Sunday, May 27, 2018

Salam Ramadhan 2018

Salam Ramadhan 2018. Lama tak update blog ini. Kepada pelajar baru Kesusasteraan Melayu Komunikatif. Laman ini pada mulanya hanyalah untuk berita-berita kegiatan saya memancing. Namun saya manfaatkan untuk para pelajar saya untuk memancing ilmu Kesusasteraan Melayu Komunikatif pula. 

Ambillah manfaat ilmunya jika ada. Namun jika ada salah dan silapnya. Rujuklah kepada guru anda agar anda pasti tentang ilmu yang anda baca itu yang benar. Ilmu anda perlu ditambah melalui pembacaan ilmiah dan jangan terlalu bergantung kepada bolggers sahaja. Seterusnya konsep berguru hendaklah melalui proses pembelajaran formal di dalam kelas. Tanyalah kepada guru anda ketika pembelajaran di dalam kelas atau kuliah.

Tuesday, June 13, 2017

922/3 A:Mencipta Pantun 4 Kerat

Pantun 4 kerat dikenali sebagai pantun yang mempunyai 4 baris dalam satu rangkap. Anda perlu mengenali dahulu ciri-ciri pantun tersebut sebelum menciptanya. Cuba baca sebanyak mungkin contoh-contoh pantun yang telah dibukukan. Lihat cara penulisannya, pemilihan kata dan bentuknya. Anda akan lebih kreatif memilih kata-kata puitis apabila semakin banyak membaca contoh pantun di pasaran. Katakan anda diminta menulis lima rangkap pantun 4 kerat bertemakan kasih sayang kepada keluarga. Tindakan pertama yang perlu lakukan ialah menentukan lima mesej utama yang hendak anda lakukan pada setiap rangkap. Contoh:
1. Menghargai kasih sayang
2. Sayang kepada ibu
3. Sayang kepada bapa.
4. Kasih ibu
5. Bahagia kerana disayangi.


Langkah 1
Setelah menentukan mesejnya yang selaras dengan tema yang diminta, anda perlu menulis dua baris maksud puisi dahulu. Abaikan pembayang maksud puisi. Biarkan dua baris yang awal kosong. Pastikan setiap baris maksud puisi mesti mengandungi 4-5 patah perkataan dengan sukukata antara 8-12 suku kata. Rima akhir yang yang baik adalah a/b. Contoh:


-------------------------------------------,
       --------------------------------------------;
 Biarlah hidup tak punya harta,
       Kasih tak mungkin dijual beli,


Langkah 2
Setelah puas hati dengan baris ayat yang telah diciptakan, barulah anda memikirkan tentang aspek pembayang maksud pantun. Pembayang maksud pantun biasa berkaitan langsung dengan aspek maksud. Anda boleh memasukkan apa sahaja perkara seperti alam sekitar, binatang dan peristiwa tertentu. Pastikan rima akhir anda wujud a/b yang menyamai rima maksud pantun di bawahnya. Dengan rima "ta" dan "li", cuba pilih kata yang hampir sama dengannya. Contoh:

Perkataan kota, kita, beta, berkata dan lain-lain bagi baris pertama.
Perkataan tali, barli, kali, Bali, keli, beli dan lain-lain bagi baris kedua.


Bina ayat bagi pembayang:

Pagi hari pergi ke kota,
       Pulang membawa seikat tali;


Langkah 3
Gabungkan pembayang dengan maksud pantun.


Pagi hari pergi ke kota,
       Pulang membawa seikat tali;
 Biarlah hidup tak punya harta,
       Kasih tak mungkin dijual beli.


Ulang langkah 1,2 dan 3 untuk mencipta pantun seterusnya.


Selamat mencuba.


       





Thursday, August 4, 2016

922/1 Bahagian C: . Anas samanda seorang yang idealis. Setujukah anda.

Kemungkinan jawapan jika kita bersetuju dengan pernyataan:

Pemikiran ideal adalah satu keinginan tinggi yang ingin dicapai oleh seseorang individu. Malah kadang-kadang keinginan itu perlu diperolehi selengkap mungkin tanpa melihat realiti sebenar samada keinginan itu mampu dicapai atau tidak. Pihak yang berfikiran seperti itu biasanya sangat yakin tentang hak, akan sanggup berjuang dan pada masa yang sama mempunyai pengikut setia yang menyokong perjuangannya. Hal ini,  sebagaimana yang telah dilakukan oleh Anas Samanda dalam drama Asiah Samiah.

1. Mendapatkan hak milik merupakan satu kebenaran. 
Beliau yakin usahanya tidak menyalahi undang-undang dan patut berbuat demikian. Beliau dan keluarga telah mengusahakan tanah dan mendudukinya setelah sekian lama iaitu selama 50 tahun. Sepatutnya hak milikan tanah diberikan kepada pengusahnya dan bukan diberi kepada orang lain yang tidak pernah mengusahkan tanah itu. Secara ideal sepatutnya undang-undang akan menyebelahi beliau dan penyokongnya.

2. Beliau yakin terhadap pengorbanannya itu sesuatu yang sangat mulia.
Niat Anas sangat murni dan ideal. Sepatutnya Anas diletakkan sebagai golongan yang disanjung tinggi. Apa yang dilakukan bukan sahaja untuk kepentingan diri dan keluarga malah untuk orang ramaiadalah sangat ideal. Keyakinan beliau terhadap perjuangan ini membuatkan beliau tidak berganjak dari pendiriannya untuk terus berjuang. Beliau yakin akan mendapat balasan baik hasil dari niat murninya.

3. Merasakan dirinya bebas untuk berjuang.
Perjuangan kebebasan adalah sesuatu yang universal.  Setiap individu patut diberi kebebasan untuk menyatakan pendiriannya. Beliau merasakan tindakannya tidak melampaui undang-undang negara. Malah beliau sanggup menganjurkan perhimpunan untuk menentang pihak yang berkenaan. Beliau merasakan secara ideal dirinya bebas memilih tindakan mengikut kehendaknya. 

4. Merasakan masyarakat perlu menyokong usaha beliau.
Oleh kerana merasakan berjuangan beliau betul, maka seharusnya orang ramai menyokong perjuangannya. Malah beliau yakin secara idealnya bahawa pengikutnya akan terus bersamanya demi mencapai matlamat perjuangan. Namun Marga tidak dapat menyokong usaha Anas kerana sentiasa berpandangan rasional dan berpijak di bumi nyata.

5. Pihak yang berkuasa yang dianggap kejam patut ditentang.
Perbuatan mengambil alih tanah secara tidak adil itu patut ditentang oleh Anas dan pengikutnya. Perbuatan mereka dianggap zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Anas dan pengikut melaungkan kata-kata semangat ketika berhimpun. Namun kata-kata tidak mampu melawan kuasa dan wang ringgit. Kemenangan secara idealnya sepatutnya perpihak kepada orang yang tertindas namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

6. Perjuangannya adalah demi maruah diri, keluarga dan masyarakat.
Jika menang berjuang adalah sesuatu kemenangan moral dan jika sebaliknya akan menyebabkan maruah diri, keluarga dan masyarakat dianggap telah jatuh pada taraf hina. Oleh itu Anas perlu berkorban demi maruah dan perkara tersebut sangat bernilai tinggi. Secara ideal Anas berfikiran bahawa maruah itu wajib dipertahankan sekalipun terpaksa mengorbankan diri.

