Ahmad Sarju
Keris itu masih ditanganmu
untuk menyambung perjuangan
yang sewaktu-waktunya engkau terpaksa mengalah
hati terhiris luka
suara terpaksa membisu
diam mematahkan fitnah
berlembut mencari hikmah
Jika terlalu pahit kaurasi
kembalilah kepada realiti
perjuangan itu pasti ada ranjau durinya
perjuangan itu pasti ada liku-likunya
perjuangan itu pasti ada pahit getirnya
perjuangan itu pasti ada rebah bangunnya
jika genting janganlah kauputuskan
jika tegang janganlah kaurentapkan
jika retak janganlah kauhancurkan
jika putus janganlah kuahanyutkan
jika bocor janganlah kaukaramkan
Ketika kini engkau teruji erti ketabahan
setia seorang musuh tikaman seorang sahabat
jujur seorang seteru fitnah seorang kerabat
kerana sewaktu-waktunya
yang diam mentertawakan kita
yang mengangguk membenci kita
yang berpura-pura rajin bersuara
yang menetang menjadi sahabat
yang bijak merendah suara
yang berhemah memanjatkan doa
yang setia rela mengorbankan dirinya
Keris itu masih di tanganmu
untuk menyambung perjuangan
setelah engkau menjahit dengan ketajamannya
seharusnya engkau telah belajar dan mahir
menepis tikaman mencemburui persahabatan
kerana yang mengatur kejatuhan
bukanlah musuh tetapi muslihat seorang teman.
Sumber: Dewan budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Oktober 2000
Maksud Sajak
Keris = perlambangan tentang kuasa, kemampuan, keupayaan, kelebihan, kekuatan dan sebagainya.
Rangkap 1
Penyajak menyatakan bahawa
kuasa yang ada di tangan kita sekarang perlu dimanfaatkan untuk menyambung
perjuangan. Namun ada waktunya kuasa
tidak patut digunakan dan kita perlu mengalah, menahan perasaan dan cuba
bertindak secara lembut dan bijaksana.
Rangkap 2
Perjuangan itu sesuatu
yang pahit dan kita perlu memahami hakikat kesusahannya. Pejuang tidak boleh
kecewa dan menambahkan masalah yang sedia ada sehingga memusnahkan sesuatu perkara
yang hampir rosak.
Rangkap 3
Kadangkala dalam
perjuangan, seorang kawan boleh mengkhianati perjuangan. Rakan-rakan sekeliling
ada yang jujur setia namun ada yang berpura-pura.
Rangkap 4
Penyajak menasihatkan
agar kita meneruskan perjuangan kerana kita sudah berpengalaman dengan ranjau
perjuangan. Malah para pejuang sudah mengenali rakan dan lawan. Penyajak sedar
bahawa punca kejatuhan dalam perjuangan sebenarnya berpunca dari khianat
rakan-rakan sendiri dan bukan oleh kekuatan musuh.
Tema sajak
Perjuangan tentang hidup. Selagi kita ada kekuatan, keupayaan, kebolehan, kemampuan, kekuasaan dan sebagainya kita perlu berani menghadapi segala pancaroba hidup. Kadang-kadang kita terpaksa mengalah dan kecewa dalam perjuangan. Realiti perjuangan adalah perlu menghadapi ranjau dan halangan. Dalam perjuangan juga ada rakan yang jujur dan ada yang khianat. Namun selagi kita ada kekuasaan, keupayaan, kemampuan, kebolehan dan sebagainya maka kita perlu terus berjuang.
Pemikiran sajak
1. Hidup perlu berjuang.
2. Mengalah bukan bererti kalah perjuangan.
3. Memahami realiti perjuangan.
4. Berhati-hati dengan sahabat.
*******huraikan.
Pandangan sarwajagat
Sajak di atas menjadikan perkataan "keris" sebagai kata kunci bagi memahami maksud keseluruhan sajak. Jika keris dimaksudkan dengan kekuasaan politik maka ia boleh dikaitkan dengan survirval bangsa terutamanya bangsa melayu. Maka sajak ini menjurus kepada unsur patriotik yang mengajak masyarakat sedar tentang perjuangan survirval bangsa. Malah dalam perjuangan tersebut bangsa melayu kadangkala perlu berkorban dan mengalah lantaran adanya tolak ansur dengan lain-lain bangsa yang telah menjadi sebahagian rakyat Malaysia. Namun yang menyedihkan ialah adanya perbuatan khianat yang berlaku di kalangan rakan-rakan sendiri.
Jika kita ingin meluaskan maksud sajak ini, kita boleh mentafsirkan perkataan keris sebagai keupayaan, kebolehan, kekuatan dan kemampuan seseorang. Dalam hidup, kita memang perlu berjuang bagi menghadapi segala halangan dalam hidup. Umpamanya, ketika umur kita masih muda, kuat dan berupaya belajar, maka kita perlu berusaha untuk mencapai kejayaan setinggi mungkin. Situasi tersebut juga boleh diibaratkan sebagai keris atau senjata yang ada pada diri kita. Andai kita tidak mahu berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh, kita akan rugi. Kita perlu faham hakikat perjuangan dan perlu berkorban. Kepada mereka yang tahan perjuangan, wujud pula cabaran lain termasuklah sifat dengki dan irihati rakan-rakan seperjuangan. Oleh itu kita perlu berhati-hati dan waspada.
Keris juga boleh dikaitkan dengan kelebihan dan keistimewaan yang ada pada diri kita. Jika kita mempunyai apa-apa kelebihan, maka kita perlu menggunakannya dengan baik. Ia adalah satu peluang yang perlu dimanfaatkan. Seorang yang berbakat dalam bolasepak tentunya mempunyai kelebihan umpama mempunyai sebilah keris. Maka individu tersebut perlu memanfaatkan kebolehannya untuk kebaikan diri. Namun untuk berjaya sebagai pemain bolasepak, individu tersebut perlu banyak berkorban jiwa dan raga.
No comments:
Post a Comment