Wednesday, July 25, 2012

922/1 Sajak Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian -Baha Zain


Sajak
Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian
Baha Zain- 2003
                         
                             i
Aku terbangun pada waktu tengah malam
membuka jendela melihat seluas alam
pernahkah engkau terbangun seperti ini?
Diganggu mimpi buruk atau gelisah rindu.

Lihatlah gelap pekat di mana-mana
nampakkah engkau di sana ada pelita?
Pada setiap jalur cahaya ada bayang-bayang
tidak pekat hitam, tapi remang-remang.

                              ii
Sepi malam melindungi engkau dari bisikan
     orang
kecuali di kiri kanan ada syaitan-syaitan
putuskanlah ke mana matamu memandang
pernahkah engkau secara sedar membuat pilihan?
masuk rongga-rongga hati nurani, sukma kalbu
     dan akal budi
atau tergoda bisikan halus ayaitan-syaitan itu.

Kita sering melihat cahaya benderang
    jauh ke depan
meskipun berdiri dalam gelap pekat atas
    tanah perkuburan
di situ kita injak keamanan dengan mencerca
    keganasan
kita laungkan suara-suara keramat seolah-olah
    kita malaikat
agama jadi alasan, jadi boneka permainan
kita benci perang, kita cinta kedamaian
   jadi slogan perjuangan
kita nyaringkan suara supaya orang tidak
   mendengar bisikan hati nuraninya sendiri,
syaitan lebih nyaring bersuara tentang erti
   keamanan
'Engkau harus kuasai mereka dengan harga
    setinggi mana pun
atas nama kemenangan, apa ertinya kedamaian
sebuah kota yang telah menjadi perebutan'.

                               iii
Perang akan memusnahkan kubu, bangunan,
    muzium, galeri dan universiti
perang telah mengoyakkan halaman-halaman
    sejarah
perang akan mencipta sejarah baru
    di halaman-halaman yang baru
sejarah baru itu hanya derap kaki askar-askar
    yang dahulu

Seorang pemimpin menumpaskan bekas-bekas
    keagungan pemimpin lama
jadi tirani apabila mencium bau wang
pernahkah engkau jadi haloba apabila mencium
   bau keuntungan?
Perang akan memusnahkan bahasa dan kesenian
   yang merumahkan kemanusiaan.

Orang lupa bahawa Islam itu agama kehidupan
untuk semua bangsa yang membenci
   persengketaan.
Pernahkah engkau terfikir bahawa engkau talah
   dipermainkan?

Sumber: Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, April 2003.


Perkataan perlu difahami

1.       Tirani = Corak pemerintahan yang zalim. Menggunakan kekuasaan sesuka hati

Maksud sajak

Rangkap 1
Perasaan penyajak yang terganggu tidur malamnya kerana mimpi buruk. Penyajak cuba mengaitkan kegelapan pekat malam yang dapat dilihat remang-remang kerana ada sedikit cahaya pelita. Secara intrinsiknya, penyajak cuba mengaitkan keadaan gelap dan cayaha remang tersebut dengan kehidupan yang sedang dihadapinya.

Rangkap 2
Persekitaran kehidupan yang dianggap gelap (sukar) menyebabkan diri rasa terasing. Namun anasir jahat seumpama syaitan sentiasa mengganggu dan menghasut diri.

Rangkap 3
Penyajak juga dapat melihat ruang cahaya yang menjadi gambaran penyelesaian masalah hidupnya yang sukar. Penyajak mendapat sokongan daripada suara-suara pejuang keamanan yang dilahat amat baik. Terdapat juga manusia yang suka menjadikan agama sebagai permainan hidup. Pejuang-pejuang keamanan melaungkan slogan cinta kedamaian. Seruan mereka supaya manusia berjuang dengan harta dan tenaga. Di atas nama “matlamat mencapai kemenangan”, maka manusia sanggup bertelingkah.

Rangkap 4
Penyajak meluahkan perasaan tentang akibat peperangan dan perbutan kuasa akan memusnahkan segalanya seperti kemusnahan pembangunan dan menutup sejarah kegemilangan negara.

Rangkap 5
Pemimpin yang berjaya merampas kuasa boleh bertindak lebih zalim kerana terpedaya dengan harta benda. Mereka akan menjadi lebih tamak dan sanggup memusnahkan tamadun manusia seperti bahasa dan kesenian.

Rangkap 6
Penyajak menegaskan tentang kepentingan agama Islam perlu diamalkan dalam kehidupan. Penyajak juga mengingatkan supaya kita berwaspada supaya tidak dipermainkan tanpa sedar.




Pemikiran sajak

1. Bandingan kegelapan malam dengan kesusahan hidup
2. Godaan anasir jahat (syaitan)supaya melakukan kejahatan
3. Sikap pura-pura – konon memperjuangkan keamanan tetapi sebenarnya membawa kemusnahan.
4. Menjadikan agama sebagai topeng
5. Manusia sanggup mati kerana berebut kuasa
6. Akibat peperangan adalah kemusnahan
7. Sikap pemimpin yang zalim


No comments:

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...