Wednesday, November 27, 2013

922/2 Sastera dan Pembangunan

Penggal kedua adalah fasa ke arah merealisasikan pembelajaran sastera sebagai "sastera gunaan". Para pelajar perlu baca dan fahami isi dua teks sastera iaitu karya agung "Sejarah Melayu" dan novel karya Keris Mas selaku sasterawan negara yang terkenal iaitu "Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur". Tanpa membaca dua teks ini, para pelajar tidak akan dapat membincangkan dengan tuntas kehendak sukatan pelajaran STPM yang ada. 

Guru adalah pemudah cara dengan membuka sebarang perbincangan yang disebut dalam sukatan. Maka para pelajarlah yang mengkaji dan membentangkan apa-apa isu yang diminta dalam pembelajaran. Perkara yang menjadi masalah besar dalam pembelajaran tingkatan enam ialah mengharapkan suapan guru sedangkan tahap tingkatan enam sama tarafnya dengan diploma pengajian tinggi. Sepatutnya apabila guru tamat menjelaskan sukatan dan isinya, maka wajarlah pelajar membentangkan apa-apa tugasan dalam sesi tutorial. 

Jika kita ke medan tempur tanpa sebarang senjata tentunya kita hanya menyerahkan nyawa kita kepada takdir tanpa sebarang usaha dan ikhtiar. Begitulah keadaannya jika kita sebagai seorang pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tetapi tidak mempunyai persediaan yang cukup. Langkah awal anda ialah memiliki kedua-dua buah buku berkenaan. Memiliki sahaja tidak cukup. Anda perlu baca, faham dan mampu menerangkan kepada orang lain tentang isi buku berkenaan. Apapun tahniah kepada para pelajar yang mahu melayari post-post seperti ini, membaca dan sekurang-kurangnya telah melangkah awal sebelum turun merenang gelora kedua di penggal yang kedua.

Monday, November 18, 2013

922/1 C: Realiti Kehidupan Guru Dalam Cerpen Di Sebalik Sirat Makna.

Guru di sekolah sentiasa datang dan pergi. Itulah realiti kehidupan seorang guru. Datangnya guru kerana diminta berkhidmat di suatu tempat. Setelah berkhidmat sekian lama, tentunya akan tiba masa guru akan pergi samada kerana berpindah, bersara ataupun meninggalkan alam fana ini. Jika panjang umur, guru akan menamatkan tugasnya apabila sampai waktu bersara. Ketika itu, tugas perguruan akan disambung oleh generasi berikutnya. Sudah tentu guru baru yang hadir adalah produk yang lahir dari didikan seorang guru juga. Akhirnya cikgu Paul Ibau Nyibang bersara dan diraikan oleh seluruh anak muridnya dengan penuh penghargaan dan pujian. Sebelum itu pula, telah datang seorang guru baru yang bernama Naszkir.

Ketika dalam perkhidmatan, guru akan melaksanakan apa sahaja tugas yang diarahkan. Seharusnya tidak ada perkataan "tidak" bagi seorang guru jika diminta berbuat sesuatu tugas. Malah segala khidmat yang dicurahkan bukan semata-mata kerana wang atau ganjaran. Berilah apa sahaja kepada guru. Jika perlu, jadilah seorang jaga, jurulatih, kerani, buruh, tukang sapu, pekerja binaan, pemandu, jururawat, pengacara, penasihat atau apa-apa sahaja. Begitulah yang berlaku kepada cikgu Paul Ibau yang setia menjadi warden asrama. Bayangkan apa yang berlaku kepada Naszkir jika beliau tidak mengambil tahu tentang anak muridnya itu. Tentu Naszkir tidak akan menjadi seorang guru sepertinya juga.

Realiti kehidupan seorang guru juga dilihat dari aspek organisasi. Jika kita berada ditakuk lama tanpa usaha meningkatkan diri ke satu tahap tertentu, mungkin kita akan berada di bawah sahaja. Mungkin juga tindakan guru ikhlas demi anak bangsa. Biarlah guru terus menaburkan baktinya sebagai guru tulen yang tinggal di pedalaman. Sedangkan anak murid telah menggapai awan menjawat jawatan tinggi dan kerja yang hebat seperti doktor, jurutera dan akauntan. Naszkir adalah lambang kejayaan seorang guru yang berjawatan lebih tinggi dalam organisasi sekolah dan sanggup menjiwai sikap keguruan Ibau.

Konflik kehidupan boleh berlaku di mana-mana tempat dan masa. Begitu jugalah apa yang dialami oleh Ibau. Dilemanya kian bertambah apabila muridnya menjadi majikan yang berada di tahap pentadbiran sekolah. Samada beliau perlu akur dengan keputusan tahap pengurusan tertinggi sekolah supaya tindakan keatas murid yang mempunyai masalah disiplin diubah atau sebaliknya. 

