Saturday, May 18, 2013

Kepimpinan YB Mohamad Yusof dalam Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.

Kepimpinan YB Mohamad Yusof dalam Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.

Seorang wakil rakyat yang sentiasa mengambil berat terhadap masalah penduduk kampung termasuklah Kampung Lembah Tualang. Beliau sangat prihatin dengan masalah penduduk kampung yang sentiasa mengharapkan pertolongan daripada pihak yang berkenaan. Seorang yang sentiasa mengambil tahu dan mendengar luaha masalah penduduk kampung. Bersama-sama memikirkan penyelesaian masalah  dengan menhadiri pelbagai perjumpaan dan mesyuarat.

Sebagai pemimpin politik beliau juga berjaya menjadi ketua yang mampu mengendalikan majlis besar. Apabila sultan datang ke Kampung Lembah Tualang, beliau tidak ketinggalan untuk melibatkan diri secara langsung ketika persiapan majlis dilakukan. 

Beliau juga seorang yang bijak menyelesaikan masalah besar masyarakat sekitarnya. Beliau telah berusaha memastikan penduduk kampung memperolehi kemudahan kerajaan. Penduduk kampung Lembah Tualang telah diusahakan supaya mereka mendapat tanah Felda sebagai ganti kepada pengambilan tanah yang akan dijadikan lombong bijih timah.

Encik Mohamad Yusof juga berwawasan jauh dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Beliau sangat menyokong usaha encik Muhammad untuk mengusahakan sebuah kawasan perlombongan di Kampung Lembah Tualang. Beliau yakin bahawa usaha encik Muhammad akan berjaya memajukan lagi kampung yang masih mundur itu. 

Sebagai pemimpin setempat, beliau sangat prihatin sifatnya. Beliau berusahan menolong penduduk kampung yang mempunyai masalah termasuklah dalam bidang kerjaya. 




Thursday, April 11, 2013

Soalan Contoh no 4 (Pembangunan Masyarakat)

Bincangkan mobiliti sosial dalam Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, karya Keris Mas   [25]

Pendahuluan - Beri definisi frasa "mobiliti sosial" .  Kemudian kaitkan mobiliti dengan keadaan masyarakat yang membangun.


Beri 4 isi:

1. Perubahan daripada manusia biasa kepada golongan yang berada.
2. Perubahan daripada tahap pendidikan yang rendah kepada tahap pendidikan yang lebih tinggi.
3. Masyarakat yang asalnya tinggal di kampung berubah menjadi penduduk kota yang maju.
4. Keadaan masyarakat kampung yang mundur kepada keadaan yang lebih maju. 
5. Ahli masyarakat yang lebih berpengetahuan dalam bidang agama.
6. Masyarakat yang berubah dari sebuah kampung yang kurang maju kepada sebuah penempatan baru yang lebih terjamin masa depan.

Penutup - 

Kesimpulan daripada perbincangan di atas adalah........
Adalah diharapkan supaya.......
Antara saranan yang boleh diutarakan ialah.


Jawapan:


Pendahuluan

Mobiliti bermaksud satu pergerakan atau perubahan dari satu keadaan kepada satu keadaan tertentu. Sosial pula adalah merujuk kepada ahli masyarakat yang mendiami suatu penempatan. Oleh itu mobiliti sosial boleh diertikan sebagai pergerakan masyarakat daripada satu kelas sosial kepada tahap kelas sosial yang lain. Berdasarkan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, terdapat beberapa situasi yang menunjukkan bahawa masyarakat Kampung Tualang telah berubah kepada keadaan yang lebih maju dalam kehidupan mereka. Perkara ini dapat dibuktikan melalui pencapaian individu dan beberapa ahli masyarakat yang terlibat dalam watak novel tersebut.