Kesimpulannya, Anas dianggap seorang yang bercita-cita tinggi. Namun cita dan perjuangannya tidak kesampaian. Sepatutnya beliau harus berpijak di bumi yang nyata dan akur dengan cadangan pihak yang lebih berkuasa di tempat beliau. 




Wednesday, August 3, 2016

922/1 Watak dan Perwatakan Drama Asiah Samiah

Watak dan Perwatakan

Asiah Samiah
Seorang anak tunggal yang dilahirkan oleh pasangan Tuan Setiawan Tanjung dan Puan Suari Alimin. Hidup penuh kasih sayang. Rupa paras yang cantik, berbudi bahasa dan patuh kepada orang tua.

1. Penyayang
Menyayangi orang lain sehingga sanggup mengorbankan dirinya. Beliau sangat sayang kepada ibu bapa dengan mengikuti segala kehendak orang tuanya. Beliau juga sangat sayang kepada Anas Samanda sekalipun Anas lebih mementingkan perjuangannya. 

2. Seorang yang taat dan patuh.
Beliau sangat patuh kepada kemahuan orang tuanya. Ini terbukti apabila dia ditentukan jodohnya dengan Misa Sagaraga. Walaupun pada hakikatnya dia tidak mencintai Misa Sagaraga dan dia lebih kasih kepada Anas Samanda.

3. Sanggup berkorban.
Rela melakukan apa sahaja demi kebahagiaan dan kemahuan orang lain. Walau cintanya tetap kepada Anas samanda, Asiah sanggup mengorbankan cintanya demi kemahuan kedua orang tuanya. Pengorbanannya telah mengakibatkan hidupnya musnah dan tersiksa. Beliau telah menjadi tidak siuman dan akhirnya meninggal dunia.

4. Seorang yang berpengetahuan.
Beliau telah mendapat pendidikan awal di alam persekolahan. Ibu bapanya telah menghantar beliau ke sekolah. Kebolehannya terbukti apabila beliau mampu mengungkapkan kata-kata puitis dalam lagu dan puisinya sekalipun dalam keadaan tidak siuman. 

5. Tidak siuman.
Pada awalnya beliau begitu ceria dan bijaksana. Namun fikirannya telah terganggu kerana tekanan perasaan dalam hidupnya.

Tuesday, April 5, 2016

922/2 - Kegiatan Ekonomi Tradisional.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
3.2 Ekonomi
3.2/1 Pertanian
3.2.2 Usahawan
3.2.3 Perdagangan

Calon seharusnya dapat:

mengenal pasti bidang ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan negara.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Pensejarahan Ekonomi


Haron Daud (1989), ekonomi merupakan segala kegiatan atas pekerjaan yang dijalankan oleh setiap anggota masyarakat untuk mendapatkan hasil bagi keperluan hidup mereka sama ada dalam bentuk makanan atau barangan lain. Sehubungan dengan itu Sejarah Melayu agak banyak menyentuh hal yang tersebut yang dilaksanakan oleh masyarakat Melayu tradisional terutama yang dijalankan oleh golongan pemerintah 

Kegiatan Ekonomi Sara Diri


Secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawa kegiatan ekonomi sara diri dilihat dari aspek berikut:

1. Kegiatan pertanian
Boleh merujuk kepada kegiatan pertanian di Bukit Siguntang dimana Wan Empuk dan Wan Malini menanam padi huma. Peristiwa yang dikaitkan dengan tempat tersebut adalah ketika turunnya tiga orang anak keturunan Raja Suran di Bukit Siguntang (hlm. 21). Dapatan lain daripada buku tersebut dapat dilihat ketika di Singapura iaitu dalam peristiwa Badang yang asalnya seorang hamba telah menjadi kuat kerana makan muntah hantu. Badang telah berkhidmat membersihkan kebun tuannya dengan kekuatannya.

2. Kegiatan menangkap ikan (nelayan).
Kisah di Semundra Pasai dimana Merah Silu menahan lukah. Lukahnya telah dimasuki cacing gelang-gelang. Cacing tersebut telah direbus namun cacing tersebut bertukar menjadi emas. Bukti ini menunjukkan bahawa kegiatan meningkap ikan merupakan salah satu kegiatan ekonomi.

Di Singapura pula Badang juga dicerikatakan bekerja menahan lukah untuk menangkap ikan. Namun hasil tangkapannya telah dimakan oleh hantu. 

Sementara itu di Melaka, diceritakan tentang Raja Kasim yang bekerja sebagai pengail ikan dan menjual kan kepada pedagang (hlm 218)



3. Memburu dan menangkap binatang.

Kegiatan memburu dan menangkap binatang adalah kegemaran raja dan pembesar. Golongan masayarakat biasa pula menjadikannya sebagai aktiviti sampingan untuk mendapatkan makanan. antaranya adalah menangkap pelanduk, kancil, rusa, ayam hutan, seladang untuk dimakan. Sementara gajah pula digunakan sebagai kenaikan. 

Ketika pembukaan Melaka diceritakan bahawa raja dan pengikut sedang memburu binatang dengan menggunakan dua ekor anjing. Namun anjing tersebut telah dikalahkan oleh pelanduk putih.



4. Memungut hasil hutan.

Kegiatan mencari hasil hutan ini adalah seperti mencari rotan, damar dan getah jelutung.



Persejarahan Ekonomi Perdagangan.


Friday, January 8, 2016

922/2 Mengharungi Penggal ke dua

Para pelajar dingatkan supaya memiliki naskhah teks Sejarah Melayu dan Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Pastikan anda membaca buku teks tersebut. Tiada jalan mudah melainkan anda membacanya. Mana mungkin anda menang perang jika ke medan tempur tanpa senjata. 

Tuesday, March 24, 2015

922/2 C : Pembangunan ekonomi Melaka dalam Sulalatus Salatin bergantung kepada kegiatan dagang

Kegiatan dagang adalah meliputi semua kegiatan perniagaan dan bantuan perniagaan. Ia meliputi aktiviti jual beli, eksport import dan bantuan perniagaan seperti pelabuhan dan pertukaran nilai termasuk emas dan perak. Mungkin kegiatan dagang dahulu tidak terlalu sistematik berbanding sekarang, namun Melaka diceritakan telah menjalankan kegiatan dagang dengan aktif dan mampu menarik ramai pedagang untuk berniaga.

Kedudukan Melaka yang strategik menjadikan Melaka masyhur dan disebut sebagai negeri di bawah angin. Melaka menjadi pusat pertemuan segala dagang. Ramai yang mengenali Melaka dengan panggilan Malakat. Orang Arab datang berdagang sambil menyebarkan agama Islam. Lalu raja Melaka memeluk Islam dan menukar galaran raja menjadi Sultan. Bagi orang China pula, mereka juga datang berdagang kerana ingin bertukar barangan dari pedagang negara lain. Manakala Portugis pula sangat iri hati kepada Melaka dan sanggup memerangi Melaka dan menakluknya.

