Google+ Followers

Thursday, July 26, 2012

Hikayat Hang Tuah Bab VII

Perkahwinan Radin Mas Ayu 
dengan Raja Melaka (Sang Maniaka)

Sultan Melaka bersama rombongan telah datang ke Majapahit bertujuan untuk mengahwini Raden Mas Ayu. Rombongan ini diringi oleh Patih Kerma Wijaya, Hang Tuah dan lain-lain pegawai serta rakyat Melaka. 


Di Majapahit, Radin Mas Ayu adalah anak kepada Betara Majapahit. Upacara perkahwinan dimulakan dengan majlis berjaga-jaga. Hang Tuah berjawatan sebagai seorang Bentara. Sultan Melaka telah menghantar belanja perkahwinan dengan persembahan emas tujuh bahara, kain tujuh peti dan perempuan dayang seramai 70 orang. Sultan Melaka telah mengadap Betara Majapahit. 

Ketika majlis mengadap diadakan berlaku perancangan jahat Patih Gajah Mada iaitu salah seorang pembesar Majapahit. Hang Tuah telah menunjukkan kehebatannya memarang mata tombak dan membunuh pencabarnya.







Kemudian datang pula Taming Sari datang mengamuk dan menikam ramai orang. Hang Tuah berani berhadapan dengan tentangan Taming Sari ketika pihak lain termasuk Patih Gajah Mada melarikan diri. Pada awalnya Taming Sari sukar dikalahkan kerana tidak lut diparang oleh Hang Tuah. Kekuatan Taming Sari ada pada kerisnya. Hang Tuah pun membuat muslihat agar mereka berdua bersama-sama mengamuk Betara Majapahit. Hang Tuah mengajak Taming Sari bertukar keris. Apabila sahaja Hang Tuah mendapat Keris Taming Sari, beliau telah memekis dan berlawan semula dengan Taming Sari. Hang Tuah telah berjaya mengalahkan Taming Sari dan dianugerahkan keris yang dimiliki oleh Taming Sari. Hang Tuah juga diberi gelaran Laksamana oleh Ratu Majapahit serta   anugerah Sungai Jemaja. 

1. Mengenal pasti jenis dan ciri-ciri prosa tradisional terpilih.

Jenis karya di atas adalah sejenis karya sastera epik seperti definisi berikut:

Epik adalah sebuah genre puisi naratif yang luas, dicirikan dengan kepanjangannya, pelbagai latar, sejumlah watak-watak yang besar dan berat serta jangka masa yang lama. Biasanya melibatkan cerita-cerita zaman kuno ratusan tahun lampau dan kadang-kala sukar untuk difahami kerana ada maksud tersurat dan maksud tersirat. Ia mengemukakan watak wira yang agung dalam satu rentetan peristiwa yang meliputi mitoslagendadongeng dan sejarah. Epik biasanya dianggap penting bagi perjalanan sejarah sesebuah bangsa, dan merupakan sumber inspirasi kepada bangsa yang melahirkan epik tersebut.[1]
Dasar penceritaan epik tertumpu kepada kepahlawanan seseorang wira. Sebagai seorang wira, dia perlu mempunyai sifat-sifat dan perlakuan fizikal yang berbentuk kepahlawanan. Wira harus bersedia menghadapi cabaran dan dapat membuktikan kepahlawanannya. Masyarakat pula dapat menerima dan mengakui kepahlawanan wira tersebut sebagai yang terunggul pada zamannya.



Ciri-ciri epik adalah:

1. Pahlawan tampil sebagai susuk tubuh yang mengkagumkan. Hang Tuah mampu mengalahkan pencabarnya seorang diri dan memenangi pertarungan tersebut. Malah Hang Tuah sangat bijaksana kerana mampu memperdaya Taming Sari agar mereka saling bertukar keris.

2. Latar penceritaan pahlawan adalah luas, universal dan berlaku di sebarang tempat. Asal Hang Tuah daripada Melaka sedangkan penceritaan di atas adalah di Majapahit.

3. Keberanian tokoh dijadikan bahagian penting dalam keseluruhan tema.
Hang Tuah digambarkan sangat berani menentang musuh seorang diri tanpa bantuan rakan-rakan yang lain.

4. Ada keterlibatan unsur supernatural (kuasa luarbiasa). Hang Tuah tidak cedera walau sedikitpun dalam pertarungannya. Perkara ini adalah suatu yang luar biasa.

5. Tindakan pahlawan bersifat objektif. Watak epik dilukiskan secara tidak langsung melalui dialog dan aksinya sahaja...seperti Hang Tuah diceritakan berjaya mengelak tikaman, melompat ke kiri dan kanan. Hal ini menggambarkan ketangkasan watak Hang Tuah.




2. Menyatakan kepentingan karya dalam konteks sarwajagat (world view) masyarakat melayu tradisional.

Sekiranya kita mengkaji sikap dan sifat Hang Tuah, beliau boleh dijadikan contoh kepada setiap individu manusia seperti berikut:

2.1 Perlu bersikap berani
Seseorang individu yang dianggap berani ialah, sanggup menggadaikan nyawa demi membantu orang lain. Dalam konteks Hikayat Hang Tuah, keberanian Hang Tuah tidak dapat dinafikan. Kesanggupan menentang musuh seorang diri sudah cukup menggambarkan beliau seorang yang sanat berani. Apatah lagi menentang musuh yang handal seperti Taming Sari.

2.2 Manusia perlu bijaksana.
Kebijaksanaan adalah sesuatu yang penting dan signifikan kepada diri seseorang. Selalunya aspek kebijaksanaan dikaitkan dengan kebolehan seseorang itu menyelesaikan masalah dan dapat mengatasi masalah dengan jayanya. Ketika Hang Tuah bertikam dengan Taming Sari, Hang  Tuah sangat bijaksana mencari punca masalah yang menyebabkan dirinya tidak mampu mencederakan Taming Sari. Seterusnya, dengan kebijaksana. Akhirnya Taming Sari terpedaya dan dapat dibunuh.

2.3 Taat setia kepada ketua.
Kemana sahaja Sultan Melaka pergi, Hang Tuah sentiasa bersamanya.

2.4 Menghargai jasa dan sumbangan pihak lain.
Hang Tuah diberi anugerah Sungai Jemaja oleh Betara Majapahit sebagai salah satu cara menghargai jasa-jasanya.

2.5 Sentiasa berwaspada.
Perlu bersikap waspada terutama dengan pihak yang tidak kita kenali saperti Patih Gajah Mada. Apabila kita berada di perantuan, kita perlu sentiasa berhati-hati.