Contoh Isi jawapan
1. Perubahan daripada manusia biasa kepada golongan yang berada atau kaya raya. Encik Muhammad telah dapat mencapai kejayaan dalam kehidupannya dan menjadi kaya raya. Pada awalnya beliau adalah manusia biasa yang berpendidikan tinggi. Beliau memilih untuk tidak bekerja dengan kerajaan dan bekerja dengan swasta. Kemudian encik Muhammad telah membuka syarikat sendiri dan menjadi usahawan yang berjaya. Beliau telah berjaya dan mempunyai kekayaan yang banyak dan mampu membesarkan saiz perniagaan beliau. Contohnya beliau telah memasuki perniagaan eksport lada hitam ke Jerman bersama-sama dengan Dato' Tan selaku rakan kongsi beliau.  Sebaliknya jika encik Muhammad tidak bertindak menjadi usahawan sudah tentu beliau tidak berjaya menjadi orang yang kaya raya. Hal ini menunjukkan bahawa suatu mobiliti sosial telah berlaku dimana encik Muhammad telah berubah menjadi kaya raya iaitu satu tahap pencapaian kelas sosial yang lebih tinggi.

2. Perubahan daripada tahap pendidikan yang rendah kepada tahap pendidikan yang lebih tinggi. Encik Muhammad dan anaknya Rahim adalah antara individu yang berjaya mencapai tahap pendidikan yang tinggi. Begitu juga rakan Rahim iaitu Robert yang berjaya dalam bidang kejuruteraan. Pencapaian tinggi dalam bidang pendidikan ini adalah satu bentuk mobiliti sosial yang sangat positif. Perkara ini adalah salah satu kemajuan masyarakat yang dikehendaki oleh ramai orang. Jika ramai manusia berpendidikan tinggi, maka sesebuah masyarakat itu dianggap telah maju dan membangun. Rahim telah mampu menjadi insan yang berpendirian teguh dan mempunyai prinsip hidup. beliau juga berani memberikan teguran dan cadangan kepada bapanya tentang projek lombong di Kampung Tualang. Jika ahli masyarakat tidak dididik sehingga peringkat tinggi, mungkin golongan pemikir seperti Rahim akan berkurangan. Oleh itu wajarlah masyarakat digalakkan supaya mencapai pendidikan yang lebih tinggi berbanding pencapaian sedia ada. Perubahan ini adalah salah satu bentuk mobiliti yang positif bagi pembangunan masyarakat.

3. Masyarakat yang asalnya tinggal di kampung berubah menjadi penduduk kota yang maju.

4. Keadaan masyarakat kampung yang mundur kepada keadaan yang lebih maju. 



5. Ahli masyarakat yang lebih berpengetahuan dalam bidang agama.


6. Masyarakat yang berubah dari sebuah kampung yang kurang maju kepada sebuah penempatan baru yang lebih terjamin masa depan.

Wednesday, April 3, 2013

Teruskan Semangat Juang Anda

Kepada pengunjung laman ini terutamanya para pelajar Pra Universiti Tingkatan Enam. Mungkin anda sedang termenung mengenangkan keputusan peperiksaan STPM penggal 1 yang lalu. Anda semua jangan kecewa atau gundah dengan apa yang telah anda capai. Anda masih berpeluang memperbaiki prestasi yang kurang memuaskan. Penggal 1 hanyalah sebahagian daripada proses penilaian dan anda masih berpeluang memperbaikinya dengan mengulang peperiksaan berkenaan. Pastikan anda memandang ke hadapan dan cuba membaiki pencapaian dalam peperiksaan penggal 2 dan 3. Seterusnya, anda perlu siapkan tugasan kertas KMK dengan baik dengan memenuhi keperluan penilaian. Berhubunglah selalu dengan guru anda. Saya yakin guru anda sanggup membantu anda dan tidak ada kerahsiaan dalam pemberian markah. Jika anda buat tugasan dengan lengkap, anda tetap akan dapat apa yang anda inginkan. Selamat berjaya. kata pepatah arab "Man jadda wa jada".....siapa yang berusaha dia akan dapat apa yang telah diusahakan. Jangan buang masa berada di tingkatan enam tanpa pencapaian yang baik.

Wednesday, March 6, 2013

Soalan latihan : Kepentingan ilmu


Ilmu merupakan asas penting dalam pembangunan insan. Berdasarkan watak Encik Muhammad dalam teks Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, bincangkan sejauhmanakah ilmu telah berjaya memartabatkan Encik Muhammad.                                                                                                                             [25]

Pengenalan
Encik Muhammad adalah seorang ahli perniagaan. Mempunyai syarikat besar Serba Dagang Sendirian Berhad. Sudah berkeluarga dan isteri beliau ialah Cik Puan Tipah. 
      