Dalam pemerintahan sultan Alaudin Riayat Syah, wujud penceritaan tentang premis kedai yang sentiasa dicerobohi oleh pencuri yang sangat ramai sehingga pemilik kedai kerugian dan tidak berani berniaga. Apabila undang-undang dikuat kuasakan oleh Temenggung Tun Mutahir, kedai-kedai kembali menjalankan urus niaga dengan aman. Melaka semakin majulah Melaka apabila suasana negeri aman dan kegiatan dagang dapat dijalankan. 

Pada satu ketika sultan Melaka telah meminta supaya dibelikan kain dari benua Keling. Barangan tersebut terdiri dari 40 jenis kain. Setiap jenis kain mengandungi 40 jenis corak dan setiap corak mengandungi 40 jenis warna. Pihak yang diminta menguruskan pembelian ini ialah Hang Nadim. Namun misi ini kurang berjaya kerana kapal dagang yang membawa kain telah dipukul ribut dan menghanytkan sebahagian besar kain yang beli. Namun peristiwa ini telah membuktikan bahawa Melaka telah melakukan kegiatan import sesama negara yang mereka kunjungi. Kegiatan ini tentunya mampu membangunkan Melaka dari sudut memenuhi keperluan penduduk setempat. 

Melupakan perangai buruk Nina Sura Dewana yang telah melakukan rasuah, didapati dirinya adalah pegawai besar yang berjawatan penghulu urusan dagang. Beliau bertugas menjaga urusan pedangang dan mengutip hasil bagi pelabuhan di Melaka. Sebarang masalah dagang perlu dirujuk kepada beliau sebagaimana urusan Raja Mendaliar ketika berdakwa dengan dirinya. Namun kuasa lebih besar tentunya di tangan Bendahara Melaka pada masa itu iaitu Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Jika para pegawai di Melaka menjalankan tugas dengan baik,tentunya  Melaka akan semakin maju dan begitulah yang terjadi jika sebaliknya.

Monday, March 2, 2015

922/2 Budaya Masyarakat Kampung dalam SBDKL

- Kerjasama
Mereka sentiasa bekerjasama dalam menjayakan program kampung. Ini dapat dilihat melalui aktiviti masyarakat ketika menyambut kedatangan baginda Sultan. Masyarakat kampung telah menjalankan aktiviti gotong royong demi menjayakan program perlantikan orang kaya yang baharu.

-Berbincang
Ahli masyarakat Kampung Tualang telah mengadakan perbincangan dengan cara mengadakan mesyuarat dan perjumpaan. Perbincangan dilakukan secara mesyuarat demi mencapai kesepakatan dalam membuat keputusan. 

-Bertegur sapa
Masyarakat dalam SBDKL sangat mementingkan kemesraan antara satu sama lain. Apabila berjumpa sesama ahli masayarakat, mereka akan saling bertanya khabar. Sebarang perkara yang memerlukan teguran, mereka akan saling menasihati antara satu sama lain. Pak Salim telah memberi nasihat kepada Sudin agar balik ke rumah untuk berjumpa kedua ibu bapaya.

-Tolong menolong
Budaya ini diamalkan apabila mendapati ada rakan atau ahli masyarakat yang memerlukan bantuan. Misalnya ketika rakan Sudin menghadapi masalah kewangan, Sudin telah berusaha untuk membantu rakanya itu. 

Wednesday, November 12, 2014

922/1 C: Misa Sagaraga antagonis.....

Anda boleh mengatakan dirinya antagonis jika mampu membuktikannya. Benarkah Misa Sagaraga seorang yang zalim. Sejauhmana kezalimannya. Merampas hak orang lain itu mungkin zalim namun jika ada bukti dirinya pernah membunuh orang lain tanpa hak, tentu kezalimannya lebih terserlah. Anas Samanda mati kerana rancangannya ke?

Apa lagi dalil yang menunjukkan beliau jahat dan negatif. Mungkin kita boleh mengatakan dirinya bersikap mementingkan diri. Jika dia mementingkan diri apa hujahan yang paling kukuh untuk mengatakan beliau bersikap begitu. Ya mungkin sikap mementingkan dirinya terserlah ketika hendak memiliki Asiah Samiah. Tanpa mementingkan perasaan orang lain, Misa Sagaraga tetap ingin menjadi menantu Tuan Setiawan Tanjung kerana bakal mertuanya banyak harta dan akan menjadi miliknya.

Mungkin belum cukup buruk perangainya jika setakat itu hujah kita. Ya ... mungkin tamak salah satu daripada sifatnya. Mengapa dia tamak... Wah merampas tanah tanpa belas bukan tamak, Tidak, itu mungkin sifat zalim. Tamak boleh dilihat dari sikapnya ingin memiliki segalanya dan menghalang orang lain dari memiliki. Tidak kira samada citanya untuk harta atau lainnya...sila buktikan.

Lagi...apa antagonisnya. Cuba lihat cara hidupnya ketika mengumpul harta perniagaan. Misa tidak memikirkan halal haram. Segala jenis harga ingin dimiliki oleh beliau.. 

Sekadar membuka minda....jika ingin menghujah, kita perlu ada bukti kukuh dan tepat, Sepatutnya Misa tidak begitu. Jika Misa jadi orang kaya yang pemurah alangkah bagusnya. Jika Misa jadi penyayang kepada perempuan alangkah manisnya. Jika Misa menjaga kebajikan orang lain tentu mulia. Jika Misa berniaga dan kumpul kekayaan cara baik tentu akan disanjung.

Sunday, September 21, 2014

Maksud Mitos Secekak Kertas Tisu

Tidak usah risau dengan maksud secekak kertas tisu. Andainya kita masih ragu tentang erti secekak kertas tisu. Lalu apa perkara pun yang kita bincang samada tentang tema, persoalan, latar, plot, teknik penulisan maupun gaya bahasa, maka kita sebut sahaja Secekak Kertas Tisu. Penyebutan ini adalah menyelamatkan diri daripada sebarang pertikaian terhadap erti yang tidak pasti itu. Penulis cerpen ini percaya bahawa khalayak dan pembaca boleh memberi erti yang bebas terhadap apa jua perkara berkaitan isi penulisan ini. Namun apa yang hendak diperkatakan perlu ada asas yang kuat dan mempunyai batasan tertentu supaya pemikiran dan pendapat tidak tersasar jauh. Penulis tentunya menyerahkan kepada pembaca untuk membuat sebarang tafsiran dan tanggapan. Oleh itu sebarang tulisan yang memberi maksud tertentu terhadap SKT itu adalah tanggapan dan tafsiran penulis tersebut dan tidak boleh dijadikan anutan yang hakiki. Mereka juga mempunyai hak untuk memberi tafsiran masing-masing.

Selamat berdiskusi..............


Bincangkan watak "dia" dalam cerpen mitos secekak kertas tisu.

1. Dia telah ditafsirkan dengan pelbagai maksud.
2. Dia asalnya adalah kertas tisu.
3. Dia asalnya mempunyai nilai yang rendah
4. Dia telah diberi nilai yang tinggi.
5. Dia kemudianya telah jatuh nilai.
6. Dia kini sudah menghilang.
7. Dia telah membuat manusia resah gelisah.
8. Dia mempunyai sejarah yang panjang.
9. Dia telah menjadikan manusia sedar tentang kebesaran Allah.
Catatan: Sila rujuk halaman berkenaan sebagai salah satu usaha mengukuhkan ingatan anda.

