Google+ Followers

Friday, August 10, 2012

Pantun Budi



Pantun Budi


Pisang emas dibawa belayar,
                Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
                Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
                Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
                Budi baik dikenang juga.

Tenang-tenang air dilaut
                Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut tersebut,
                Budi yang baik rasa nak junjung.


Jenis Pantun   : Pantun empat kerat
Tema Pantun  : Pantun budi


Ciri-ciri pantun

1.      Jumlah baris serangkap
      Empat baris serangkap

2.      Pembayang maksud.
Separuh baris yang awal adalah pembayang maksud.

3.      Maksud
Separuh baris yang akhir merupakan maksud pantun.

4.      Jeda.
Terdapat hentian sebentar di tengah-tengah baris yang dekenali sebagai jeda.

Contoh: Pulau pandan / jauh ketengah.


5.      Jumlah perkataan sebaris.

6.      Jumlah sukukata sebaris.



Kepentingan pantun  budi kepada sarwajagat masyarakat melayu tradisional

1.      Komunikasi.
Pantun di atas boleh digunakan ketika berucap di hadapan khalayak ramai. Biasanya sebagai bahasa pengucapan para pemimpin masyarakat. Pantun di atas mampu menyampaikan mesej yang berguna kepada pendengarnya. Pendengar akan faham permintaan dan harapan seseorang pengucap pantun. Malah pantun itu mampu mengungkapkan rasa terimakasih yang tidak terhingga kepada orang yang telah “berbudi”.

 Nasihat.
Pantun di atas mampu memberikan nasihat kepada seseorang untuk melakukan kebaikan dengan berbudi kepada orang lain. Malah ia juga menasihatkan seseorang yang telah menerima budi agar sentiasa mengenang dan menyanjung pihak yang telah berbudi kepada dirinya. Nasihat diterima secara rela tanpa dipaksa kerana khalayak merasakan nasihat melalui pantun boleh diterima dengan baik melalui susunan kata-kata indah. Kesedaran tentang nasihat dalam pantun mampu memujuk sesiapa sahaja yang berhati keras sekalipun. 

3.      Pengajaran.
Seterusnya pantun tersebut mengajar manusia supaya mengamalkan perbuatan menolong orang lain atau dengan kata lain berbudi kepada rakan. Ajaran mulia ini mampu diterapkan andai seseorang itu memahami maksud pantun di atas. Malah ia juga akan mendorong khalayak mengamalkan budaya tolong menolong kerana amalan mulia akan menjadi bekal ketika kita sudah meninggal dunia. Ajaran baik ini terus diamalkan sesama ahli masyarakat yang memahami maksud mendalam pantun ini.

4.      Gambaran masyarakat.
Gambaran amalan berbudi dapat dilihat dalam kegiatan harian masyarakat melayu. Mereka menjadikan budaya tolong menolong sebagai amalan hidup seharian kerana ahli masyarakat saling bergantung antara satu sama lain. Hidup yang serba kekurangan akan mendorong individu supaya perihatin akan kesusahan ahli masyarakat yang ada di sekitar mereka.

5.      Motivasi supaya berkelakuan baik.
Pantun di atas boleh menjadi pendorong seseorang supaya berbudi kepada orang lain. Dorongan ini wujud kerana masyarakat melayu sangat menghargai jasa orang lain. Malah balasan orang berbudi akan di bawa setelah seseorang itu meninggal dunia. Bagi mereka yang menerima budi pula akan cuba menolong rakan yang lain pada waktu yang sesuai.

6.      Budaya sopan santun.
Gaya bahasa pantun yang menarik sebenarnya menggalakkan seseorang menasihat dan menyampaian mesej secara bersopan santun. Keindahan penggunaan pembayang maksud yang menarik dan disertai dengan mesej pantun tentunya akan menjurus seseorang yang mendengar pantun rasa terdorong untuk berbudi dan menghargai budi orang lain.

7.      Adat istiadat.
Penggunaan pantun di atas sangat sesuai digunakan dalam majlis-majlis tertentu dan ketika menjalankan adat istiadat. Orang melayu sangat mementingkan pengucapan yang tersusun untuk menyampaikan hasrat dan meluahkan perasaan mereka. Perbincangan kepentingan pantun sebagai amalan adat istiadat ini mungkin di luar dari maksud pantun budi, tetapi ia lebih menjurus kepada konsep sarwajagat (universal) yang terdapat dalam keseluruhan fungsi pantun yang umum sifatnya.


