Sunday, July 8, 2012

Ulasan Permata sastera Melayu


Pantun Agama

Banyak hari antara hari,
            Tidak semulia hari Jumaat;
Banyak nabi antara nabi,
            Tidak semulia Nabi Muhammad.

Anak ayam turun sepuluh,
            Mati seekor tinggal Sembilan,
Bangun pagi sembahyang subuh,
            Minta ampun kepada Tuhan.

Gambaran masyarakat.

1.      Memuliakan nabi.
2.      Memuliakan hari jumaat
3.      Memelihara binatang ternakan sebagai aktiviti mencari rezeki.
4.      Taat kepada perintah Allah
5.      Rajin bangun awal pagi.
6.      Sentiasa memohon keampunan Allah.



Pantun Kasih Sayang

Dari mana pipit melayang,
            Dari paya turun ke padi;
Dari mana datangnya sayang,
            Dari mata turun ke hati.

Air dalam bertambah dalam,
            Hujan di hulu belumlah teduh;
Hati dendam bertambah dendam,
            Dendam dahulu belumlah sembuh.

Gambaran masyarakat.
1.      Tinggal di kawasan paya dan sawah padi.
2.      Masyarakat yang menanam padi. Kegiatan ekonomi ialah bertani.
3.      Pekerjaan seorang petani. Tanam padi.
4.      Masyarakat yang hidup berkasih sayang.
5.      Masyarakat yang tinggal di tepi sungai. Perkataan “air dalam” gambaran pasang surut dan hujan. Menjadi kerisauan orang yang tinggal di tepi sungai.
6.      Perkataan “hulu” pula menunjukkan mereka tinggal di hilir sungai. Apabila hujan turun di hulu, penduduk di kawasan hilir akan mendapat kesannya iaitu air semakin dalam. Mungkin boleh berlaku banjir.
7.      Rindu kepada kekasih kerana terpisah jauh. Mereka hidup sering berjauhan antara satu sama lain. Ini menunjukkan orang dahulu sering merantau kerana mencari rezeki. Kerinduan akan melanda hati kerana pertemuan yang sekejap belum mampu menghilangkan rindu.


Pantun Nasihat

Tanam bunga di dalam pasu,
            Bunga melati bunga pandan;
Jangan ikut hawa nafsu,
            Kelak nanti binasa badan.

Burung tiung terbang tinggi,
            Burung merpati mencari sarang;
Kalau sombong meninggi diri,
            Ke mana pergi dibenci orang.

Gambaran Masyarakat

1.      Masyarakat yang suka bercucuk tanam. Termasuk jenis-jenis bunga menjadi satu budaya masyarakat melayu kerana tanaman tersebut menjadi lambang keindahan. Malah sering mengaitkan bunga dengan perempuan.

2.      Masyarakat yang suka kepada keindahan alam dan persekitaran. Mereka suka menghias halaman rumah dengan hiasan tumbuh-tumbuhan dari jenis pokok bunga.

3.      Masyarakat yang tidak suka perbuatan yang terlalu mengikut nafsu Masyarakat yang menyedari bahawa perbuatan mengikut hawa nafsu akan memusnahkan diri sendiri akhirnya. Ucapan pantun supaya jangan mengikut hawa nafsu merupakan nasihat yang mampu mencegah seseorang ahli masyarakat supaya jangan melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu menyesal di kemudian hari.

4.      Masyarakat yang tidak suka perbuatan sombong dan tinggi diri.
Perbuatan sombong adalah amalan yang tidak baik. Perbuatan itu mungkin menjerumuskan seseorang itu tidak bercampur gaul dengan masyarakat. Hidup ahli masyarakat tersebut akan diibaratkan seperti melukut di tepi gantang, ibarat kera sumbang dan ibarat katak di bawah tempurung. Ahli masyarakat lain akan salah tanggap dan sering memperkatakan keburukan rakan yang sombong itu. Hal ini akan menambahkan dosa dan konflik sesama ahli masyarakat.