- Memperolehi pengiktirafan tertinggi dengan mendapat ijazah daripada universiti luar negara
- Berjaya sebagai seorang ahli perniagaan dan mampu mempunyai perniagaan sendiri.
- Dikenali ramai ahli perniagaan di Kuala Lumpur.
- Dihormati penduduk kampung sebagai seorang insan yang terpelajar.
- Diiktiraf oleh ahli politik sebagai orang penting dalam pembangunan Kampung Tualang.


Penutup.
Kemampuan Encik Muhammad dalam menguruskan perniagaannya adalah bukti kejayaan beliau dalam kehidupan kerana dirinya mempunyai ilmu yang tinggi. Tanpa ilmu yang tinggi mungkin beliau akan gagal dalam kegiatan perniagaannya. Usaha menuntut ilmu sehingga peringkat tertinggi seharusnya diikuti oleh generasi muda kerana ilmu mampu membantu seseorang insan untuk mencapai kejayaan dalam hidup.
      




Friday, February 22, 2013

Pembangunan Negara: Ekonomi

Sub tajuk perbincangan hendaklah menjurus kepada aspek di bawah:
-Pertanian
-Keusahawanan
-Perdagangan.

Ekonomi merupakan ilmu yang mengkaji bagaimana manusia mengagihkan sumber-sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhi kehendak-kehendak manusia yang tidak terhad

Sumber ekonomi merupakan faktor-faktor pengeluaran yang diperlukan untuk mengeluarkan barang-barang dan perkhidmatan. Ia terdiri daripada buruh, tanah, modal dan usahawan. Sumber ekonomi adalah terhad penawarannya.

Kehendak manusia pula bermaksud ialah keinginan individu terhadap barangan dan perkhidmatan yang tidak terhad kehendaknya. 


Pembicaraan tentang ekonomi ini perlu dihubungkaitkan dengan faktor-faktor pengeluaran berkenaan dan segala perkara yang berkaitan yang dilihat dalam teks STPM.


Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)

Kegiatan ekonomi yang penting bagi teks Sulalatus Salatin dikaitkan dengan kegiatan pertanian. Bukit Siguntang adalah kawasan perhumaan yang menggambarkan wujud kegiatan pertanian dan cita masyarakat setempat yang ingin kaya raya punya emas segala. Lalu anganan para penduduk yang ingin kaya raya itu diimaginasikan melalui cerita ajaib dengan harapan menjadi kenyataan. Kedatangan keturunan raja Melaka dikatakan telah mengubah tanaman berkenaan iaitu pokok padi berbuah emas, berdaun perak dan berbatangkan suasa.

Sejarah Melayu juga telah mengemukakan aspek ekonomi lampau yang menjurus kepada sistem ekonomi sara diri sebagaimana yang digambarkan dalam cerita Badang. Badang digambarkan sebagai seorang penangkap ikan yang berperang dengan unsur alam termasuk unsur ghaib seperti hantu. Persoalan tentang kaedah untuk mendapat sumber pendapatan ini ditunjukkan bagaimana Badang menggunakan lukah untuk menangkap ikan. Namun lukahnya sering tidak berhasil dan rosak kerana ada faktor halangan yang diungkap melalui kehadiran seekor hantu. 

Berikutan diri Badang yang semakin kuat kudratnya, kegiatan ekonominya bertukar menjadi seorang yang mampu membersihkan kebun dan hutan. Lalu sebahagian masyarakat memanfaatkan kemampuan Badang yang perkasa untuk tujuan aktiviti pertanian mereka. Kekuatan Badang juga adalah gambaran cita-cita masyarakat pada masa itu yang mengharapkan teknologi tertentu yang memudahkan kerja seharian mereka dengan mengimaginasikan Badang menjadi kuat kerana makan muntah hantu. Jika dilihat pada masa kini, Badang yang dimaksudkan kini adalah sebuah jentera berat yang juga mampu melakukan kerja dengan mudah dan pantas. 