2.6 Hormat menghormati.
Sebarang tindakan yang dilakukan Hang Tuah di Majapahit mendapat restu pemerintah di sana. Sultan Melaka dan Hang Tuah sentiasa sedar bahawa mereka berada di negara orang (Majapahit). 

2.7 Menghormati tetamu.

2.8  Gambaran adat dan budaya masyarakat.
Majlis perkahwinan antara Raja Melaka dengan Radin Emas Ayu digambarkan mempunyai adat-adat tertentu yang diamalkan oleh masyarakatnya. Di antara adat perkahwinan itu ialah seperti adat berjaga-jaga, hantaran mas kahwin, berarak dan mengadap raja.

********sekadar beberapa pandangan yang boleh difikir bersama.





3. Menjelaskan watak dan perwatakan

Watak Hang Tuah.

Seorang rakyat Melaka, pengiring kepada Sultan Melaka. Mendapat Gelaran Laksamana apabila berjaya mengalahkan Taming Sari. Ada lima sahabat.

Perwatakan Hang Tuah
     1. Taat setia
     2. Berani
     4. Bijaksana
     5. Tangkas bermain senjata.
     6. Sangat menghormati raja.

**** perwatakan di atas perlu dihuraikan.

.

4. Menyatakan aspek estetik dalam karya kajian.

4.1 Penggunaan bahasa yang indah sesuai dengan zaman.
4.2 Ketepatan pemilihan kata.
4.3




Rujukan untuk pengetahuan tambahan: http://resam-melayu.com/2010/03/hang-tuah-antara-sejarah-mitos-atau-hikayat.html


  ..........................akan dikemaskini.

Panduan Kajian Puisi

Puisi Tradisional


Banyak daripada puisi Melayu tergolong dalam genre tradisional yang muncul dalam zaman sebelum berkembangnya tradisi tulisan pencetakan. Puisi dalam Bahasa Melayu larut dalam jiwa masyarakat Melayu tidak hanya sebagai satu hasil kesenian, tetapi juga mengjangkau alam mistik, berperanan sebagai wadah pemeliharaan adat, pembinaan sahsiah, pengajaran agama, pengajaran ilmupengasih, pertahanan, hiburan, dan kepercayaan[1].
Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar sejarah mula perkembangan puisi Melayu tradisional. Berdasarkan kajian oleh ramai sarjana, dapat dikatakan perkembangan puisi Melayu tradisional telah bermula secara bersama dan sezaman dengan perkembangan prosa Melayu tradisional. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran banyak genre puisi tradisional dalam karya hikayat dan cerita-cerita rakyat.


Calon seharusnya dapat:

a) mengenal pasti jenis dan ciri-ciri puisi tradisional terpilih;
b) menyatakan kepentingan karya dalam konteks sarwajagat (world view) masyarakat Melayu tradisional;
c) menyatakan aspek estetik dalan karya kajian;
d) menghuraikan kepelbagaian aspek pemikiran masyarakat dalam karya;
e) menjelaskan nilai kemanusiaan, kepercayaan, dan keagamaan dalam puisi tradisional;
f) menganalisis karya.

Masa pemelajaran 20 waktu
Puisi tradisonal terdapat 7 tajuk.




Puisi Moden
Calon-calon seharusnya dapat:

a) mengenal pasti dan menjelaskan aspek intrinsik dan ekstrinsik dalam puisi moden terpilih;
b) menyatakan aspek estetika dalam karya kajian;
c) menghuraikan kepelbagaian aspek pemikiran masyarakat dalam karya;
d) menganalisis karya.

Masa pembelajaran 20 waktu
Jumlah sajak = 7 tajuk

Sajak Seorang Jemaah oleh A. Wahab Ali



Seorang Jemaah
A Wahab Ali

               I
Pada setia subuh bening
Sedang azan memancar di menara masjid
Kutemui dia tenang  berjalan
Jubahnya putih, serbannya putih, kasutnya putih

Sesekali aku berhenti
Mempelawanya menaiki kereta
Dia memberikan salam
Bersamanya menerpa wangi haruman

Bila berjemaah
Sesekali kami bersebelahan
Sebelum takbir
Dia sibuk bersugi.

Sebaik selesai imam memberi salam
Dia berdoa singkat
Kemudian menerjah ke luar
Melipat jubahnya
Dia ligat berjoging di asfalt
Putih topinya, putih bajunya, putih seluarya,
Putih kasutnya.

Setiap derap sepatunya
Dia menyebut kebesaran Allah
Setiap denyut jantungnya
Dia menyambung doa yang tertinggal
Minta umur dipanjangkan
Minta selamatkan anak isteri
Minta selamatkan saudara seagama
Selamat yang hidup Selamat yang mati
Selamat di dunia
Selamat di akhirat
Selamat semuanya.

               II

Kini
Setiap subuh bening
Azan tetap memancar di menara masjid
Jalan tinggal sepi, pintu keretaku tertutup
Tetapi setiap aku lalu di tempat aku mengambilnya
       dulu
Wangi harumnya masih menerpa
Putih jubah dan putih serbannya kubawa bersama.

Kini
Ketika aku berjemaah
Di sisiku dia tiada
Tetapi sugi dan usallinya
Memanjang di mataku

Kini
Bila selesai imam memberi salam
Tidak kelihatan dia bergegas ke luar
Asfalt lama merindukan  seretan kasut putihnya
Pejalan kaki pagi
Merindukan topi putihnya
Doanya masih mengambang
Tetapi degup jantungnya sudah lama berhenti
Dia telah lama selamat
Berbaring bersama deretan pusara
Dato’ dan Tan Seri

Kuala Lumpur – Kuala Terengganu
5-6.12.1991


Maksud Sajak

Bahagian 1
Ketika ahli jemaah masjid itu masih hidup.

R1: Aktiviti jemaah pada waktu subuh yang datang ke masjid dengan berjalan kaki dengan pakaian jubah.

R2: Penyajak sering mengajak jemaah tersebut menaiki kenderaannya.

R3: Amalan sunnah nabi iaitu bersugi merupakan amalan jemaah tersebut.

R4: Selesai solat jemaah tersebut melakukan aktviti senaman/riadah dengan pakaian lengkap.

R5: Sepanjang aktiviti kehidupannya jemaah berkenaan senstiasa mengingati den menyebut nama Allah. Beliau juga sentiasa berdoa kebaikan dan keselamatan kepada saudara seagama yang lain.


