Sunday, January 6, 2013

Sejarah Melayu : Singapura Dilanggar Todak


PENGENALAN

Karya klasik ‘Singapura dilanggar todak’ terkandung dalam teks Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin yang telah dikarang oleh Tun Seri Lanang dalam bab empat , halaman 67. Kisahnya bermula semasa Tuan Jana Khatib yang merupakan seorang yang mahir dalam ilmu agama telah datang ke Singapura. Di Singapura, Tuan Jana Khatib berjalan di pekan Singapura sehinggalah ke pintu peranginan raja. Di situ, Tuan Jana Khatib telah menilik atau merenung pohon pinang sehingga pohon itu terbelah dua dan kejadian itu berlaku di hadapan permaisuri raja. Raja telah menitahkan hukuman bunuh keatas Tuan Jana Khatib kerana menganggap Tuan Jana Khatib sengaja ingin menunjuk-nunjuk kebolehannya di hadapan permaisuri. Beberapa lama kemudian, Singapura menerima bencana besar iaitu bencana serangan todak. Ramai rakyat jelata telah terkorban. Nyawa rakyat terus melayang apabila Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkotakan betis. Kemudian datang seorang budak yang pintar mencadangkan agar mereka berkotakan batang pisang. Akhirnya berkat cadangan bernas budak pintar tersebut, serangan todak telah berakhir. Tetapi budak tersebut telah dijatuhi hukuman bunuh akibat hasutan para pembesar terhadap raja yang tidak berfikir panjang tentang kebijaksanaannya yang di khuatiri akan menggugat raja apabila dia besar kelak.

Petikan Sulalatus Salatin : Singapura Dilanggar Todak

Maka dipandangnya di pintu peranginan raja itu, ada seorang perempuan dilindungi oleh pohon pinang gading; oleh Tuan Jana Khatib ditiliknya pohon pinang itu belah dua. Setelah dilihat oleh Paduka Seri Maharaja perihal itu maka baginda pun terlalu murka; titah baginda, “Lihatlah kelakuan Tuan Jana Khatib, diketahuinya isteri kita ada dipintu maka ia menunjukkan ilmunya.” Maka disuruh baginda bunuh; Tuan Jana Khatib pun dibawa orang akan dibunuh, hampir ujung negeri tempat orang membuat bikang; di sanalah ia ditikam orang. Maka titik darahnya setitik, badannya pun ghaiblah. Orang yang membunuh itu pun kembalilah, dipersembahkannya kepada raja. Maka oleh perempuan yang membuat bikang itu, darah Tuan Jana Khatib yang titik itu ditutupnya dengan bikangnya. Dengan berkat darah wali Allah, perempuan itu pun menjadi kayalah dari harga bikangnnya; tutup bikang itu pun menjadi batu, ada sekarang di Singapura. Ada diceriterakan orang, badan Tuan Jana Khatib itu terhantar di Lengkawi, ditanamkan orang disana. Inilah dibuat orang pantun:

Telur itik dari Singgora,
Pandan terdandar di batang tui;
Darahnya titik di Singapura,
Badan terhantar di lengkawi.

Hatta tiada berapa lama antaranya, maka datanglah todak menyerang Singapura, berlompatan lalu keparit. Maka segala orang yang di pantai itu banyak mati dilompati todak itu; barang yang kena terus-menerus olehnya. Maka gempalah orang berlari-larian ke sana kemari, semuanya mengatakan, “Todak datang menyerang kita; banyaklah sudah mati ditikamnya.” Maka Paduka Seri Maharaja pun segera naik gajah, lalu baginda keluar diiringkan segala menteri hulubalang sida-sida bentara sekalian. Setelah datang ke pantai, maka baginda pun hairanlah melihat perihal todak itu, barang yang kena dilompatinya sama sekali matilah. Maka terlalulah banyak orang yang mati ditikam todak itu, terus berkancing ke sebelah. Adapun todak itu seperti hujan, usahkan kurang, makin banyak orang mati.