Sebagai pelaksana dasar, Ibau adalah gambaran kehidupan masa kini. Kaedah pengajaran guru di sekolah kian berubah paradigmanya. Begitu juga dengan kaedah tindakan disiplin ke atas pelajar. Hakikat pada masa kini pula, guru-guru perlu sanggup menggunakan kaedah baru dalam pembelajaran selaras dengan perkembangan teknologi maklumat. Walaupun ada pro dan kontranya, namun sebagai pelaksana dasar kita perlu menerima dan menyokong usaha yang ada. Segalanya adalah demi pembangunan sumber manusia yang akan dilahirkan pada masa hadapan.

Guru tidak lari daripada melakukan kesilapan kerana dirinya adalah manusia biasa seperti mana orang lain. Sesuatu yang dianggap betul dan menjadi amalan pada suatu masa, mungkin tidak sesuai lagi diamalkan pada masa hadapan. Jika negara ingin mencapai tahap tamaddun yang tinggi, tentunya kini segala tindakan kita harus menjurus kepada perkara yang lebih rasional. Pemikiran kita perlu menjurus kepada menjawab persoalan "apa", "mengapa" dan "bagaimana". Jika tidak, mungkin banyak implikasi yang akan menimpa kita. Naszkir adalah generasi baru yang bertindak berdasarkan rasional dan bukan dengan emosi. Dia mahu menelesaikan masalah pelajar dengan kaedah baru dan bukan menghukum semata-mata. Jika pelajar diambil tindakan disiplin, dirinya perlu dirasionalkan. Namun perlaksanaannya tidak semudah sebagaimana ucapan kita.

Oleh itu jangan remehkan sumbangan dan pengorbanan seorang guru. Mengurus sumber manusia tidak semudah menghasilkan barangan di kilang seumpama sebilah parang, seutas emas, segugus kunci, serawan jala maupun sebuah kereta.





922/1 A: Kehidupan Seorang Pesara Dalam Sajak Seorang Jemaah

Jika kita sudah bersara daripada apa-apa perkhidmatan dalam dunia pekerjaan sudah tentu telah mempunyai perancangan masing-masing. Begitu jugalah kehidupan seseorang yang telah ditimbulkan dalam sajak tersebut. 

Kita dapat lihat bahawa umur yang sudah lanjut bukan sesuatu yang boleh ditahan prosesnya. Maka apa yang perlu dilakukan ialah menghargai baki umur yang ada dengan menjaga kesihatan sebaik mungkin. Mungkin senaman adalah salah satu aktiviti rutin kita.

Pada masa yang sama, dipenghujung usia kita akan memanfaatkan hidup kepada keyakinan dan iman kita masing-masing. Bagi yang Islam tentunya akan mengisi kehidupannya dengan banyak beribadat.

Sebagai bekas pekerja kerajaan yang dahulunya mempunyai nama besar sebaris gelaran Datuk dan Tan Sri tentunya mempunyai reputasi tinggi dan nama baik. Oleh itu menjaga nama baik adalah penting tanpa menggembar gemburkan siapa diri kita dahulu.

Agak sukar untuk membiasakan kehidupan dalam suasana yang baru. Dilema selepas bersara sering berlaku jika dahulunya kita kuat bekerja dan tidak menerima hakikat bahawa jawatan itu akan berakhir. Adakah kita akan terus kekal dengan status quo yang selama ini kita miliki. Sudah tentu kita harus mengikut arus masa dan zaman. Terimalah hakikat bahawa jawatan kita adalah sementara dan akan berpindah kepada pihak lain.

Berkaitan dengan kehidupan dengan masyarakat pula jangan diabaikan. Namun campur gaul kita mesti menghindarkan diri daripada apa-apa perkara yang membawa pertentangan. Kita mahu hidup kita selepas bersara bahagia dan kita disenangi oleh orang lain. Jika kita pergi ke alam kekal nanti, kita mahu dikenang dari aspek kebaikan sahaja dan bukan perkara sebaliknya.

Akhirnya, kita perlu bersedia menerima hakikat bahawa umur kita kian singkat. Bersedialah kita untuk meninggalkan dunia ini sebagaimana yang telah berlaku kepada mereka yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Namun faktor itu bukan bermakna kita akan melupakan segala keperluan hidup di dunia ini. Lakukanlah rutin kehidupan seharian kita sebagai manusia seperti biasa tanpa rungutan dan keluh kesah. Watak seorang jemaah digambarkan begitu tenang setenang waktu subuh ketika azan berkumandang.

Oleh itu, apa pula perancangan kita selepas bersara nanti?????????