Bahagian 2
Ahli jemaah masjid itu sudah meninggal dunia.

R6: Penyajak terkenang kisah hidup jemaah. Beliau merasa kehilangan pada waktu pergi ke masjid.

R7: Malah penyajak juga merasakan ketiadaan ahli jemaah tersebut. Namun perbuatan jemaah ketika solat tetap menjadi ingatan beliau.

R8: Ketika selepas solat penyajak merindukan aktiviti jemaah yang telah pergi itu. Penyajak rindukan topi putih dan doa bekas jemaah itu. Jemaah tersebut telah kembali ke rahmatullah dan bersemadi di kubur. Ahli jemaah yang telah meninggal itu dahulunya mungkin orang ternama, ada gelaran dan berpangkat besar.

Tema sajak

Sajak ini bertemakan kemanusiaan. Penyajak merakam kisah seorang pesara tua ketika pengujung usia dan setelah beliau meninggal dunia. Pesara tua tersebut manfaatkan hujung usianya dengan beribadat di masjid dan menjaga kesihatan dengan beriadah. Sifatnya sangat mulia kerana sentiasa mendoakan kebaikan untuk seluruh saudara Islamnya. Pemergiannya sangat dirasai oleh penyajak dan sentiasa terkenangkan kisah rutin hidupnya.

Pemikiran sajak

1. Manfaatkan kehidupan kita dengan beribadat dan amal kebaikan.
Perbuatan bangun pagi dan solat berjemaah di masjid adalah amalan yang sukar bagi mereka yang tidak biasa beramal dengannya. Jika amal ini berjaya dilaksanakan, sudah tentu amalan solat di waktu yang lain telah dilakukan oleh jemaah itu.

2. Sentiasa mendoakan kebaikan untuk orang lain.
Hati manusia yang suci bersih digambarkan melalui warna putih dalam ayat penyajak. Sebaik-baik manusia adalah orang yang sentiasa mendoakan kebaikan untuk orang lain. Individu itu tiada dendam malah pemaaf orangnya.

3. Menjaga kesihatan dengan beriadah.
Kegiatan beriadah adalah salah satu ikhtiar hidup kita untuk menjaga kesihatan. Malah ia menjadi bukti kerajinan seseorang dan menjauhi sifat malas. Manusia akan lebih cergas dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti kehidupan.

4. Setiap yang hidup pasti akan mati.
Mengakui hakikat kehidupan bahawa penghujungnya adalah mati walau kita hebat menjaga kesihatan dengan bersenam. Segala aktiviti yang diusahakan merupakan ikhtiar semata-mata. Takdir Allah akan mengatasi segala-galanya. Jemaah tetap pergi apabila ajalnya telah tiba.


Pandangan Sarwajagat

Melakukan sesuatu yang bermakna di penghujung kehidupan kita.Semua orang tahu bahawa seseorang manusia tidak akan hidup kekal. Apabila mencapai umur persaraan, selalunya kita kian kuat beribadat dan cuba mengisi seluruh ruang kehidupan yang masih berbaki dengan aktiviti yang bermanfaat. Namun kita tidak boleh menolak ketentuan Ilahi bahawa manusia mempunyai umur yang terhad. Akhirnya manusia akan sampai ajalnya jua. Bagi mereka yang masih hidup tentunya akan mengenang rakan mereka yang telah pergi.Kita akan ingat jasa rakan kita malah akan mengingati kenangan indah sewaktu bersama rakan tersebut. 

Sajak Pahlawan Ialah Dia

Abdul Ghafar Ibrahim
Dewan Sastera 2001

Pahlawan ialah warga yang mengalirkan keringat
demi menyuburkan ladang negara sayang
Pahlawan ialah warga yang menitiskan darah
demi menghidupkan simfoni negara berbilang.

Dialah pahlawan yang mengumpulkan tenaga
     siap sedia
atas nama negara yang tidak dibiarkan leka
Dialah pahlawan yang menghimpunkan setia
    tahan uji
atas nama negara yang tak dibiarkan mati.

Siang-siang berjaga-jaga kerana tak rela
masa depan bangsanya lena
Malam-malam waspada kerana tak sanggup
peluang bangsanya tertutup.

Khidmat cemerlangnya mengapung
pada permukaan bahang puji dan keji
Semangat wajarnya kental membara
di udara kaji dan uji.

Mentari waktu menyambar kasih sayangnya
pada keluarga semasa bertugas jauh
Bulan masa merebut tidurnya
dari sisi dikasihi oleh jadual cemas.

Dialah laskar pelindung kota penyokong desa
warga yang tekadnya disimpulmatikan
oleh jawapan sejahtera aman
dialah nadi ketahanan industri
    teknologi kembangan
memikul amanah tak berkesudahan
demi mencari jawawapan makmur raya.

Tubuhnya perisai tembus peluru.
Boom-bom-boom-bamm
     dia tak gentar
           Tum-tam-tum-tammm
                 dia tunggu
                       Tret-tet-tret-tett
                            dia terus maju.

Baktinya bunga harum warna-warni
      dia tak peduli
            dia tak terpegun
                 dia terus tugas tekun.
Sebagai warga bangga bermaruah
dia terus gemakan gunung hasrat:
                 Selamatkan negara
                 Besar bangsa
                 Pelihara agama
                 Daulat bahasa
                 Cemerlang budaya

Kerana dialah anak watan pewaris keselamatan
Kerana dialah kelompok rakyat
       pengunjung amanat
yang bersandar pada sinar takwa
yang pernah mengalami erti sengsara.    

Cedera di bukit
       tangis di laut
           jerit di udara

tempang di sempadan
      buta di ladang
           emas di sungai
lesu di sawah
     parah di lembah

Yang menjadikan kematian bukti hidupnya
     pahlawan
bukti zaman yang pernah dilindungi
zaman yang menjadi saksi
kepada nilai kemanusiaan yang megah
     dipertahankan.

Sumber: Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Ogos 2001.                  

Maksud Sajak

Rangkap 1
Penyajak memberi erti kepada seorang pahlawan. Pahlawan adalah mereka yang sering berusaha untuk menjaga negara. Pahlawan juga adalah orang yang sanggup berkorban demi negara.

Rangkap 2
Pahlawan sentiasa bersedia berkhidmat dan tidak lalai dengan tugasnya. Pahlawan juga perlu taat dan tabah berjuang demi negara.

Rangkap 3
Pahlawan perlu bersiap sedia tak kira waktu malam atau siang demi memberi peluang kesenangan kepada anak bangsanya.