Saturday, September 20, 2014

922/3 . Berdasarkan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), kemajuan Melaka adalah dipengaruhi oleh sistem pengurusan yang baik dan sesuai dengan zamannya. Bincangkan prinsip pengurusan yang telah dilaksanakan berdasarkan teks berkenaan.

1. Perancangan. Melaka ditadbir secara terancang mengikut kesesuaian sistem feudal. Mesyuarat dan perjumpaan sering diadakan bagi merangka program negara. Sebarang masalah dibincangkan pada peringkat istana. Susun atur pemerintahan dibincangkan dengan jelas dan teratur. Raja diwariskan mengikut keturunan. 

2. Pengorganisasian – Pengorganisasian pemerintahan Melaka adalah disusun secara hiraki. Pengurus atasan adalah golongan raja. Pengurus pertengahan adalah golongan pembesar. Di bawah pembesar adalah golongan bawahan yang bertindak sebagai pelaksana seperti hulubalang, peniaga dan rakyat biasa.

3. Penstafan – Pemilihan jawatan yang bersesuaian dengan kebolehan. Peringkat pembesar pula dipilih mengikut kebolehan dan kelayakan. Bendahara dipilih kerana kebijaksanaan. Laksamana pula dipilih mengikut kebolehan ilmu pahlawan. Mampu merangka strategi perang dan berkhidmat dengan cemerlang kepada empat orang sultan Melaka.

4. Kepimpinan – Melaka mempunyai pemimpin berwibawa. Sultan Mansur Syah  yang cemerlang dan Tun perak selaku Perdana Menteri yang hebat. Tun Perak dipilih oleh Sultan Muzzafar setelah didapati mempunyai kepimpinan yang baik ketika menentang seragan Siam kali petama di Kelang. Hang Tuah pula mempuunyai kepimpinan yang paling berkesan dalam kalangan pahlawan Melaka.

5. Pengawalan – mewujudkan undang-undang yang perlu dipatuhi. Raja sebagai pengawal tingkah laku. Apabila Raja tidak mampu mengawal akibatnya Melaka jatuh.

Thursday, September 4, 2014

922/1 bahagian C: Watak Marga digambarkan seorang yang berpijak di bumi nyata.

Marga seorang yang pernah melalui zaman perit lantaran kehidupannya yang penuh cabaran. Bapanya ditangkap kerana berjuang menentang ketidakadilan. Adik beradiknya hidup dalam keadaan susah dan tidak dipedulikan oleh masyarakat sekitar. Marga adalah rakan baik kepada Asiah Samiah. Beliau telah menjaga anak Asiah Samiah iaitu Laila Anurisah. Ketika beliau membawa Laila Anurisah dan hendak mencari Anas Samanda, beliau telah ditangkap kerana berada dalam satu perhimpunan menentang ketidakadilan anjuran Anas Samanda sekalipun kehadirannya bukan berniat untuk menyertai perjuangan Anas.

1. Beliau digambarkan sebagai seorang yang matang berfikir. Mungkin kematangan beliau diperoleh kerana telah melalui pengalaman perit ketika beliau muda. Bapanya telah dipenjarakan dan keluarganya hidup susah.

2. Marga sentiasa sabar dan bertenang. Ketenangan beliau dapat dilihat ketika berbincang dengan Anas. Beliau mampu memberikan pandangan yang bernas. Dia tidak mahu terburu-buru  untuk segera menyokong tindakan Anas Samanda walaupun apa yang diperjuangkan beliau adalah menentang ketidakadilan dan mempertahankan maruah. 

3. Sentiasa rasional. Beliau menasihati Anas Samanda agar sentiasa bertindak rasional. Apa yang telah Marga lalui telah dicurahkan kepada Anas supaya sentiasa bijak bertindak dan jangan terburu-buru. Segala pengalaman hidupnya yang susah telah mendorong dirinya tidak mahu terlibat dengan perjuangan Anas.

4. Beliau juga berpandangan jauh. Dirinya sering berfikir tentang masa depan agar apa yang akan dilakukan tidak memberi kesan negatif dan menyusahkan keluarga. Pandangan kritis beliau telah dikemukakan ketika berbincang dengan Anas Samanda.

5. Mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi. Sifat kemanusiaan beliau terserlah apabila beliau sanggup menjaga Laila Anurisah ketika kecil lantaran ibunya yang kurang siuman. Malah beliau sentiasa mengambil berat tentang hal ehwal Asiah Samiah ketika hidup tertekan dan terganggu pemikiran.

Semua sifat dan tindakan Marga yang dikemukakan telah menggambarkan bahawa beliau seorang yang realis dan sentiasa berpijak di bumi nyata dalam segala tindakan beliau. Sikap beliau patut dicontohi oleh ramai orang kerana sikap itu boleh menjadikan masyarakat hidup aman harmoni dan mampu mengelakkan konflik yang melampau. Semoga ramai insan dapat mencontohi sikap ini sekalipun kadangkala sikap Marga ini menyebabkan dirinya dianggap penakut.


Saturday, April 26, 2014

922/2 Pembangunan negara dari sudut ekonomi

Bincangkan kegiatan ekonomi berdasarkan Saudagar Besar dari Kuala Lumpur yang mungkin boleh membantu pembangunan negara pada masa kini.                                   [25]                                                             
Pendahuluan
Kegiatan ekonomi merupakan salah satu kegiatan penting yang mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan sesebuah negara. Antara kegiatan ekonomi yang biasa dilakukan adalah terdiri daripada kegiatan pertanian, jual beli. perdagangan, perikanan dan perlombongan. Sumbangan yang boleh diberi kepada pembangunan negara pula adalah seperti peningkatan produktiviti negara, peluang pekerjaan, tambahan sumber pendapatan negara, pembangunan fizikal atau infrastruktur dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Perbincangan
1. Kegiatan pertanian adalah salah satu jenis sumber ekonomi yang dibicarakan dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Kemampuan pertanian memberi sumbangan kepada negara memang tidak dapat dinafikan. Jika dilakukan secara kecil-kecilan tentu, kegiatan ekonomi mampu memberikan pendapatan kepada sebahagian besar rakyat dalam negara. Jika dilakukan secara besar-besaran sudah pasti ia memberi peluang pekerjaan yang banyak selain dari menambahkan pengeluaran dalam sesebuah negara. Kegiatan tanaman orkid yang diusahakan oleh cik puan Tipah boleh menjadi salah satu contoh tebaik bahawa usaha pertanian ini mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Walaupun bermula dengan kegiatan pertanian secara kecil-kecilan, namun usaha tersebut boleh ditingkatkan kepada kegiatan pertanian secara besar-besaran. Dengan ini, terbukti bahawa kegiatan pertanian akan mampu membangunkan sesebuah negara. 

