Monday, July 23, 2012

922/1 Menduduki Rumah Baru


Menduduki Rumah Baru

Bismi’llahi ‘l-Rahmani ‘I-Rahim
Tepung tawar tepung jati
Ketiga dengan tepung kedangsa
Jika boleh kehendak hati
Jangan sakit jangan mati
Jangan cela jangan binasa
Jangan punah jangan ranah
Tepung tawar tepung jati
Ketiga dengan tepung kedangsa
Naik emas berkati-kati
Naik orang beribu laksa
Tepung tawar semula jadi
Barangku citaku perolehi
Berkat di pengajaran guruku
Allah menawar, Muhammad menjampi
Dengan berkat doa
La ilaha ‘illallah, Muhammad Rasulullah

Sumber : Ulit Mayang: Kumpulan Mantera Melayu, Haron Daud, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004.


Jenis Puisi : Mantera

Sumber wikipedia:

Istilah mantera berasal daripada kata mantramantr, atau matar, dalam Bahasa Sanskrit yang bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan kata-kata tertentu bagi memperolehi sesuatu yang dihajatkan yang mempunyai kesamaan dengan jampiserapah, tawar, sembuh, cuca, puja, dan takal. Keakraban masyarakat Melayu silam dengan alam sekitar mendorong kepada timbulnya kepercayaan-kepercayaan bahawa alam sekitar mempunyai pengaruh dan kuasa yang menentukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Kepercayaan ini berkait rapat dengan pengaruh animisme yang diwarisi secara turun-temurun. Dari situ timbullah unsur-unsur kuasa magis seperti semangat dan roh yang dianggap sebagai memberi kesan kepada sesuatu perkara yang dihajati secara langsung kepada unsur-unsur magis tersebut. Pawang atau bomoh adalah ahli-ahli penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan nadairama, dan tekanan suara yang tertentu sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati.
Mantera tergolong dalam kelompok puisi, kerana pengucapan dalam bentuk mantera menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai makna yang tersirat, bahasa yang padat puitis. Mantera boleh digolongkan sebagai sejenia puisi Melayu tradisional berbentuk bebas, kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-satu rangkap, manakala rima askihrnya pula tidak tetap.



Mantera dikatakan sebagai salah satu sastera lisan yang mempunyai kekuatan ghaib. Masyarakat melayu sering menjadikan amalan membaca jampi serapah sebagai salah satu upacara ketika mereka berpindah ke rumah baru. Sebelum memulakan kerja di tapak rumah baru mereka akan membaca mantera tertentu. Kemudian apabila rumah sudah siap dan hendak diduduki, mantera seperti puisi di atas akan dibacakan dalam satu upacara khas “menduduki rumah baru”.


Pembukaan mantera.
Dimulakan dengan bacaan menyebut nama Allah dan ditutup dengan nama Allah dan rasul. Bacaan Bismillah menandakan permulaan majlis dan mengharap kemurahan dan kasih sayang Allah.

Permintaan dan doa
Sesudah menyebut nama Allah, mantera di atas diikuti dengan permintaan dan doa agar penduduk rumah baru tidak mendapat kecelakaan dan kesusahan. Pembaca mantera juga berharap agar rumah yang diduduki akan sentiasa dikunjungi ramai dan penghuninya memperolehi kekayaan.

Alatan dan perkakasan
Biasanya mantera akan disertakan dengan alatan dan perkakasan sebagai satu bentuk upacara menepung tawar. Perkakasan tersebut ialah seperti tepung, beras kunyit, air mawar dan sebagainya. Maka ketika membaca mantera akan diikuti dengan upacara menepung tawar.

Penutup mantera
Sebelum kedatangan Islam, mantera akan ditutup dengan menyeru nama mengikut kepercayaan masyarakat setempat seperti dewa dan lain-lain. Namun setelah kedatangan Islam, penutup mantera akan disebut nama nabi dan nama Allah. Mantera di atas sudah dipengaruhi dengan unsur Islam bagi menggantikan sistem kepercayaan yang mereka anuti sebelumnya kerana pengamalnya sudah beragama Islam.





1 comment:

me said...

Izin copy mantera ya

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...