Rangkap 4
Khidmat pahlawan sentiasa  adalah terbuka untuk menerima pujian dan cacian. Pahlawan perlu tahan cabaran.

Rangkap 5
Pahlawan sanggup berkorban masa meninggalkan jauh keluaga tersayang. Malah berkorban waktu rehat dengan jadual tugas yang bahaya.

Rangkap 6
Pahlawan adalah askar yang melindungi kota dan desa yang penduduknya hanya tahu aman sentosa. Segala usaha ke arah kesejahteraan ekonomi negara tertakluk kepada khidmat pahlawan negara.

Rangkap 7
Pahlawan adalah seorang yang snaggup meredah segala mara bahaya untuk maju ke hadapan.

Rangkap 8
Pahlawan tidak mementingkan kesenangan diri. Dia akan terus berjuang hingga mencapai matlamat.

Rangkap 9
Kerana pahlawanlah, kita mampu menjaga negara sendiri. Kerana pahlawan, kita menjadi orang yang menerima amanat. Kerana pengorbanan pahlawan, kita dapat meningkatkan taqwa kepada Allah. Kerana pahlawan juga, kita memahami erti kesusahan.

Rangkap 10
Pahlawan sanggup menanggung derita dan kesusahan di mana sahaja sama ada di bukit, laut atau udara. Semua yang dilakukan adalah demi menjaga keselamatan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Rangkap 11
Segala kesusahan itu menjadi lumrah bagi pahlawan. Mereka sentiasa terdedah kepada bahaya.

Rangkap 12
Pahlawan menjadikan korban diri sebagai bukti kepada perjuangannya. Mereka menjadi bukti kepada zaman ketika negara sedang diancam musuh.


Siapakah pahlawan?

Berdasarkan konteks ayat dan kata-kata dalam sajak ini, pahlawan adalah terdiri daripada mereka yang berkhidmat untuk negara yang berpakaian uniform tertentu yang meliputi angkatan tentera, polis, rela. Perkara  ini adalah berdasarkan konteks sajak yang dikarang oleh Abdul Ghafar Ibrahim yang mendapat idea menulis sajak ketika sambutan Hari Kemerdekaan Negara. Dalam sambutan berkenaan, penulis telah menyaksikan perarakan pasukan yang memakai pakaian uniform tertentu temasuklah angkatan tentera.

Namun kefahaman terhadap sajak ini boleh juga difahami secara tersirat yang menjurus kepada sesiapa sahaja yang kita anggap seumpama pahlawan.

Sajak Menyongsong Arus


Menyongsong Arus
Kemala
Kuala Tahan Taman Negara 2000

Sesekali arus wajar kusongsong
kalau tidak aku akan tetap mendap di kuala
di hulu sungai ada negeri sejuta tahun
beribu pohon belum disentuh
sejuta erang cengkerik di liang-liangnya
aroma daun dibasahi embun
gadis sunti menjabat puyuh di kaki gunung
"tak kulihat bayang pengembara jauh
menyelam di jeram dugaan
tak kutatap sayang meranum
dan berahiku gigil sendiri"
selasih di genggaman 
dan kasih di pautan.

Sesekali arus kusongsong 
untuk kukenal wajah kilatan maut
ambil cemuh, simpan di peti-peti besi
menunda-nunda serapah tuk batin
jejak pendekar padam sudah
batu-batu dihakis sejarah
seribu kerikil dengan gigi tajamnya
menyeringai menepis gerimis
"dialah yang melandai tubuhku
dentum peluru sepoi Inggeris
meringgis kulit, hanya desis
menyibak kebal embun tujuh subuh
dia berlalu meninggal bayang
tak berwajah, hanya dentuman

menerjah cengal, membalik
berdebur ke sungai
penuntun mata angin
taufan dalam diri
serigala mengilau di mata
"nyeberang kuala trenggan!"

Sesekali arus wajar kusongsong
merempuh jeram
batu-batu hidup, angin berdarah
membawa alamat
"masih  belum kiamat, dik
kau tiba pada senja
lewat seribu musim
aku menggenggam keris lok tujuh
kau menggumam pantun
dan gurindam. Namun
masih kita punya satu ibu!"

Sesekali arus wajar kusongsong
untuk kembalikan kilat diri
ke padang sasar sejarah.
Untuk mencium bau merbau dan keruing
dan terjemahkan
rintih sejuta cengkerik
di liang-liang rumahnya
di hutan purbawi ini.

Ada cermin
di dasar kali
ada amin
di dasar hati
menyongsong kali
menyongsong diri.


Kuala Tahan
Taman Negara


Sumber: Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Jun 2005



Maksud Sajak 

Rangkap 1
Sesekali penyajak berpendapat seseorang itu perlu menjadi pihak yang bertentangan arah. Jika tidak, mungkin kita akan berada ditakuk lama dan tidak berubah (jumud). Sesekali kita perlu meredah kepayahan dan  berjuang.

Rangkap 2
Apabila kita berubah arah (pendapat), kita akan dapat mendengar cacian manusia yang selama ini diam tidak berkata apa-apa. Malah akan terbongkar sikap buruk sebenar pihak penjajah dan penguasa yang sebenarnya bersifat bengis dan zalim.

Rangkap 3
Terserlahlah segala sikap dan keburukan diri .

Rangkap 4
Sesekali kita perlu melawan arah dan berani meredah kepayahan. Pejuang dahulu berjuang dengan senjata tetapi kita kini berjuang melawan arah hanya dengan bahasa penulisan yang penuh dengan kiasan. Tetapi matlamat perjuangan tetap sama seperti pejuang dahulu (Bahaman dan Mat Kilau).

Rangkap 5
Kita memang perlu melawan arus sekali sekala kerana ia boleh mendidik diri kita mengerti tentang sejarah lama. Kita akan dapat merasakan kepedihan dan kesusahan lampau. Kemudian kita dapat terjemahkan kisah kehidupan lampau itu.

Rangkap 6
Penyajak menyatakan bahawa terdapat pedoman tanda dan harapan yang positif apabila menyongsong arus. 

Tema sajak

Sajak ini bertemakan semangat cintakan negara atau nasionalisme.