8.      Hiburan.
Kadangkala pantun di atas boleh digunakan ketika melagukan sesuatu irama yang diiringi dengan bunyi-bunyian seperti gendang dan tiupan serunai. Selain memberi nasihat, pada masa yang sama mampu menghibur khalayak melalui keindahan susunan kata dan maksud puisi. Mungkin kepentingan pantun budi berada di luar konteks hiburan. Namun secara universalnya, pantun mampum menghiburkan khalayak apabila diucapkan kerana kesan penghargaan kepada pihak yang mengucapkan pantun itu. Ia menjadi suatu selingan pengucapan, malah kadangkala menjadi gurauan. Sehingga kini fungsi pantun sebagai hiburan kian menyerlah kerana pantun mampu dilagukan atau dinyanyikan.


Estetik Pantun.

Estetika adalah salah satu cabang falsafah. Secara sederhana, estetika adalah ilmu yang membahas keindahan, bagaimana ia boleh terbentuk, dan bagaimana seseorang boleh merasakannya. Pembahasan lebih lanjut mengenai estetika adalah sebuah falsafah yang mempelajari nilai-nilai sensoris (perasaan), yang kadang dianggap sebagai penilaian terhadap sentimen dan rasa. Estetika merupakan cabang yang sangat dekat dengan filosofi seni.

Esetetika berasal dari Bahasa Yunani iaitu  aisthetike. Pertama kali digunakan oleh filasuf Alexander Gottlieb Baumgarten pada 1735 untuk pengertian ilmu tentang hal yang boleh dirasakan melalui perasaan.
Pada masa kini estetika boleh berarti tiga perkara iaitu:
1. Kajian mengenai fenomena estetik
2. Kajian mengenai fenomena persepsi (tanggapan)
3. Kajian mengenai seni sebagai hasil pengalaman estetik


Setelah memahami maksud estetik maka berikut adalah rumusan aspek estetik bagi pantun budi secara umum.


1.      Keindahan pemilihan kata.
Aspek utama nilai estetik pantun ialah pemilihan kata yang tepat. Perkataan yang wujud dalam pantun sangat menepati maksud dan tujuan puisi dicipta. Contohnya perkataan “hancur badan” begitu tepat untuk memberi maksud seseorang yang sudah mati. Kematian itu pula digambarkan dengan jangka masa kematian yang sudah lama.

2.      Keindahan unsur bunyi
Kemudian diikuti dengan penggunaan rima yang tepat samada di awal, di tengah dan di akhir baris. Contoh yang jelas seperti perkataan “pandan” dan “badan” pada tengah baris. Begitu juga perkataan penggunaan perkataan “tiga” dan “juga” digunakan di akhir baris. Unsur bunyi juga wujud dalam aspek bunyi vokal dan konsonan. Ia dikenali juga sebagai asonansi dan aliterasi.

3.      Keindahan cara berkomunikasi
Penyampaian komunikasi yang menggunakan gaya bahasa yang lemah lembut dan sopan mampu menimbulkan rasa hormat kepada khalayaknya. Para pendengar akan rasa terusik dan terkesan yang mendalam kerana gaya penyampaian, pengucapan dan pemilihan kata yang menyentuh perasaan. Para penutur pantun bijak berfikir dan menggunakan pantun sebagai satu cara komunikasi yang sangat berkesan.

4.      Keindahan pengucapan yang sopan.
Seseorang yang ingin memberi nasihat perlu berhati-hati dengan pengucapan agar tidak mengguris hati dan perasaan rakan. Budaya melayu yang mengamalkan sopan santun memerlukan sesorang itu menyusun kata secara sopan dan teratur.

5.      Keindahan maksud puisi.
Maksud puisi begitu indah dan mendalam maksudnya. Khalayak akan rasa dihargai dan sentiasa bersangka baik kepada teman dan taulan. Maksud puisi ini membolehkan seseorang menerima baik nasihat, saranan dan permintaan penutur pantun. Tidak wujud rasa kecil hati dan rendah diri kerana nilai pantun ini begitu lembut ketika menyatakan tujuan pengucapan. Kefahaman terhadap maksud dapat dirasa sehingga ke dalam sanubari hati pendengar.


