Tuesday, January 22, 2013

Pembangunan Masyarakat: Pendidikan


Pendidikan :
Objektif pembelajaran: Menjelaskan kepentingan pendidikan dalam pembangunan masyarakat.


Pembicaraan pembelajaran pada bahagian ini menjurus terus kepada kepentingan pendidikan.

Maksud pendidikan

Plato berpendapat, pendidikan ialah suatu proses untuk membentuk individu yang berakhlak mulia.  Beliau menyokong pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan ialah member latihan moral kewarganaegaraan yang baik. Menurut Aristotle pula, pendidikan ialah ilmu yang bersifat etikal dan politikal.  Mengikut beliau, tujuan pendidikan ialah memberikan setiap warganegara peluang untuk mencapai kebahagiaan hidup.

John McDonald menghuraikan perbezaan pendidikan diantara masyarakat primitif dengan masyarakat moden.  Pengertian pendidikan dalam masyarakat primitif ialah latihan vokasional dan pelajaran adat resam, kepercayaan serta cara sembahyang, disampaikan melalui tunjuk ajar dengan secara tidak langsung daripada keluarga dan pergaulan dengan orang dewasa.  Manakala pengertian pendidikan bagi masyarakat moden pula merupakan latihan khusus  menguasai kemahiran dan memperolehi ilmu pengetahuan yang penting untuk kehidupan disampaikan melalui pengajaran secara langsung daripada guru yang berilmu tinggi serta mempunyai kemahiran mengajar.

John Dewey pula mengatakan bahawa pendidikan adalah satu proses perkembangan individu.  Mengikut beliau, pendidikan merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi pengetahuan semula jadi yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan lebih selamat lagi.

Atan Long pula di dalam bukunya bertajuk “Psikologi Pendidikan” memuatkan di dalamnya beberapa pandangan mengenai pendidikan yang telah dikemukakan oleh beberapa sarjana dan ilmuan Islam. Antaranya ialah; Syed Muhammad Qutb menyatakan bahawa pendidikan adalah proses membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang.  Menurut beliau, tujuan utama pendidikan ialah untuk memperkembangkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani manusia ke arah tahap kesempurnaan.

Berdasarkan Sejarah Melayu


Pendidikan yang wujud dalam Sejarah Melayu adalah mendekati pendapat John Mc Donald. Konsep pendidikan dalam Sejarah Melayu tentunya disesuaikan dengan masyarakat feudal pada zaman terdisional dan primitif. Antaranya adalah pelajaran adat resam, kepercayaan, cara sembahyang dan lain-lain lagi. Terdapat beberapa budaya pendidikan yang telah diamalkan dan diceritakan dalam karya Sejarah Melayu seperti berikut:



Kepentingan mempelajari ilmu membaca al-Quran sebagaimana Tun Mai Ulat Bulu belajar daripada Makhdum Sadar Jahan. Mempelajari al-Quran adalah salah satu petunjuk penting kepada celik huruf masyarakat zaman itu. Ia menjadi budaya golongan masyarakat yang mesti mempelajari ilmu mengaji bagi membolehkan mereka menghayati kehidupan beragama Islam secara asas. Setelah itu, baharulah masyarakat akan mempelajari ilmu agama yang lain termasuk solat.


Kepentingan menuntut ilmu agama berdasarkan kitab muktabar seperti kitab Duril Mazlum daripada Maulana Abu Bakar. Kebolehan membaca dan mempelajari kitab adalah satu tahap pendidikan tinggi yang memungkinkan seseorang itu layak menjadi guru. Seseorang yang telah berguru seperti itu dianggap telah memperolehi ilmu yang melebihi ilmu asas seperti mengaji al-Quran sebelum ini. Oleh itu memang wajar seorang sultan mempelajari tahap  ilmu ini kerana dirinya adalah pemimpin tertinggi negara. Jika sultan tidak belajar tinggi, sudah tentu dirinya dipandang rendah oleh ahli masyarakat feudal dan dipertikaikan kepimpinannya.


Kepentingan menuntut ilmu kepahlawanan sebagaimana yang dilakukan oleh pahlawan Melaka seperti Hang Tuah dan Tun Bijaya Sura. Pada zaman berkenaan, ilmu kepahlawanan adalah sesuatu yang penting kerana ia adalah salah satu cara mempertahankan diri dan negara daripada serangan musuh. Pembelajaran ilmu tersebut mampu menjadikan masyarakat Melaka hidup aman damai tanpa gangguan.