5.      Masyarakat yang lebih bersifat positif.
Pantun di atas menunjukkan bahawa ahli masyarakat ketika itu tidak bersifat negatif. Mereka sentiasa bersifat positif sebagai ahli masyarakat dan cuba mengelakkan diri daripada cercaan dan umpatan. Salah satu cara mengelakkan diri daripada menjadi sasaran kebencian ahli masyarakat ialah tidak bersifat sombong dan berbangga diri. Anggota masyarakat hendaklah sering bercampur gaul dan mesra sesama anggota masyarakat dengan menghadirkan diri dalam aktiviti masyarakat seperti mesyuarat, kenduri, gotong-royong, bersukan dan lain-lain.
6.       


Ulasan tentang pembayang maksud

Rangkap pertama pembayang pantun wujud pada baris pertama yang mengungkapkan ayat berkaitan kegiatan masyarakat melayu yang suka menanam pokok hiasan. Pokok tersebut menjadi hiasan kerana pokok bunga itu ditanam di dalam sebuah pasu. Kesesuaian pembayang ini dilihat dari aspek rima akhir baris pantun sahaja iaitu perkataan “pasu” dapat di sesuaikan dengan perkataan “nafsu”. Kitan mungkin boleh menanam bunga di mana-mana tempat asalkan di atas tanah, tetapi mungkin kurang sesuai kerana ia mungkin tidak mampu menghias sesuatu tempat. Sedangkan menanam bunga di dalam sebuah pasu mampu menjadikan bunga yang ditanam itu menghiasa sesuatu tempat dan mudah alih sifatnya.

Rangkap kedua, pembayangnya ada dua baris. Kedua-dua baris memberikan senario kegiatan unggas iaitu burung tiong dan burung merpati. Kesesuaian burung tiong adalah mampu terbang tinggi sedangkan burung merpati lebih suka kepada kegiatan mencari sarang sahaja. Kegiatan burung tiong yang terbang tinggi mungkin sesuai dengan isu yang hendak dibawa dalam maksud pantun iaitu perbuatan sombong dan tinggi diri. Kadang-kadang sifat manusia yang mampu mencapai pencapaian yang tinggi akan menyebabkan seseorang itu terlalu berbangga diri sehingga dianggap sebagai orang yang sombong dan bongkak. Contohnya seperti sudah belajar tinggi, sudah kaya, lebih kuat, lebih berkuasa dan lain-lain lagi.

Sifat merpati pula yang sibuk dengan hal sendiri iaitu mencari sarang juga menyebabkan dirinya lalai dan terlalu bersifat individualistik. Jika dikaitkan dengan sifak manusia, orang yang hanya memikirkan hal diri sendiri tanpa memikirkan masalah orang lain boleh menyebabkan dirinya dianggap sombong. Jika hidup berjiran, mereka hanya pergi dan balik ke rumah semata-mata kerana mencari rezeki dan menyelesaikan urusan diri sendiri sahaja. Pada pandangan mereka, peduli apa dengan hal-hal orang lain termasuk hal-hal kejiranan. Mereka tidak ambil tahun masalah jiran-jiran dan mengabaikan kegiatan kemasyarakatan.


Ulasan tentang maksud pantun.

Dua rangkap pantun di atas merupakan larangan-larangan terhadap individu supaya menjauhkan diri dari sikap buruk atau tidak melakukan sesuatu sikap yang buruk.
           
Larangan pada rangkap pertama ialah jangan mengikut hawa nafsu. Jika bertindak mengikut nafsu mungkin akan menyebabkan diri kita terjerumus kepada akibat yang tidak baik.

Larangan kedua pula ialah menghindarkan diri dari sikap sombong. Perkataan yang lain yang mempunyai maksud yang sama ialah seperti bongkak dan tinggi diri. Pantun kedua ini seterusnya menyatakan akibat daipada perlakuan sombong. Perbuatan sombong dan bongkak akan menyebabkan seseorang itu dibenci oleh orang lain.



Gambaran masyarakat.









Pemikiran pantun

1.      Larangan terlalu mengikut hawa nafsu. Secara umumnya manusia memang mempunyai nafsu dan perlu memenuhi keperluan nafsu. Gambaran pantun di atas adalah nasihat supaya jangan terlalu mengikut hawa nafsu kerana perlakuan tersebut boleh menyebabkan satu akibat yang buruk. Contohnya seorang yang memerlukan makanan mungkin akan mendapat penyakit sekiranya makan berlebih-lebihan.