Pemikiran Pantun

1.      Nilai perbandingan budi.
Nilai budi tidak boleh dibandingkan dengan sebarang nilai harta dunia termasuk emas. Budi itu mempunyai nilainya yang tersendiri. Budi tidak ada tukar ganti. Sesuai dengan ayat “hutang emas boleh dibayar”, maka orang yang menerima budi tetap tidak akan mampu membayarnya sekalipun dengan harta yang paling tinggi nilainya iaitu emas.

2.      Mengenang budi sehingga mati.
Mengenang budi seseorang bukan setakat ketika seseorang hidup di dunia sahaja. Budi seseorang itu akan tetap dikenang walaupun dia telah mati tetap akan disebut orang. Sesuai dengan isi pantun tersebut iaitu “hancur badan dikandung tanah” yang memberi maksud sudah meninggal dunia.

3.      Menghargai budi/Rasa terhutang budi.
Bagi mereka yang telah menerima budi tentunya akan rasa terhutang budi. Penghargaan terhadap orang yang berbudi begitu tinggi sehingga meletakkan penghargaan itu di tempat yang sangat mulia dan dibawa ke mana sahaja. Hal ini merujuk kepada maksud perkataan “rasa nak junjung” dalam rangkap ketiga pantun di atas.



Nilai Kemanusiaan

1.      Manusia yang saling bergantung antara satu sama lain.
Hidup masyarakat melayu pada zaman tradisional penuh dengan kesusahan dan saling bergantung antara satu sama lain. Setiap individu yang menjadi ahli masyarakat akan sering memerlukan pertolongan ahli masyarakat yang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Budi merupakan amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Sesiapa yang tidak mengamalkannya dianggap bersifat melukut di tepi gantang, seperti kera sumbang dan sebagainya.

2.      Manusia yang sentiasa mengejar harta
Masyarakat melayu tidak ketinggalan dari segi mengumpulkan harta kekayaan. Lambang kekayaan masyarakat diukur dari sudut jumlah hartanya. Harta yang dianggap paling tinggi nilainya adalah emas. Lalu perbandingan kekayaan seseorang diukur melalui jumlah emas yang mampu dimiliki oleh seseorang. Namun nilai emas tidak sama dengan nilai budi.


3.      Manusia yang boleh menilai erti budi berbanding harta.
Seeorang itu perlu meletakkan kedudukan budi itu sesuatu yang amat mulia di sisi mereka. Budi perlu diletakkan pada tempat yang tinggi dan tidak boleh dibandingkan nilainya dengan harta seperti emas. Oleh itu manusia hendaklah sedar bahawa budi itu tidak boleh dibayar.

4.      Manusia yang sentiasa mengenang budi orang lain.
Setiap individu perlu menghargai pertolongan orang lain walau sekecil mana budi tersebut. Rangkap puisi ketiga menggambarkan betapa seseorang yang pernah menerima budi akan sentiasa menjunjung budi.

5.      Manusia yang percaya dengan hari pembalasan.
Kebanyakan pantun budi mengaitkan balasan budi itu tertangguh sehingga seseorang itu meninggal dunia sebagaimana rangkap pertama dan rangkap kedua pantun. Manusia percaya bahawa berbudi adalah amalan mulia yang mendapat balasan pahala di sisi Allah. Kita perlu ikhlas dengan pertolongan yang telah diberikan dan jangan terlalu mengharapkan balasan di dunia sahaja.




Gambaran masyarakat dalam pantun

1.      Masyarakat yang tinggal di tepi pantai.
Melalui ketiga-tiga pembayang maksud pantun terdapat gambaran bahawa pencipta pantun ini tinggal dalam persekitaran tepi pantai dan lautan. Ini dapat digambarkan melalui pemilihan kata yang berkaitan dengan latar tempat berkenaan seperti “belayar”, “pulau Pandan”, ”tanjung”,  “kolek” dan gambaran suasana “air tenang” .

2.      Masyarakat petani dan nelayan.
Masyarakat melayu terdisional tidak boleh lari daripada menjalankan kegiatan bertani seperti menanam “pisang” dan sebagainya. Manakala bagi mereka yang tinggal di persisir pantai akan “belayar” dan menjalankan kegiatan nelayan.