Syahadan pada antara itu, datanglah seorang budak berkata, “apa kerja kita berkotakan betis ini? Mendayakan diri kita. Jika berkotakan batang pisang alangkah baiknya?” setelah didengar Paduka Seri Maharaja kata budak itu, maka titah baginda, “Benar seperti kata budak itu,” maka dikerahkan baginda rakyat mengambil batang pisang diperbuat kota. Maka dikerjakan oranglah berkotakan batang pisang. Maka segala todak yang melompat itu lekatlah jongornya, tercacak kepada batang pisang itu; dibunuh oranglah bertimbun-timbun di pantai itu, hingga tiadalah termakan lagi oleh segala rakyat. Maka todak itu pun tiadalah melompat lagi. Pada suatu ceritera pada masa todak itu melompat, datang ke atas gajah Paduka Seri Maharaja, kena baju baginda; maka diperbuat orang seloka:

Carek baju dilompati todak,
Baharu menurut kata budak.

Setelah itu maka Paduka Seri Maharaja pun kembalilah ke istana baginda. Maka sembah Orang Besar-besar, “Tuanku, akan budak itu terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia lagi budak sekian ada akalnya, jikalau sudah ia besar betapa lagi? Baiklah ia kita bunuh, tuanku.” Maka titih raja, “Benarlah kata tuan hamba sekalian itu, bunuhlah ia!”



Ulasan Teks

Dalam kisah ‘Singapura Dilanggar Todak’, persoalan yang jelas terkandung di dalamnya dari sudut falsafah ialah mengenai ketaatan dan kesetiaan terhadap tanggungjawab dua golongan utama pada waktu itu iaitu golongan pemerintah dan rakyat biasa. Rakyat jelata ialah golongan manusia yang dipimpin dan diperintah oleh sebuah institusi tertinggi di dalam sesebuah negeri, daerah atau jajahan. Golongan pemimpin pada waktu itu terdiri daripada para pembesar dan golongan bangsawan atau darah keturunan raja. Sesebuah negeri memerlukan satu jalinan yang amat akrab daripada kedua-dua golongan ini bagi membentuk sebuah kehidupan yang aman, stabil, dan harmoni.

Peristiwa todak yang telah membinasakan rakyat Singapura tersirat dengan persoalan dan falsafah ketaatan serta tanggungjawab rakyat dan pemerintah. Contohnya peristiwa di mana Tuan Jana Khatib dijatuhi hukuman bunuh oleh Paduka Seri Maharaja akibat dianggap sengaja menunjukkan ilmunya. Keputusan yang di buat oleh Paduka Seri Maharaja itu merupakan keputusan yang terburu-buru dimana dia tidak menggunakan pertimbangan akal yang sepenuhnya sebaliknya hanya menggunakan emosi semata-mata. Hal ini disebabkan dia tidak menyiasat terlebih dahulu perkara yang sebenar lalu terus membuat keputusan tanpa soal selidik. Perbuatan Tuan Jana Khatib yang merenung pohon pinang sehingga terbelah dua di hadapan permaisuri sebenarnya terdapat dua kemungkinan. Pertama, kemungkin benar dia ingin menunjukkan ilmunya dan yang kedua, mungkin itu adalah satu cara menjalankan tanggungjawabnya bagi mengajak rakyat singapura untuk mendalami ilmu agama Islam. Hal ini berikutan Tuan Jana Kathib merupakan orang cerdik pandai dan tinggi ilmunya dalam agama serta ilmu khayal lillah. Jelas kelihatan adalah sifat cemburu raja yang sepatutnya diketepikan bagi menjadi seorang pemimpin yang bijaksana menguruskan negerinya dengan penuh tanggungjawab supaya aman makmur. Musibah atas perbuatan pemerintah itu telah diterima dalam peristiwa serangan todak. Musibah yang diterima amat kukuh kerana pemerintah telah menzalimi dan menganiaya rakyatnya.