Keperluan mendapatkan penyelesaian masalah hukum hakam agama sebagaimana yang dilakukan oleh sultan bertanya tentang masalah hukum ke sebuah negara lain. Seperti kisah "Bertanya Satu Masalah Agama ke Pasai"(hlm. 247). Dalam peristiwa berkenaan, satu masalah agama telah dikemukakan kepada bijak pandai daripada negara luar. Gambaran ini menunjukkan bahawa, dalam soal pendidikan, kita harus mempunyai semangat kerjasama dan sering berbincang sesama umat dan ahli masyarakat. Jika perkara ini tidak dilakukan, akan menyebabkan diri ahli masyarakat dalam keadaan jahil dan sesat kerana tidak mahu menambahkan ilmu di dada dan bersifat bakhil ilmu.

Kepentingan mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seperti kisah Sang Rajuna Tapa yang belot dan akhirnya menjadi batu,  penderhakaan Hang Jebat dan lain-lain. Pendidikan ini adalah bersifat kemasyarakatan kerana ia dapat dilihat dan dirasakan oleh ahli masyarakat yang terlibat. Mengambil pengajaran daripada pelbagai peristiwa dan musibah yang dialami masyarakat adalah satu proses pembelajaran yang paling berkesan. Ahli masyarakat akan terus mengingati pristiwa yang telah berlaku dan berazam tidak mahu mengulangi kesilapan lalu.

Kepentingan mendengar dan mengikuti nasihat daripada orang yang lebih tua dan berpengalaman seperti yang terdapat dalam wasiat sultan Maliku's Salleh, wasiat Sultan Muzafar, Alaudin. Mansur dan wasiat bendahara Paduka Raja Tun Perak. Golongan tua dan berpengalaman adalah ahli masyarakat yang mampu mengajar dan memberi petunjuk yang berkesan. Ahli masyarakat yang terkemudian wajar akur dan mengambil perhatian tentang pengalaman pemimipin terdahulu. Ternyata kebanyakan nasihat dari wasiat yang telah disebut secara kebetulan telah berlaku ke atas ahli masyarakat yang berkenaan. Oleh itu wajarlah perkara yang berkaitan dengan wasiat diambil perhatian.




Berdasarkan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.

Pendapat tentang pendidikan dalam SBDKL adalah mendekati definisi yang diutarakan oleh kebanyakan sarjana moden kerana novel ini diterbitkan sesuai pada zaman dan keperluannya. Isu masyarakat moden ini diperjuangkan oleh penulis kerana menyedari kepentingan pendidikan kepada pembangunan masyarakat masa kini.

Pendidikan peringkat tinggi penting untuk keperluan diri dan mendapat pengiktirafan masyarakat. Keperluan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sebagaimana yang dilakukan oleh encik Muhammad ke atas anaknya. Rahim telah dihantar ke London untuk belajar pengurusan perniagaan. Manakala Datuk Tan menghantar Robert untuk belajar tentang kejuruteraan. Akhirnya mereka lulus dan mendapat pengiktirafan dengan memperolehi segulung ijazah. Kemudian itu, mereka layak menjawat sebarang jawatan peringkat tinggi dalam profesyen masing-masing.

Pendidikan agama penting untuk mengawal tingkah laku manusia dan untuk menuju kehidupan hari kemudian. Lebai Maarup adalah golongan ilmuan agama yang telah belajar agama dan mampu menyampaikan ilmu kepada orang ramai. Pengetahuan agama Lebai Maarup pula telah menyumbang kepada keseimbangan tuntutan dunia dan akhirat. Lebai sangat berakkhlak orangnya. Beliau mengajar masyarakat agar menyumbangkan harta pada jalan Allah seperti usaha beliau mewakafkan harta arwah ibubapanya.

Pendidikan daripada nasihat orang tua penting supaya mendapat panduan hidup. Sudin akhirnya sudi mendengar dan mengikuti nasihat ibu bapa walaupun sebelum ini sering membantah kata-kata orang tuanya. Begitu juga penerimaan pendapat pihak lain yang menjadi salah satu bentuk pendidikan moden. Kita perlu sedar bahawa diri manusia tidak lengkap dan menguasai segala ilmu. Oleh encik Muhammad sedar bahawa dirinya mungkin hebat dalam ilmu perniagaan tetapi ada kekurangan dari aspek ilmu agama dan kemasyarakatan.

Pendidikan penting untuk mengetahui undang-undang dan peraturan negara. Seseorang itu perlu belajar dan mengetahui selok belok undang-undang negara. Jika tidak mampu mempelajari ilmu undang-undang secara mendalam, cukuplah sekadar mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh setiap individu yang menjadi warga negara. Jika tidak, sudah tentu diriya akan bertindak mengikut emosi dan mengabaikan aspek undang-undang. Hal ini telah berlaku ke atas Mat Akil yang sering melanggar udang-undang dan mengganggu masyarakat sekitar. Tindakannya mengganggu majlis kenduri kahwin, membocorkan tayar bas dan memukul Lebai Maarup merupakan tindakan yang salah dan boleh dijatuhkan hukuman tertentu.  



No comments:

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...