3.      Masyarakat yang menggunakan jalan air sebagai pengangkutan.
Sistem pengangkutan tradisional yang paling mudah di kalangan masyarakat melayu zaman dahulu adalah melalui jalan air. Mereka akan menggunakan alatan yang sesuai ketika bergerak melalui jalan air. Penggunaan alat pelayaran, sampan dan kolek adalah sesuatu yang perlu pada waktu itu. Malah mereka perlu memahami keadaan yang sesuai ketika bergerak supaya selamat dalam perjalanan. Mereka perlu menunggu air yang tenang apabila menggunakan sampan kolek.

4.      Masyarakat yang saling tolong menolong.
Lumrah kehidupan orang yang hidup bermasyarakat adalah saling bantu membantu antara satu sama lain. Orang yang  tidak mengamalkan hidup berbudi dan tolong menolong akan dianggap tidak bermasyarakat.

5.      Masyarakat yang sentiasa mengenang budi.
Masyarakat yang baik akan selalu mengenang budi walau budi itu kecil nilainya. Perkara tersebut termaktub dalam ketiga-tiga maksud pantun budi di atas. Malah mereka yang tahu erti budi akan menjunjung dan mengingati budi orang lain.

6.      Masyarakat yang mempercayai hari kemudian.
Mesyarakat melayu secara umumnya beragama Islam. Mereka mempunyai kepercayaan yang kukuh terhadap hari kemudian atau disebut juga hari pembalasan. Mereka yakin seseuatu amal samada baik atau buruk akan mendapat pembalasan yang setimpal. Begitu juga amal berbudi kepada orang lain dipercayai akan mendapat balasan baik selepas meninggal dunia sekalipun tidak mendapat balasan di dunia.


Analisa Karya


Kehidupan masyarakat melayu zaman dahulu yang serba kekurangan menyebabkan mereka saling bergantung antara satu sama lain. Budaya tolong menolong dan berkerjasama adalah amalan yang diamalkan setiap hari. Tanpa bantuan ahli masayarakat yang lain, sesuatu kerja itu mungkin tidak akan selesai. Sebagai contoh dalam kegiatan membina sebuah rumah. Pembinaan rumah akan bermula daripada kegiatan menebang pokok, membelah, memahat sehingga mendirikannya tentu tidak mampu dilaksanakan secara bersendirian. Semuanya memerlukan bantuan ahli masyarakat.

Semua aktiviti yang memerlukan pertolongan pihak lain ini dianggap aktiviti yang tergolong sebagai perbuatan berbudi. Apabila manusia sudah menerima budi tentunya individu tersebut akan sentiasa terkenang budi, terhutang budi dan cuba untuk membalas budi. Mungkin pada masa yang lain, pihak yang sudah menerima budi tersebut akan cuba membalas budi mengikut kemampuan masing-masing. Bentuk pertolongan yang mereka akan lakukan mungkin dalam bidang yang lain pula. Kalau dahulunya mereka ditolong ketika membina rumah, mungkin pada masa yang lain balasan budi itu berbentuk pertolongan lain pula.

Walaupun budi boleh dibalas tetapi nilainya tidak ak mungkin sama dengan ketika budi itu diberi berbanding ketika pihak yang telah menerima budi itu membalas budi. Oleh itu nilai budi tidak boleh dibanding-bandingkan. Malah sekiranya dibandingkan akan menyebabkan ungkitan dan rasa tidak ikhlas. Nilai pertolongan ketika seseorang itu memerlukan sebenarnya amat tinggi nilainya. Contohnya seperti pertolongan ketika lemas di sungai, ketika lapar dan sebagainya. Seseorang itu mungkin sukar untuk menolong pihak yang telah berbudi pada peristiwa yang sama. Jika adapun mungkin wujud dalam bentuk pertolongan yang lain.

Tegasnya budaya berbudi ini adalah sebahagian daripada kehidupan masyarakat melayu zaman dahulu dan akan diamalkan sehingga sekarang. Sesiapa yang tidak mahu berbudi akan dianggap sombong dan mementingkan diri sendiri. Ahli masyarakat tidak boleh hidup bersendirian seolah-olah tidak memerlukan rakan-rakan dan saudara mara. Oleh itu tema budi menjadi salah satu tema pantun masyarakat melayu zaman tradisional.




No comments: