Guru di sekolah sentiasa datang dan pergi. Itulah realiti kehidupan seorang guru. Datangnya guru kerana diminta berkhidmat di suatu tempat. Setelah berkhidmat sekian lama, tentunya akan tiba masa guru akan pergi samada kerana berpindah, bersara ataupun meninggalkan alam fana ini. Jika panjang umur, guru akan menamatkan tugasnya apabila sampai waktu bersara. Ketika itu, tugas perguruan akan disambung oleh generasi berikutnya. Sudah tentu guru baru yang hadir adalah produk yang lahir dari didikan seorang guru juga. Akhirnya cikgu Paul Ibau Nyibang bersara dan diraikan oleh seluruh anak muridnya dengan penuh penghargaan dan pujian. Sebelum itu pula, telah datang seorang guru baru yang bernama Naszkir.
Ketika dalam perkhidmatan, guru akan melaksanakan apa sahaja tugas yang diarahkan. Seharusnya tidak ada perkataan "tidak" bagi seorang guru jika diminta berbuat sesuatu tugas. Malah segala khidmat yang dicurahkan bukan semata-mata kerana wang atau ganjaran. Berilah apa sahaja kepada guru. Jika perlu, jadilah seorang jaga, jurulatih, kerani, buruh, tukang sapu, pekerja binaan, pemandu, jururawat, pengacara, penasihat atau apa-apa sahaja. Begitulah yang berlaku kepada cikgu Paul Ibau yang setia menjadi warden asrama. Bayangkan apa yang berlaku kepada Naszkir jika beliau tidak mengambil tahu tentang anak muridnya itu. Tentu Naszkir tidak akan menjadi seorang guru sepertinya juga.
Realiti kehidupan seorang guru juga dilihat dari aspek organisasi. Jika kita berada ditakuk lama tanpa usaha meningkatkan diri ke satu tahap tertentu, mungkin kita akan berada di bawah sahaja. Mungkin juga tindakan guru ikhlas demi anak bangsa. Biarlah guru terus menaburkan baktinya sebagai guru tulen yang tinggal di pedalaman. Sedangkan anak murid telah menggapai awan menjawat jawatan tinggi dan kerja yang hebat seperti doktor, jurutera dan akauntan. Naszkir adalah lambang kejayaan seorang guru yang berjawatan lebih tinggi dalam organisasi sekolah dan sanggup menjiwai sikap keguruan Ibau.
Konflik kehidupan boleh berlaku di mana-mana tempat dan masa. Begitu jugalah apa yang dialami oleh Ibau. Dilemanya kian bertambah apabila muridnya menjadi majikan yang berada di tahap pentadbiran sekolah. Samada beliau perlu akur dengan keputusan tahap pengurusan tertinggi sekolah supaya tindakan keatas murid yang mempunyai masalah disiplin diubah atau sebaliknya.
Sebagai pelaksana dasar, Ibau adalah gambaran kehidupan masa kini. Kaedah pengajaran guru di sekolah kian berubah paradigmanya. Begitu juga dengan kaedah tindakan disiplin ke atas pelajar. Hakikat pada masa kini pula, guru-guru perlu sanggup menggunakan kaedah baru dalam pembelajaran selaras dengan perkembangan teknologi maklumat. Walaupun ada pro dan kontranya, namun sebagai pelaksana dasar kita perlu menerima dan menyokong usaha yang ada. Segalanya adalah demi pembangunan sumber manusia yang akan dilahirkan pada masa hadapan.
Guru tidak lari daripada melakukan kesilapan kerana dirinya adalah manusia biasa seperti mana orang lain. Sesuatu yang dianggap betul dan menjadi amalan pada suatu masa, mungkin tidak sesuai lagi diamalkan pada masa hadapan. Jika negara ingin mencapai tahap tamaddun yang tinggi, tentunya kini segala tindakan kita harus menjurus kepada perkara yang lebih rasional. Pemikiran kita perlu menjurus kepada menjawab persoalan "apa", "mengapa" dan "bagaimana". Jika tidak, mungkin banyak implikasi yang akan menimpa kita. Naszkir adalah generasi baru yang bertindak berdasarkan rasional dan bukan dengan emosi. Dia mahu menelesaikan masalah pelajar dengan kaedah baru dan bukan menghukum semata-mata. Jika pelajar diambil tindakan disiplin, dirinya perlu dirasionalkan. Namun perlaksanaannya tidak semudah sebagaimana ucapan kita.
Oleh itu jangan remehkan sumbangan dan pengorbanan seorang guru. Mengurus sumber manusia tidak semudah menghasilkan barangan di kilang seumpama sebilah parang, seutas emas, segugus kunci, serawan jala maupun sebuah kereta.
No comments:
Post a Comment