Abdul Ghafar Ibrahim
Dewan Sastera 2001
Pahlawan ialah warga yang mengalirkan keringat
demi menyuburkan ladang negara sayang
Pahlawan ialah warga yang menitiskan darah
demi menghidupkan simfoni negara berbilang.
Dialah pahlawan yang mengumpulkan tenaga
siap sedia
atas nama negara yang tidak dibiarkan leka
Dialah pahlawan yang menghimpunkan setia
tahan uji
atas nama negara yang tak dibiarkan mati.
Siang-siang berjaga-jaga kerana tak rela
masa depan bangsanya lena
Malam-malam waspada kerana tak sanggup
peluang bangsanya tertutup.
Khidmat cemerlangnya mengapung
pada permukaan bahang puji dan keji
Semangat wajarnya kental membara
di udara kaji dan uji.
Mentari waktu menyambar kasih sayangnya
pada keluarga semasa bertugas jauh
Bulan masa merebut tidurnya
dari sisi dikasihi oleh jadual cemas.
Dialah laskar pelindung kota penyokong desa
warga yang tekadnya disimpulmatikan
oleh jawapan sejahtera aman
dialah nadi ketahanan industri
teknologi kembangan
memikul amanah tak berkesudahan
demi mencari jawawapan makmur raya.
Tubuhnya perisai tembus peluru.
Boom-bom-boom-bamm
dia tak gentar
Tum-tam-tum-tammm
dia tunggu
Tret-tet-tret-tett
dia terus maju.
Baktinya bunga harum warna-warni
dia tak peduli
dia tak terpegun
dia terus tugas tekun.
Sebagai warga bangga bermaruah
dia terus gemakan gunung hasrat:
Selamatkan negara
Besar bangsa
Pelihara agama
Daulat bahasa
Cemerlang budaya
Kerana dialah anak watan pewaris keselamatan
Kerana dialah kelompok rakyat
pengunjung amanat
yang bersandar pada sinar takwa
yang pernah mengalami erti sengsara.
Cedera di bukit
tangis di laut
jerit di udara
tempang di sempadan
buta di ladang
emas di sungai
lesu di sawah
parah di lembah
Yang menjadikan kematian bukti hidupnya
pahlawan
bukti zaman yang pernah dilindungi
zaman yang menjadi saksi
kepada nilai kemanusiaan yang megah
dipertahankan.
Sumber: Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Ogos 2001.
Maksud Sajak
Rangkap 1
Penyajak memberi erti kepada seorang pahlawan.
Pahlawan adalah mereka yang sering berusaha untuk menjaga negara. Pahlawan juga adalah
orang yang sanggup berkorban demi negara.
Rangkap 2
Pahlawan sentiasa bersedia berkhidmat dan tidak
lalai dengan tugasnya. Pahlawan juga perlu taat dan tabah berjuang demi negara.
Rangkap 3
Pahlawan perlu bersiap sedia tak kira waktu malam
atau siang demi memberi peluang kesenangan kepada anak bangsanya.
Rangkap 4
Khidmat pahlawan sentiasa adalah terbuka untuk menerima pujian dan
cacian. Pahlawan perlu tahan cabaran.
Rangkap 5
Pahlawan sanggup berkorban masa meninggalkan jauh
keluaga tersayang. Malah berkorban waktu rehat dengan jadual tugas yang bahaya.
Rangkap 6
Pahlawan adalah askar yang melindungi kota dan
desa yang penduduknya hanya tahu aman sentosa. Segala usaha ke arah
kesejahteraan ekonomi negara tertakluk kepada khidmat pahlawan negara.
Rangkap 7
Pahlawan adalah seorang yang snaggup meredah segala
mara bahaya untuk maju ke hadapan.
Rangkap 8
Pahlawan tidak mementingkan kesenangan diri. Dia
akan terus berjuang hingga mencapai matlamat.
Rangkap 9
Kerana pahlawanlah, kita mampu menjaga negara
sendiri. Kerana pahlawan, kita menjadi orang yang menerima amanat. Kerana
pengorbanan pahlawan, kita dapat meningkatkan taqwa kepada Allah. Kerana
pahlawan juga, kita memahami erti kesusahan.
Rangkap 10
Pahlawan sanggup menanggung derita dan kesusahan di mana sahaja sama ada di bukit, laut atau udara. Semua yang dilakukan adalah demi menjaga keselamatan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Rangkap 11
Segala kesusahan itu menjadi lumrah bagi pahlawan.
Mereka sentiasa terdedah kepada bahaya.
Rangkap 12
Pahlawan menjadikan korban diri sebagai bukti
kepada perjuangannya. Mereka menjadi bukti kepada zaman ketika negara sedang
diancam musuh.
Siapakah pahlawan?
Berdasarkan konteks ayat dan kata-kata dalam sajak ini, pahlawan adalah terdiri daripada mereka yang berkhidmat untuk negara yang berpakaian uniform tertentu yang meliputi angkatan tentera, polis, rela. Perkara ini adalah berdasarkan konteks sajak yang dikarang oleh Abdul Ghafar Ibrahim yang mendapat idea menulis sajak ketika sambutan Hari Kemerdekaan Negara. Dalam sambutan berkenaan, penulis telah menyaksikan perarakan pasukan yang memakai pakaian uniform tertentu temasuklah angkatan tentera.
Namun kefahaman terhadap sajak ini boleh juga difahami secara tersirat yang menjurus kepada sesiapa sahaja yang kita anggap seumpama pahlawan.
No comments:
Post a Comment