tahir.

Berlaku kisah Maliku Tahir ditawan oleh raja Shahrun Nuwi dan dijadikan gembala ayam. Kemudian berlaku kisah Maliku Mansur mengambil seorang dayang Maliku Tahir ketika melawat adindanya (Maliku Tahir yang tiada di istana kerana telah diculik)

Maliku Tahir telah diselamatkan oleh mangkubuminya Sidi Ali Ghiatuddin dengan cara menyamar sebagai saudagar arab yang mampu memberi hadiah istimewa.  Apabila kembali ke Pasai, baginda telah mendapati dayangnya telah diambil, maka beliau telah merancang untuk menangkap Maliku Mansur. Akhirnya Sidi Asma Yaumiddin ditangkap dan dipancung. Sultan Maliku Mansur pula dibuang negeri. Akhirnya ketika Maliku Mansur dipanggil kembali dari buangan, baginda telah meninggal dunia di atas kubur Sidi Asma Yumiddin di suatu tempat bernama Padang Maya.

5. Melaka.
Pembukaan Melaka
Raja Melaka memeluk Islam
Pemerintahan Sultan Muhammad Syah
Pemerintahan Sultan Muzaffar Syah
Pemerintahan Sultan Mansur Syah
Pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Syah
Pemerintahan Sultan Mahmud Syah
Kejatuhan Melaka ditangan Portugis.

Huraikan setiap peristiwa pemerintahan sultan-sultan di atas.


6. Johor lama (Pusat pemerintahan Melaka selepas ditawan Portugis)

Wednesday, November 27, 2013

922/2 Sastera dan Pembangunan

Penggal kedua adalah fasa ke arah merealisasikan pembelajaran sastera sebagai "sastera gunaan". Para pelajar perlu baca dan fahami isi dua teks sastera iaitu karya agung "Sejarah Melayu" dan novel karya Keris Mas selaku sasterawan negara yang terkenal iaitu "Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur". Tanpa membaca dua teks ini, para pelajar tidak akan dapat membincangkan dengan tuntas kehendak sukatan pelajaran STPM yang ada. 

Guru adalah pemudah cara dengan membuka sebarang perbincangan yang disebut dalam sukatan. Maka para pelajarlah yang mengkaji dan membentangkan apa-apa isu yang diminta dalam pembelajaran. Perkara yang menjadi masalah besar dalam pembelajaran tingkatan enam ialah mengharapkan suapan guru sedangkan tahap tingkatan enam sama tarafnya dengan diploma pengajian tinggi. Sepatutnya apabila guru tamat menjelaskan sukatan dan isinya, maka wajarlah pelajar membentangkan apa-apa tugasan dalam sesi tutorial. 

Jika kita ke medan tempur tanpa sebarang senjata tentunya kita hanya menyerahkan nyawa kita kepada takdir tanpa sebarang usaha dan ikhtiar. Begitulah keadaannya jika kita sebagai seorang pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tetapi tidak mempunyai persediaan yang cukup. Langkah awal anda ialah memiliki kedua-dua buah buku berkenaan. Memiliki sahaja tidak cukup. Anda perlu baca, faham dan mampu menerangkan kepada orang lain tentang isi buku berkenaan. Apapun tahniah kepada para pelajar yang mahu melayari post-post seperti ini, membaca dan sekurang-kurangnya telah melangkah awal sebelum turun merenang gelora kedua di penggal yang kedua.

Monday, November 18, 2013

922/1 C: Realiti Kehidupan Guru Dalam Cerpen Di Sebalik Sirat Makna.

Guru di sekolah sentiasa datang dan pergi. Itulah realiti kehidupan seorang guru. Datangnya guru kerana diminta berkhidmat di suatu tempat. Setelah berkhidmat sekian lama, tentunya akan tiba masa guru akan pergi samada kerana berpindah, bersara ataupun meninggalkan alam fana ini. Jika panjang umur, guru akan menamatkan tugasnya apabila sampai waktu bersara. Ketika itu, tugas perguruan akan disambung oleh generasi berikutnya. Sudah tentu guru baru yang hadir adalah produk yang lahir dari didikan seorang guru juga. Akhirnya cikgu Paul Ibau Nyibang bersara dan diraikan oleh seluruh anak muridnya dengan penuh penghargaan dan pujian. Sebelum itu pula, telah datang seorang guru baru yang bernama Naszkir.

