Kepimpinan adalah proses dimana pemimpin mempengaruhi orang bawahannya untuk melaksanakan tugas tertentu atau mempengaruhi pengikut supaya mengikuti idea dan pendapat. Cara untuk memengaruhi seseorang adalah bergantung kepada gaya (style) seseorang pemimpin. Ada sesetengah pemimpin gemar menggunakan kuasa (power) yang ada pada dirinya lantaran kedudukannya yang mampu mempengaruhi orang lain secara autokratik. Namun cara ini kurang digemari ramai pengikut. Gaya yang lebih demokratik ketika mempengaruhi orang bawahan adalah lebih digemari dan mampu menjurus kepada perlakuan yang sukarela.Terdapat beberapa situasi yang signifikan dalam SBDKL yang menunjukkan bagaimana proses kepimpinan berlaku.
Pada awal bab didapati encik Muhammad selaku pemimpin organisasi perniagaannya mampu mempengaruhi rakan kongsinya, Datuk Tan untuk bersetuju dengan rancangannya bagi mengeskport lada hitam ke Jerman. Ketika ini encik Muhammad didapati mampu mempegaruhi Datuk Tan bersetuju dengan kontrak perniagaan yang telah beliau rancang. Ia adalah meliputi jumlah eksport, destinasi dan sumber bekalan lada hitam. Encik Muhammad didapati amat berpengaruh dan sangat dihormati oleh rakan niaganya.
Pada masa yang sama encik Muhammad didapati mampu mempengaruhi pekerjanya agar mempunyai disiplin kerja yang baik. Perkara ini dapat dilihat pada diri Mahani selaku pekerja yang rajin dan pandai melayan tetamu yang datang. Pada masa yang sama, beliau tidak mahu membina jurang yang jauh antara dirinya dengan para pekerja. Ini dapat dibuktikan apabila beliau tidak terlalu mementingkan panggilan formal yang sering diamalkan di pejabat. Encik Muhammad lebih senang berhubungan dengan pekerjanya dengan panggilan yang tidak terlalu melambangkan pangkat dan kedudukan. Perkara ini amat disenangi oleh pekerja bawahan dan mampu mempengaruhi pekerja agar bekerja dengan rajin dan sukarela.
Jika kita meneliti proses kepimpinan di Kampung Tualang, didapati YB Mohamad Yusuf adalah merupakan pemimpin setempat yang berkaitan dengan politik. Encik Mohamad Yusuf sangat berkesan ketika mempengaruhi rakyat setempat supaya mengikuti rancangan pembangunan di kampung berkenaan. Beliau mampu mempengaruhi penduduk kampung agar menerima cadangan supaya berpindah ke rancangan Felda. Beliau sering hadir dalam perjumpaan di kampung dan seluruh pengikutnya di kampung mendengar ucapan dan idea beliau.
Seterusnya jika diteliti kepada proses kepimpinan yang lebih kecil, kita dapati pemimpin di Kampung Tualang yang terdiri daripada imam dan ketua kampung. Mereka juga telah memainkan peranan penting untuk mempengaruhi penduduk kampung. Pada awalnya penduduk kampung mempunyai perasaan tidak puas hati dan tidak jelas tentang hala tuju pembangunan kampung. Namun setelah beberapa perjumpaan dilakukan, ramai diantara mereka bersetuju dengan rancangan agar kampung Tualang didirikan pusat lombong bijih timah. Tindakan imam Saad menerima rancangan pembangunan telah mempengaruhi penduduk kampung yang lain agar bersama-sama bersetuju dengan rancangan pembangunan berkenaan. Begitu juga dengan Lebai Maaruf yang berjaya dipengaruhi oleh encik Muhammad lantaran sifat beliau yang mahu mendengar cadangan dan saranan pihak lain.
Di kalangan orang muda dalam Kampung Tualang juga terdapat gambaran tentang kepimpinan. Situasi tersebut dapat dilihat apabila dalam kalangan ada kumpulan tertentu yang membentuk kepimpinan mereka sendiri. Sudin telah dilantik menjadi ketua di kalangan orang muda kerana beliau dirasakan mampu mempengaruhi rakannya yang lain. Namun begitu terdapat juga golongan antagonis seperti Mat Akil yang mampu mempegaruhi perlakuan golongan muda. Walaupun pada awalnya Mat Akil semacam lebih berpengaruh, namun akhirnya kepimpinan Mat Akil didapati gagal dan tidak mendapat sambutan.
Proses kepimpinan dalam SBDKL juga dilihat dari sudut kepimpinan dalam keluarga. Encik Muhammad selaku pemimpin keluarga juga mampu mempengaruhi ahli keluarganya. Walaupun pada awalnya rancangan encik Muhammad mendapat tentangan daripada Rahim, namun akhirnya Rahim telah menerima cadangan ayahnya. Rahim telah bersetuju untuk bekerja dengan syarikat perlombongan ayahnya setelah perbincangan dilakukan. Keupayaan encik Muhammad memimpin keluarganya adalah bukti bahawa proses untuk mempengaruhi orang lain ini memerlukan banyak perbincangan dan mendengar pendapat orang lain.
Tegasnya, proses kepimpinan yang berlaku dalam SBDKL adalah cerminan daripada pelbagai situasi yang wujud dalam masyarakat kita pada hari ini. Kepimpinan yang dikemukakan dalam novel ini adalah meliputi kepimpinan organisasi formal dan tidak formal. Terdapat perbezaan gaya kepimpinan formal dengan tidak formal lantaran keperluan dan anggota organisasi yang berbeza.
No comments:
Post a Comment