Beberapa alasan boleh diketengahkan bagi menyokong pendapat ini. Sajak ini mengajak setiap individu yang membaca sajak ini agar tidak menjadi pak turut dalam semua keadaan. Kadangkala kita perlu berkorban dengan memberanikan diri untuk menyongsong arus yang kita ketahui banyak cabaran dan dugaan. Di antara cabaran ketika menyongsong arus adalah kepayahan mengharungi deruan arus air yang kuat. Malah bersama arus tentunya ada bahaya yang pelbagai. Terdapat batu batan yang tajam, pelbagai sampah sarap dan hanyutan yang datang bersama arus. Risiko bahaya menyongsong arus boleh mencapai tahap korban jiwa. Namun sekiranya kita sentiasa memilih untuk berada di zon selesa, maka kehidupan ini akan hanya menjadi biasa-biasa sahaja tanpa mengenal erti perjuangan dan pengorbanan. 

       Oleh itu, untuk mengharungi kehidupan dalam sebuah negara yang moden ini kita haruslah sentiasa berfikir dan bertindak demi kebaikan masa depan negara. Jika kita merasakan wujudnya perkara yang memerlukan pembelaan terhadap golongan yang tertindas, maka kita perlu berani mengemukakan pendapat kita. Sesekali kita perlu berani bersuara kepada pihak penguasa kerana tanpa tindakan sebegitu mungkin kita akan berada ditakuk lama dan tidak memberi apa apa erti dalam kehidupan kita sehingga penghujung usia seperti mana kata-kata pada baris sajak "kalau tidak aku akan tetap mendap di kuala". Tindakan menyongsong arus ini sebenarnya telah dilakukan oleh pejuang terdahulu iaitu Dato Bahaman dan Mat Kilau yang berani menentang kezaliman penjajah Inggeris. 

       Namun tindakan yang dilakukan ini bukan menjanjikan kebahagian yang segera. Kita mungkin terpaksa menghadapi cemuhan dan cabaran bahaya yang mengundang maut. Kita tidak perlu berjuang sehingga mengangkat senjata sebagaimana pejuang dahulu yang terpaksa bertempur dengan keris, tetapi cukuplah berjuang melalui media penulisan sebagaimana contoh berikut:

"masih  belum kiamat, dik
kau tiba pada senja
lewat seribu musim
aku menggenggam keris lok tujuh
kau menggumam pantun
dan gurindam. Namun


masih kita punya satu ibu!"

       Kemampuan kita memberikan pendapat dan berani menyatakan kebenaran sebenarnya adalah mewarisi sifat nasionalisme yang terdapat dalam diri pejuang terdahulu. Oleh itu tindakan menyongsong arus bukanlah satu penderhakaan tetapi merupakan sesuatu kebijaksanaan demi cintakan negara dan menyelamatkan negara dari kehancuran. Cuma tindakan kita itu perlu bijaksana dan bukan di atas kepentingan diri. 


Soalan perbincangan:

Bincangkan kemungkinan yang boleh anda lakukan dalam penulisan anda demi membuktikan bahawa anda seorang yang cintakan negara anda.                                                                       [25]









Wednesday, July 25, 2012

922/1 Sajak Keris Itu Masih Di Tanganmu Ahmad Sarju

Keris Itu Masih Di Tanganmu
Ahmad Sarju

Keris itu masih ditanganmu
untuk menyambung perjuangan
yang sewaktu-waktunya engkau terpaksa mengalah
hati terhiris luka
suara terpaksa membisu
diam mematahkan fitnah
berlembut mencari hikmah

Jika terlalu pahit kaurasi
kembalilah kepada realiti
perjuangan itu pasti ada ranjau durinya
perjuangan itu pasti ada liku-likunya
perjuangan itu pasti ada pahit getirnya
perjuangan itu pasti ada rebah bangunnya
jika genting janganlah kauputuskan
jika tegang janganlah kaurentapkan
jika retak janganlah kauhancurkan
jika putus janganlah kuahanyutkan
jika bocor janganlah kaukaramkan

Ketika kini engkau teruji erti ketabahan
setia seorang musuh tikaman seorang sahabat
jujur seorang seteru fitnah seorang kerabat
kerana sewaktu-waktunya
yang diam mentertawakan kita
yang mengangguk membenci kita
yang berpura-pura rajin bersuara
yang menetang menjadi sahabat
yang bijak merendah suara
yang berhemah memanjatkan doa
yang setia rela mengorbankan dirinya

Keris itu masih di tanganmu
untuk menyambung perjuangan
setelah engkau menjahit dengan ketajamannya
seharusnya engkau telah belajar dan mahir
menepis tikaman mencemburui persahabatan
kerana yang mengatur kejatuhan
bukanlah musuh tetapi muslihat seorang teman.

Sumber: Dewan budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Oktober 2000



Maksud Sajak

Keris = perlambangan tentang kuasa, kemampuan, keupayaan, kelebihan, kekuatan dan sebagainya.

Rangkap 1
Penyajak menyatakan bahawa kuasa yang ada di tangan kita sekarang perlu dimanfaatkan untuk menyambung perjuangan. Namun ada waktunya  kuasa tidak patut digunakan dan kita perlu mengalah, menahan perasaan dan cuba bertindak secara lembut dan bijaksana.

Rangkap 2
Perjuangan itu sesuatu yang pahit dan kita perlu memahami hakikat kesusahannya. Pejuang tidak boleh kecewa dan menambahkan masalah yang sedia ada sehingga memusnahkan sesuatu perkara yang hampir rosak.

Rangkap 3
Kadangkala dalam perjuangan, seorang kawan boleh mengkhianati perjuangan. Rakan-rakan sekeliling ada yang jujur setia namun ada yang berpura-pura.

Rangkap 4
Penyajak menasihatkan agar kita meneruskan perjuangan kerana kita sudah berpengalaman dengan ranjau perjuangan. Malah para pejuang sudah mengenali rakan dan lawan. Penyajak sedar bahawa punca kejatuhan dalam perjuangan sebenarnya berpunca dari khianat rakan-rakan sendiri dan bukan oleh kekuatan musuh.



Tema sajak

Perjuangan tentang hidup.  Selagi kita ada kekuatan, keupayaan, kebolehan, kemampuan, kekuasaan dan sebagainya kita perlu berani menghadapi segala pancaroba hidup. Kadang-kadang kita terpaksa mengalah dan kecewa dalam perjuangan. Realiti perjuangan adalah perlu menghadapi ranjau dan halangan. Dalam perjuangan juga ada rakan yang jujur dan ada yang khianat. Namun selagi kita ada kekuasaan, keupayaan, kemampuan, kebolehan dan sebagainya maka kita perlu terus berjuang.

Pemikiran sajak

1. Hidup perlu berjuang.
2. Mengalah bukan bererti kalah perjuangan.
3. Memahami realiti perjuangan.
4. Berhati-hati dengan sahabat.