Ketika dalam perkhidmatan, guru akan melaksanakan apa sahaja tugas yang diarahkan. Seharusnya tidak ada perkataan "tidak" bagi seorang guru jika diminta berbuat sesuatu tugas. Malah segala khidmat yang dicurahkan bukan semata-mata kerana wang atau ganjaran. Berilah apa sahaja kepada guru. Jika perlu, jadilah seorang jaga, jurulatih, kerani, buruh, tukang sapu, pekerja binaan, pemandu, jururawat, pengacara, penasihat atau apa-apa sahaja. Begitulah yang berlaku kepada cikgu Paul Ibau yang setia menjadi warden asrama. Bayangkan apa yang berlaku kepada Naszkir jika beliau tidak mengambil tahu tentang anak muridnya itu. Tentu Naszkir tidak akan menjadi seorang guru sepertinya juga.

Realiti kehidupan seorang guru juga dilihat dari aspek organisasi. Jika kita berada ditakuk lama tanpa usaha meningkatkan diri ke satu tahap tertentu, mungkin kita akan berada di bawah sahaja. Mungkin juga tindakan guru ikhlas demi anak bangsa. Biarlah guru terus menaburkan baktinya sebagai guru tulen yang tinggal di pedalaman. Sedangkan anak murid telah menggapai awan menjawat jawatan tinggi dan kerja yang hebat seperti doktor, jurutera dan akauntan. Naszkir adalah lambang kejayaan seorang guru yang berjawatan lebih tinggi dalam organisasi sekolah dan sanggup menjiwai sikap keguruan Ibau.

Konflik kehidupan boleh berlaku di mana-mana tempat dan masa. Begitu jugalah apa yang dialami oleh Ibau. Dilemanya kian bertambah apabila muridnya menjadi majikan yang berada di tahap pentadbiran sekolah. Samada beliau perlu akur dengan keputusan tahap pengurusan tertinggi sekolah supaya tindakan keatas murid yang mempunyai masalah disiplin diubah atau sebaliknya. 

Sebagai pelaksana dasar, Ibau adalah gambaran kehidupan masa kini. Kaedah pengajaran guru di sekolah kian berubah paradigmanya. Begitu juga dengan kaedah tindakan disiplin ke atas pelajar. Hakikat pada masa kini pula, guru-guru perlu sanggup menggunakan kaedah baru dalam pembelajaran selaras dengan perkembangan teknologi maklumat. Walaupun ada pro dan kontranya, namun sebagai pelaksana dasar kita perlu menerima dan menyokong usaha yang ada. Segalanya adalah demi pembangunan sumber manusia yang akan dilahirkan pada masa hadapan.

Guru tidak lari daripada melakukan kesilapan kerana dirinya adalah manusia biasa seperti mana orang lain. Sesuatu yang dianggap betul dan menjadi amalan pada suatu masa, mungkin tidak sesuai lagi diamalkan pada masa hadapan. Jika negara ingin mencapai tahap tamaddun yang tinggi, tentunya kini segala tindakan kita harus menjurus kepada perkara yang lebih rasional. Pemikiran kita perlu menjurus kepada menjawab persoalan "apa", "mengapa" dan "bagaimana". Jika tidak, mungkin banyak implikasi yang akan menimpa kita. Naszkir adalah generasi baru yang bertindak berdasarkan rasional dan bukan dengan emosi. Dia mahu menelesaikan masalah pelajar dengan kaedah baru dan bukan menghukum semata-mata. Jika pelajar diambil tindakan disiplin, dirinya perlu dirasionalkan. Namun perlaksanaannya tidak semudah sebagaimana ucapan kita.

Oleh itu jangan remehkan sumbangan dan pengorbanan seorang guru. Mengurus sumber manusia tidak semudah menghasilkan barangan di kilang seumpama sebilah parang, seutas emas, segugus kunci, serawan jala maupun sebuah kereta.





922/1 A: Kehidupan Seorang Pesara Dalam Sajak Seorang Jemaah

Jika kita sudah bersara daripada apa-apa perkhidmatan dalam dunia pekerjaan sudah tentu telah mempunyai perancangan masing-masing. Begitu jugalah kehidupan seseorang yang telah ditimbulkan dalam sajak tersebut. 

Kita dapat lihat bahawa umur yang sudah lanjut bukan sesuatu yang boleh ditahan prosesnya. Maka apa yang perlu dilakukan ialah menghargai baki umur yang ada dengan menjaga kesihatan sebaik mungkin. Mungkin senaman adalah salah satu aktiviti rutin kita.