2.      Larangan berbuat sombong. Perbuatan sombong adalah satu perbuatan yang tidak disukai oleh orang lain. Perkara ini sangat diambil perhatian oleh ahli masyarakat melayu kerana amalan bertegur sapa dan mengambil berat adalah budaya masyarakat yang diamalkan sejak sekian lama dan berterusan.

Syair Ikan Terubuk (rujuk teks muka surat 7-10)

Syair Ikan Terubuk adalah sebuah kumpulan syair Melayu yang diciptakan pada abad ke-19, berupa media lisan tanpa diketahui siapa penciptanya. Terdiri dari 285 bait, karya besar yang menjadi masterpiece ini membentangkan kehidupan habitat ikan didalam air, baik air laut maupun air tawar secara lengkap. Uniknya, Syair Ikan Terubuk menjadi sangkakala mantra dalam upacara Semah Laut di Bengkalis, yaitu sebuah upacara mengundang ikan-ikan terubuk melalui cara supranatural, yang dilakukan secara turun-temurun.

Kisah dua kerajaan yang memerintah di persekitaran kawasan kerajaan air masin dan air tawar. Kerajaan air masin diwakili oleh ikan terubuk manakala kerajaan air tawar diwakili oleh ikan puyu-puyu.            Ikan terubuk dikatakan seolah-oleh ikan puaka yang berasal dari laut di Melaka. Perkataan “puaka” boleh dikaitkan dengan ancaman musuh dan perseteruan. Ikan terubuk sangat meminati ikan puyu-puyu. Namun ikan puyu-puyu tidak sedikitpun menyukai ikan terubuk. Ini dapat dilihat pada rangkap 2 dan 3;

            Mula dikarang ikan terubuk,
            Lalai memandang ikan di lubuk,
            Hari dan jantung bagai serbuk,
            Laksana kayu dimakan bubuk.

            Asal terubuk ikan puaka,
            Tempatnya konon di laut Melaka,
            Siang dan malam berhati duka,
            Sedikit tidak menaruh suka.


            Dendam rindu inginkan ikan puyu-puyu sangat mendalam dan terubuk sering merindu siang dan malam. Lalu terubuk sering menyeru dan memuja puyu-puyu.Sebagaimana rangkap ke 4 dan 5;

            Pagi petang duduk bercinta,
            Berendam dengan airnya mata,
            Kalbunya tidak menderita,
            Kerana mendengar khabar berita.

            Pertama mula terubuk merayu,
            Berbunyilah guruh mendayu-dayu,
            Senantiasa berhati sayu,
            Terkenangkan puteri ikan puyu-puyu.


Dikatakan bahawa ikan puyu-puyu itu sangat cantik dan sangat berbudi bahasa. Ini dapat dilihat pada rangkap 6;

            Puteri Puyu-puyu konon namanya,
            Di dalam kolam konon tempatnya,
            Cantik mejelis barang lakunya,
            Patutlah dengan budi bahasanya.

            Asal puyu-puyu dikatakan di Tanjung Padang. Ada pendapat mengatakan kawasan ini adalah di Pagar Ruyung Minangkabau di pulau Sumatera. Diceritakan juga gambaran rupa paras tuan puteri yang menyerupa puyu-puyu. Terubuk sangat tertarik dan sering memerhati keayuan wajah puyu-puyu;

            Kolamnya konon di Tanjung Padang,
            Di sanalah tempat Terubuk bertandang,
            Pinggangnya ramping dadanya bidang,
            Hancurlah hati terubuk memandang.

            Asal usul puyu dikatakan keturunan raja. Dikatakan dia mempunyai keupayaan memuja dan berdoa. Sebarang pinta dan doanya akan dimakbulkan demi mengelakkan ancaman terubuk.



Rangkap 10;

            Setelah hari hampirkan senja,
            Puteri bersiap hendak memuja,
            Jika sungguh asalku raja,
            Disampaikan Allah barang disaja.


Rangkap 13;
            Selang tidak berapa antara,
            Turunlah ribut dengan segera,
            Kilat dan petir tidak terkira,
            Datuk nenek turun dari udara.