*******huraikan.

Pandangan sarwajagat

Sajak di atas menjadikan perkataan "keris" sebagai kata kunci bagi memahami maksud keseluruhan sajak. Jika keris dimaksudkan dengan kekuasaan politik maka ia boleh dikaitkan dengan survirval bangsa terutamanya bangsa melayu. Maka sajak ini menjurus kepada unsur patriotik yang mengajak masyarakat sedar tentang perjuangan survirval bangsa. Malah dalam perjuangan tersebut bangsa melayu kadangkala perlu berkorban dan mengalah lantaran adanya tolak ansur dengan lain-lain bangsa yang telah menjadi sebahagian rakyat Malaysia. Namun yang menyedihkan ialah adanya perbuatan khianat yang berlaku di kalangan rakan-rakan sendiri.

Jika kita ingin meluaskan maksud sajak ini, kita boleh mentafsirkan perkataan keris sebagai keupayaan, kebolehan, kekuatan dan kemampuan seseorang. Dalam hidup, kita memang perlu berjuang bagi menghadapi segala halangan dalam hidup. Umpamanya, ketika umur kita masih  muda, kuat dan berupaya belajar, maka kita perlu berusaha untuk mencapai kejayaan setinggi mungkin. Situasi tersebut juga boleh diibaratkan sebagai keris atau senjata yang ada pada diri kita. Andai kita tidak mahu berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh, kita akan rugi. Kita perlu  faham hakikat perjuangan dan perlu berkorban. Kepada mereka yang tahan perjuangan,  wujud pula cabaran lain termasuklah sifat dengki dan irihati rakan-rakan seperjuangan. Oleh itu kita perlu berhati-hati dan waspada.

Keris juga boleh dikaitkan dengan kelebihan dan keistimewaan yang ada pada diri kita. Jika kita mempunyai apa-apa kelebihan, maka kita perlu menggunakannya dengan baik. Ia adalah satu peluang yang perlu dimanfaatkan. Seorang yang berbakat dalam bolasepak tentunya mempunyai kelebihan umpama mempunyai sebilah keris. Maka individu tersebut perlu memanfaatkan kebolehannya untuk kebaikan diri. Namun untuk berjaya sebagai pemain bolasepak, individu tersebut perlu banyak berkorban jiwa dan raga.


922/1 Sajak Aku Tidak Mahu Lagi T. Alias Taib

Aku Tidak Mahu Lagi
T. Alias Taib

aku tidak mahu lagi
    jadi saksi kepada kebenaran
         kerana kebenaran sering disalahertikan
              menjadi tidak benar lagi

aku tidak mahu lagi
     jadi saksi kepada kepalsuan
         kerana kepalsuan sering diputarbelitkan
             menjadi tidak palsu lagi

aku tidak mahu lagi
     jadi saksi kepada pembunuhan
         kerana pembunuhan sering dibolak-balikkan
            hingga pembunuh melangkah tenang

aku tidak mahu lagi
    jadi saksi kepada penipuan
        kerana penipuan sering disalahtafsirkan
            hingga penipu bersiul riang


Sumber: Pasar Pengalaman, T. Alias Taib, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004.





Maksud Sajak

Rangkap 1
Kebenaran tidak mampu ditunjukkan kerana sering disalah anggap. Orang yang benar dianggap telah melakukan kesalahan.

Rangkap 2
Kepalsuan pula telah diputarbelitkan. Sesuatu yang palsu telah menjadi sesuatu yang dianggap benar.

Rangkap 3
Pembunuhan tidak dapat dibuktikan kesalahannya. Pembunuh terselamat daripada hukuman.

Rangkap 4
Penipuan yang ditafsirkan sebagai kebenaran. Penipu gembira kerana berjaya menipu.


Pandangan Sarwajagat.

Penyajak enggan menjadi saksi kepada segala kepincangan yang sedang berlaku di kalangan masyarakat yang penuh dengan tipu muslihat. Perkataan “saksi” boleh diertikan sebagai keengganan penyajak terlibat atau penyajak tidak mahu dipertanggungjawabkan. Maksud lain bagi perkataan saksi pula, penyajak tidak mahu melihat lagi situasi songsang yang sedang berlaku.

Kebenaran, kepalsuan, pembunuhan dan penipuan merupakan isu yang sering berlaku di kalangan umat manusia. Secara khusus ia berlaku dalam persekitaran masyarakat penyajak. Namun penyajak hanya menyebut secara umum sahaja tanpa menyatakan siapa yang melakukan dan tidak menyebut punca sebenar situasi tersebut berlaku.

Segala yang berlaku telah menjadi sebaliknya kerana ada pihak telah berjaya menukarkan situasi berkenaan berdasarkan kebijaksanaan diri mereka. Kebenaran telah menjadi palsu manakala yang palsu telah menjadi benar. Dari sudut keadilan pula seorang pembunuh telah berjaya melepaskan diri dan bebas dari hukuman. Golongan yang suka menipu pula sangat gembira kerana berjaya meyakinkan orang ramai bahawa dirinya benar.

Mungkin pihak yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
     
    Pemimpin masyarakat (golongan berpengaruh)Pemimpin sering berucap di khalayak ramai dan mempunyai ramai pengikut. Kata-kata mereka akan dipercayai ramai orang samada sumber itu bernar ataupuan palsu.

     Media. Sumber media samada bercetak maupun elektronik adalah sumber maklumat orang ramai. Berita yang dikemukakan akan mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat.
  
    Hakim. Beliau adalah pihak yang membuat keputusan di mahkamah. Keputusan hakim dianggap muktamad dan beliau mampu memberi keputusan ke atas seseorang yang dituduh itu samada bersalah atau tidak. 

     Peguam. 
     Golongan ini adalah terdiri dairpada bijak pandai yang mempunyai kelulusan tinggi. Mereka pandai berhujah untuk kepentingan pelanggan mereka. Sebahagian kes yang dimenanginya mungkin menimbulkan rasa kurang senang pihak lain.



 Ahli politik
      Penulis/Wartawan

  
    Orang awam (massa). Orang awam sering membicarakan pelbagai isu di mana-mana tempat yang selesa bagi mereka terutama di warung kopi. Mereka saling mempengaruhi antara satu sama lain dan sentiasa bertukar maklumat. Sebarang maklumat yang salah akan menambahkan lagi salah tafsir tentang sesuatu isu negara.

Sesiapa sahaja yang mungkin terlibat.