Pada masa yang sama, dipenghujung usia kita akan memanfaatkan hidup kepada keyakinan dan iman kita masing-masing. Bagi yang Islam tentunya akan mengisi kehidupannya dengan banyak beribadat.

Sebagai bekas pekerja kerajaan yang dahulunya mempunyai nama besar sebaris gelaran Datuk dan Tan Sri tentunya mempunyai reputasi tinggi dan nama baik. Oleh itu menjaga nama baik adalah penting tanpa menggembar gemburkan siapa diri kita dahulu.

Agak sukar untuk membiasakan kehidupan dalam suasana yang baru. Dilema selepas bersara sering berlaku jika dahulunya kita kuat bekerja dan tidak menerima hakikat bahawa jawatan itu akan berakhir. Adakah kita akan terus kekal dengan status quo yang selama ini kita miliki. Sudah tentu kita harus mengikut arus masa dan zaman. Terimalah hakikat bahawa jawatan kita adalah sementara dan akan berpindah kepada pihak lain.

Berkaitan dengan kehidupan dengan masyarakat pula jangan diabaikan. Namun campur gaul kita mesti menghindarkan diri daripada apa-apa perkara yang membawa pertentangan. Kita mahu hidup kita selepas bersara bahagia dan kita disenangi oleh orang lain. Jika kita pergi ke alam kekal nanti, kita mahu dikenang dari aspek kebaikan sahaja dan bukan perkara sebaliknya.

Akhirnya, kita perlu bersedia menerima hakikat bahawa umur kita kian singkat. Bersedialah kita untuk meninggalkan dunia ini sebagaimana yang telah berlaku kepada mereka yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Namun faktor itu bukan bermakna kita akan melupakan segala keperluan hidup di dunia ini. Lakukanlah rutin kehidupan seharian kita sebagai manusia seperti biasa tanpa rungutan dan keluh kesah. Watak seorang jemaah digambarkan begitu tenang setenang waktu subuh ketika azan berkumandang.

Oleh itu, apa pula perancangan kita selepas bersara nanti?????????

Wednesday, November 6, 2013

922/1 Pemikiran Drama Asiah Samiah




1. Manusia yang memandang harta.
Tuan Setiawan Tanjung hanya melihat Misa Sagaraga sebagai bakal jodoh Asiah Samiah kerana bakal menantunya itu berharta. Orang kaya hanya boleh berkahwin dengan golongan yang setaraf dengan mereka. 

2. Kahwin Paksa tidak membawa kebahagiaan.
Asiah Samiah dijodohkan dengan Misa Sagaraga secara paksa. Asiah Samiah hidup tersiksa dan tidak bahagia. Dirinya mempunyai masalah mental lantaran kehidupan berumahtangga yang tidak bahagia. Anak yang dilahirkan telah diabaikan dan tidak diasuh dengan sempurna.

3. Penindasan golongan yang dianggap berkuasa.
Misa Sagaraga merampas tanah yang telah diduduki keluarga Anas Samanda. Anas Samanda memperjuangkan haknya sehingga beliau ditangkap dan akhirya mati dibunuh. Situasi ini menggambarkan penindasan yang dihadapi oleh watak dan membawa kepada pembunuhan. 

4. Manusia berkuasa kerana harta.
Misa Sagaraga berjaya memiliki harta secara paksa. Malah sebahagian daripada harta miliknya diperolehi daripada sumber yang haram. Dirinya dipandang orang kerana harta namun harta tidak semestinya membawa kepada kebahagian hidup. Misa Sagaraga tidak mampu membeli cinta dengan harta yang beliau miliki. 

5. Cinta sejati.
Asiah sangat mencintai Anas Samanda walaupun telah dipenjarakan. Cinta Asiah tidak pernah pudar sehingga ke hari tua. Walaupun diri Asiah sebenarnya diambil berat oleh Marga, namun Asiah tidak menyedarinya kerana asyik terkenang dengan buah hatinya itu.

6. Manusia yang lupa tanggungjawab.
Misa Sagaraga lupa tanggungjawab terhadap anaknya Laila Anurisa. Marga bertindak menyiksa Laila tanpa belas kasihan. Misa Sagaraga telah membiarkan anaknya dipelihara orang lain. 

