Tuesday, October 23, 2012

Contoh Soalan KMK 922/1 No 004

Prosa Tradisional

Berdasarkan ciri-ciri watak epik yang anda tahu, huraikan ciri tersebut berdasarkan peristiwa yang terdapat di dalam  petikan Hikayat Hang Tuah Bab XIX.

Soalan ini memerlukan calon mengetahui dahulu ciri-ciri sastera epik atau kepahlawanan. Setelah mengetahui ciri-ciri epik, calon dikehendaki membuat analisa teks Hikayat Hang Tuah. Setiap ciri epik yang calon telah ketahui hendaklah dipadankan dengan peristiwa-peristiwa yang terdapat di dalam Hikayat Hang Tuah bab XIX. Berikan hujah yang pro (menyokong pernyataan) dan hujah yang kontra (tidak setuju dengan penyataan atau andaian jika kedaan berlaku sebaliknya). Di akhir setiap perenggan jawapan calon digalakkan membuat kesimpulan atau konklusi supaya hujah jawapan lebih mantap.

Ciri-ciri watak epik ialah:
1. Gagah
2. Berani
3. Bijaksana.
4. Taat setia
5. Kebolehan luar biasa.

Jawapan:


Sebagai tokoh epik Hang Tuah mempunyai kebolehan berbahasa. Beliau pandai bertutur dalam bahasa nagaram (hlm 52). Ketika mengadap Kisna Rayan (Raja benua Keling- Bijaya Nagaram), beliau telah bercakap menggunakan bahasa Nagaram. Beliau telah mempelajari bahasa tersebut daripada seorang lebai. Kemampuan beliau ini adalah salah satu ciri penting seorang tokoh epik iaitu bijak menguasai ilmu berbahasa di dunia. Beliau telah mewakili rakyat Melaka yang bijaksana. Kesan daripada itu, Hang Tuah dimuliakan oleh raja Nagaram dan dianugerahkan pelbagai sanjungan dan persalinan selaku pegawai diplomat. Sebaliknya jika Hang Tuah tidak menunjukkan kepandaian beliau berbahasa, mungkin utusan Melaka kurang dihormati orang benua Keling dan mungkin tidak diberikan layanan yang istimewa. Kebolehan berbahasa beliau telah menyebabkan orang Melaka dipandang tinggi dan seterusya diiktiraf sebagai diplomat yang terbaik.


         Beliau berkebolehan mengubati permaisuri raja yang mandul atau tidak mampu melahirkan anak. Kebolehan beliau dapat ditunjukkan apabila beliau diminta mengubati isteri Nala Sang Guna di atas permintaan raja melalui Nala Sang guna. Hang Tuah telah membuat satu ubat yang rupanya seperti madat. Setelah siap, ubat berkenaan telah diserahkan kepada Nala Sang Guna untuk untuk dimakan. Kebolehan mengubati permaisuri raja benua Keling ini telah menunjukkan bahawa beliau mempunyai kebolehan yang istimewa. Kebolehan isteimewa ini telah menaikkan imej negeri Melaka di mata masyarakat Benua Keling. Kesan daripada itu, Hang Tuah yang mewakili orang melayu telah dipandang tinggi dan disanjung. Malah Hang Tuah sangat dihormati terutama dari pihak Nala Sang Guna. Jika Hang Tuah tidak menunjukkan kepandaian seperti ini tentu dirinya kurang mendapat perhatian Nala Sang Guna dan seluruh rakyat benua Keling.

        Tangkas menunggang kuda. Hang Tuah telah diminta supaya menunggang kuda teji. Kuda teji adalah seekor kuda Kisna Rayan yang sukar dikendalikan. Setelah Hang Tuah belajar menunggang kuda, beliau telah berjaya memacu kuda tersebut dengan selamat iaitu dengan cara tunduk dan melindungkan kepalanya dibalik telinga kuda tersebut. Kebolehan ini adalah salah satu bukti keperwiraan beliau ketika berada di benua Keling.

      Mampu menyelesaikan masalah dengan kebolehan akal fikirannya. Apabila hendak memasak untuk jamuan diraja, terdapat masalah ketiadaan kayu untuk memasak. Hang Tuah telah berjaya menyelesaikan masalah ketiadaan kayu dengan menjadikan kain sebagai bahan api. Kebijaksanaan Hang Tuah ini adalah salah satu bukti beliau layak digelar wira.

      Mempunyai kebolehan yang luar biasa. Hang Tuah telah menunjukkan sesuatu pertunjukan yang dianggap permainan. Beliau telah mengeluarkan suatu benih pokok kayu. Apabila benih itu ditanam terus tumbuh serta berdaun dan sesaat itu juga berbunga lalu berputik dan berbuah masak. Beliau telah memperolehi benih itu melalui mimpi. Apabila sudah dimakan buahnya, dengan segera pohon itupun ghaib. Kebolehan Hang Tuah yang luar biasa ini merupakan satu lagi bukti bahawa beliau layak digelar wira epik.

       Mampu memperdaya dan melihat Maharaja China. Ketika rombongan Hang Tuah ke negeri China hendak dijamu makan, beliau telah menyatakan bahawa orang Keling  makan sayur, daun kayu dan buah kayu. Sayur yang hendak dimakan itu pula tidak dikerat dan dibiarkan panjang-panjang. Ketika makan, Hang Tuah telah mendongakkan kepala ketika makan sayur kangkung yang tidak dikerat itu. Pada masa itulah beliau dapat melihat Raja China yang duduk dalam mulut naga emas bersisik. Tatkala Laksamana memandang ke atas, HangTuah hendak dipenggal oleh hulubalang Raja China. Namun Raja China telah menghalang tindakan rakyatnya kerana Hang Tuah sebenarnya telah bertindak bijaksana.

         Kesimpulannya, semua huraian di atas dapat membuktikan bahawa Hang Tuah mempunyai ciri-ciri yang sesuai sebagai tokoh epik yang masyhur.






No comments:

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...