Wednesday, November 6, 2013

922/1 Pemikiran Drama Asiah Samiah




1. Manusia yang memandang harta.
Tuan Setiawan Tanjung hanya melihat Misa Sagaraga sebagai bakal jodoh Asiah Samiah kerana bakal menantunya itu berharta. Orang kaya hanya boleh berkahwin dengan golongan yang setaraf dengan mereka. 

2. Kahwin Paksa tidak membawa kebahagiaan.
Asiah Samiah dijodohkan dengan Misa Sagaraga secara paksa. Asiah Samiah hidup tersiksa dan tidak bahagia. Dirinya mempunyai masalah mental lantaran kehidupan berumahtangga yang tidak bahagia. Anak yang dilahirkan telah diabaikan dan tidak diasuh dengan sempurna.

3. Penindasan golongan yang dianggap berkuasa.
Misa Sagaraga merampas tanah yang telah diduduki keluarga Anas Samanda. Anas Samanda memperjuangkan haknya sehingga beliau ditangkap dan akhirya mati dibunuh. Situasi ini menggambarkan penindasan yang dihadapi oleh watak dan membawa kepada pembunuhan. 

4. Manusia berkuasa kerana harta.
Misa Sagaraga berjaya memiliki harta secara paksa. Malah sebahagian daripada harta miliknya diperolehi daripada sumber yang haram. Dirinya dipandang orang kerana harta namun harta tidak semestinya membawa kepada kebahagian hidup. Misa Sagaraga tidak mampu membeli cinta dengan harta yang beliau miliki. 

5. Cinta sejati.
Asiah sangat mencintai Anas Samanda walaupun telah dipenjarakan. Cinta Asiah tidak pernah pudar sehingga ke hari tua. Walaupun diri Asiah sebenarnya diambil berat oleh Marga, namun Asiah tidak menyedarinya kerana asyik terkenang dengan buah hatinya itu.

6. Manusia yang lupa tanggungjawab.
Misa Sagaraga lupa tanggungjawab terhadap anaknya Laila Anurisa. Marga bertindak menyiksa Laila tanpa belas kasihan. Misa Sagaraga telah membiarkan anaknya dipelihara orang lain. 

7. Konflik jiwa manusia.
Asiah Samiah mengalami konflik jiwa kerana dirinya dijodohkan dengan orang yang tidak dicintainya. Malah Asiah juga digambarkan setengah gila kerana sering mengingati anaknya yang sudah lama tidak ditemuinya. Marga pula terpaksa menghadapi gelagat manusia yang pelbagai ragam. Semasa kecil Marga menghadapi penindasan bersama ayahnya. Setelah dewasa beliau melihat nasib Anas Samanda pula yang terpaksa menghadapi lintah darat dan golongan yang berkuasa kerana harta. Malah Marga sendiri terpaksa meringkuk di penjara lantaran hadir dalam perhimpunan anjuran Anas Samanda. Akhir sekali Marga menghadapi golongan yang tersiksa jiwa raga seumpama Asiah Samiah. Marga menghadapi semua dugaan ini dengan tabah. 

922/1 Gambaran Syair Ikan Terubuk Dalam Kehidupan Manusia

1. Kehidupan manusia yang berlainan keturunan. Ikan terubuk lahir dari keturunan ikan daripada air masin manakala ikan puyu berasal daripada keturunan ikan air tawar. Faktor keturunan ini sama sahaja dalam kehidupan manusia. Malah keturunan manusia lebih kompleks berbanding kehidupan ikan. Keturunan manusia terdiri daipada berbagai latar belakang dan warna kulit.

2. Manusia berbeza budaya atau cara hidup. Apabila tinggal di kawasan yang berbeza tentunya mengamalkan cara hidup yang berbeza. Perbezaan cara hidup antara ikan terubuk dan ikan puyu-puyu memungkinkan mereka tidak boleh bertemu dan bersatu.

3. Hakikat bahawa manusia terpisah kerana tinggal di kawasan yang berlainan. Situasi perpisahan ini mungkin menyebabkan halangan pertemuan antara dua insan. Keadaan ini boleh berlaku kerana wujudnya pemisah sempadan negara dan tidak wujud hubungan diplomatik lantaran perbezaan fahaman atau wujud pertelingkahan.

4. Setiap diri mempunyai perasaan sayang dan cinta. Perasaan ini adalah sifat semulajadi manusia. Namun pada masa yang sama, individu yang terlibat perlu memahami hakikat bahawa perasaan itu tidak semestinya membawa kepada titik pertemuan antara dua insan.