7. Konflik jiwa manusia.
Asiah Samiah mengalami konflik jiwa kerana dirinya dijodohkan dengan orang yang tidak dicintainya. Malah Asiah juga digambarkan setengah gila kerana sering mengingati anaknya yang sudah lama tidak ditemuinya. Marga pula terpaksa menghadapi gelagat manusia yang pelbagai ragam. Semasa kecil Marga menghadapi penindasan bersama ayahnya. Setelah dewasa beliau melihat nasib Anas Samanda pula yang terpaksa menghadapi lintah darat dan golongan yang berkuasa kerana harta. Malah Marga sendiri terpaksa meringkuk di penjara lantaran hadir dalam perhimpunan anjuran Anas Samanda. Akhir sekali Marga menghadapi golongan yang tersiksa jiwa raga seumpama Asiah Samiah. Marga menghadapi semua dugaan ini dengan tabah. 

922/1 Gambaran Syair Ikan Terubuk Dalam Kehidupan Manusia

1. Kehidupan manusia yang berlainan keturunan. Ikan terubuk lahir dari keturunan ikan daripada air masin manakala ikan puyu berasal daripada keturunan ikan air tawar. Faktor keturunan ini sama sahaja dalam kehidupan manusia. Malah keturunan manusia lebih kompleks berbanding kehidupan ikan. Keturunan manusia terdiri daipada berbagai latar belakang dan warna kulit.

2. Manusia berbeza budaya atau cara hidup. Apabila tinggal di kawasan yang berbeza tentunya mengamalkan cara hidup yang berbeza. Perbezaan cara hidup antara ikan terubuk dan ikan puyu-puyu memungkinkan mereka tidak boleh bertemu dan bersatu.

3. Hakikat bahawa manusia terpisah kerana tinggal di kawasan yang berlainan. Situasi perpisahan ini mungkin menyebabkan halangan pertemuan antara dua insan. Keadaan ini boleh berlaku kerana wujudnya pemisah sempadan negara dan tidak wujud hubungan diplomatik lantaran perbezaan fahaman atau wujud pertelingkahan.

4. Setiap diri mempunyai perasaan sayang dan cinta. Perasaan ini adalah sifat semulajadi manusia. Namun pada masa yang sama, individu yang terlibat perlu memahami hakikat bahawa perasaan itu tidak semestinya membawa kepada titik pertemuan antara dua insan.

5. Wujud ancaman keselamatan sesama manusia. Terdapat sifat negatif di kalangan insan yang sentiasa mempunyai perasaan ingin bermusuh dan mengancam sesama mereka. Ikan puyu-puyu merasa dirinya terancam dengan kehadiran ikan terubuk. Lalu ikan puyu-puyu melarikan diri daripada ancaman tersebut. Kehidupan manusia juga tidak lari daripada suasana tersebut. Malah ancaman sesama manusia juga boleh mebawa kepada ancaman terhadap keselamatan nyawa individu.

Monday, November 4, 2013

922/1 Mitos Moden Tentang Secekak Kertas Tisu


Menilai cerpen ini seolah-olah manusia dalam kekalutan dan rasa bimbang yang amat sangat. Kebimbangan ini dipengaruhi rasa risau kerana sejenis kertas yang asalnya diberi nilai yang amat tinggi tiba-tiba jatuh nilai kerana disebabkan oleh pelbagai faktor. Antara faktornya ialah kerana perlakuan seorang yang dianggap penyangak matawang. Kebimbangan penduduk negara kian bertambah apabila berita kejatuhan nilai kertas tisu dilaporkan melalui media seperti televisyen. Perbincangan semakin hangat di seluruh pelusuk negara termasuklah ahli keluarga. Apabila nilai secekak kertas tisu jatuh, maka kuasa membeli akan berkurangan. Barang yang dahulunya mampu dibeli dengan harga yang murah, kini sudah menjadi mahal kerana nilai pertukaran sudah berubah. Penduduk dalam negara akan menjadi miskin lantaran tidak mampu membeli dengan kuantiti yang banyak dan tidak boleh bermewah-mewah lagi. Ekonomi negara dianggap tidak selamat dan tidak stabil kerana harga pertukaran semakin mahal. Harga saham menjadi semakin murah. Gambaran ini menunjukkan ekonomi negara kian tergugat dan sesuatu aktiviti menyelamatkan ekonomi perlu dilakukan. Pemimpin negara perlu bertindak dengan cekap bagi menambat nilai kertas tisu yang sudah jatuh ini. Kisah tentang kertas tisu menjadi mitos kerana faktor berikut:

1. Ramai orang percaya tentang kekuasaan secekak kertas tisu.
Kepercayaan ini sudah sebati dalam jiwa manusia kerana menggunakan kertas sebagai nilai pertukaran. Pada awalnya kertas itu dicagarkan kepada nilai emas, dan bermulalah secekak kertas tisu dipercayai dengan nilai yang tinggi. Manusia dianggap kaya dan mulia apabila memilikinya dengan jumlah yang banyak. Namun kepercayaan itu terhakis apabila nilia kertas itu turun.