922/1 Sajak Di Titian Kemerdekaan - Darmawijaya

Di Titian Kemerdekaan
Dharmawijaya

telah datang angin kemerdekaan
melambai tanah air berlagu sentosa
telah gemilang sumpah kerelaan
membelai bangsa sepanjang usia.

setiap menjelang kemerdekaan ini
bergemalah di hati anak peribumi
sejahtera bangsa menggenggam kemenangan
keramat bangsa menentang keagungan.

kemerdekaan, di sini bumi beningmu dipijak
di sini langit jernihmu dijunjung
cinta kasih tiadakan retak
meski debar sengketa melanda jantung.

tanah air tercinta hamparan setia
kamilah kini pewaris kemerdekaan
seluhur suara seteguh cita
menjunjung bakti mahkota kedaulatan.


1990

Sumber: Derita Buana, Dharmawijaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992.



Maksud Sajak

Rangkap 1
Sambutan kemerdekaan datang untuk kesekian kali dengan suasana aman dan semangat yang membara kepada seluruh warganegara.

Rangkap 2
Semangat rakyat yang berbangga dan merasakan diri mereka telah mencapai kemenangan daripada kuasa besar.

Rangkap 3
Semangat kemerdekaan telah menjadikan rakyat bertambah cinta dan setia kepada negara sekalipun ada bibit sengketa.

Rangkap 4
Janji penyajak selaku pewaris kemerdekaan untuk menjunjung mahkota kedaulatan negara.

922/1 Sajak Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian -Baha Zain


Sajak
Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian
Baha Zain- 2003
                         
                             i
Aku terbangun pada waktu tengah malam
membuka jendela melihat seluas alam
pernahkah engkau terbangun seperti ini?
Diganggu mimpi buruk atau gelisah rindu.

Lihatlah gelap pekat di mana-mana
nampakkah engkau di sana ada pelita?
Pada setiap jalur cahaya ada bayang-bayang
tidak pekat hitam, tapi remang-remang.

                              ii
Sepi malam melindungi engkau dari bisikan
     orang
kecuali di kiri kanan ada syaitan-syaitan
putuskanlah ke mana matamu memandang
pernahkah engkau secara sedar membuat pilihan?
masuk rongga-rongga hati nurani, sukma kalbu
     dan akal budi
atau tergoda bisikan halus ayaitan-syaitan itu.

Kita sering melihat cahaya benderang
    jauh ke depan
meskipun berdiri dalam gelap pekat atas
    tanah perkuburan
di situ kita injak keamanan dengan mencerca
    keganasan
kita laungkan suara-suara keramat seolah-olah
    kita malaikat
agama jadi alasan, jadi boneka permainan
kita benci perang, kita cinta kedamaian
   jadi slogan perjuangan
kita nyaringkan suara supaya orang tidak
   mendengar bisikan hati nuraninya sendiri,
syaitan lebih nyaring bersuara tentang erti
   keamanan
'Engkau harus kuasai mereka dengan harga
    setinggi mana pun
atas nama kemenangan, apa ertinya kedamaian
sebuah kota yang telah menjadi perebutan'.

                               iii
Perang akan memusnahkan kubu, bangunan,
    muzium, galeri dan universiti
perang telah mengoyakkan halaman-halaman
    sejarah
perang akan mencipta sejarah baru
    di halaman-halaman yang baru
sejarah baru itu hanya derap kaki askar-askar
    yang dahulu

Seorang pemimpin menumpaskan bekas-bekas
    keagungan pemimpin lama
jadi tirani apabila mencium bau wang
pernahkah engkau jadi haloba apabila mencium
   bau keuntungan?
Perang akan memusnahkan bahasa dan kesenian
   yang merumahkan kemanusiaan.

Orang lupa bahawa Islam itu agama kehidupan
untuk semua bangsa yang membenci
   persengketaan.
Pernahkah engkau terfikir bahawa engkau talah
   dipermainkan?

Sumber: Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, April 2003.


Perkataan perlu difahami

1.       Tirani = Corak pemerintahan yang zalim. Menggunakan kekuasaan sesuka hati

Maksud sajak

Rangkap 1
Perasaan penyajak yang terganggu tidur malamnya kerana mimpi buruk. Penyajak cuba mengaitkan kegelapan pekat malam yang dapat dilihat remang-remang kerana ada sedikit cahaya pelita. Secara intrinsiknya, penyajak cuba mengaitkan keadaan gelap dan cayaha remang tersebut dengan kehidupan yang sedang dihadapinya.

Rangkap 2
Persekitaran kehidupan yang dianggap gelap (sukar) menyebabkan diri rasa terasing. Namun anasir jahat seumpama syaitan sentiasa mengganggu dan menghasut diri.

Rangkap 3
Penyajak juga dapat melihat ruang cahaya yang menjadi gambaran penyelesaian masalah hidupnya yang sukar. Penyajak mendapat sokongan daripada suara-suara pejuang keamanan yang dilahat amat baik. Terdapat juga manusia yang suka menjadikan agama sebagai permainan hidup. Pejuang-pejuang keamanan melaungkan slogan cinta kedamaian. Seruan mereka supaya manusia berjuang dengan harta dan tenaga. Di atas nama “matlamat mencapai kemenangan”, maka manusia sanggup bertelingkah.

Rangkap 4
Penyajak meluahkan perasaan tentang akibat peperangan dan perbutan kuasa akan memusnahkan segalanya seperti kemusnahan pembangunan dan menutup sejarah kegemilangan negara.

Rangkap 5
Pemimpin yang berjaya merampas kuasa boleh bertindak lebih zalim kerana terpedaya dengan harta benda. Mereka akan menjadi lebih tamak dan sanggup memusnahkan tamadun manusia seperti bahasa dan kesenian.

Rangkap 6
Penyajak menegaskan tentang kepentingan agama Islam perlu diamalkan dalam kehidupan. Penyajak juga mengingatkan supaya kita berwaspada supaya tidak dipermainkan tanpa sedar.




Pemikiran sajak

1. Bandingan kegelapan malam dengan kesusahan hidup
2. Godaan anasir jahat (syaitan)supaya melakukan kejahatan
3. Sikap pura-pura – konon memperjuangkan keamanan tetapi sebenarnya membawa kemusnahan.
4. Menjadikan agama sebagai topeng
5. Manusia sanggup mati kerana berebut kuasa
6. Akibat peperangan adalah kemusnahan
7. Sikap pemimpin yang zalim


Monday, July 23, 2012

922/1 Sajak Pertemuan di Hyde Park



SAJAK
Pertemuan di Hyde Park 

Adi Badiozaman Tuah

Bila berdiri di antara pepohon rimbun
      di Hyde Park
aku teringat sebidang tanah luas pemberian
     ayah di kampung
betapa sebelumnya ia adalah tanah hutan dara
setelah ditebang pokok dan dibersihkan semak
kemudian dibiarkan kering dan dibakar
dan setelah berkali-kali ditanam padi
menjadi huma bukit milik keluarga.