            Puyu-puyu mendapat pertolongan berkat doanya yang telah dimakbulkan. Pertolongan tersebut telah menyelamatkan dirinya daripada ancaman terubuk yang sangat inginkan dirinya. Lalu berkat datuk neneknya menunaikan pertolongan dengan sepohon pokok pulai yang rendang.  Puyu dapat melompat keluar daripada kolam ke pucuk batang pulai. Maka terselamatlah puyu  daripada ikan terubuk. Dapat dibuktikan pada rangkap ke 14 da 15,

Rangkap 14;
            Membawa sepohon batangnya pulai,
            Datangnya dari Tanjung Balai,
            Eloknya tidaklah ternilai,
            Puteri melihat hairan terlalai.

Rangkap 15;
            Pulainya rendang dengan rampaknya,
            Di tengah kolah terdiri dianya,
            Sampailah waktu dengan janjinya,
            Puteri melompat ke atas pucuknya.

            Kehilangan puyu-puyu telah sampai kepada pengetahuan terubuk. Berita kehilangannya telah menyebabkan tuanku bersedih dan mengarahkan supaya segera mencari puyu-puyu. Hajat terubuk ingin bertemu puyu-puyu tidak kesampaian lalu kembalilah terubuk ke laut semula dalam keadaan kecewa sebagaimana rangkap 21;

            Terubuk berenang lalu ke laut,
            Sekalian ikan ramai yang mengikut,
            Hati di di dalam terlalu kusut,
            Bagaikan datang rasanya takut.


Pandangan sarwajagat (world views) syair ikan terubuk

1.      Dua kerajaan yang berbeza.
Berdasarkan latar sejarah penciptaan syair ini, kerajaan ikan terubuk dan ikan puyu ini adalah dua buah kerajaan yang berbeza latar tempatnya. Keinginan saling menakluk antara satu sama lain memang wujud. Malah dikatakan bahawa kerajaan ikan terubuk sangat berkuasa dan mampu mengalahkan kerajaan ikan puyu. Bagi pihak yang lemah, adalah lebih baik membuat tipu muslihat dan mengelakkan diri dari berperang dengan pihak yang lebih kuat.

2.      Perbezaan budaya dan pandangan hidup.
Syair ini juga memberi gambaran secara simbolik tentang kehidupan manusia yang berbeza budaya dan pegangan hidup. Perbezaan budaya dan pegangan hidup ini mungkin tidak boleh diterima oleh pihak yang lain. Contohnya dalam soal makan dan minum yang halal bagi umat Islam, mungkin akan menjadi masalah besar bagi mereka untuk hidup dalam kalangan orang yang bukan Islam. Latar budaya hidup ikan terubuk sudah tentu berbeza berbanding kehidupan ikan puyu. Oleh itu ikan terubuk tidak boleh memaksa ikan puyu untuk hudup bersamanya kerana ikan puyu tidak mungkin boleh menerima cara hidup masyarakat terubuk.

3.      Perbezaan prinsip dan pegangan hidup
Kadang-kadang pegangan hidup yang bebeza tidak memungkinkan kesatuan pendapat dan idea. Ahli masyarakat akan saling berbeza pendapat dan saling membantah antara satu sama lain. Adalah lebih baik ikatan kesatuan itu tidak diwujudkan kerana mungkin akan menyebabkan persengketaan yang berpanjangan. Kehidupan ikan terubuk dan ikan puyu amat berbeza latar tempat, suasana dan budaya hidupnya. Maka adalah lebih baik cinta kasih sayang yang berbeza antara dua latar belakang ini tidak direalisasikan.

4.      Cinta tidak kesampaian.
Apabila peristiwa di dalam syair di atas dikaitkan dengan kehidupan manusia biasa, ia boleh dikaitkan dengan kehidupan manusia yang sedang bercinta. Terdapat cita-cita inginkan seorang gadis atau seorang teruna yang tersemat di dalam hati. Mungkin harapan cinta tidak dapat dipenuhi kerana secara realitinya mereka tidak mungkin bersatu. Terdapat halangan besar yang mungkin menghalang jodoh mereka. Mungkin juga pihak yang dicintai tidak sanggup menerima cinta yang dihajatkan lantaran perbezaaan darjat dan sebagainya. Oleh itu cinta tidak kesampaian dan perpisahan berlaku.


