Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri.
Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.
Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang pandai,
Tanda mengenal kasa dan cindai.
Berdasarkan puisi di atas, bincangkan kemungkinan amalan yang anda akan amalkan sekiranya anda dilantik menjadi memimpin masyarakat. [25]
Pemimpin adalah ketua kepada sesebuah komuniti samada bersaiz kecil atau besar. Sebagai pemimpin, kita perlu memberikan khidmat yang terbaik kepada ahli masyarakat yang telah mengangkat kita sebagai pemimpin. Oleh itu, banyak puisi melayu telah menekankan nasihat tentang kepimpinan ini kepada masyarakat melayu khasnya. Sekirannya saya dipilih untuk menjadi pemimpin, tentunya saya akan cuba memberikan khidmat terbaik kepada pengikut saya.
Saya akan menjadi pemimpin yang sentiasa bekerjasama dengan ramai pihak. Mungkin dengan amalan bekerjasama, saya akan dapat melaksanakan banyak matlamat kerja saya sebagai pemimpin. Saya mungkin tidak mampu mencapai matlamat yang telah ditetapkan jika saya tidak mendapat pertolongan pihak lain. Contohnya, jika saya hendak laksanakan satu program sukan, tentunya saya perlu bekerjasama dengan pihak yang ada pengetahuan tentang sukan. Begitu juga ketika melaksanakan program keagamaan, sudah tentu saya perlu bekerjasama dengan ahli dalam bidang agama. Saya sedar bahawa kemampuan diri saya terhad dan tidak mungkin dapat melaksanakan kerja yang berat seorang diri.
Saya perlu berani membuat keputusan yang tepat. Keputusan seorang ketua adalah penting kerana ia akan membolehkan matlamat pemimpin dapat dilaksanakan. Orang bawahan tentu mengharapkan keputusan yang terbaik daripada ketuanya. Jika ketua tidak mampu membuat keputusan, sesuatu kerja akan tergendala dan akan menyebabkan orang bawahan ternanti-nanti pendapat ketuanya. Cara membuat keputusan yang terbaik adalah melalui mesyuarat.
Sebagai pemimpin juga, saya perlu bersikap adil dan tidak berat sebelah. Saya tidak boleh cenderung untuk menyokong satu pihak dan mengabaikan satu pihak yang lain. Untuk berlaku adil, saya perlu memahami dan mendapat maklumat tertentu. Untuk mendapat petunjuk, saya perlu menghubungi mereka yang pakar dan ada pengetahuan terutamanya golongan yang dianggap bijaksana. Namun sebaik-baik petunjuk adalah daipada Allah.
Seterusnya, saya perlu menambahkan ilmu pengetahuan saya. Walaupun saya sudah menjadi pemimpin, saya perlu banyak berguru dengan para ilmuan. Saya perlu merendahkan taraf saya ketika belajar dan tidak perlu berbangga dengan jawatan saya. Saya perlu berdamping dengan orang yang berilmu dan terus hadir ke majlis ilmu supaya saya sentiasa sedar tentang siapa diri kita. Dengan itu saya akan sedar akan segala kekurangan diri dan tidak ego dengan jawatan yang disandang.
Akhir sekali, saya perlu menghormati golongan bijak pandai. Saya perlu sedar dan saya tidak boleh mendabik dada bahawa saya tahu dalam segala perkara. Saya perlu menghormati pendapat dan saranan orang yang mempunyai idea yang lebih baik. Pendapat mereka mungkin lebih baik dan sesuai dilaksanakan bagi mencapai visi kepimpinan saya. Bantuan golongan bijaksana akan dapat membantu saya mengenali sesuatu perkara yang baik dan buruk seumpama mengenali yang mana satu kain kasa dan yang mana satu kain cindai.
Sebenarnya banyak lagi amalan baik yang boleh saya lakukan jika saya menjadi seorang pemimpin. Kesimpulannya, untuk menjadi pemimpin yang baik bukanlah satu perkara yang mudah. Seorang pemimpin mempunyai tanggung jawab yang besar dan menjaga perlu amanah kepimpinan.
No comments:
Post a Comment