Sunday, September 23, 2012

Seloka


Seloka

Seloka Pandai Pak Pandir

Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela
Harta habis bawaan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh dilangit
Air di tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak,
Gunting makan di hujung
Pak pandir juga menanggung.
Apa didengar gelagak dagang
Gelagak rambutan jantan:
Orang berbunga, dia berbunga
Orang berbuah, dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan.


Harun Mat Piah.


Seloka bermaksud
Seloka merujuk kepada puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, samaada mempunyai irama atau tidak. Secara amnya,, ia terdiri daripada ungkapan sejajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai kadensa yang sama seperti talibun dan prosa berirama.
Satu ciri penting bagi seloka adalah ia mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah-laku dan sifat negatif.
Antara contoh seloka yang terdapat dalam kesusteraan Melayu lama adalah :-
§  Seloka Emak Si Rendang
§  Seloka Pak Kaduk
§  Seloka Pak Pandir



Pandangan sarwajagat (world views) seloka Pak Pandir.

Pak Pandir mewakili sikap sebahagian masyarakat melayu yang dikatakan mempunyai sifat-sifat yang negatif.  Lalu sifat negatif  tersebut dijadikan senda gurau dan sindiran di dalam seloka. Watak Pak Pandir telah dijadikan watak yang mewakili sikap orang melayu berkenaan. Dikatakan juga bahawa Pak Pandir seorang yang sering tidak bernasib baik. Berikut adalah sebahagian daripada sifat-sifat negatif yang telah diutarakan:



1. Sikap mengutamakan orang lain. Contohnya ayat “Anak dipijak dagang dijinjing”. Pak Pandir bukan sahaja sanggup mengabaikan anaknya sendiri malah menyakitinya sebagaimana dalam perkataan "anak dipijak". Manakala pihak yang tidak berkaitan dengan keluarganya pula diberi layanan baik sebagimana perkataan "dagang dijinjing".


2. Hartanya telah habis kerana tergadai. Contohnya ayat“hartanya habis tergadai”. Gambaran ini menunjukkan Pak Pandir tidak pandai mengurus hartanya. Ada kemungkinan beliau seorang yang boros berbelanja, banyak hutang dan terpaksa menggadaikan hartanya. Malah kemungkinan yang lebih besar ialah beliau suka berjudi atau bertaruh. Petaruhan seorang yang berjudi selalunya melibatkan harta. Jika kalah berjudi dengan sendirinya harta akan terjual atau terpaksa diserahkan kepada pihak yang menang. 

3. Tak sedar kelemahan diri sendiri. Contohnya ayat “tak sedar bertelanjang”. Jika Pak Pandir sedar dirinya tidak berpakaian sudah tentu dia telah bertindak menuntup bahagian badannya yang terdedah. Oleh kerana beliau tidak sedar, maka dia telah membiarkan dirinya tidak berpakaian. Gambaran ini telah menunjukkan bahawa Pak Pandir seolah-olah tidak mengetahui kelemahan yang ada pada dirinya. Oleh itu beliau tidak mampu memperbaiki kelemahan dirinya sendiri.

4. Terlalu mendengar kata pihak lain. Cepat terpengaruh dengan orang lain. Contohnya ayat “Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan”.

5. Hidup terikat, tersiksa disebabkan pihak lain. Contohnya ayat “Mulut kena suap pisang”, “Buntut kena cangkuk onak”.

6. Menanggung masalah diri yang tidak berkesudahan. Contohnya ayat  “Awak juga berkecundangan”

7. Tidak memberi faedah kepada orang lain. Contohnya ayat  “ Gelagak rambutan jantan”

8. Melakukan sesuatu perkara tetapi tidak bersungguh-sungguh. Contohnya ayat  “Kilat memancar hujan tak jadi”.



Catatan: Cuba huraikan yang lain.


Gambaran masyarakat.

Keseluruhan isi seloka tersebut menyindir dengan sinis tentang sikap sebahagian daripada masyarakat melayu yang bersikap negatif. Banyak kelemahan yang wujud di dalam kehidupan harian mereka. Watak Pak Pandir hanyalah seseorang yang mewakili sikap keturunan melayu yang perlu diberi teguran supaya mengubah sikap. 

Sikap masyarakat yang mengutamakan pihak lain. Kadang-kadang suka memberi pertolongan kepada orang lain sedangkan ahli keluarga sendiri tidak dibantu.

Masyarakat yang tidak pandai menjaga hartanya. Kadang-kadang mereka tamak dan ingin cepat kaya. Masyarakat melayu tradisional suka berjudi dan bertaruh dengan harapan mereka cepat kaya.

Sebahagian masyarakat yang tidak sedar diri. Mereka menganggap segala tindakan mereka itu betul dan tidak mahu mendengar nasihat pihak lain. Kelemahan diri sering terserlah tetapi mereka tidak menyedarinya ibarat “tak sedar bertelanjang”.

Masyarakat yang terlalu mendengar pendapat orang lain. Sebahagian masyarakat sangat malas berfikir. Semua kerja perlu dibantu oleh pihak lain.

Akibat terlalu mendengar kata pihak lain, hidup mereka terikat. Mereka tidak mampu hidup bebas dan melaksanakan kerja tanpa dikongkong. Seolah-olah mereka sudah menjadi hamba kepada pihak lain lantaran sikap mereka yang tidak mampu berdikari.

Masyarakat yang suka cakap besar. Ibarat perlakuan rambuatan jantan yang rajin berbunga tetapi tidak menghasilkan buah. Sikap ini wujud dalam kehidupan sesetengah ahli masyarakat. Biasanya mereka ini ingin hidup senang dengan cara yang mudah dan mengambil jalan singkat. Rajin menghebahkan rancangan hidupnya sedangkan usaha mereka tidak seberapa.

Sikap masyarakat yang malas. Apabila melakukan sesuatu perkara, mereka tidak melakukannya secara bersungguh-sungguh. Segala kerja yang dilakukan dibuat setengah jalan sahaja. Contohnya mengusahakan kebun tetapi akhirnya menjadi semak semula dan tidak mampu mengeluarkan apa-apa hasil.


No comments:

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...