5. Wujud ancaman keselamatan sesama manusia. Terdapat sifat negatif di kalangan insan yang sentiasa mempunyai perasaan ingin bermusuh dan mengancam sesama mereka. Ikan puyu-puyu merasa dirinya terancam dengan kehadiran ikan terubuk. Lalu ikan puyu-puyu melarikan diri daripada ancaman tersebut. Kehidupan manusia juga tidak lari daripada suasana tersebut. Malah ancaman sesama manusia juga boleh mebawa kepada ancaman terhadap keselamatan nyawa individu.

Monday, November 4, 2013

922/1 Mitos Moden Tentang Secekak Kertas Tisu


Menilai cerpen ini seolah-olah manusia dalam kekalutan dan rasa bimbang yang amat sangat. Kebimbangan ini dipengaruhi rasa risau kerana sejenis kertas yang asalnya diberi nilai yang amat tinggi tiba-tiba jatuh nilai kerana disebabkan oleh pelbagai faktor. Antara faktornya ialah kerana perlakuan seorang yang dianggap penyangak matawang. Kebimbangan penduduk negara kian bertambah apabila berita kejatuhan nilai kertas tisu dilaporkan melalui media seperti televisyen. Perbincangan semakin hangat di seluruh pelusuk negara termasuklah ahli keluarga. Apabila nilai secekak kertas tisu jatuh, maka kuasa membeli akan berkurangan. Barang yang dahulunya mampu dibeli dengan harga yang murah, kini sudah menjadi mahal kerana nilai pertukaran sudah berubah. Penduduk dalam negara akan menjadi miskin lantaran tidak mampu membeli dengan kuantiti yang banyak dan tidak boleh bermewah-mewah lagi. Ekonomi negara dianggap tidak selamat dan tidak stabil kerana harga pertukaran semakin mahal. Harga saham menjadi semakin murah. Gambaran ini menunjukkan ekonomi negara kian tergugat dan sesuatu aktiviti menyelamatkan ekonomi perlu dilakukan. Pemimpin negara perlu bertindak dengan cekap bagi menambat nilai kertas tisu yang sudah jatuh ini. Kisah tentang kertas tisu menjadi mitos kerana faktor berikut:

1. Ramai orang percaya tentang kekuasaan secekak kertas tisu.
Kepercayaan ini sudah sebati dalam jiwa manusia kerana menggunakan kertas sebagai nilai pertukaran. Pada awalnya kertas itu dicagarkan kepada nilai emas, dan bermulalah secekak kertas tisu dipercayai dengan nilai yang tinggi. Manusia dianggap kaya dan mulia apabila memilikinya dengan jumlah yang banyak. Namun kepercayaan itu terhakis apabila nilia kertas itu turun.

2. Secekak kertas tisu dianggap sesuatu yang mulia dan agung.
Seolah-olah kertas itu menjadi dewa dunia. Manusia berharap kepadanya agar terus bernilai tinggi bagi memastikan kelangsungan hidup mereka. Tanpanya manusia menjadi resah dan terasa miskin. Hakikatnya jika manusia tidak terlalu bergantung kepadanya sebenarnya mereka mampu untuk meneruskan kehidupan. 

3. Wujud unsur luarbiasa terhadap kertas tisu.
Sejenis kertas yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan berharga murah tiba-tiba mempunyai nilai yang tinggi setara dengan nilai emas. Keadaan ini tentunya sangat luarbiasa. Seterusnya kejatuhan nilainya juga dianggap luarbiasa juga. Terdapat pelbagai anggapan tentang faktor kejatuhannya. Namun faktor kejatuhannya tidak dapat ditentukan dengan jelas. Lalu ramai orang bimbang terhadap kejatuhan nilainya yang semakin merudum.

4. Penceritaan kisahnya semacam ada unsur dongeng.
Cerita tentang kisah kertas yang jatuh nilai ini semacam suatu rekaan dan tidak jelas kebenarannya. Semua cerita tentangnya adalah dibina melalui unsur kepercayaan yang dibina melalui spekulasi tertentu. Tidak ada suatu kata yang pasti tentang punca kejatuhan nilai kertas tisu ini. Mungkin manusia mencipta dongeng ini untuk menutup kesilapan yang telah mereka lakukan terhadap pengurusan ekonomi negara.

5. Kepercayaan ini diwarisi turun temurun sejak zaman dahulu.
Cerita tentang kertas tisu ini bermula sejak sekian lama. Ramai orang telah menggunakannya di seluruh dunia. Ia berlegar-legar ke serata tempat dan mempengaruhi kehidupan manusia sehingga manusia percaya tentang kekuasaannya dan seterusnya bergantung kepadanya. Ada disebutkan ia dipercayai sejak zaman Sumeria dan kerajaan Babylon. Secara turun temurun penggunaan kertas seumpama ini diwarisi sehingga kini.



922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...