2. Jual beli. Contoh : broker kereta

3. Perdagangan.Contoh : eksprot lada hitam

4. Perikanan. Contoh : Tangkap ikan di Jeram Medang

5. Perlombongan. Contoh: Rancangan melombong bijih timah.

6. Perniagaan kecil-kecilan. Contoh : Pak Salim berniaga di warung.

Penutup
Berdasarkan beberapa contoh tentang kegiatan ekonomi yang telah disebut dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur ternyata kegiatan tersebut mampu membangunkan negara. Namun kegiatan tersebut perlu digiatkan lagi dengan meneroka peluang-peluang baru pada masa kini. Jika kegiatan ekonomi ditingkatkan secara aktif, pembangunan negara akan bergerak lebih pantas dan akan berlaku sebaliknya jika kegiatan ekonomi tidak digiatkan.


Saturday, February 22, 2014

922/2 Pembangunan Masyarakat Dari Sudut Pendidikan

Objektif Pembelajaran : Menjelaskan kepentingan pendidikan dalam pembangunan masyarakat.

Aktiviti Perbincangan
Pendidikan penting dalam pembangunan masyarakat. Bincangkan berdasarkan Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.     

Pengenalan.
Definisi pendidikan: Bermaksud proses membentuk tingkah laku manusia yang baik. Manusia akan dianggap baik apabila dirinya berakhlak dan seterusnya mampu menjadi warga negara yang baik.
Definisi pembangunan masyarakat: Pembangunan masyarakat pada hakikatnya adalah merupakan suatu proses perubahan menuju kehidupan yang lebih baik lagi bagi masyarakat.
Apabila ramai individu berubah menjadi baik maka akan terbentuklah sebuah masyarakat yang baik keseluruhannya yang boleh dikategorikan sebagai masyarakat yang membangun.

Isi  perbincangan:
1. Pendidikan membentuk masyarakat yang berakhlak mulia.

Pendidikan mampu membentuk masyarakat yang berakhlak mulia. Golongan yang beramal dengan ilmunya akan mempraktikkan sifat-sifat baik yang dianggap mulia. Antara sifat mulia yang boleh diamalkan oleh masyarakat ialah bersopan santun, berbudi bahasa dan sabar. Contoh yang paling sesuai berdasarkan SBDKL yang jelas ialah sifat Mahani yang berpendidikan kesetiausahaan. Di tempat kerja beliau sangat berbudi bahasa kepada sesiapa sahaja yang datang ke pejabat encik Muhammad termasuk Datuk Tan. Beliau begitu senang melayani tetamu yang datang ke pejabatnya. Sifat ini patut diamalkan oleh setiap ahli masyarakat kerana golongan seperti ini akan menjadi contoh masyarakat yang dianggap membangun mindanya. Jika sebaliknya, nama baik masyarakat yang diwakili akan jatuh dan wujud tanggapan buruk.


2. Pendidikan melahirkan masyarakat yang berpelajaran tinggi.
3. Pendidikan mampu membangun masyarakat dari sudut ekonomi.
4. Pendidikan menjadikan masyarakat yang beramal dengan agama.
5. Pendidikan mengajak masyarakat agar bekerjasama
6. Pendidikan mengajar masyarakat supaya saling tolong menolong.
7. Pendidikan membentuk masyarakat yang hormat menghormati sesama mereka.
8. Pendidikan berupaya membentuk masyarakat bersatu padu.

Kesimpulan.
Perbincangan di atas telah menunjukkan bahawa pendidikan mampu membangunkan sesebuah masyarakat. Pembangunan tersebut adalah dilihat melalui amalan dan perubahan tingkahlaku yang dialami oleh masyarakat dalam novel SBDKL. Tanpa pendidikan mungkin masyarakat akan gagal dipimpin dan disatukan. Akibatnya masyarakat akan terus berpecah belah.










Friday, February 14, 2014

922/2 Perbincangan tentang Sastera dan Pembangunan Insan : Keagamaan

Matlamat Pembelajaran Pembangunan Insan dari sudut Keagamaan ialah pelajar perlu menghuraikan nilai Islam dan kehidupan beragama sebagai tonggak pembangunan sahsiah.

Pernyataan yang perlu bincangkan adalah seperti berikut:

Nilai Islam dan kehidupan beragama merupakan tonggak pembangunan sahsiah. Bincangkan berdasarkan Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur.

Pengenalan
Nilai bermaksud kualiti, mutu, taraf dan sifat ketinggian dari sudut pemikiran, agama dan kemasyarakatan. Apabila nilai dikaitkan dengan agama Islam bererti ia berkait dengan kualiti kehidupan beragama yang menjadi pegangan dan amalan seseorang individu. Nilai Islam akan menjadi tonggak kekuatan pembentukan peribadi atau sahsiah seseorang apabila diamalkan dalam setiap kehidupan individu tersebut. Segala langkah dalam kehidupan individu perlu mengamalkan nilai agama yang suci ini supaya hidupnya tidak tergelincir dari landasan kehidupan yang sepatutnya individu itu amalkan. Nilai dari perspektif Islam merangkumi keseluruhan aspek kehidupan insan, termasuklah kedudukan, sosial, jawatan, pendidikan, pentadbiran, politik, ekonomi, kebudayaan dan seterusnya kepada hubungan antarabangsa. Tonggak kepada segala nilai Muslim adalah berpusat kepada akidah dan syariat berlandaskan kepada suruhan Allah.

Isi perbincangan.
Insan yang mempunyai pegangan agama yang kukuh akan berjaya dalam kehidupannya. Kehidupan insan yang kuat berpegang kepada akidah sudah tentu sentiasa memikirkan tentang balasan hari akhirat dalam semua tindakannya. Lebai Maarup sentiasa berfikir bagaimana untuk memastikan setiap individu dalam masyarakatnya sentiasa beramal agama setiap masa. Beliau sanggup mewakafkan tanah untuk tujuan pembinaan tempat solat dalam projek pembangunan Kampung Tualang. Sebaliknya jika Lebai Maarup tidak mempunyai pegangan agama yang kuat mungkin beliau tidak akan menghiraukan tentang apa jua perkara yang bakal terjadi di kampung beliau. Ini membuktikan bahawa amalan nilai Islam telah menjadikan Lebai Maarup seorang insan yang berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat.

       Seterusnya insan yang berpegang dengan nilai Islam akan sentiasa rajin berusaha. Individu tersebut akan terus berusaha memperbaiki diri sekalipun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan dugaan. Sudin yang terdidik dengan agama oleh Imam Saad tetap berusaha untuk menjadikan dirinya insan yang rajin bekerja. Dia sanggup melaksanakan apa juga tugas yang diberikan dan sentiasa menjaga nama baik keluarga. Dirinya mengenali siapa rakan dan lawan. Berbeza dengan Mat Akil yang kurang amalan agamanya dimana dirinya bersikap malas. Oleh itu hasil didikan agama yang baik dari ibu bapa telah menjadikan seseorang itu insan yang rajin berusaha.

