Thursday, August 4, 2016

922/1 Bahagian C: . Anas samanda seorang yang idealis. Setujukah anda.

Kemungkinan jawapan jika kita bersetuju dengan pernyataan:

Pemikiran ideal adalah satu keinginan tinggi yang ingin dicapai oleh seseorang individu. Malah kadang-kadang keinginan itu perlu diperolehi selengkap mungkin tanpa melihat realiti sebenar samada keinginan itu mampu dicapai atau tidak. Pihak yang berfikiran seperti itu biasanya sangat yakin tentang hak, akan sanggup berjuang dan pada masa yang sama mempunyai pengikut setia yang menyokong perjuangannya. Hal ini,  sebagaimana yang telah dilakukan oleh Anas Samanda dalam drama Asiah Samiah.

1. Mendapatkan hak milik merupakan satu kebenaran. 
Beliau yakin usahanya tidak menyalahi undang-undang dan patut berbuat demikian. Beliau dan keluarga telah mengusahakan tanah dan mendudukinya setelah sekian lama iaitu selama 50 tahun. Sepatutnya hak milikan tanah diberikan kepada pengusahnya dan bukan diberi kepada orang lain yang tidak pernah mengusahkan tanah itu. Secara ideal sepatutnya undang-undang akan menyebelahi beliau dan penyokongnya.

2. Beliau yakin terhadap pengorbanannya itu sesuatu yang sangat mulia.
Niat Anas sangat murni dan ideal. Sepatutnya Anas diletakkan sebagai golongan yang disanjung tinggi. Apa yang dilakukan bukan sahaja untuk kepentingan diri dan keluarga malah untuk orang ramaiadalah sangat ideal. Keyakinan beliau terhadap perjuangan ini membuatkan beliau tidak berganjak dari pendiriannya untuk terus berjuang. Beliau yakin akan mendapat balasan baik hasil dari niat murninya.

3. Merasakan dirinya bebas untuk berjuang.
Perjuangan kebebasan adalah sesuatu yang universal.  Setiap individu patut diberi kebebasan untuk menyatakan pendiriannya. Beliau merasakan tindakannya tidak melampaui undang-undang negara. Malah beliau sanggup menganjurkan perhimpunan untuk menentang pihak yang berkenaan. Beliau merasakan secara ideal dirinya bebas memilih tindakan mengikut kehendaknya. 

4. Merasakan masyarakat perlu menyokong usaha beliau.
Oleh kerana merasakan berjuangan beliau betul, maka seharusnya orang ramai menyokong perjuangannya. Malah beliau yakin secara idealnya bahawa pengikutnya akan terus bersamanya demi mencapai matlamat perjuangan. Namun Marga tidak dapat menyokong usaha Anas kerana sentiasa berpandangan rasional dan berpijak di bumi nyata.

5. Pihak yang berkuasa yang dianggap kejam patut ditentang.
Perbuatan mengambil alih tanah secara tidak adil itu patut ditentang oleh Anas dan pengikutnya. Perbuatan mereka dianggap zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Anas dan pengikut melaungkan kata-kata semangat ketika berhimpun. Namun kata-kata tidak mampu melawan kuasa dan wang ringgit. Kemenangan secara idealnya sepatutnya perpihak kepada orang yang tertindas namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

6. Perjuangannya adalah demi maruah diri, keluarga dan masyarakat.
Jika menang berjuang adalah sesuatu kemenangan moral dan jika sebaliknya akan menyebabkan maruah diri, keluarga dan masyarakat dianggap telah jatuh pada taraf hina. Oleh itu Anas perlu berkorban demi maruah dan perkara tersebut sangat bernilai tinggi. Secara ideal Anas berfikiran bahawa maruah itu wajib dipertahankan sekalipun terpaksa mengorbankan diri.

Kesimpulannya, Anas dianggap seorang yang bercita-cita tinggi. Namun cita dan perjuangannya tidak kesampaian. Sepatutnya beliau harus berpijak di bumi yang nyata dan akur dengan cadangan pihak yang lebih berkuasa di tempat beliau. 




No comments:

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...