T. Alias Taib
aku tidak mahu lagi
jadi saksi kepada kebenaran
kerana kebenaran sering disalahertikan
menjadi tidak benar lagi
aku tidak mahu lagi
jadi saksi kepada kepalsuan
kerana kepalsuan sering diputarbelitkan
menjadi tidak palsu lagi
aku tidak mahu lagi
jadi saksi kepada pembunuhan
kerana pembunuhan sering dibolak-balikkan
hingga pembunuh melangkah tenang
aku tidak mahu lagi
jadi saksi kepada penipuan
kerana penipuan sering disalahtafsirkan
hingga penipu bersiul riang
Sumber: Pasar Pengalaman, T. Alias Taib, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004.
Maksud Sajak
Rangkap 1
Kebenaran tidak mampu ditunjukkan kerana sering disalah
anggap. Orang yang benar dianggap telah melakukan kesalahan.
Rangkap 2
Kepalsuan pula telah diputarbelitkan. Sesuatu yang
palsu telah menjadi sesuatu yang dianggap benar.
Rangkap 3
Pembunuhan tidak dapat dibuktikan kesalahannya.
Pembunuh terselamat daripada hukuman.
Rangkap 4
Penipuan yang ditafsirkan sebagai kebenaran.
Penipu gembira kerana berjaya menipu.
Pandangan Sarwajagat.
Penyajak enggan menjadi
saksi kepada segala kepincangan yang sedang berlaku di kalangan masyarakat yang
penuh dengan tipu muslihat. Perkataan “saksi” boleh diertikan sebagai
keengganan penyajak terlibat atau penyajak tidak mahu dipertanggungjawabkan.
Maksud lain bagi perkataan saksi pula, penyajak tidak
mahu melihat lagi situasi songsang yang sedang berlaku.
Kebenaran, kepalsuan,
pembunuhan dan penipuan merupakan isu yang sering berlaku di kalangan umat
manusia. Secara khusus ia berlaku dalam persekitaran masyarakat penyajak. Namun
penyajak hanya menyebut secara umum sahaja tanpa menyatakan siapa yang
melakukan dan tidak menyebut punca sebenar situasi tersebut berlaku.
Segala yang berlaku
telah menjadi sebaliknya kerana ada pihak telah berjaya menukarkan situasi
berkenaan berdasarkan kebijaksanaan diri mereka. Kebenaran telah menjadi palsu
manakala yang palsu telah menjadi benar. Dari sudut keadilan pula seorang
pembunuh telah berjaya melepaskan diri dan bebas dari hukuman. Golongan yang
suka menipu pula sangat gembira kerana berjaya meyakinkan orang ramai bahawa
dirinya benar.
Mungkin pihak yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Pemimpin masyarakat (golongan berpengaruh). Pemimpin sering berucap di khalayak ramai dan mempunyai ramai pengikut. Kata-kata mereka akan dipercayai ramai orang samada sumber itu bernar ataupuan palsu.
Media. Sumber media samada bercetak maupun elektronik adalah sumber maklumat orang ramai. Berita yang dikemukakan akan mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat.
Hakim. Beliau adalah pihak yang membuat keputusan di mahkamah. Keputusan hakim dianggap muktamad dan beliau mampu memberi keputusan ke atas seseorang yang dituduh itu samada bersalah atau tidak.
Golongan ini adalah terdiri dairpada bijak pandai yang mempunyai kelulusan tinggi. Mereka pandai berhujah untuk kepentingan pelanggan mereka. Sebahagian kes yang dimenanginya mungkin menimbulkan rasa kurang senang pihak lain.
Ahli politik
Penulis/Wartawan
Orang awam (massa). Orang awam sering membicarakan pelbagai isu di mana-mana tempat yang selesa bagi mereka terutama di warung kopi. Mereka saling mempengaruhi antara satu sama lain dan sentiasa bertukar maklumat. Sebarang maklumat yang salah akan menambahkan lagi salah tafsir tentang sesuatu isu negara.
Sesiapa sahaja yang mungkin terlibat.
4 comments:
Asalamualaikum, cikgu. Saya nak tanya "mengapa penyajak mengulang kata -kata aku tidak mahu lagi".
Terima kasih ...banyak membantu saya
apa sikap penyajak dlm perjuangan ye cgu?
Post a Comment