Badang adalah sumber manusia yang lebih dikenali sebagai buruh dalam istilah ekonomi. Dia adalah pekerja yang berkesan kerana sifatnya yang rajin. Malah Badang juga adalah pekerja yang sangat produktif kerana kuat bekerja dan mempunyai kekuatan. Sebagai sumber ekonomi yang penting, Badang telah menyubangkan sesuatu yang bermakna demi kemajuan sesebuah penempatan iaitu di negara Singapura. Sekiranya seorang yang bernama Badang mampu memberikan sumbangannya dengan maksimum, sudah tentu jika wujud ramai orang seperti Badang, sesebuah negara akan terus maju dan lebih makmur. Jika keadaan berlaku sebaliknya, kemungkinan yang akan berlaku juga menjadi sebaliknya. Negara akan mundur dan tidak mampu menjana pendapatan negara yang lebih tinggi kerana masyarakatnya malas dan bersifat lemah.


Terdapat juga unsur ekonomi yang berkait dengan perniagaan yang dapat dibuktikan melalui aktiviti pedagang Arab yang datang berniaga di Melaka dan pada masa yang sama mengembangkan agama Islam. Usaha golongan peniaga yang datang ke Melaka bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan para pedagang, malah ia akan mampu memberikan peluang kepada penduduk tempatan dari sudut memenuhi keperluan hidup samada dalam bentuk barangan ataupun perkhidmatan. Jika orang Melaka ingin mendapatkan pakaian, maka para pedagang akan dapat memenuhi kehendak mereka. Jika Melaka memerlukan sejumlah barangan yang lebih banyak, maka kegiatan import perlu dilakukan. Hal ini telah dilakukan oleh Sultan Mahmud, di mana beliau telah mengarahkan Hang Nadim supaya membeli kain di India. Hang Nadim telah diminta membeli 40 jenis kain dengan 40 warna. Setiap jenis kain pula mengandungi mengandungi 40 corak. Malangnya usaha terebut tidak berjaya, kerana kapal Hang Nadim telah tenggelam dipukul ribut.

Perkataan "mengenali dagang dan santeri" adalah menggambarkan betapa pembesar negara amat menjaga kepentingan golongan peniaga. Golongan peniaga dianggap sebagai sangat penting kerana mereka menyumbang kepada pendapatan negara. Banyak golongan berkepentingan (stakeholder) yang mengharapkan sumbangan kekayaan peniaga. Namun malangnya keadaan menjadi tidak terkawal dan wujudlah rasuah dan pembunuhan. Hal ini boleh memberi kesan kepada kejatuhan negara seperti Melaka. Oleh itu negara kita juga harus menghindarkan diri dari rasuah kerana ia boleh mengundang kepada salah satu sebab kejatuhan negara.




Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

Selaras dengan isu ekonomi tahun 70an dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur pula secara jelas mengungkapkan aspek ekonomi moden yang menjurus kepada latar zaman novel tersebut dihasilkan. Isu tentang pengurusan sumber yang terhad seperti tanah lombong adalah menjadi salah satu persoalan novel ini. Pembukaan lombong tidak semudah kata-kata. Ia perlu dirancang dengan baik dari semua aspek samada dari sudut manusia, alam dan kepentingan-kepentingan lain.  Lalu timbul pelbagai konflik yang menyentuh jiwa nurani masyarakat. 

Juga terdapat aspek kegiatan pertanian berskala kecil seperti tanaman bunga orkid. Kegiatan ekonomi harus bermula dengan kegiatan kecil-kecilan (skala kecil). Jika aktiviti itu berdaya maju, mungkin ia boleh diperbesarkan. Sifat keusahawanan yang ada pada diri cik Puan Tipah, belum cukup untuk mencipta kejayaan. Terdapat banyak halangan dan dugaan yang menyebabkan kegagalan berlaku. Kebunnya telah dirosakkan oleh pihak yang dengki dan iri hati.  Perkara seperti ini mungkin menjadi sebab kepada kegagalan untuk menyumbang kepada pembangunan negara kerana produktiviti tidak dapat dihasilkan.