      Selain dari itu, amalan nilai Islam juga akan menjadikan seseorang individu itu menghormati orang lain. Insan yang beramal dengan nilai Islam tentunya lebih merendah diri dan cuba memuliakan insan yang lain. Tutur kata dan adab sopannya akan menjadi bualan orang lain. Lebai Maarup sentiasa menjaga tutur katanya ketika berkomunikasi dengan pihak lain. Malah beliau tidak suka membuka aib orang lain sekalipun beliau mengetahui siapa yang telah memukul dirinya. Dirinya sanggup membuat perjumpaan dengan orang ramai semata-mata ingin mengelakkan perbuatan buruk sangka sesama orang kampung lantaran kes beliau dipukul itu. Jika beliau tidak berpegang kepada nilai dan amalan agama, sudah tentu dirinya akan menghebohkan pihak yang telah menganiaya beliau. Oleh itu amalan menghormati orang lain seharusnya menjadi amalan setiap individu yang beragama.

            Di samping itu, amalan nilai Islam boleh menjadikan diri seseorang itu menjadi pemimpin yang baik. Encik Muhammad telah mendapat didikan agama di kampung sebelum melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Bekal pengetahuan agama yang telah diterimanya menjadikan beliau seorang yang mampu memimpin organisasi perniagaan dengan cekap dan berkesan. Tanpa latar agama yang kuat, encik Muhammad mungkin sukar menerima pendapat daripada Lebai Maarup yang sebenarnya berniat baik demi kemajuan kampungnya. Beliau menerima pendapat Lebai agar menyeimbangkan pencapaian hidup di dunia dan akhirat. Sikap terbuka encik Muhammad ini telah menyebabkan usaha beliau dalam bidang perniagaan terus maju dan mendapat sokongan ramai pihak.


                Akhirnya, kehidupan beragama Islam mampu membentuk diri menjadi seorang yang amanah. Perkara ini dapat dilihat dalam diri YAB Mohd Yusuf yang sentiasa menjadi amanah menjadi pemimpin masyarakat yang dilantik melalui pilihan raya. Beliau telah menjalankan amanah kepimpinan seperti menolong orang kampung supaya dapat berpindah ke FELDA. Bagi mereka yang tidak layak ke FELDA pula diuruskan supaya mendapat kehidupan yang lebih baik lagi. Imam Saad telah dapat menjadi imam di Pekan Tualang manakala Tuk Empat Dahlan menjadi penghulu. Pak Salim pula diusahakan supaya mendapat tapak perniagaan yang baru. Semua usaha tersebut dilakukan oleh YAB Mohd Yusuf dengan bantuan para pembantunya. Sifat amanah terhadap kerja ini telah menjadikan YAB Mohd Yusuf terus dihormati dan dipilih oleh rakyat. Ini membuktikan bahawa seseorang yang hidup beragama akan menjadi cemerlang dalam kerja. Sebaliknya jika mengabaikan cara hidup Islam, mungkin YAB Mohd Yusuf akan tenggelam dengan kedudukan pangkatnya tanpa memberi apa-apa khidmat kepada rakyat yang beliau pimpin.

Penutup.
Tegasnya, nilai Islam dan kehidupan beragama mampu menjuruskan diri seseorang itu untuk menjadi seorang yang berakhlak baik, rajin, menghormati orang lain, amanah dan berjaya dalam hidup. Sebaliknya tanpa pegangan hidup beragama yang kukuh pula boleh menjuruskan diri kepada perkara-perkara yang negatif. Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan nilai Islam dan cara hidup Islam.






Friday, January 3, 2014

Mengenali Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)

Apabila kita membaca Sejarah Melayu, kita perlu memahami beberapa latar tempat penting yang menjadi panduan kita. Berikut adalah latar penting bagi Sejarah Melayu:

1. Negeri Kida Hindi.
Negeri ini penting dikenali kerana menjadi jajahan takluk Iskandar Zulkarnain ketika hendak melihat negeri Matahari Terbit. Iskandar Zulkarnain telah berkahwin dengan puteri Shahrul Bariah. Lalu lahirlah keturunan raja melaka sehinggalah pemerintahan Raja Suran. Raja Suran dikatakan mewarisi sifat Iskandar Zulkarnain yang hebat dalam peperangan dan penakluk yang hebat. Setelah ditipu oleh orang-orang China, barulah kegiatan penaklukan bertukar kepada penerokaan negeri bawah laut. Raja Suran telah turun ke dalam laut dengan peti kaca berpesawat. Rajanya bernama Aktabul Ard, dari kaum Bu Sum yang rakyatnya separuh kafir dan separuh Islam. Seterusnya, perkahwinan Raja Suran dengan puteri Mahtabul Bahri telah melahirkan tiga orang putera Nila Utama, Nila Pahlawan dan Krisyna Pendita.

2. Bukit Siguntang Mahameru.
Negeri ini adalah tempat mula-mula tiga orang putera Raja Suran mendarat dengan menggunakan kenderaan seekor lembu dari negeri bawah laut. Kehadiran mereka telah menyebabkan persekitaran Bukit Siguntang menjadi bercahaya pada waktu malam. Setelah diperiksa oleh Wan Empuk dan Wan Malini, didapati kawasan perhumaan mereka telah berubah dimana pokok padinya bertukar sifat. Pokok padi telah berbuahkan emas, berbatangkan perak dan daunnya suasa.

Pertemuan tiga anak raja dengan Demang Lebar Daun telah menjalin hubungan baik antara golongan raja dan rakyat. Peristiwa perkahwinan putera Raja Suran dengan anak Lebar Daun telah melahirkan sebuah Waad atau perjanjian antara pihak raja dan rakyat. Setelah perjanjian, maka tiga orang anak raja ini telah menjadi raja di tempat masing-masing iaitu di Tanjung Pura, Minangkabau dan Singapura. 

3. Singapura
Nila Utama telah membuka Singapura dan menjadi raja di sana bergelar Seri Teri Buana. Peristiwa pembukaan Singapura bermula dengan perkembangan negara berkenaan yang sangat hebat. Terdapat cerita hubungan Singapura secara anakronisme dengan Majapahit. Singapura sangat hebat terutama dalam peristiwa tatal kayu dan kepala budak ditarah. Seterusnya Badang yang telah makan muntah hantu menjadi kuat dan menjadi lambang kekuatan Singapura. Cerita perkembangan Singapura terhenti sebentar apabila buku ini menyelitkan peritiwa di Semundera Pasai yang bermula dengan kisah pembukaan negeri berkenaan.

Setelah cerita Semundera Pasai tamat, kisah dalam Sejarah Melayu telah kembali semula ke Singapura. Pada kali ini kisah di Singapura lebih menjurus kepada faktor-faktor kejatuhan pemerintahan. Kisah bermula dengan Pembunuhan Tuan Jana Khatib, Singapura dilanggar todak dan pembunuhan anak Sang Rajuna Tapa. Pemerintahan Sigapura berakhir dengan kedatangan tentera Majapahit yang dijemput oleh Sang Rajuna Tapa serta tentera Singapura yang kelaparan kerana beras disorokkan. Pintu kota dibuka dan Singapura alah. Sang Rajuna Tapa dan keluarga menjadi batu dan raja Singapura melarikan diri ke Johor.