2. Secekak kertas tisu dianggap sesuatu yang mulia dan agung.
Seolah-olah kertas itu menjadi dewa dunia. Manusia berharap kepadanya agar terus bernilai tinggi bagi memastikan kelangsungan hidup mereka. Tanpanya manusia menjadi resah dan terasa miskin. Hakikatnya jika manusia tidak terlalu bergantung kepadanya sebenarnya mereka mampu untuk meneruskan kehidupan. 

3. Wujud unsur luarbiasa terhadap kertas tisu.
Sejenis kertas yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan berharga murah tiba-tiba mempunyai nilai yang tinggi setara dengan nilai emas. Keadaan ini tentunya sangat luarbiasa. Seterusnya kejatuhan nilainya juga dianggap luarbiasa juga. Terdapat pelbagai anggapan tentang faktor kejatuhannya. Namun faktor kejatuhannya tidak dapat ditentukan dengan jelas. Lalu ramai orang bimbang terhadap kejatuhan nilainya yang semakin merudum.

4. Penceritaan kisahnya semacam ada unsur dongeng.
Cerita tentang kisah kertas yang jatuh nilai ini semacam suatu rekaan dan tidak jelas kebenarannya. Semua cerita tentangnya adalah dibina melalui unsur kepercayaan yang dibina melalui spekulasi tertentu. Tidak ada suatu kata yang pasti tentang punca kejatuhan nilai kertas tisu ini. Mungkin manusia mencipta dongeng ini untuk menutup kesilapan yang telah mereka lakukan terhadap pengurusan ekonomi negara.

5. Kepercayaan ini diwarisi turun temurun sejak zaman dahulu.
Cerita tentang kertas tisu ini bermula sejak sekian lama. Ramai orang telah menggunakannya di seluruh dunia. Ia berlegar-legar ke serata tempat dan mempengaruhi kehidupan manusia sehingga manusia percaya tentang kekuasaannya dan seterusnya bergantung kepadanya. Ada disebutkan ia dipercayai sejak zaman Sumeria dan kerajaan Babylon. Secara turun temurun penggunaan kertas seumpama ini diwarisi sehingga kini.



Saturday, October 26, 2013

922/3 B: Pengurusan: Penstafan Sejarah Melayu

Konsep penstafan dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)


Konsep penstafan dalam ilmu pengurusan adalah meliputi proses memilih tenaga kerja dalam sesebuah organisasi. Organisasi yang boleh dikaitkan dalam Sejarah Melayu adalah merujuk kepada pemerintahan dalam kerajaan di negeri Melaka.Terdapat beberapa kaedah tertentu yang khsusus telah diamalkan dalam sistem pemerintahan Melaka ketika melantik seseorang bagi menjawat jawatan tertentu. Amalan ini mungkin bersifat tradisional, namun ia adalah amalan pengurusan yang telah termaktub diamalkan pada zaman tersebut dan dianggap sesuai dengan sistem feudal yang diamalkan. Jawatan dalam sesebuah negara telah ditentukan oleh sistem feudal sedia ada, maka proses pengisian jawatan tersebut akan diisi apabila wujud kekosongan perjawatan tersebut. Kekosongan jawatan adalah dengan sebab kematian penjawat jawatan berkenaan atau penjawat jawatan itu meletakkan jawatan.

1. Pembahagian Tugas.
Pemerintahan negeri telah mengamalkan pembahagian tugas dan mewujudkan skim perjawatan tertentu. Terdapat jawatan utama negara seperti Bendahara, Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari dan sebagainya. Setiap jawatan itu mengamalkan konsep pengasingan kuasa dan tugas. Oleh itu tidak akan wujud soal pertindihan kuasa dan kecelaruan tugas. Semua perjawatan tersebut pula dikawal dan dipantau oleh Sultan yang menjadi ketua negara.

2. Pengkhususan Tugas.
Amalan pengkhususasn tugas adalah diberikan kepada golongan yang pakar dalam bidangnya. Mereka diberikan kepercayaan kerana dianggap lebih tahu bidang tugas tersebut. Contohnya seorang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang agama akan diberikan tugas sebagai seorang kadi sebagaimana Kadi Yusuf. Bagi mereka yang mahir dalam ilmu pahlawan maka dilantik menjadi Laksamana sebagaimana Hang Tuah. Amalan pengkhsusan tugas ini adalah bagi memastikan pentadbiran Melaka dapat ditadbir dengan cekap dan berkesan.