Pengagihan sumber ekonomi pula dijelaskan melalui kegiatan perdagangan sehingga kepada kegiatan eksport ke luar negara. Perniagaan ini mempunyai skala yang lebih besar berbanding tanaman orkit cik Puan Tipah. Rancangan encik Muhammad dan Datok Tan (Tan Chong Seng) mengeksport lada hitam ke luar negara adalah bukti kegiatan ekonomi yang terdapat dalam novel ini. Proses ini berkait rapat dengan konsep usahasama di antara rakan kongsi yang mempunyai banyak pengalaman. Sumbangan ekonomi seperti ini tentu memberi kesan yang lebih signifikan kepada pembangunan sesebuah negara. 

Semua kegiatan ekonomi yang telah dibincangkan sebenarnya memberi gambaran tentang kepentingannya kepada pembangunan negara. Hal ini adalah kerana ia berkait rapat dengan produktiviti negara dan seterusnya menyumbang kepada pendapatan negara yang besar. Realiti negara pada masa kini bahawa kegiatan pertanian seperti padi dan kelapa tetap menjadi pilihan utama kerana ia adalah sumber makanan negara.Pada masa yang sama kegiatan eksport dan import terus berjalan dengan baik.

Perpindahan ke Felda adalah salah satu proses penstrukturan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Hal ini berkait rapat dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada masa novel ini dikarang. Aspek ini adalah hujah kuat yang menggambarkan tentang tema ekonomi novel ini. Gambaran ini adalah sala satu cara memanfaatkan sumber-sumber seperti manusia dan tanah. Ketika tanah lombong kurang subur kawasannya, maka tanah baru di felda lebih signifikan(penting). Tanah di Kampung Tualang lebih sesuai untuk aktiviti perlombongan berbanding pertanian.

Kegiatan ekonomi paling hangat dibincangkan ialah kegiatan perlombongan bijih timah. Usaha ini telah giat dilakukan oleh encik Muhammad dan pihak-pihak lain yang berkepentingan. Sementara itu ada pihak yang menyokong dengan syarat aspek ekonomi perlu diseimbangkan dengan keperluan akhirat.





Tuesday, February 5, 2013

Pembangunan Negara: Politik


3.1 Politik


Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain (wikipedia)

Kamus Dewan edisi ke-4 terbitan 2005 mendefinisikan politik sebagai ilmu pengetahuan berkenaan cara atau dasar-dasar pemerintahan. Ia juga dipanggil ilmu siasah (berasal daripada bahasa Arab) atau ilmu kenegaraan. 

Kajian buku Sejarah Melayu dan SBDKL dalah bersesuaian dengan pendapat yang mengaitkan politik juga wujud dalam sektor korporat, agama dan institusi seperti institusi pemerintahan beraja (feudal). Kajian harus menjurus kepada sistuasi penceritaan karya sastera yang dihasilkan dan mampu diterjemahkan kepada kehidupan masa kini.

3.1.1 Kepimpinan. (Calon seharusnya mampu menghuraikan kepelbagaian gaya kepimpinan dalam pembangunan negara)

Pemimpin merupakan individu yang boleh memberi pengaruh kepada individu yang lain di dalam suatu pertubuhan. Sesuatu yang menarik dalam kepimpinan adalah kewujudan pemimpin yang berada dalam organisasi yang mempunyai struktur yang tersendiri dengan mewujudkan hubungan pemimpin dan pengikut bagi mencapai kecemerlangan. Pencapaian yang cemerlang di dalam sesuatu organisasi memerlukan langkah-langkah atau aktiviti-aktiviti yang di rancang oleh pemimpin bagi mendorong pengikutnya meningkat tekat dan keazaman ke arah kecemerlangan organisasi tersebut. Oleh itu, usaha ke arah penyatuan aktiviti sesebuah organisasi bergantung besar kepada kepintaran seseorang pemimpin. Sebagai contoh, seseorang yang membawa beg plastik semasa berkunjung ke pasar terpaksa membimbit dengan bijak agar tidak ada satu barang pun yang dibeli tercicir, beg plastik seperti suatu organisasi ataupun pekerja-pekerja di bawah pangawasan seorang pemimpin

Menurut Kamus Dewan(1989), kepimpinan bermaksud keupayaan memimpin. Mengikut Certo (1997), kepimpinan ialah satu proses pengarahan tingkah laku orang lain ke arah penyempurnaan sesuatu objektif. Pengarahan bermaksud seseorang individu bertindak mengikut cara tertentu atau mengikut sesuatu seperti polisi, organisasi, tatacara dan deskripsi kerja. 



