Friday, February 14, 2014

922/2 Perbincangan tentang Sastera dan Pembangunan Insan : Keagamaan

Matlamat Pembelajaran Pembangunan Insan dari sudut Keagamaan ialah pelajar perlu menghuraikan nilai Islam dan kehidupan beragama sebagai tonggak pembangunan sahsiah.

Pernyataan yang perlu bincangkan adalah seperti berikut:

Nilai Islam dan kehidupan beragama merupakan tonggak pembangunan sahsiah. Bincangkan berdasarkan Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur.

Pengenalan
Nilai bermaksud kualiti, mutu, taraf dan sifat ketinggian dari sudut pemikiran, agama dan kemasyarakatan. Apabila nilai dikaitkan dengan agama Islam bererti ia berkait dengan kualiti kehidupan beragama yang menjadi pegangan dan amalan seseorang individu. Nilai Islam akan menjadi tonggak kekuatan pembentukan peribadi atau sahsiah seseorang apabila diamalkan dalam setiap kehidupan individu tersebut. Segala langkah dalam kehidupan individu perlu mengamalkan nilai agama yang suci ini supaya hidupnya tidak tergelincir dari landasan kehidupan yang sepatutnya individu itu amalkan. Nilai dari perspektif Islam merangkumi keseluruhan aspek kehidupan insan, termasuklah kedudukan, sosial, jawatan, pendidikan, pentadbiran, politik, ekonomi, kebudayaan dan seterusnya kepada hubungan antarabangsa. Tonggak kepada segala nilai Muslim adalah berpusat kepada akidah dan syariat berlandaskan kepada suruhan Allah.

Isi perbincangan.
Insan yang mempunyai pegangan agama yang kukuh akan berjaya dalam kehidupannya. Kehidupan insan yang kuat berpegang kepada akidah sudah tentu sentiasa memikirkan tentang balasan hari akhirat dalam semua tindakannya. Lebai Maarup sentiasa berfikir bagaimana untuk memastikan setiap individu dalam masyarakatnya sentiasa beramal agama setiap masa. Beliau sanggup mewakafkan tanah untuk tujuan pembinaan tempat solat dalam projek pembangunan Kampung Tualang. Sebaliknya jika Lebai Maarup tidak mempunyai pegangan agama yang kuat mungkin beliau tidak akan menghiraukan tentang apa jua perkara yang bakal terjadi di kampung beliau. Ini membuktikan bahawa amalan nilai Islam telah menjadikan Lebai Maarup seorang insan yang berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat.

       Seterusnya insan yang berpegang dengan nilai Islam akan sentiasa rajin berusaha. Individu tersebut akan terus berusaha memperbaiki diri sekalipun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan dugaan. Sudin yang terdidik dengan agama oleh Imam Saad tetap berusaha untuk menjadikan dirinya insan yang rajin bekerja. Dia sanggup melaksanakan apa juga tugas yang diberikan dan sentiasa menjaga nama baik keluarga. Dirinya mengenali siapa rakan dan lawan. Berbeza dengan Mat Akil yang kurang amalan agamanya dimana dirinya bersikap malas. Oleh itu hasil didikan agama yang baik dari ibu bapa telah menjadikan seseorang itu insan yang rajin berusaha.

      Selain dari itu, amalan nilai Islam juga akan menjadikan seseorang individu itu menghormati orang lain. Insan yang beramal dengan nilai Islam tentunya lebih merendah diri dan cuba memuliakan insan yang lain. Tutur kata dan adab sopannya akan menjadi bualan orang lain. Lebai Maarup sentiasa menjaga tutur katanya ketika berkomunikasi dengan pihak lain. Malah beliau tidak suka membuka aib orang lain sekalipun beliau mengetahui siapa yang telah memukul dirinya. Dirinya sanggup membuat perjumpaan dengan orang ramai semata-mata ingin mengelakkan perbuatan buruk sangka sesama orang kampung lantaran kes beliau dipukul itu. Jika beliau tidak berpegang kepada nilai dan amalan agama, sudah tentu dirinya akan menghebohkan pihak yang telah menganiaya beliau. Oleh itu amalan menghormati orang lain seharusnya menjadi amalan setiap individu yang beragama.

            Di samping itu, amalan nilai Islam boleh menjadikan diri seseorang itu menjadi pemimpin yang baik. Encik Muhammad telah mendapat didikan agama di kampung sebelum melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Bekal pengetahuan agama yang telah diterimanya menjadikan beliau seorang yang mampu memimpin organisasi perniagaan dengan cekap dan berkesan. Tanpa latar agama yang kuat, encik Muhammad mungkin sukar menerima pendapat daripada Lebai Maarup yang sebenarnya berniat baik demi kemajuan kampungnya. Beliau menerima pendapat Lebai agar menyeimbangkan pencapaian hidup di dunia dan akhirat. Sikap terbuka encik Muhammad ini telah menyebabkan usaha beliau dalam bidang perniagaan terus maju dan mendapat sokongan ramai pihak.


                Akhirnya, kehidupan beragama Islam mampu membentuk diri menjadi seorang yang amanah. Perkara ini dapat dilihat dalam diri YAB Mohd Yusuf yang sentiasa menjadi amanah menjadi pemimpin masyarakat yang dilantik melalui pilihan raya. Beliau telah menjalankan amanah kepimpinan seperti menolong orang kampung supaya dapat berpindah ke FELDA. Bagi mereka yang tidak layak ke FELDA pula diuruskan supaya mendapat kehidupan yang lebih baik lagi. Imam Saad telah dapat menjadi imam di Pekan Tualang manakala Tuk Empat Dahlan menjadi penghulu. Pak Salim pula diusahakan supaya mendapat tapak perniagaan yang baru. Semua usaha tersebut dilakukan oleh YAB Mohd Yusuf dengan bantuan para pembantunya. Sifat amanah terhadap kerja ini telah menjadikan YAB Mohd Yusuf terus dihormati dan dipilih oleh rakyat. Ini membuktikan bahawa seseorang yang hidup beragama akan menjadi cemerlang dalam kerja. Sebaliknya jika mengabaikan cara hidup Islam, mungkin YAB Mohd Yusuf akan tenggelam dengan kedudukan pangkatnya tanpa memberi apa-apa khidmat kepada rakyat yang beliau pimpin.

Penutup.
Tegasnya, nilai Islam dan kehidupan beragama mampu menjuruskan diri seseorang itu untuk menjadi seorang yang berakhlak baik, rajin, menghormati orang lain, amanah dan berjaya dalam hidup. Sebaliknya tanpa pegangan hidup beragama yang kukuh pula boleh menjuruskan diri kepada perkara-perkara yang negatif. Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan nilai Islam dan cara hidup Islam.






No comments:

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...