4. Semundera Pasai 
Pembukaan negeri dengan kisah Merah Silu menahan lukah dan mendapat cacing gelang-gelang. Cacing gelang-gelang direbus dan menjadi emas. Peristiwa semut besar menyebabkan nama tempat Semundera dan anjing yang menyalak bernama Pasai meneybabkan nama tempat bernama Pasai. Kemudian berlaku kisah Merah Silu memeluk Islam dan bertukar nama menjadi Sultan Maliku Saleh.

Maliku Saleh meninggal dan dua orang anak baginda dilantik menjadi pemerintah Semundera dan Pasai. Mereka ialah Maliku Mansur dan Maliku Tahir.

Berlaku kisah Maliku Tahir ditawan oleh raja Shahrun Nuwi dan dijadikan gembala ayam. Kemudian berlaku kisah Maliku Mansur mengambil seorang dayang Maliku Tahir ketika melawat adindanya (Maliku Tahir yang tiada di istana kerana telah diculik)

Maliku Tahir telah diselamatkan oleh mangkubuminya Sidi Ali Ghiatuddin dengan cara menyamar sebagai saudagar arab yang mampu memberi hadiah istimewa.  Apabila kembali ke Pasai, baginda telah mendapati dayangnya telah diambil, maka beliau telah merancang untuk menangkap Maliku Mansur. Akhirnya Sidi Asma Yaumiddin ditangkap dan dipancung. Sultan Maliku Mansur pula dibuang negeri. Akhirnya ketika Maliku Mansur dipanggil kembali dari buangan, baginda telah meninggal dunia di atas kubur Sidi Asma Yumiddin di suatu tempat bernama Padang Maya.

5. Melaka.
Pembukaan Melaka
Raja Melaka memeluk Islam
Pemerintahan Sultan Muhammad Syah
Pemerintahan Sultan Muzaffar Syah
Pemerintahan Sultan Mansur Syah
Pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Syah
Pemerintahan Sultan Mahmud Syah
Kejatuhan Melaka ditangan Portugis.

Huraikan setiap peristiwa pemerintahan sultan-sultan di atas.


6. Johor lama (Pusat pemerintahan Melaka selepas ditawan Portugis)

Wednesday, November 27, 2013

922/2 Sastera dan Pembangunan

Penggal kedua adalah fasa ke arah merealisasikan pembelajaran sastera sebagai "sastera gunaan". Para pelajar perlu baca dan fahami isi dua teks sastera iaitu karya agung "Sejarah Melayu" dan novel karya Keris Mas selaku sasterawan negara yang terkenal iaitu "Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur". Tanpa membaca dua teks ini, para pelajar tidak akan dapat membincangkan dengan tuntas kehendak sukatan pelajaran STPM yang ada. 

Guru adalah pemudah cara dengan membuka sebarang perbincangan yang disebut dalam sukatan. Maka para pelajarlah yang mengkaji dan membentangkan apa-apa isu yang diminta dalam pembelajaran. Perkara yang menjadi masalah besar dalam pembelajaran tingkatan enam ialah mengharapkan suapan guru sedangkan tahap tingkatan enam sama tarafnya dengan diploma pengajian tinggi. Sepatutnya apabila guru tamat menjelaskan sukatan dan isinya, maka wajarlah pelajar membentangkan apa-apa tugasan dalam sesi tutorial. 

Jika kita ke medan tempur tanpa sebarang senjata tentunya kita hanya menyerahkan nyawa kita kepada takdir tanpa sebarang usaha dan ikhtiar. Begitulah keadaannya jika kita sebagai seorang pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tetapi tidak mempunyai persediaan yang cukup. Langkah awal anda ialah memiliki kedua-dua buah buku berkenaan. Memiliki sahaja tidak cukup. Anda perlu baca, faham dan mampu menerangkan kepada orang lain tentang isi buku berkenaan. Apapun tahniah kepada para pelajar yang mahu melayari post-post seperti ini, membaca dan sekurang-kurangnya telah melangkah awal sebelum turun merenang gelora kedua di penggal yang kedua.

Monday, November 18, 2013

922/1 C: Realiti Kehidupan Guru Dalam Cerpen Di Sebalik Sirat Makna.

Guru di sekolah sentiasa datang dan pergi. Itulah realiti kehidupan seorang guru. Datangnya guru kerana diminta berkhidmat di suatu tempat. Setelah berkhidmat sekian lama, tentunya akan tiba masa guru akan pergi samada kerana berpindah, bersara ataupun meninggalkan alam fana ini. Jika panjang umur, guru akan menamatkan tugasnya apabila sampai waktu bersara. Ketika itu, tugas perguruan akan disambung oleh generasi berikutnya. Sudah tentu guru baru yang hadir adalah produk yang lahir dari didikan seorang guru juga. Akhirnya cikgu Paul Ibau Nyibang bersara dan diraikan oleh seluruh anak muridnya dengan penuh penghargaan dan pujian. Sebelum itu pula, telah datang seorang guru baru yang bernama Naszkir.

Ketika dalam perkhidmatan, guru akan melaksanakan apa sahaja tugas yang diarahkan. Seharusnya tidak ada perkataan "tidak" bagi seorang guru jika diminta berbuat sesuatu tugas. Malah segala khidmat yang dicurahkan bukan semata-mata kerana wang atau ganjaran. Berilah apa sahaja kepada guru. Jika perlu, jadilah seorang jaga, jurulatih, kerani, buruh, tukang sapu, pekerja binaan, pemandu, jururawat, pengacara, penasihat atau apa-apa sahaja. Begitulah yang berlaku kepada cikgu Paul Ibau yang setia menjadi warden asrama. Bayangkan apa yang berlaku kepada Naszkir jika beliau tidak mengambil tahu tentang anak muridnya itu. Tentu Naszkir tidak akan menjadi seorang guru sepertinya juga.

Realiti kehidupan seorang guru juga dilihat dari aspek organisasi. Jika kita berada ditakuk lama tanpa usaha meningkatkan diri ke satu tahap tertentu, mungkin kita akan berada di bawah sahaja. Mungkin juga tindakan guru ikhlas demi anak bangsa. Biarlah guru terus menaburkan baktinya sebagai guru tulen yang tinggal di pedalaman. Sedangkan anak murid telah menggapai awan menjawat jawatan tinggi dan kerja yang hebat seperti doktor, jurutera dan akauntan. Naszkir adalah lambang kejayaan seorang guru yang berjawatan lebih tinggi dalam organisasi sekolah dan sanggup menjiwai sikap keguruan Ibau.

Konflik kehidupan boleh berlaku di mana-mana tempat dan masa. Begitu jugalah apa yang dialami oleh Ibau. Dilemanya kian bertambah apabila muridnya menjadi majikan yang berada di tahap pentadbiran sekolah. Samada beliau perlu akur dengan keputusan tahap pengurusan tertinggi sekolah supaya tindakan keatas murid yang mempunyai masalah disiplin diubah atau sebaliknya. 

Sebagai pelaksana dasar, Ibau adalah gambaran kehidupan masa kini. Kaedah pengajaran guru di sekolah kian berubah paradigmanya. Begitu juga dengan kaedah tindakan disiplin ke atas pelajar. Hakikat pada masa kini pula, guru-guru perlu sanggup menggunakan kaedah baru dalam pembelajaran selaras dengan perkembangan teknologi maklumat. Walaupun ada pro dan kontranya, namun sebagai pelaksana dasar kita perlu menerima dan menyokong usaha yang ada. Segalanya adalah demi pembangunan sumber manusia yang akan dilahirkan pada masa hadapan.