Fleishman menyatakan: ‘Kepimpinan adalah usaha ke arah pengaruh antara perseorangan yang diarahkan melalui proses komunikasi, ke arah pencapaian matlamat atau beberapa matlamat’ (1973:3).
 
Tannenbaum, Weschler dan Massarik (1961) juga memberi definisi yang hampir sama. Bagi Fiedler pula, kepimpinan adalah :......kepimpinan adalah usaha ke arah pengaruh antara perseorangan dimana kuasa dan pengaruh diagihkan secara tidak sama rata sehingga seorang individu boleh mengarah dan mengawal tindakan-tindakan orang lain lebih daripada kawalan mereka ke atas induvidu itu’(1967: 11).



Gaya kepimpinan.

Berdasarkan ilmu pengurusan, gaya kepimpinan terkenal dengan tiga gaya iaitu autokratik, demokratik dan laissez faire (kebebasan). Namun terdapat gaya kepimpinan yang lain yang mungkin bersesuaian dengan ilmu kaji sosial sebagaimana dalam sejarah melayu dan novel SBDKL.



Gaya kepimpinan dalam kajian Fiedler adalah hubungan peribadi apabila seseorang mengarah, menyelaras dan menyelia orang lain dalam pelaksanaan tugas bersama. Pemimpin mengurus kelompok dengan salah satu cara memberitahu orang apa yang hendak dibuat dan bagaimana hendak membuatnya atau berkongsi tanggungjawab kepimpinan dengan anggota-anggota kelompok dan melibatkan mereka dalam perancangan pelaksanaan tugas. Fiedler tidak menafikan terdapat berbagai-bagai gaya antara kedua-dua gaya kepimpinan ini tetapi asasnya ialah kerja-kerja memotivasi dan menyelaraskan ahli kelompok dilakukan dengan dua gaya kepimpinan ini. Gaya ini boleh difahami daripada cara seseorang menilai rakan sekerjanya yang paling tidak disukainya (LTC). Pertama dipanggil LPC-rendah dan kedua LPC-tinggi (Aminuddin Mohd. Yusof 1994:14).

Gagasan teori kepimpinan ini mempunyai akarnya dalam teori hubungan antara perseorangan. Dalam kajian asalnya yang memeriksa hubungan antara ahli terapi dengan pelanggannya, Fiedler mendapati ahli terapi yang baik reputasinya cenderung menghuraikan pesakitnya sebagai sama dengan dirinya. Sementara yang tidak baik reputasinya menghuraikan pesakit tidak sama dengan dirinya. Ukuran ini, yang dipanggil persamaan andaian (Assumed Similarity A.S.) (Aminuddin Mohd. Yusof 1994:14).






Kepimpinan dalam Sejarah Melayu

Kita perlu melihat pemimpin dan gaya kepimpinanan yang ada pada diri setiap raja dan sultan sebagaimana yang terdapat dalam buku Sejarah Melayu.Secara keseluruhannya sistem feudal memang mengamalkan gaya autokratik kerana semua kuasa dipusatkan kepada seorang ketua yang digelar raja atau sultan.

Proses mempengaruhi ahli masyarakat dan kumpulan tertentu adalah melibatkan gaya kepimpinan. Sejarah Melayu dilihat mempunyai kepentingan ini melalui beberapa peristiwa penting yang terdapat di dalamnya yang melibatkan pelbagai peringkat pemimpin terutamanya golongan raja atau sultan.