Perkara ini telah terkandung dalam perjanjian penting dikenali sebagai waad yang terkandung dalam teks Sejarah Melayu yang telah dipersetujui oleh Demang Lebar Daun (rakyat) dengan Seri Teri Buana (pemerintah) sebelum ini, dimana golongan rakyat tidak boleh menderhaka terhadap raja dan raja juga tidak boleh menghina dan menzalimi rakyatnya. Contohnya sebagai balasan, rakyat yang melanggar waad akan menerima balasan dan bencana daripada Allah, manakala raja yang melanggar waad akan diterbalikkan negerinya. Hal inilah yang amat memerlukan pemerintah dan rakyat menjalankan tanggungjawab mereka kapada negeri mereka yang tercinta dengan bijaksana. Segala perlakuan mereka haruslah didasari dengan akal dan pertimbangan yang waras.


Dalam waad ini, rakyat meminta raja tidak berlaku zalim kepada mereka. Begitu juga dengan raja, yang meminta rakyat tidak derhaka kepada raja walaupun raja berlaku zalim. Ini bermaksud kedua-dua pihak tidak boleh sama sekali mederhaka, malah ketaatan adalah elemen terpenting. Berbalik kepada kisah ‘Singapura Dilanggar Todak’, pelanggaran waad telah dibuat oleh Paduka Seri Maharaja (pemerintah) terhadap Tuan Jana Khatib. Paduka Seri Maharaja tidak wajar bertindak membunuh rakyat tanpa usul periksa serta yang bertentangan dengan hukum syarak. Perkara ini bermakna pemerintah telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ketaatan terhadap perjanjian dan pegangan serta amalan yang sepatutnya dijaga dan dihormati. Dari sudut falsafah, Konsep waad ini sendiri sebenarnya mewajibkan rakyat dan pemerintah supaya cinta terhadap kebijaksanaan malah mengamalkannya melalui kebaikan dalam kehidupan seharian terhadap segala yang ada dalam alam semesta. Apatah lagi tujuan seseorang dilahirkan ke dunia adalah sebagai wali Allah dan bertanggungjawap untuk memakmurkan bumi Allah yang tercinta ini.


Waad melahirkan konsep “taat”, “derhaka”, “tulah,” dan “daulat.” Konsep-konsep ini telah menjadi pegangan masyarakat melayu tradisional sejak zaman Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana sehinggalah ke zaman kerajaan Melayu Singapura dan Melaka. Serangan todak yang melanda Singapura dianggap sebagai balasan atas pelanggaran perjanjian, dan kezaliman terhadap rakyat. Sewaktu berlakunya serangan tersebut, Paduka Seri Maharaja telah mengarahkan penduduk menahan serangan todak tersebut menggunakan betis. Melalui tindakannya ini, dapat dilihat betapa ceteknya akal dan pemikiran pemerintah ketika itu. Mujurlah terdapat juga golongan rakyat yang pintar yang mempraktikkan dan mengamalkan ilmu serta kebijaksanaannya ke jalan yang sepatuttnya dengan penuh tanggungjawab, manfaat dan faedah.


Peranan ini dapat dilihat dalam watak budak pintar yang telah memberikan idea yang berjaya menyelamatkan negerinya yang tercinta. Dapat dilihat perwatakan budak pintar ini yang amat lurus dan taat terhadap pemerintahnya. Dia juga amat bertanggungjawap dalam melaksanakan peranannya sebagai rakyat dengan baik. Sikap taat dan setianya amat dituntut supaya menjadi ikutan dan teladan setiap rakyat pada waktu itu mahupun pada masa sekarang. Fakta ini jelas kerana selain sikap terpujinya itu, dia juga seorang yang berani. Sungguhpun dengan usia yang muda itu, budak pintar itu berani mengetengahkan ideanya tidak lain tidak bukan semata-mata untuk menyelamatkan negerinya tanpa terfikir akannya akibat atau apa-apa perkara negatif. Sikap si budak pintar ini amat berbeza sekali dengan Paduka Seri Maharaja yang mana bersikap membahayakan rakyat dengan menyuruh rakyat berkubukan betis bagi menghalang serangan todak. Bukan setakat itu, selain berfikiran cetek, Paduka Seri Maharaja juga mudah terpengaruh dengan pembesar yang iri hati dengan si budak pintar. Budi yang amat besar dibalas dengan kekejaman oleh para pemerintah. Terbuktilah sikap pemerintah pada masa itu yang amat tidak bertanggungjawap, mementingkan diri, dan tamak. Seharusnya masyarakat Melayu tinggi dengan segala budi, budi bahasa, budi pekerti, budi baik, dan sebagainya berkaitan budi kerana budi memang amat penting dan sinonim dengan masyarakat Melayu sehiggakan dibawa sampai mati. Kelihatan amat ketara bahawa Paduka Seri Maharaja dan orang bawahannya tidak menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat seperti mana yang sepatutnya.