Guru tidak lari daripada melakukan kesilapan kerana dirinya adalah manusia biasa seperti mana orang lain. Sesuatu yang dianggap betul dan menjadi amalan pada suatu masa, mungkin tidak sesuai lagi diamalkan pada masa hadapan. Jika negara ingin mencapai tahap tamaddun yang tinggi, tentunya kini segala tindakan kita harus menjurus kepada perkara yang lebih rasional. Pemikiran kita perlu menjurus kepada menjawab persoalan "apa", "mengapa" dan "bagaimana". Jika tidak, mungkin banyak implikasi yang akan menimpa kita. Naszkir adalah generasi baru yang bertindak berdasarkan rasional dan bukan dengan emosi. Dia mahu menelesaikan masalah pelajar dengan kaedah baru dan bukan menghukum semata-mata. Jika pelajar diambil tindakan disiplin, dirinya perlu dirasionalkan. Namun perlaksanaannya tidak semudah sebagaimana ucapan kita.

Oleh itu jangan remehkan sumbangan dan pengorbanan seorang guru. Mengurus sumber manusia tidak semudah menghasilkan barangan di kilang seumpama sebilah parang, seutas emas, segugus kunci, serawan jala maupun sebuah kereta.





922/1 A: Kehidupan Seorang Pesara Dalam Sajak Seorang Jemaah

Jika kita sudah bersara daripada apa-apa perkhidmatan dalam dunia pekerjaan sudah tentu telah mempunyai perancangan masing-masing. Begitu jugalah kehidupan seseorang yang telah ditimbulkan dalam sajak tersebut. 

Kita dapat lihat bahawa umur yang sudah lanjut bukan sesuatu yang boleh ditahan prosesnya. Maka apa yang perlu dilakukan ialah menghargai baki umur yang ada dengan menjaga kesihatan sebaik mungkin. Mungkin senaman adalah salah satu aktiviti rutin kita.

Pada masa yang sama, dipenghujung usia kita akan memanfaatkan hidup kepada keyakinan dan iman kita masing-masing. Bagi yang Islam tentunya akan mengisi kehidupannya dengan banyak beribadat.

Sebagai bekas pekerja kerajaan yang dahulunya mempunyai nama besar sebaris gelaran Datuk dan Tan Sri tentunya mempunyai reputasi tinggi dan nama baik. Oleh itu menjaga nama baik adalah penting tanpa menggembar gemburkan siapa diri kita dahulu.

Agak sukar untuk membiasakan kehidupan dalam suasana yang baru. Dilema selepas bersara sering berlaku jika dahulunya kita kuat bekerja dan tidak menerima hakikat bahawa jawatan itu akan berakhir. Adakah kita akan terus kekal dengan status quo yang selama ini kita miliki. Sudah tentu kita harus mengikut arus masa dan zaman. Terimalah hakikat bahawa jawatan kita adalah sementara dan akan berpindah kepada pihak lain.

Berkaitan dengan kehidupan dengan masyarakat pula jangan diabaikan. Namun campur gaul kita mesti menghindarkan diri daripada apa-apa perkara yang membawa pertentangan. Kita mahu hidup kita selepas bersara bahagia dan kita disenangi oleh orang lain. Jika kita pergi ke alam kekal nanti, kita mahu dikenang dari aspek kebaikan sahaja dan bukan perkara sebaliknya.

Akhirnya, kita perlu bersedia menerima hakikat bahawa umur kita kian singkat. Bersedialah kita untuk meninggalkan dunia ini sebagaimana yang telah berlaku kepada mereka yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Namun faktor itu bukan bermakna kita akan melupakan segala keperluan hidup di dunia ini. Lakukanlah rutin kehidupan seharian kita sebagai manusia seperti biasa tanpa rungutan dan keluh kesah. Watak seorang jemaah digambarkan begitu tenang setenang waktu subuh ketika azan berkumandang.

Oleh itu, apa pula perancangan kita selepas bersara nanti?????????

Wednesday, November 6, 2013

922/1 Pemikiran Drama Asiah Samiah




1. Manusia yang memandang harta.
Tuan Setiawan Tanjung hanya melihat Misa Sagaraga sebagai bakal jodoh Asiah Samiah kerana bakal menantunya itu berharta. Orang kaya hanya boleh berkahwin dengan golongan yang setaraf dengan mereka. 

2. Kahwin Paksa tidak membawa kebahagiaan.
Asiah Samiah dijodohkan dengan Misa Sagaraga secara paksa. Asiah Samiah hidup tersiksa dan tidak bahagia. Dirinya mempunyai masalah mental lantaran kehidupan berumahtangga yang tidak bahagia. Anak yang dilahirkan telah diabaikan dan tidak diasuh dengan sempurna.

3. Penindasan golongan yang dianggap berkuasa.
Misa Sagaraga merampas tanah yang telah diduduki keluarga Anas Samanda. Anas Samanda memperjuangkan haknya sehingga beliau ditangkap dan akhirya mati dibunuh. Situasi ini menggambarkan penindasan yang dihadapi oleh watak dan membawa kepada pembunuhan. 

4. Manusia berkuasa kerana harta.
Misa Sagaraga berjaya memiliki harta secara paksa. Malah sebahagian daripada harta miliknya diperolehi daripada sumber yang haram. Dirinya dipandang orang kerana harta namun harta tidak semestinya membawa kepada kebahagian hidup. Misa Sagaraga tidak mampu membeli cinta dengan harta yang beliau miliki. 

5. Cinta sejati.
Asiah sangat mencintai Anas Samanda walaupun telah dipenjarakan. Cinta Asiah tidak pernah pudar sehingga ke hari tua. Walaupun diri Asiah sebenarnya diambil berat oleh Marga, namun Asiah tidak menyedarinya kerana asyik terkenang dengan buah hatinya itu.

6. Manusia yang lupa tanggungjawab.
Misa Sagaraga lupa tanggungjawab terhadap anaknya Laila Anurisa. Marga bertindak menyiksa Laila tanpa belas kasihan. Misa Sagaraga telah membiarkan anaknya dipelihara orang lain. 

7. Konflik jiwa manusia.
Asiah Samiah mengalami konflik jiwa kerana dirinya dijodohkan dengan orang yang tidak dicintainya. Malah Asiah juga digambarkan setengah gila kerana sering mengingati anaknya yang sudah lama tidak ditemuinya. Marga pula terpaksa menghadapi gelagat manusia yang pelbagai ragam. Semasa kecil Marga menghadapi penindasan bersama ayahnya. Setelah dewasa beliau melihat nasib Anas Samanda pula yang terpaksa menghadapi lintah darat dan golongan yang berkuasa kerana harta. Malah Marga sendiri terpaksa meringkuk di penjara lantaran hadir dalam perhimpunan anjuran Anas Samanda. Akhir sekali Marga menghadapi golongan yang tersiksa jiwa raga seumpama Asiah Samiah. Marga menghadapi semua dugaan ini dengan tabah. 

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...