Sultan Muzaffar Syah terkenal sebagai pemimpin yang berdedikasi dan sanggup berkorban apa sahaja demi negara. Beliau sanggup menceraikan isterinya Tun Kudu demi memastikan Melaka dapat mencapai kesejahteeraan dan keamanan. Beliau sangat mengenali bakat kepimpinan di kalangan rakyat sebagaimana tindakan baginda melantik Bendahara Paduka Raja Tun Perak.

Sultan Mansyur Syah adalah sultan yang lebih bertolak ansur sekalipun masih dianggap atokratik. Dalam peristiwa pembunuhan Tun Besar anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak oleh Raja Muhammad dalam peristiwa sepak raga, baginda sedia mendengar cadangan pihak rakyat. Akhirnya Raja Muhammad tidak dirajakan di Melaka tetapi dihantar ke Pahang (Inderapura) dan menjadi raja di sana.

Sultan Alaudin Riayat Shah dikenali sebagai sultan yang berjiwa rakyat kerana sanggup menyelami hati nurani rakyat. Beliau sanggup keluar pada waktu malam untuk menangkap pencuri. Gaya kepimpinan beliau boleh diibaratkan kepimpinan melalui tauladan.





Kemudian cuba kita selidiki pula gaya kepimpinan ketua-ketua masyarakat dan ketua pengurusan perniagaan yang wujud dalam novel SBDKL.




3.1.2 Nasionalisme


Nasionalisme adalah satu ideologi yang mencipta dan mempertahankan kedaulatan sesebuah negara (dalam bahasa Inggeris "nation") dengan mewujudkan satu konsep identiti bersama untuk sekumpulan manusia.

Para nasionalis menganggap negara adalah berdasarkan beberapa "kesahihan politik" (political legitimacy). Ia berpunca dari teori romantisme iaitu "identiti budaya", hujah liberalisme yang menganggap kesahihan politik adalah berpunca dari kehendak rakyat, atau gabungan kedua-dua teori.

Dalam zaman moden ini, nasionalisme merujuk kepada amalan politik dan ketenteraan yang berlandaskan nasionalisme secara etnik serta keagamaan. Para saintis politik biasanya menumpukan penyelidikan mereka kepada nasionalisme yang ekstrim seperti nasional sosialisme, pengasingan dan sebagainya.

Aspek nasionalisme yang diketengahkan dalam teks Sejarah Melayu dan SBDKL adalah menjurus kepada aspek sosial yang jauh daripada faktor-faktor ekstrim yang menjadi kajian golongan sains politik. Oleh itu kajian tentang kegiatan kemasyarakatan yang menjurus kepada memenuhi tanggungjawab kepada negara boleh dikaitkan dengan nasionalisme atau cintakan negara. Kecintaan negara tidak hanya menjurus kepada kekuatan tentera yang mampu mengangkat senjata menentang musuh negara semata-mata.


Nasionalisme dalam Sejarah Melayu

1.Mempertahankan negara daripada serangan musuh.

Negara Siam adalah negara yang sering mengancam Melaka dalah negara Siam melalui beberapa siri peperangan. Pada peringkat awal, seorang nasionalisme yang berjawatan penghulu di Kelang telah berusaha dengan gigih mempertahankan Melaka daripada serangan berkenaan. Kemudia diikuti dengan beberapa siri serangan yang lain yang memaksa rakyat Melaka tidak tidur malam berjaga bagi memastikan Melaka terselamat daripada serangan musuh. Iktibar daripada kejadian ini adalah semangat nasionalisme yang telah ditunjukkan oleh rakyat Melaka yang sanggup berjuang demi negara.


2. Membina nama baik negara melalui hubungan diplomatik.

Zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah adalah satu zaman yang memerikan kisah hubungan diplomatik dengan empat negara iaitu Sulawesi, Siam, Majapahit dan China. Walaupun terdapat unsur anakronisme dalam hubungan Melaka dengan Majapahit, namun teknik penulisan Tun Sri Lanang ini juga adalah gambaran semangat cinta beliau kepada negara. Semua wakil diplomat yang diutuskan telah membawa nama baik negara bagi memastikan Melaka sentiasa agung dan dihormati. Sebaliknya jika aspek ini tidak ditimbulkan, tentu tujuan penceritaan Sejarah Melayu tidak akan sampai maksudnya. Melaka telah digambarkan sebagai sangat kaya, pemurah dan bijaksana ketika menjalin hubungan dengan China. Malah ketika dengan Siam, kelihatan Melaka amat hebat dari segi peperangan dan dapat membuktikan bahawa Melaka memang wajar menang pada setiap kali berperang dengan Siam.