3. Lantikan jawatan berdasarkan keturunan.
Amalan penstafan berdasarkan keturunan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan pada zaman pemerintahan kerajaan Melaka. Amalan ini dilihat terutamanya dari aspek perlantikan raja atau sultan. Biasanya pengganti sultan adalah terdiri daripada anak-anak raja. Terdapat juga perlantikan bendahara yang dilihat dari aspek keturunannya. 

4. Lantikan mengikut kelebihan akal.
Seseorang individu yang mempunyai kepandaian akal adalah ciri kedua penting bagi mengisi perjawatan negeri Melaka. Tun Perak dilihat sebagai insan yang dinilai kelayakannya mengisi jawatan bendahara berdasarkan kebolehan akalnya yang tinggi. Kebolehannya menghalang serangan Siam pada kali pertama dan keupayannya berfikir melebihi pegawai lain telah menarik perhatian Sultan Muzafar Shah untuk menaikkan pangkat beliau daripada seorang Penghulu sehingga menjadi Bendahara Melaka. Tun Perak juga sangat pandai berhujah dengan orang lain sepertimana ketika berhujah dengan Sri Amerta.

5. Lantikan berdasarkan ciri fizikal.
Sebahagian tugas ditentukan berdasarkan kebolehan fizikal seseorang. Seseorang yang tangkas dan hebat dalam ilmu persilatan tentunya lebih sesuai untuk dilantik menjadi laksamana, askar dan pengawal istana. Perlantikan Hang Tuah dan rakan-rakan adalah dipilih berdasarkan kebolehannya mempertahankan raja dan negeri Melaka, walaupun pada awalya mereka hanya menjadi biduanda raja sahaja. Akhirnya setelah Hang Tuah membuktikan kebolehan fizikalnya, baharulah beliau dilantik menjadi Laksamana.

6. Lantikan berdasarkan keperluan tugas.
Setiap individu yang dilantik oleh pemerintah biasanya mempunyai kebolehan tersendiri. Hal ini dapat dibuktikan melalui perlantikan pegawai diplomatik seperti Tun Jana Putra dan Tun Perpatih Putih. Kebolehan berbahasa dan menulis surat adalah ciri paling penting bagi tujuan diplomatik disamping ciri lain termasuk kebijaksanaan.

Kesimpulannya, walaupun teori pengurusan moden belum lagi diamalkan, namun pemerintahan negeri Melaka telah mengamalkan konsep penstafan yang dinamik dan tersusun. Perlantikan jawatan tertentu adalah berdasarkan ciri-ciri tertentu yang telah diamalkan supaya pentadbiran Melaka sentiasa baik dan negara menjadi maju. Oleh itu tidak hairan jika Melaka telah terkenal dan menjadi tumpuan para pedagang kerana mengamalkan pengurusan staf yang terbaik.

Tuesday, October 22, 2013

922/1 B : Hikayat Nabi Wafat

Pengajaran cerita:


1. Hendaklah menerima ketentuan takdir Ilahi.
Nabi adalah insan yang menerima takdir atau ketentuan Ilahi bahawa umurnya akan berakhir.

2. Kita hendaklah berani mengakui kesilapan diri.
Nabi mengakui kesilapan perbuatannya ketika peperangan yang telah menyebabkan Akasyah terkena cemeti kudanya.

3. Hendaklah menyayangi keluarga sendiri.
Nabi sangat menyayangi anaknya Fatimah. Begitulah sebaliknya, Fatimah sangat menyayangi baginda selaku bapanya.

4. Jadilah insan yang pemaaf.
Akasyah adalah insan yang pemaaf dan tidak berniat untuk menganiayai nabi Muhammad.

5. Kita perlu saling nasihat menasihati di antara satu sama lain.
Nabi telah berkhutbah pada hari jumaat dengan menasihati para jemaah agar menjadi insan yang terbaik dan sentiasa saling memaafi di antara satu sama lain.

6. Kita hendaklah melunaskan hutang.
Nabi adalah insan yang sentiasa melunaskan hutangnya sekalipun hutang itu bukan berbentuk material. Nabi sanggup disebat dengan cemeti oleh Akasyah sebagai salah satu cara melunaskan hutang piutangnya sebelum beliau meninggal dunia.

7. Jadilah insan yang bertanggungjawab.
Kita perlu bertanggungjawab di atas segala perbuatan kita. Berdasarkan kepercayaan Islam, segala perbuatan kita akan mendapat balasan atau ganjaran di hari akhirat kelak.