Nilai kepercayaan masyarakat

1.      Kepercayaan Anamisme. Masyarakat melayu dahulu sangat mempercayai roh-roh leluhur mereka. Mereka sering memuja semangat roh nenek moyang mereka apabila mereka menghadapi masalah hidup. Contohnya ayat “Dengan berkat nenek moyangku” dalam rangkap ...............

2.      Kepercayaan Hindu. Selepas anamisme, masyarakat melayu mengamalkan ajaran hindu. Oleh itu kepercayaan terhadap dewa adalah salah satu bentuk kepercayaan yang penting bagi mereka. Dewa selalunya menjadi pengantara bagi memohon doa dan permintaan mereka agar dimakbulkan. Contohnya ayat “Disampaikan dewata barang pintaku”

3.      Kepercayaan agama Islam. Kepercayaan masayarakat yang diterjemahkan dalam syair ini adalah setelah kedatangan Islam. Oleh itu, walaupun terdapat unsur kepercayaan lain wujud dalam syair ini namun keutamaannya adalah usur-unsur Islam. Hal ini dapat dilihat melalui pembukaan syair ini telah memulakannya dengan menyebut nama Allah dan bismillah. Contohnya “bismillah itu permulaan kalam”. “Dengan nama Allah khalik al-alam. Ia dikenali juga dengan isilah “Doksologi”. Kemudian di tengah syair ada menyebut “Ya Ilahi Ya Tuhanku,”.  Semua perkara ini menunjukkan bahawa kepercayaan Islam adalah menjadi teras gambaran masyarakat melayu.




Seloka

Seloka Pandai Pak Pandir

Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela
Harta habis badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh dilangit
Air di tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak,
Gunting makan di hujung
Pak pandir juga menanggung.
Apa didengar gelagak dagang
Gelagak rambutan jantan:
Orang berbunga, dia berbunga
Orang berbuah, dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan.


Harun Mat Piah.


Seloka bermaksud
Seloka merujuk kepada puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, samaada mempunyai irama atau tidak. Secara amnya,, ia terdiri daripada ungkapan sejajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai kadensa yang sama seperti talibun dan prosa berirama.
Satu ciri penting bagi seloka adalah ia mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah-laku dan sifat negatif.
Antara contoh seloka yang terdapat dalam kesusteraan Melayu lama adalah :-
§  Seloka Emak Si Rendang
§  Seloka Pak Kaduk
§  Seloka Pak Pandir



Pandangan sarwajagat (world views) seloka Pak Pandir.

Pak Pandir mewakili sikap sebahagian masyarakat melayu yang dikatakan mempunyai sifat-sifat yang negatif.  Lalu sifat negatif  tersebut dijadikan senda gurau dan sindiran di dalam seloka. Watak Pak Pandir telah dijadikan watak yang mewakili sikap orang melayu berkenaan. Dikatakan juga bahawa Pak Pandir seorang yang sering tidak bernasib baik. Berikut adalah sebahagian daripada sifat-sifat negative yang telah diutarakan:

1.      Mengutamakan orang lain. “Anak dipijak dagang dijinjing”.
2.      Hartanya tergadai. “hartanya habis tergadai”
3.      Tak sedar kelemahan diri sendiri. “tak sedar bertelanjang”
4.      Terlalu mendengar kata pihak lain. Cepat terpengaruh dengan orang lain. “Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan”.
5.      Hidup terikat, tersiksa disebabkan pihak lain. “Mulut kena suap pisang”, “Buntut kena cangkuk onak”.
6.      Menanggung masalah diri yang tidak berkesudahan. “Awak juga berkecundangan”
7.      Tidak memberi faedah kepada orang lain. “ Gelagak rambutan jantan”
8.      Melakukan sesuatu perkara tetapi tidak bersungguh-sungguh. “Kilat memancar hujan tak jadi”.


Gambaran masyarakat.

Keseluruhan isi seloka tersebut menyindir dengan sinis tentang sikap sebahagian daripada masyarakat melayu yang bersikap negatif. Banyak kelemahan yang wujud di dalam kehidupan harian mereka. Watak Pak Pandir hanyalah seseorang yang mewakili sikap keturunan melayu yang perlu diberi teguran supaya mengubah sikap.

1.      Sikap masyarakat yang mengutamakan pihak lain. Kadang-kadang suka memberi pertolongan kepada orang lain sedangkan ahli keluarga sendiri tidak dibantu.