Atas munggu itulah aku selalu berdiri
    bersama ayah
sama ada ketika padi membesar
    atau semasa menghalau burung pipit
atau membaiki langkau dan tempat jemuran padi
atau saja-saja santai antara panggilan emak
    bila memerlukan kopi
atau bila kemudiannya menemani ayah
    menanam anak getah
atau membetulkan barisan tanaman ladanya.

Bagaikan membahaskan isu utama dunia di
    Sudut Pidato
di situlah ayah akan bercerita tentang erti
    sebuah tanah
tentang tanggungjawab penjagaan dan 
    pemeliharaannya
betapa kegunaannya bisa berubah mengikut
     ketentuan dan keperluan masa
segalanya kitalah yang menentukan dan tanah 
     sedia menerima tanpa bicara

Di situlah ayah sering mengingatkan 
     erti sebuah amanah
kitalah yang mencorakkan dan membentuk
     tanah ini mengikut kesesuaiannya
dan sekiranya alpa, tanah ini akan kembali
    semula menjadi milik alam semesta.



Sumber: Wajah Kita: Kumpulan karya Penulis Sarawak, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004







                                                            Hiyde Park




Perkataan yangperlu difahami

1. Hyde Park
2. munggu  = Busut, longgokan, mungguk timbunan tanah.
3. langkau = batas, baris tanaman.




Maksud Sajak

Oleh Adi Badiozaman Tuah halaman 19-20. Tahun 2004. Sebelum memahami sajak ini kita perlu tahu latar belakang dan sejarah Hyde Park.  
Hyde Park adalah satu tempat yang dikategorikan sebagai taman diraja yang dipenuhi dengan kehijauan persekitarannya yang seluas 630 ekar. Pernah dibom oleh tentera pemberontak Ireland (IRA) yang menyebabkan 8 orang mati.

Pada rangkap pertama pengarang telah membandingkan sebidang tanah pemberian ayahnya di kampung dengan pepohon rimbun di Hyde Park. Pengarang telah menceritakan sejarah tanahnya daripada sebuah hutan kepada sebuah ladang huma milik keluarga.
Rangkap kedua pula menjelaskan bagaimana aktiviti pertanian yang telah dijalankan di kebun ayahnya itu.
Rangkap ketiga membicarakan tentang tanggungjawab penjagaan dan pemeliharaan tanah. Kita sebagai pentadbir kebada tanah yang dimiliki adalah pihak yang menentukan batas-batas kegunaan tanah tersebut.
Rangkap keempat adalah ingatan ayah penyajak tentang tanggungjawab pewaris tanah dan nasihat yang dikemukakan supaya jangan alpa (lupa) terhadap amanah yang mereka miliki. Segala milik kita akan kembali menjadi milik alam semesta sekiranya kita lupa.



 Pandangan Sarwajagat.
 Jika kita mengetahui sejarah Hyde Park tentunya terdapat beberapa keadaan yang perlu difahami oleh kita mengapa pertemuan di tempat penyajak berada menjadi titik tolak pendapatnya tentang alam sekitar. Sebagai taman diraja, Hyde Park menjadi satu tempat yang indah di tengah kota London. Di sekeliling taman berkenaan pula telah dipenuhi dengan pembangunan yang pesat seperti rumah dan pusat-pusat perdagangan.  Malah Hyde Park juga menjadi tempat awam masyarakat kota London melakukan aktiviti sosial termasuklah berhibur dengan konsert di sana. Malah sejarah juga mencatatkan tentang serangan tentera Ireland yang telah memberontak pada tahun 1982. Lalu penyajak mempunyai beberapa padangan tentang fungsi sebidang tanah sebagaimana tanah milik ayahnya yang telah digunakan untuk tujuan pertanian. Ayat sajak ini mencatatkan seperti berikut:

“betapa kegunaannya bisa berubah mengikut ketentuan dan keperluan masa” 
“segalnya kitalah yang menentukan dan tanah sedia menerima tanpa bicara”

Ayat sajak di atas menggambarkan tentang kekuasaan manusia ke atas tanah atau alam sekitar yang dikuasai boleh berfungsi mengikut kehendak pemiliknya. Jika melihat kepada Hyde Park, ia sehingga kini mampu dipertahankan sebagai satu kawasan semulajadi yang terpelihara sedangkan persekitaran Hyde Park sudah dibangunkan menjadi Bandar kosmopolitan yang maju dan sibuk (rujuk: 


Tema Sajak.

Persekitaran Hyde Park telah menimbulkan idea penyajak untuk menyampaikan amanat melalui puisi beliau dengan tema “menghargai tanah warisan”. Tanah warisan adalah kurnia yang perlu dijaga sebaiknya. Kita sebagai penerima amanah bertanggungjawab untuk memanfaatkan tanah mengikut keperluan semasa. Tanah boleh digunakan untuk tujuan pertanian sekalipun terpaksa mengorbankan hutan dara kerana keperluan untuk makanan lebih utama. Bagi Hyde Park, tanah tersebut perlu dijaga keindahan persekitarannya kerana kemusnahannya memungkinkan masyarakat setempat tidak dapat menikmati kawasan yang sedemikian rupa lagi. Persekitara Hyde Park sendiri sudah dikorbankan untuk kepentingan komersial dan penempatan manusia. Oleh itu masyarakat di kampung halaman penyajak perlu disedarkan tentang usaha mengurus sumber tanah yang terhad ini dilakukan dengan berhati-hati supaya terpelihara dari kemusnahan. Penyajak sering ingat nasihat ayahnya yang selalu bercerita tentang erti “sebuah tanah” (rangkap 3 hlm. 19).

Pemikiran.

1. Menjaga amanah tanah warisan
2. Menghargai pemberian warisan keluarga
3. Mengurus harta warisan dengan bijaksana
4. Kealpaan mengurus sumber semulajadi seperti tanah akan mengakibatkan   
   kemusnahan.

(persoalan di atas perlu dihuraikan)

Aspek Estetik.

1. Aspek bahasa
2. Pemilihan kata
3. Rima sajak
4. Unsur bunyi – Asonansi dan Aliterasi

(sila huraikan)