Monday, November 4, 2013

922/1 Mitos Moden Tentang Secekak Kertas Tisu


Menilai cerpen ini seolah-olah manusia dalam kekalutan dan rasa bimbang yang amat sangat. Kebimbangan ini dipengaruhi rasa risau kerana sejenis kertas yang asalnya diberi nilai yang amat tinggi tiba-tiba jatuh nilai kerana disebabkan oleh pelbagai faktor. Antara faktornya ialah kerana perlakuan seorang yang dianggap penyangak matawang. Kebimbangan penduduk negara kian bertambah apabila berita kejatuhan nilai kertas tisu dilaporkan melalui media seperti televisyen. Perbincangan semakin hangat di seluruh pelusuk negara termasuklah ahli keluarga. Apabila nilai secekak kertas tisu jatuh, maka kuasa membeli akan berkurangan. Barang yang dahulunya mampu dibeli dengan harga yang murah, kini sudah menjadi mahal kerana nilai pertukaran sudah berubah. Penduduk dalam negara akan menjadi miskin lantaran tidak mampu membeli dengan kuantiti yang banyak dan tidak boleh bermewah-mewah lagi. Ekonomi negara dianggap tidak selamat dan tidak stabil kerana harga pertukaran semakin mahal. Harga saham menjadi semakin murah. Gambaran ini menunjukkan ekonomi negara kian tergugat dan sesuatu aktiviti menyelamatkan ekonomi perlu dilakukan. Pemimpin negara perlu bertindak dengan cekap bagi menambat nilai kertas tisu yang sudah jatuh ini. Kisah tentang kertas tisu menjadi mitos kerana faktor berikut:

1. Ramai orang percaya tentang kekuasaan secekak kertas tisu.
Kepercayaan ini sudah sebati dalam jiwa manusia kerana menggunakan kertas sebagai nilai pertukaran. Pada awalnya kertas itu dicagarkan kepada nilai emas, dan bermulalah secekak kertas tisu dipercayai dengan nilai yang tinggi. Manusia dianggap kaya dan mulia apabila memilikinya dengan jumlah yang banyak. Namun kepercayaan itu terhakis apabila nilia kertas itu turun.

2. Secekak kertas tisu dianggap sesuatu yang mulia dan agung.
Seolah-olah kertas itu menjadi dewa dunia. Manusia berharap kepadanya agar terus bernilai tinggi bagi memastikan kelangsungan hidup mereka. Tanpanya manusia menjadi resah dan terasa miskin. Hakikatnya jika manusia tidak terlalu bergantung kepadanya sebenarnya mereka mampu untuk meneruskan kehidupan. 

3. Wujud unsur luarbiasa terhadap kertas tisu.
Sejenis kertas yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan berharga murah tiba-tiba mempunyai nilai yang tinggi setara dengan nilai emas. Keadaan ini tentunya sangat luarbiasa. Seterusnya kejatuhan nilainya juga dianggap luarbiasa juga. Terdapat pelbagai anggapan tentang faktor kejatuhannya. Namun faktor kejatuhannya tidak dapat ditentukan dengan jelas. Lalu ramai orang bimbang terhadap kejatuhan nilainya yang semakin merudum.

4. Penceritaan kisahnya semacam ada unsur dongeng.
Cerita tentang kisah kertas yang jatuh nilai ini semacam suatu rekaan dan tidak jelas kebenarannya. Semua cerita tentangnya adalah dibina melalui unsur kepercayaan yang dibina melalui spekulasi tertentu. Tidak ada suatu kata yang pasti tentang punca kejatuhan nilai kertas tisu ini. Mungkin manusia mencipta dongeng ini untuk menutup kesilapan yang telah mereka lakukan terhadap pengurusan ekonomi negara.

5. Kepercayaan ini diwarisi turun temurun sejak zaman dahulu.
Cerita tentang kertas tisu ini bermula sejak sekian lama. Ramai orang telah menggunakannya di seluruh dunia. Ia berlegar-legar ke serata tempat dan mempengaruhi kehidupan manusia sehingga manusia percaya tentang kekuasaannya dan seterusnya bergantung kepadanya. Ada disebutkan ia dipercayai sejak zaman Sumeria dan kerajaan Babylon. Secara turun temurun penggunaan kertas seumpama ini diwarisi sehingga kini.



No comments:

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...