2.      Masyarakat yang tidak pandai menjaga hartanya. Kadang-kadang mereka tamak dan ingin cepat kaya. Masyarakat melayu tradisional suka berjudi dan bertaruh dengan harapan mereka cepat kaya.

3.      Sebahagian masyarakat yang tidak sedar diri. Mereka menganggap segala tindakan mereka itu betul dan tidak mahu mendengar nasihat pihak lain. Kelemahan diri sering terserlah tetapi mereka tidak menyedarinya ibarat “tak sedar bertelanjang”.

4.      Masyarakat yang terlalu mendengar pendapat orang lain. Sebahagian masyarakat sangat malas berfikir. Semua kerja perlu dibantu oleh pihak lain.

5.      Akibat terlalu mendengar kata pihak lain, hidup mereka terikat. Mereka tidak mampu hidup bebas dan melaksanakan kerja tanpa dikongkong. Seolah-olah mereka sudah menjadi hamba kepada pihak lain lantaran sikap mereka yang tidak mampu berdikari.

6.      Masyarakat yang suka cakap besar. Ibarat perlakuan rambuatan jantan yang rajin berbunga tetapi tidak menghasilkan buah. Sikap ini wujud dalam kehidupan sesetengah ahli masyarakat. Biasanya mereka ini ingin hidup senang dengan cara yang mudah dan mengambil jalan singkat. Rajin menghebahkan rancangan hidupnya sedangkan usaha mereka tidak seberapa.

7.      Sikap masyarakat yang malas. Apabila melakukan sesuatu perkara, mereka tidak melakukannya secara bersungguh-sungguh. Segala kerja yang dilakukan dibuat setengah jalan sahaja. Contohnya mengusahakan kebun tetapi akhirnya menjadi semak semula dan tidak mampu mengeluarkan apa-apa hasil.





Gurindam
Norma-norma yang Baik dalam Perhubungan Suami Isteri

Isteri cantik permainan mata,
Isteri budiman tajuk mahkota.


Memilih calon isteri yang sempurna bukan dinilai dari aspek kecantikan wajah. Kecantikan adalah sesuatu palsu pada pandangan mata. Kecantikan isteri juga bersifat sementara kerana kecantikan akan hilang mengikut masa. Isteri yang budiman adalah lebih sempurna kerana mampu menjadi suri rumah yang baik. Isteri budiman mempunyai kepimpinan yang tinggi untuk zuriatnya. Kedudukan isteri budiman berada di tempat yang tinggi sebagaimana kedudukan mahkota.


Perempuan bagus suntingan dunia,
Perempuan beriman sangat mulia.


Perempuan yang dianggap baik bukan hanya dinilai pada kecantikan di dunia nyata sahaja. Namun yang paling penting ialah memilih perempuan dari aspek agama iaitu keimanannya. Kemuliaan seorang wanita adalah diukur dari sudut keimanan yang dimilikinya.


Suami isteri harus sekata,
Jauh segala silang sengketa.

Hidup berumahtangga perlulah sependapat. Iaitu mempunyai cita dan pandangan yang sama. Pada waktu yang sama mestilah menjauhi perkara-perkara yang boleh mendatangkan pertelingkahan serta perselisihan pendapat.

Suami tempat isteri bergantung,
Kepadanya serahkan nasib dan untung.

Seorang suami adalah tempat bergantung harap, sebagai pelindung dan memberi nafkah. Kebergantungan isteri terhadap suami adalah penuh dan suamilah yang menentukan kebahagiaan hidup isterinya.

Jika suami tak berhati lurus,
 Isterinya kelak menjadi kurus.

Suami mesti jujur supaya isteri tidak menanggung siksa kerana memendam perasaan.

Sungguh suami pegang kuasa,
Jika seorang ia binasa.

Suami mempunyai kuasa dan tanggungjawab besar. Namun kekuasaannya tidak mungkin dapat digunakan jika dia hidup bersendirian tanpa teman.


Suami isteri tubuh yang dua,
Sekata hendaknya sampai [ke] tua.