3. Mempertahankan jajahan takluk negara.

Melaka mempunyai banyak tanah jajahan seperti Pahang, Terengganu, Kelantan, Riau, Siak, Kampar, Haru dan sebagainya. Apabila terdapat pertelingkahan dan masalah di negari jajahan, maka beberapa orang penting Melaka telah dihantar untuk menyelesaikan masalah. Segala masalah yang dihadapi telah diselesaikan dengan bijaksana oleh sultan dan para pembesar Melaka.


4. Taat setia kepada raja dan negara.

Cinta kepada negara juga digambarkan dengan sikap dan tingkahlaku rakyat Melaka. Mereka sangat setia kepada raja dan negaranya. Keseluruhan rakyat Melaka amat patuh kepada arahan sultan. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi raja dan negara. Namun jika amalan telah berlaku sebaliknya, negara akan mengalami masalah dan menuju kehancuran. Hal ini telah berlaku pada penghujung pemerintahan Melaka dimana rakyat kurang taat, tidak menghormati raja dan melakukan rasuah. pengkhianatan terhadap negara seperti ini telah menyebabkan semangat cinta kepada negara hilang dan akhirnya Melaka kalah kepada tentera luar seperti Portugis.



3.1.3 Peraturan dan undang-undang.

Kehidupan manusia perlu dikawal dengan peraturan dan undang-undang samada dalam bentuk bertulis atau termaktub secara turun temurun melalui satu kepercayaan yang tinggi terhadap keluhuran undang-undang yang telah dipersetujui bersama. Setiap ahli masyarakat akan terikat dengan undang-undang yang telah dipersetujui dan dianggap telah menderhaka atau melanggar perjanjian jika mengingkarinya.


1. Sejarah Melayu meletakkan asas perundangan tertinggi dikaitkan dengan perjanjian atau waad antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana (Nila Utama). Isi perjanjian itu dijelaskan dalam halaman 25.

2. Kemudian apabila kerajaan melayu Melaka ditubuhkan dan agama Islam sampai ke Melaka, telah ditetapkan beberapa aturan dan larangan sebagaimana yang terdapat pada halaman 74. Pada halaman 75 pula dijelaskan tentang pelbagai adat isitiadat sehigga halaman 80.


3. Apabila Sultan Muzaffar Syah menaiki takhta, baginda telah menyuruh membuat kitab undang-undang sebagaimana pada halaman 86 hingga 87 seperti berikut:

      Sebermula adalah Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan itu, terlalu baik budi pekerti baginda dengan adilnya dan murah serta ampun periksa dengan saksama pada mengasihani rakyat baginda; dan bagindalah menyuruhkan membuat kitab undang-undang supaya jangan bersalahan lagi segala hukum menteri.








Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur ............telah meletakkan asas perundangan sebagai salah satu proses membuat keputusan.









Sunday, February 3, 2013

KMK 922/2 Bahagian C: Pembangunan Negara

3.0 Bahagian C ini ada mempunyai dua komponen pembelajaran.  Skop pembelajaran tentunya menjurus terus kepada aspek pembangunan sesebuah negara berdasarkan kepada dua teks STPM yang telah dicadangkan. Para pelajar dikehendaki menjawab satu daripada dua soalan yang akan dikemukakan. Sila ikuti penerangan setiap pecahan tajuk pada post-post berikutnya. 


Dua komponen pembelajaran tersebut ialah:

3.1  Politik. 
Tajuk ini terdapat tiga sub tajuk iaitu:
3.1.1 Kepimpinan
3.1.2 Nasionalisme
3.1.3 Peraturan dan undang-undang


3.2 Ekonomi.
Tajuk ini terdapat tiga sub tajuk iaitu:
3.2.1 Pertanian
3.2.2 Usahawan
3.2.3 Perdagangan.