Thursday, September 4, 2014

922/1 bahagian C: Watak Marga digambarkan seorang yang berpijak di bumi nyata.

Marga seorang yang pernah melalui zaman perit lantaran kehidupannya yang penuh cabaran. Bapanya ditangkap kerana berjuang menentang ketidakadilan. Adik beradiknya hidup dalam keadaan susah dan tidak dipedulikan oleh masyarakat sekitar. Marga adalah rakan baik kepada Asiah Samiah. Beliau telah menjaga anak Asiah Samiah iaitu Laila Anurisah. Ketika beliau membawa Laila Anurisah dan hendak mencari Anas Samanda, beliau telah ditangkap kerana berada dalam satu perhimpunan menentang ketidakadilan anjuran Anas Samanda sekalipun kehadirannya bukan berniat untuk menyertai perjuangan Anas.

1. Beliau digambarkan sebagai seorang yang matang berfikir. Mungkin kematangan beliau diperoleh kerana telah melalui pengalaman perit ketika beliau muda. Bapanya telah dipenjarakan dan keluarganya hidup susah.

2. Marga sentiasa sabar dan bertenang. Ketenangan beliau dapat dilihat ketika berbincang dengan Anas. Beliau mampu memberikan pandangan yang bernas. Dia tidak mahu terburu-buru  untuk segera menyokong tindakan Anas Samanda walaupun apa yang diperjuangkan beliau adalah menentang ketidakadilan dan mempertahankan maruah. 

3. Sentiasa rasional. Beliau menasihati Anas Samanda agar sentiasa bertindak rasional. Apa yang telah Marga lalui telah dicurahkan kepada Anas supaya sentiasa bijak bertindak dan jangan terburu-buru. Segala pengalaman hidupnya yang susah telah mendorong dirinya tidak mahu terlibat dengan perjuangan Anas.

4. Beliau juga berpandangan jauh. Dirinya sering berfikir tentang masa depan agar apa yang akan dilakukan tidak memberi kesan negatif dan menyusahkan keluarga. Pandangan kritis beliau telah dikemukakan ketika berbincang dengan Anas Samanda.

5. Mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi. Sifat kemanusiaan beliau terserlah apabila beliau sanggup menjaga Laila Anurisah ketika kecil lantaran ibunya yang kurang siuman. Malah beliau sentiasa mengambil berat tentang hal ehwal Asiah Samiah ketika hidup tertekan dan terganggu pemikiran.

Semua sifat dan tindakan Marga yang dikemukakan telah menggambarkan bahawa beliau seorang yang realis dan sentiasa berpijak di bumi nyata dalam segala tindakan beliau. Sikap beliau patut dicontohi oleh ramai orang kerana sikap itu boleh menjadikan masyarakat hidup aman harmoni dan mampu mengelakkan konflik yang melampau. Semoga ramai insan dapat mencontohi sikap ini sekalipun kadangkala sikap Marga ini menyebabkan dirinya dianggap penakut.


No comments:

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...