Hidup berumahtangga adalah ibarat dua orang dalam satu tubuh. Maka mereka diharapkan sentiasa bermuafakat di antara keduanya sepanjang kehidupan berumah tangga. Suami dan isteri perlu berpakat dan mencapai persetujuan dalam segala tindakan. Contohnya mengurus rumah tangga, menjaga anak-anak yang telah mereka lahirkan sehigga anak-anak itu dewasa.



Gurindam Taat Setia Rakyat Kepada Raja

Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri.

Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang pandai,
Tanda mengenal  kasa dan cindai.



Rangkap 1: Raja perlu berkerjasama dengan pegawai negeri terutamanya perdana menteri. Kesepakatan di antara mereka akan membentuk sebuah pemerintahan negara yang kukuh dan kuat. Negara mampu dipertahankan daripada serangan musuh negera.

Rangkap 2: Raja perlu pandai membuat keputusan dan persetujuan di atas sebarang rancangan pembangunan Negara.

Rangkap 3: Raja perlulah menghukum rakyat yang bersalah dengan hukuman yang adil. Seseorang raja yang adil akan mendapat petunjuk dari Allah swt.

Rangkap 4: Hendaklah mengasihi orang yang mempunyai ilmu. Mengasihi orang berilmu akan membawa kepada keberkatan hidup kerana mendapat kasih sayang Allah.

Rangkap 5: Hendaklah menghormati orang yang bijaksana kerana perbuatan tersebut akan membantu kita membezakan perkara-perkara baik dan buruk.




Talibun

Talibun Keindahan dan kemakmuran Negeri

Medannya indah bukan kepalang
Rantaunya luas bagai dibentang
Tebingnya tinggi bagai diraut
Pasirnya serong bentuk taji
Batunya ada  besar kecil
Yang kecil pelontar balam
Jikalau untung kena ke balam
Jikalau tidak kena ke tanah
Menderu selawat ibu ayam
Helang disambar punai tanah
Seumpama kundur dengan labu
Kecil pohon besar buahnya
Negerinya beruntung Bandar rayanya bertuah
Cari di darat boleh di darat
Cari di laut boleh di laut
Ayam itik penuh di reban
Lembu kerbau penuh di tengah padang
Gajah badak penuh di tengah hutan
Sejuk dingin seperti ular cintamani
Di negeri Teluk Bidung Kota Lama.



Maksud talibun: Harun mat Piah (1989), Ismail Hamid (1987) mendefinisikan talibun sebagai puisi berangkap tantang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara (cerita kaba) di kalangan masyarakat Minangkabau.

Menurut Mohd Taib Osman (1979) puisi talibun memakai kata-kata yang menimbulkan gambaran mata kerana kata-kata yang menimbulkan pemikiran dan pendengaran tentang imej yang lantang dan bermakna. Baris-barisnya memberi dua macam gambaran, iaitu gambaran bunyi yang seolah-olah kita mendengarnya, dan gambaran objek-objek dalam situasinya masing-masing.


Talibun di atas memaparkan tentang keindahan sesebuah negeri bernama Teluk Bidung Kota Lama. Keindahan tersebut dilihat dari aspek persekitaran dan sempadan yang ada. Keadaan kawasan negeri mempunyai keistimewaan tertentu berbanding dengan tempat lain. Perkataan medan dan rantau boleh diertikan sebagai kawasan dan persempadanan bagi sesebuah negeri yang diperintah.

Tebing pula dilihat indah bagai diraut menambah keindahan pemerian sesebuah negeri kerana tercipta sebegitu rupa. Tebing juga boleh bermaksud kawasan yang boleh menjadi pertahanan sesebuah negeri. Disebut juga tentang sifat objek yang besar seperti batu dan objek yang paling kecil seperti pasir.

Batu menggambarkan objek-objek yang berguna untuk dimanfaatkan bagi mendapatkan sumber negeri. Kegunaannya adalah pelbagai perkara seperti boleh digunakan untuk melontar sesuatu objek atau boleh juga menjadi peluru/senjata untuk menumpaskan musuh. Pada masa yang lain  batu juga boleh berfungsi untuk kegunaan lain.

Balam dalam puisi tersebut boleh ditafsirkan sejenis pokok kayu. Balam berfungsi sebagai bahan yang menjadi sasaran batu. Sekiranya batu gagal mencapai sasarannya, ia masih tetap berguna apabila jatuh ke tanah semula. Mungkin sekurang-kurangnya menjadikan tanah yang ada diliputi oleh batu-batan.

