Pantun Nasihat
Tanam bunga di dalam pasu,
Bunga melati bunga pandan;
Jangan ikut hawa nafsu,
Kelak nanti binasa badan.
Burung tiung terbang tinggi,
Burung merpati mencari sarang;
Kalau sombong meninggi diri,
Ke mana pergi dibenci orang.
Kepentingan puisi dalam konteks sarwajagat masyarakat Melayu tradisional.
Masyarakat yang suka bercucuk tanam. Termasuk jenis-jenis bunga menjadi satu budaya masyarakat melayu kerana tanaman tersebut menjadi lambang keindahan. Malah sering mengaitkan bunga dengan perempuan.
Masyarakat yang suka kepada keindahan alam dan persekitaran. Mereka suka menghias halaman rumah dengan hiasan tumbuh-tumbuhan dari jenis pokok bunga.
3 Masyarakat yang tidak suka perbuatan yang terlalu mengikut nafsu Masyarakat yang menyedari bahawa perbuatan mengikut hawa nafsu akan memusnahkan diri sendiri akhirnya. Ucapan pantun supaya jangan mengikut hawa nafsu merupakan nasihat yang mampu mencegah seseorang ahli masyarakat supaya jangan melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu menyesal di kemudian hari.
Masyarakat yang tidak suka perbuatan sombong dan tinggi diri.
Perbuatan sombong adalah amalan yang tidak baik. Perbuatan itu mungkin menjerumuskan seseorang itu tidak bercampur gaul dengan masyarakat. Hidup ahli masyarakat tersebut akan diibaratkan seperti melukut di tepi gantang, ibarat kera sumbang dan ibarat katak di bawah tempurung. Ahli masyarakat lain akan salah tanggap dan sering memperkatakan keburukan rakan yang sombong itu. Hal ini akan menambahkan dosa dan konflik sesama ahli masyarakat.
Masyarakat yang lebih bersifat positif.
Pantun di atas menunjukkan bahawa ahli masyarakat ketika itu tidak bersifat negatif. Mereka sentiasa bersifat positif sebagai ahli masyarakat dan cuba mengelakkan diri daripada cercaan dan umpatan. Salah satu cara mengelakkan diri daripada menjadi sasaran kebencian ahli masyarakat ialah tidak bersifat sombong dan berbangga diri. Anggota masyarakat hendaklah sering bercampur gaul dan mesra sesama anggota masyarakat dengan menghadirkan diri dalam aktiviti masyarakat seperti mesyuarat, kenduri, gotong-royong, bersukan dan lain-lain.
6.
Ulasan tentang pembayang maksud
Rangkap pertama pembayang pantun wujud pada baris pertama yang mengungkapkan ayat berkaitan kegiatan masyarakat melayu yang suka menanam pokok hiasan. Pokok tersebut menjadi hiasan kerana pokok bunga itu ditanam di dalam sebuah pasu. Kesesuaian pembayang ini dilihat dari aspek rima akhir baris pantun sahaja iaitu perkataan “pasu” dapat di sesuaikan dengan perkataan “nafsu”. Kitan mungkin boleh menanam bunga di mana-mana tempat asalkan di atas tanah, tetapi mungkin kurang sesuai kerana ia mungkin tidak mampu menghias sesuatu tempat. Sedangkan menanam bunga di dalam sebuah pasu mampu menjadikan bunga yang ditanam itu menghiasa sesuatu tempat dan mudah alih sifatnya.
Rangkap kedua, pembayangnya ada dua baris. Kedua-dua baris memberikan senario kegiatan unggas iaitu burung tiong dan burung merpati. Kesesuaian burung tiong adalah mampu terbang tinggi sedangkan burung merpati lebih suka kepada kegiatan mencari sarang sahaja. Kegiatan burung tiong yang terbang tinggi mungkin sesuai dengan isu yang hendak dibawa dalam maksud pantun iaitu perbuatan sombong dan tinggi diri. Kadang-kadang sifat manusia yang mampu mencapai pencapaian yang tinggi akan menyebabkan seseorang itu terlalu berbangga diri sehingga dianggap sebagai orang yang sombong dan bongkak. Contohnya seperti sudah belajar tinggi, sudah kaya, lebih kuat, lebih berkuasa dan lain-lain lagi.
Sifat merpati pula yang sibuk dengan hal sendiri iaitu mencari sarang juga menyebabkan dirinya lalai dan terlalu bersifat individualistik. Jika dikaitkan dengan sifak manusia, orang yang hanya memikirkan hal diri sendiri tanpa memikirkan masalah orang lain boleh menyebabkan dirinya dianggap sombong. Jika hidup berjiran, mereka hanya pergi dan balik ke rumah semata-mata kerana mencari rezeki dan menyelesaikan urusan diri sendiri sahaja. Pada pandangan mereka, peduli apa dengan hal-hal orang lain termasuk hal-hal kejiranan. Mereka tidak ambil tahun masalah jiran-jiran dan mengabaikan kegiatan kemasyarakatan.
Ulasan tentang maksud pantun.
Dua rangkap pantun di atas merupakan larangan-larangan terhadap individu supaya menjauhkan diri dari sikap buruk atau tidak melakukan sesuatu sikap yang buruk.
Larangan pada rangkap pertama ialah jangan mengikut hawa nafsu. Jika bertindak mengikut nafsu mungkin akan menyebabkan diri kita terjerumus kepada akibat yang tidak baik.
Larangan kedua pula ialah menghindarkan diri dari sikap sombong. Perkataan yang lain yang mempunyai maksud yang sama ialah seperti bongkak dan tinggi diri. Pantun kedua ini seterusnya menyatakan akibat daipada perlakuan sombong. Perbuatan sombong dan bongkak akan menyebabkan seseorang itu dibenci oleh orang lain.
Pemikiran pantun
1. Larangan terlalu mengikut hawa nafsu. Secara umumnya manusia memang mempunyai nafsu dan perlu memenuhi keperluan nafsu. Gambaran pantun di atas adalah nasihat supaya jangan terlalu mengikut hawa nafsu kerana perlakuan tersebut boleh menyebabkan satu akibat yang buruk. Contohnya seorang yang memerlukan makanan mungkin akan mendapat penyakit sekiranya makan berlebih-lebihan.
2. Larangan berbuat sombong. Perbuatan sombong adalah satu perbuatan yang tidak disukai oleh orang lain. Perkara ini sangat diambil perhatian oleh ahli masyarakat melayu kerana amalan bertegur sapa dan mengambil berat adalah budaya masyarakat yang diamalkan sejak sekian lama dan berterusan.
No comments:
Post a Comment