Thursday, July 26, 2012

Sajak Seorang Jemaah oleh A. Wahab Ali



Seorang Jemaah
A Wahab Ali

               I
Pada setia subuh bening
Sedang azan memancar di menara masjid
Kutemui dia tenang  berjalan
Jubahnya putih, serbannya putih, kasutnya putih

Sesekali aku berhenti
Mempelawanya menaiki kereta
Dia memberikan salam
Bersamanya menerpa wangi haruman

Bila berjemaah
Sesekali kami bersebelahan
Sebelum takbir
Dia sibuk bersugi.

Sebaik selesai imam memberi salam
Dia berdoa singkat
Kemudian menerjah ke luar
Melipat jubahnya
Dia ligat berjoging di asfalt
Putih topinya, putih bajunya, putih seluarya,
Putih kasutnya.

Setiap derap sepatunya
Dia menyebut kebesaran Allah
Setiap denyut jantungnya
Dia menyambung doa yang tertinggal
Minta umur dipanjangkan
Minta selamatkan anak isteri
Minta selamatkan saudara seagama
Selamat yang hidup Selamat yang mati
Selamat di dunia
Selamat di akhirat
Selamat semuanya.

               II

Kini
Setiap subuh bening
Azan tetap memancar di menara masjid
Jalan tinggal sepi, pintu keretaku tertutup
Tetapi setiap aku lalu di tempat aku mengambilnya
       dulu
Wangi harumnya masih menerpa
Putih jubah dan putih serbannya kubawa bersama.

Kini
Ketika aku berjemaah
Di sisiku dia tiada
Tetapi sugi dan usallinya
Memanjang di mataku

Kini
Bila selesai imam memberi salam
Tidak kelihatan dia bergegas ke luar
Asfalt lama merindukan  seretan kasut putihnya
Pejalan kaki pagi
Merindukan topi putihnya
Doanya masih mengambang
Tetapi degup jantungnya sudah lama berhenti
Dia telah lama selamat
Berbaring bersama deretan pusara
Dato’ dan Tan Seri

Kuala Lumpur – Kuala Terengganu
5-6.12.1991


Maksud Sajak

Bahagian 1
Ketika ahli jemaah masjid itu masih hidup.

R1: Aktiviti jemaah pada waktu subuh yang datang ke masjid dengan berjalan kaki dengan pakaian jubah.

R2: Penyajak sering mengajak jemaah tersebut menaiki kenderaannya.

R3: Amalan sunnah nabi iaitu bersugi merupakan amalan jemaah tersebut.

R4: Selesai solat jemaah tersebut melakukan aktviti senaman/riadah dengan pakaian lengkap.

R5: Sepanjang aktiviti kehidupannya jemaah berkenaan senstiasa mengingati den menyebut nama Allah. Beliau juga sentiasa berdoa kebaikan dan keselamatan kepada saudara seagama yang lain.


Bahagian 2
Ahli jemaah masjid itu sudah meninggal dunia.

R6: Penyajak terkenang kisah hidup jemaah. Beliau merasa kehilangan pada waktu pergi ke masjid.

R7: Malah penyajak juga merasakan ketiadaan ahli jemaah tersebut. Namun perbuatan jemaah ketika solat tetap menjadi ingatan beliau.

R8: Ketika selepas solat penyajak merindukan aktiviti jemaah yang telah pergi itu. Penyajak rindukan topi putih dan doa bekas jemaah itu. Jemaah tersebut telah kembali ke rahmatullah dan bersemadi di kubur. Ahli jemaah yang telah meninggal itu dahulunya mungkin orang ternama, ada gelaran dan berpangkat besar.

Tema sajak

Sajak ini bertemakan kemanusiaan. Penyajak merakam kisah seorang pesara tua ketika pengujung usia dan setelah beliau meninggal dunia. Pesara tua tersebut manfaatkan hujung usianya dengan beribadat di masjid dan menjaga kesihatan dengan beriadah. Sifatnya sangat mulia kerana sentiasa mendoakan kebaikan untuk seluruh saudara Islamnya. Pemergiannya sangat dirasai oleh penyajak dan sentiasa terkenangkan kisah rutin hidupnya.

Pemikiran sajak

1. Manfaatkan kehidupan kita dengan beribadat dan amal kebaikan.
Perbuatan bangun pagi dan solat berjemaah di masjid adalah amalan yang sukar bagi mereka yang tidak biasa beramal dengannya. Jika amal ini berjaya dilaksanakan, sudah tentu amalan solat di waktu yang lain telah dilakukan oleh jemaah itu.

2. Sentiasa mendoakan kebaikan untuk orang lain.
Hati manusia yang suci bersih digambarkan melalui warna putih dalam ayat penyajak. Sebaik-baik manusia adalah orang yang sentiasa mendoakan kebaikan untuk orang lain. Individu itu tiada dendam malah pemaaf orangnya.

3. Menjaga kesihatan dengan beriadah.
Kegiatan beriadah adalah salah satu ikhtiar hidup kita untuk menjaga kesihatan. Malah ia menjadi bukti kerajinan seseorang dan menjauhi sifat malas. Manusia akan lebih cergas dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti kehidupan.

4. Setiap yang hidup pasti akan mati.
Mengakui hakikat kehidupan bahawa penghujungnya adalah mati walau kita hebat menjaga kesihatan dengan bersenam. Segala aktiviti yang diusahakan merupakan ikhtiar semata-mata. Takdir Allah akan mengatasi segala-galanya. Jemaah tetap pergi apabila ajalnya telah tiba.


Pandangan Sarwajagat

Melakukan sesuatu yang bermakna di penghujung kehidupan kita.Semua orang tahu bahawa seseorang manusia tidak akan hidup kekal. Apabila mencapai umur persaraan, selalunya kita kian kuat beribadat dan cuba mengisi seluruh ruang kehidupan yang masih berbaki dengan aktiviti yang bermanfaat. Namun kita tidak boleh menolak ketentuan Ilahi bahawa manusia mempunyai umur yang terhad. Akhirnya manusia akan sampai ajalnya jua. Bagi mereka yang masih hidup tentunya akan mengenang rakan mereka yang telah pergi.Kita akan ingat jasa rakan kita malah akan mengingati kenangan indah sewaktu bersama rakan tersebut. 

3 comments:

Unknown said...

uiii na joooo

NanaQ said...

Mantap nyet

Shahrul said...

Apakah harapan penyajak dalam novel ini tolong berikan 2 ataupun 3 tuan

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...