Thursday, October 17, 2013

922/1 C: Cerpen Anak-anak Bergelimpangan

Bincangkan persoalan cerpen Anak-anak Bergelimpangan.

1. Sikap mementingkan diri manusia.
2. Cinta alam sekitar
3. Prihatin terhadap masalah masyarakat.
4. Simpati terhadap nasib orang lain.
5. Menyayangi keluarga sendiri.
6. Sikap tamak membawa padah.

Wednesday, October 16, 2013

922/3 B: Perancangan dalam Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.

Perancangan adalah bermaksud proses penetapan matlamat dan objektif terhadap sesuatu perkara. Setelah penetapan matlamat dilakukan, akan ditentukan cara bagaimana untuk mencapai matlamat tersebut. Perancangan selalunya diamalkan dalam sesebuah organisasi yang formal, namun ia juga diamalkan dalam organisasi yang tidak formal. Terdapat beberapa gambaran perancangan telah dilakukan dalam peristiwa yang terdapat dalam Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur seperti berikut:

1. Perancangan dalam urusan perniagaan.
2. Perancangan dalam urusan politik.
3. Perancangan dalam urusan sosial (kemasyarakatan).
4. Perancangan dalam urusan keluarga.
5. Perancangan dalam urusan projek.
6. Perancangan dalam pengurusan krisis.

Sunday, October 13, 2013

922/3 B: Kepimpinan Dalam Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

Kepimpinan adalah proses dimana pemimpin mempengaruhi orang bawahannya untuk melaksanakan tugas tertentu atau mempengaruhi pengikut supaya mengikuti idea dan pendapat. Cara untuk memengaruhi seseorang adalah bergantung kepada gaya (style) seseorang pemimpin. Ada sesetengah pemimpin gemar menggunakan kuasa (power) yang ada pada dirinya lantaran kedudukannya yang mampu mempengaruhi orang lain secara autokratik. Namun cara ini kurang digemari ramai pengikut. Gaya yang lebih demokratik ketika mempengaruhi orang bawahan adalah lebih digemari dan mampu menjurus kepada perlakuan yang sukarela.Terdapat beberapa situasi yang signifikan dalam SBDKL yang menunjukkan bagaimana proses kepimpinan berlaku.

   Pada awal bab didapati encik Muhammad selaku pemimpin organisasi perniagaannya mampu mempengaruhi rakan kongsinya, Datuk Tan untuk bersetuju dengan rancangannya bagi mengeskport lada hitam ke Jerman. Ketika ini encik Muhammad didapati mampu mempegaruhi Datuk Tan bersetuju dengan kontrak perniagaan yang telah beliau rancang. Ia adalah meliputi jumlah eksport, destinasi dan sumber bekalan lada hitam. Encik Muhammad didapati amat berpengaruh dan sangat dihormati oleh rakan niaganya. 

   Pada masa yang sama encik Muhammad didapati mampu mempengaruhi pekerjanya agar mempunyai disiplin kerja yang baik. Perkara ini dapat dilihat pada diri Mahani selaku pekerja yang rajin dan pandai melayan tetamu yang datang. Pada masa yang sama, beliau tidak mahu membina jurang yang jauh antara dirinya dengan para pekerja. Ini dapat dibuktikan apabila beliau tidak terlalu mementingkan panggilan formal yang sering diamalkan di pejabat. Encik Muhammad lebih senang berhubungan dengan pekerjanya dengan panggilan yang tidak terlalu melambangkan pangkat dan kedudukan. Perkara ini amat disenangi oleh pekerja bawahan dan mampu mempengaruhi pekerja agar bekerja dengan rajin dan sukarela.

    Jika kita meneliti proses kepimpinan di Kampung Tualang, didapati YB Mohamad Yusuf adalah merupakan pemimpin setempat yang berkaitan dengan politik. Encik Mohamad Yusuf sangat berkesan ketika mempengaruhi rakyat setempat supaya mengikuti rancangan pembangunan di kampung berkenaan. Beliau mampu mempengaruhi penduduk kampung agar menerima cadangan supaya berpindah ke rancangan Felda. Beliau sering hadir dalam perjumpaan di kampung dan seluruh pengikutnya di kampung mendengar ucapan dan idea beliau.

     Seterusnya jika diteliti kepada proses kepimpinan yang lebih kecil, kita dapati pemimpin di Kampung Tualang yang terdiri daripada imam dan ketua kampung. Mereka juga telah memainkan peranan penting untuk mempengaruhi penduduk kampung. Pada awalnya penduduk kampung mempunyai perasaan tidak puas hati dan tidak jelas tentang hala tuju pembangunan kampung. Namun setelah beberapa perjumpaan dilakukan, ramai diantara mereka bersetuju dengan rancangan agar kampung Tualang didirikan pusat lombong bijih timah. Tindakan imam Saad menerima rancangan pembangunan telah mempengaruhi penduduk kampung yang lain agar bersama-sama bersetuju dengan rancangan pembangunan berkenaan. Begitu juga dengan Lebai Maaruf yang berjaya dipengaruhi oleh encik Muhammad lantaran sifat beliau yang mahu mendengar cadangan dan saranan pihak lain.

     Di kalangan orang muda dalam Kampung Tualang juga terdapat gambaran tentang kepimpinan. Situasi tersebut dapat dilihat apabila dalam kalangan ada kumpulan tertentu yang membentuk kepimpinan mereka sendiri. Sudin telah dilantik menjadi ketua di kalangan orang muda kerana beliau dirasakan mampu mempengaruhi rakannya yang lain. Namun begitu terdapat juga golongan antagonis seperti Mat Akil yang mampu mempegaruhi perlakuan golongan muda. Walaupun pada awalnya Mat Akil semacam lebih berpengaruh, namun akhirnya kepimpinan Mat Akil didapati gagal dan tidak mendapat sambutan. 

  Proses kepimpinan dalam SBDKL juga dilihat dari sudut kepimpinan dalam keluarga. Encik Muhammad selaku pemimpin keluarga juga mampu mempengaruhi ahli keluarganya. Walaupun pada awalnya rancangan encik Muhammad mendapat tentangan daripada Rahim, namun akhirnya Rahim telah menerima cadangan ayahnya. Rahim telah bersetuju untuk bekerja dengan syarikat perlombongan ayahnya setelah perbincangan dilakukan. Keupayaan encik Muhammad memimpin keluarganya adalah bukti bahawa proses untuk mempengaruhi orang lain ini memerlukan banyak perbincangan dan mendengar pendapat orang lain.

     Tegasnya, proses kepimpinan yang berlaku dalam SBDKL adalah cerminan daripada pelbagai situasi yang wujud dalam masyarakat kita pada hari ini. Kepimpinan yang dikemukakan dalam novel ini adalah meliputi kepimpinan organisasi formal dan tidak formal. Terdapat perbezaan gaya kepimpinan formal dengan tidak formal lantaran keperluan dan anggota organisasi yang berbeza. 

Tuesday, October 8, 2013

Persediaan menjelang peperiksaan

1. Adakah anda memiliki teks yang diperlukan untuk subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif.
Jika anda tidak memiliki teks seolah-olah anda pergi berperang tanpa senjata.

2. Adakah anda memiliki sukatan pelajaran berkenaan dan sentiasa ada dalam fail subjek.
Belum terlambat untuk anda mendapatkan sukatan pelajaran. Tanpanya ibarat memasak nasi tanpa sukatan air yang secukupnya.

3. Pastikan anda baca teks dan memahami isinya.
Ada teks sastera tetapi tidak membacanya ibarat pergi ke kebun tetapi tidak tahu menggunakan parang dan cangkul.

4. Fahami format soalan dan bahagian-bahagian soalan A, B dan C.
Kefahaman tentang format soalan ibarat berjalan dengan lampu suluh yang terang.

5. Anda perlu tahu dimana kekuatan dan kelemahan prestasi anda.
Perjalanan hidup anda dipandu oleh anda sendiri. Oleh itu anda tahu bila anda letih dan mengantuk. Anda juga tahu bila anda cergas dan cerdas. 

6. Lengkapkan nota anda.
Nota ibarat plan perjalanan pembelajaran anda.

7. Berbincang dengan guru anda.
Dia adalah menunjuk jalan ketika sebagaimana guru sekolah memandu anda. Ingat dia tidak akan bersama anda ketika anda sedang diuji. Gunakan kesempatan yang ada untuk mendapatkan sebarang bantuan berkaitan dengan ilmu.

8. Usaha dan doa.
Tawakkal menjadi bermakna apabila disertai dengan usaha dan pengorbanan. Kejayaan pembelajaran anda adalah bergantung kepada usaha gigih anda. Selebihnya adalah ketentuan Ilahi yang memiliki diri kita. Pohonkan doa berpanjangan diwaktu dinihari. 

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...