Perkataan ibu ayam memberi maksud ketua negeri yang sering berdoa akan keselamatan penduduk negeri daripada ancaman musuh. Manakala helang menggambarkan ancaman yang mungkin dihadapi oleh penduduk negeri. Punai tanah pula ialah penyelamat penduduk negeri yang mampu menghalang serangan helang yang ganas.

Hasil negeri makmur diibaratkan seperti pokok kundur dan labu. Walaupun pokok tersebut kecil tetapi menghasilkan buah yang banyak. Ini menggambarkan bahawa sesebuah negeri yang makmur itu ialah negeri yang mempunyai hasil mahsul yang banyak.

Mencari rezeki yang di negeri yang makmur boleh didapati di mana-mana tempat samada di darat maupun di lautan. Malah hasil ternakan begitu banyak termasuk lembu dan kerbau.

Sumber-sumber persekitaran secara semula jadi begitu banyak di hutan. Suasana persekitaran dalam negeri tersebut juga begitu nyaman dan dingin sesuai dengan keindahan negeri.



Teromba

Hidup dikandung adat,
Mati dikandung tanah.

Adat dipakai baru,
Kain dipakai usang.

Yang elok dipakai,
Yang buruk dibuang.

Lembaga berlingkungan,
Undang kelintasan.

Duduk meraut ranjau,
Tegak meninjau jarah.

Ke darat Adat Perpatih,
Ke laut Adat Temenggung.

Ke laut berteromba,
Ke darat bersalasilah.

Adat bersendi hokum,
Hukum bersendi Kitab Allah

(hlm. 15)

Teromba : merupakan susunan adat yang disampaikan dalam bentuk puisi. Puisi ini dikenali juga sebagai puisi adat.



7.0 Mantera

7.1 Mantera Ulit Mayang

Aku tahu asal usulmu,
Seri Bersila nama asalmu,
Seri Berdiri nama batangmu,
Seri hidup asal usulmu,
Seri Menempak nama daunmu,
Seri Guntur nama bungamu,
Seri Gintir nama buahmu.

Aku tahu asal usulmu,
Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  puterinya empat,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya enam,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya tujuh,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Ulit mayang diulit,
Ulit dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  tuan puteri,
Kutahu asal usulmu,
Yang laut pulang ke laut,
Yang darat pulang ke darat,
Nasi berwarna hamba sembahkan.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Pulih mayang kupulih,
Pulih balik sedia kala.

Mantera : dikenali sebagai jampi, serapah, tawar, sembur, cuca, puja, seru dan tangkal. Genre ini dituturkan oleh orang tertentu sahaja seperti bomoh dan pawing secara eksklusif. Apabila dituturkan, manter dipercayai dapat menimbulkan kuasa ghaib dan konotasi magis untuk tujuan perubatan seperti untuk menyembuhkan penyakit (Harun Mat Piah, 1989).

Bentuk Mantera : Puisi bebas.
Bahasa Mantera : bukan seweang-wenang dituturkan. Bahasanya dianggap keramat dan tabu.
Mantera diturunkan kepada orang-orang yang dipercayai dan boleh menggantikan mereka dalam bidang perbomohan. Pawang atau bomoh ini merepakan orang perantaraan antara manusia dan kuasa ghaib dan dipercayai memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.

Empat tujuan mantera dibaca:
1.      Perubatan
2.      Pakaian diri
3.      Pekerjaan
4.      Adat istiadat


Rujukan lain : http://ismazafikah.blogspot.com/


Catatan: Post ini adalah panduan sementara untuk pelajar-pelajat tingkatan enam rendah 2012.memandangkan tiada buku panduan di pasaran. Ia akan dikemaskini dan diperbaiki. Tajuk-tajuk kecil  akan dipecahkan.dan di post secara berasingan.
      

3 comments:

ANiEE said...

kenapa tiada tema , persoalan , bentuk , gaya bahasa , & mesej untuk talibun keindahan dan kemakmuran negeri ? ^^, .

Us said...

Assalamualaikum . tolong nyatakan tentang "Pantun Budi"tentang latar belakang penulis,fungsi,latar, dan seterusnya

Unknown said...

Pengajaran pantun kasih sayang ??

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...