Sunday, September 23, 2012

Keindahan dan kemakmuran Negeri

Medannya indah bukan kepalang
Rantaunya luas bagai dibentang
Tebingnya tinggi bagai diraut
Pasirnya serong bentuk taji
Batunya ada  besar kecil
Yang kecil pelontar balam
Jikalau untung kena ke balam
Jikalau tidak kena ke tanah
Menderu selawat ibu ayam
Helang disambar punai tanah
Seumpama kundur dengan labu
Kecil pohon besar buahnya
Negerinya beruntung Bandar rayanya bertuah
Cari di darat boleh di darat
Cari di laut boleh di laut
Ayam itik penuh di reban
Lembu kerbau penuh di tengah padang
Gajah badak penuh di tengah hutan
Sejuk dingin seperti ular cintamani
Di negeri Teluk Bidung Kota Lama.


Gambaran Keindahan Negeri

Talibun di atas memaparkan tentang keindahan sesebuah negeri bernama Teluk Bidung Kota Lama. Keindahan tersebut dilihat dari aspek persekitaran dan sempadan yang ada. Keadaan kawasan negeri mempunyai keistimewaan tertentu berbanding dengan tempat lain. Perkataan medan dan boleh diertikan sebagai persempadanan bagi sesebuah negeri yang diperintah. Rantau pula adalah gambaran keluasan kawasa negeri berkenaan.

Tebing pula dilihat sangat indah seolah-olah seperti diraut. Keadaan ini menambah keindahan pemerian sesebuah negeri kerana tercipta sebegitu rupa. Tebing juga boleh bermaksud kawasan yang boleh menjadi pertahanan sesebuah negeri. Keadaan tersebut boleh juga dimaksudkan dengan jaminan keselamatan kawasan tersebut. Disebut juga tentang sifat objek yang besar seperti batu dan objek yang paling kecil seperti pasir.

Batu menggambarkan objek-objek yang berguna untuk dimanfaatkan bagi mendapatkan sumber negeri. Kegunaannya adalah pelbagai perkara seperti boleh digunakan untuk melontar sesuatu objek atau boleh juga menjadi peluru/senjata untuk menumpaskan musuh. Pada masa yang lain  batu juga boleh berfungsi untuk kegunaan lain.

Balam dalam puisi tersebut boleh ditafsirkan sejenis burung. Balam berfungsi sebagai bahan yang menjadi sasaran iaitu batu. Sekiranya batu gagal mencapai sasarannya, ia masih tetap berguna apabila jatuh ke tanah semula. Mungkin sekurang-kurangnya menjadikan tanah yang ada diliputi oleh batu-batan.

Perkataan ibu ayam memberi maksud ketua negeri yang sering berdoa akan keselamatan penduduk negeri daripada ancaman musuh. Manakala helang menggambarkan ancaman yang mungkin dihadapi oleh penduduk negeri. Punai tanah pula ialah penyelamat penduduk negeri yang mampu menghalang serangan helang yang ganas.

Hasil negeri makmur diibaratkan seperti pokok kundur dan labu. Walaupun pokok tersebut kecil tetapi menghasilkan buah yang banyak. Ini menggambarkan bahawa sesebuah negeri yang makmur itu ialah negeri yang mempunyai hasil mahsul yang banyak.

Mencari rezeki yang di negeri yang makmur boleh didapati di mana-mana tempat samada di darat maupun di lautan. Malah hasil ternakan begitu banyak termasuk lembu dan kerbau.

Sumber-sumber persekitaran secara semula jadi begitu banyak di hutan. Suasana persekitaran dalam negeri tersebut juga begitu nyaman dan dingin sesuai dengan keindahan negeri.


Jenis Puisi : Talibun

Maksud talibun: Harun mat Piah (1989), Ismail Hamid (1987) mendefinisikan talibun sebagai puisi berangkap tantang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara (cerita kaba) di kalangan masyarakat Minangkabau.

Menurut Mohd Taib Osman (1979) puisi talibun memakai kata-kata yang menimbulkan gambaran mata kerana kata-kata yang menimbulkan pemikiran dan pendengaran tentang imej yang lantang dan bermakna. Baris-barisnya memberi dua macam gambaran, iaitu gambaran bunyi yang seolah-olah kita mendengarnya, dan gambaran objek-objek dalam situasinya masing-masing.


Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Talibun atau juga dikenali sebagai sesomba adalah satu puisi yang bentuknya, rangkapnya, jumlah baris dalam rangkap, jumlah kata dalam baris, irama, yang tidak tetap. Talibun merupakan bentuk puisi yang terdiri daripada beberapa rangkap dan setiap baris dapat melengkapkan keseluruhan idea.
Ciri-ciri Talibun adalah seperti berikut:-
  • Ia merupakan sejenis puisi bebas
  • Terdapat beberapa baris dalam rangkap untuk menjelaskan pemerian
  • Isinya berdasarkan sesuatu perkara diceritakan secara terperinci
  • Tiada pembayang. Setiap rangkap dapat menjelaskan satu keseluruhan cerita
  • Menggunakan puisi lain (pantun/syair) dalam pembentukannya
  • Gaya bahasa yang luas dan lumrah (memberi penekanan kepada bahasa yang berirama seperti pengulangan dll)
  • Berfungsi untuk menjelaskan sesuatu perkara
  • Merupakan bahan penting dalam pengkaryaan cerita penglipur lara.

Kepentingan talibun dalam cerita penglipur lara.

1. Menjelaskan sesuatu perkara atau peristiwa. Puisi ini berupaya menjelaskan sesuatu perkara atau keadaan secara ringkas dan padat. Khalayak akan dapat mendengar dengan jelas puisi ini dan memahami isi puisi dengan meggunakan pemikiran yang mendalam.

2. Sebagai selingan dalam cerita. Biasanya puisi ini diselitkan dalam sesebuah karya cerita lipurlara yang menjadi selingan kepada cerita berkenaan.

3. Menarik perhatian dan minat khalayak (pendengar dan pembaca). Puisi ini mampu menarik perhatian khalayak kerana penggunaan bahasanya yang tersusun indah dan mudah difahami. 

4. Salah satu kaedah penceritaan para penglipurlara. Memang telah diketahui umum bahawa para penyampai cerita lipurlara akan menjadikan puisi talibun dan lain-lain jenis puisi sebagai salah satu teknik penyampaian cerita. Tanpa selingan ini mungkin cerita lipurlara akan menjadi hambar tanpa sebarang bentuk hiburan.

5. Sebagai salah satu bentuk hiburan. Puisi ini mampu menghibur khalayak kerana menjadi selingan kepada cerita lipurlara. Setelah mengikuti penceritaan daripada penyampai cerita, ia akan diselangi dengan pengucapan talibun yang disertai dengan alatan muzik si penyampai cerita.







No comments:

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...