Perbuatan menzalimi rakyat itu sendiri adalah salah dan bertentangan dengan agama Islam malah pemimpin yang gagal melaksanakan tanggungjawap serta menyalah gunakan kuasa adalah dikira berdosa. Pembunuhan budak pintar ini telah menimbulkan kesan kepiluan atau pathos. Perbuatan ini hanya memberi gambaran buruk terhadap pemerintah. Hakikatnya, apa yang diharapkan dan perlu ada dalam diri seseorang pemimpin adalah sikap-sikap terpuji dan nilai-nilai murni seperti penyayang, mengambil berat,bertolak ansur, saling membantu dan bekerjasama bagi memakmurkan organisasi dibawah lembayungnya. Sebelum memikul tanggungjawap ini lagi, seseorang pemimpin itu harus memikirkan akan kemampuannya dalam kepimpinan kerana mereka harus sedar bahawa tugas ini amat berat dan tidak boleh diambil mudah. Begitu juga halnya dengan rakyat. Rakyat juga harus bertanggungjawab terhadap negeri tanah tumpahnya darah mereka, terhadap pemimpin, dan sesama rakyat. Hal nilah yang digambarkan oleh budak pintar yang memberikan idea yang bernas sehingga telah berjaya menyalamatkan negerinya. Paduka Seri Maharaja telah bersetuju dengan cadangan tersebut Namun sebutir permata ini telah lenyap akibat sikap para pembesar dan raja yang buta hati. Pembesar yang iri hati telah menghasut Paduka Seri Maharaja agar membunuh budak itu kerana dikuatiri pada masa akan datang budak itu akan merampas kuasa raja. Seharusya mereka berbangga mempunyai rakyat dari golongan muda yang bergeliga otaknya, kerana kelak dapat membantu menguat dan mengukuhkan kerajaan sedia ada.

Mungkin hal ini turut bergantung pada zaman dan waktu tertentu, yang mana sistem beraja pada waktu itu amatlah disanjung tinggi. Perlanggaran pada sebarang titah raja,taat setia serta ingkar suruhan raja, boleh dianggap sebagai menderhaka. Raja tidak boleh dikaitkan dengan derhaka, sebaliknya boleh dikaitkan dengan zalim. Dalam masyarakat Melayu tradisional yang berpegang teguh pada institusi feudal, penderhakaan dianggap sesuatu yang hina. Darah rakyat yang menderhaka dihalalkan oleh raja untuk dibunuh. Rakyat pada waktu itu lebih bersikap akur, taat, tunduk, serta patuh. Konsep ini merupakan nilai hidup terpenting daripada kaca mata masyarakat Melayu tradisional. Mereka menyerahkan diri dengan penuh taat setia tanpa membantah malah menyumbang bakti yang tidak terbatas meskipun di luar kemampuan dan batas kemanusiaan serta sanggup berkorban apa sahaja. Namun pemikiran seperti ini sudah tidak ada dalam pemikiran masyarakat sekarang khususnya mayarakat Melayu. Raja masih dimuliakan tetapi lebih terbatas dan begitu juga dengan rakyat yang tidak dianiaya sesuka hati malah telah terpelihara hak dan kebajikan mereka. Kesimpulannya, kedua-duanya haruslah memahami tanggungjawab, interaksi dan saling bergantungan antara mereka.




RUJUKAN

Tun Seri Lanang. Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu. A. Samad Ahmad. Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka

Sumber : Catatan Cikgu Hazrin Imam Kardi, SMK Dato' Mustafa. Terima kasih.

No comments:

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...