Tuesday, October 23, 2012

Contoh Soalan KMK 922/1 No 004

Prosa Tradisional

Berdasarkan ciri-ciri watak epik yang anda tahu, huraikan ciri tersebut berdasarkan peristiwa yang terdapat di dalam  petikan Hikayat Hang Tuah Bab XIX.

Soalan ini memerlukan calon mengetahui dahulu ciri-ciri sastera epik atau kepahlawanan. Setelah mengetahui ciri-ciri epik, calon dikehendaki membuat analisa teks Hikayat Hang Tuah. Setiap ciri epik yang calon telah ketahui hendaklah dipadankan dengan peristiwa-peristiwa yang terdapat di dalam Hikayat Hang Tuah bab XIX. Berikan hujah yang pro (menyokong pernyataan) dan hujah yang kontra (tidak setuju dengan penyataan atau andaian jika kedaan berlaku sebaliknya). Di akhir setiap perenggan jawapan calon digalakkan membuat kesimpulan atau konklusi supaya hujah jawapan lebih mantap.

Ciri-ciri watak epik ialah:
1. Gagah
2. Berani
3. Bijaksana.
4. Taat setia
5. Kebolehan luar biasa.

Jawapan:


Sebagai tokoh epik Hang Tuah mempunyai kebolehan berbahasa. Beliau pandai bertutur dalam bahasa nagaram (hlm 52). Ketika mengadap Kisna Rayan (Raja benua Keling- Bijaya Nagaram), beliau telah bercakap menggunakan bahasa Nagaram. Beliau telah mempelajari bahasa tersebut daripada seorang lebai. Kemampuan beliau ini adalah salah satu ciri penting seorang tokoh epik iaitu bijak menguasai ilmu berbahasa di dunia. Beliau telah mewakili rakyat Melaka yang bijaksana. Kesan daripada itu, Hang Tuah dimuliakan oleh raja Nagaram dan dianugerahkan pelbagai sanjungan dan persalinan selaku pegawai diplomat. Sebaliknya jika Hang Tuah tidak menunjukkan kepandaian beliau berbahasa, mungkin utusan Melaka kurang dihormati orang benua Keling dan mungkin tidak diberikan layanan yang istimewa. Kebolehan berbahasa beliau telah menyebabkan orang Melaka dipandang tinggi dan seterusya diiktiraf sebagai diplomat yang terbaik.


         Beliau berkebolehan mengubati permaisuri raja yang mandul atau tidak mampu melahirkan anak. Kebolehan beliau dapat ditunjukkan apabila beliau diminta mengubati isteri Nala Sang Guna di atas permintaan raja melalui Nala Sang guna. Hang Tuah telah membuat satu ubat yang rupanya seperti madat. Setelah siap, ubat berkenaan telah diserahkan kepada Nala Sang Guna untuk untuk dimakan. Kebolehan mengubati permaisuri raja benua Keling ini telah menunjukkan bahawa beliau mempunyai kebolehan yang istimewa. Kebolehan isteimewa ini telah menaikkan imej negeri Melaka di mata masyarakat Benua Keling. Kesan daripada itu, Hang Tuah yang mewakili orang melayu telah dipandang tinggi dan disanjung. Malah Hang Tuah sangat dihormati terutama dari pihak Nala Sang Guna. Jika Hang Tuah tidak menunjukkan kepandaian seperti ini tentu dirinya kurang mendapat perhatian Nala Sang Guna dan seluruh rakyat benua Keling.

        Tangkas menunggang kuda. Hang Tuah telah diminta supaya menunggang kuda teji. Kuda teji adalah seekor kuda Kisna Rayan yang sukar dikendalikan. Setelah Hang Tuah belajar menunggang kuda, beliau telah berjaya memacu kuda tersebut dengan selamat iaitu dengan cara tunduk dan melindungkan kepalanya dibalik telinga kuda tersebut. Kebolehan ini adalah salah satu bukti keperwiraan beliau ketika berada di benua Keling.

      Mampu menyelesaikan masalah dengan kebolehan akal fikirannya. Apabila hendak memasak untuk jamuan diraja, terdapat masalah ketiadaan kayu untuk memasak. Hang Tuah telah berjaya menyelesaikan masalah ketiadaan kayu dengan menjadikan kain sebagai bahan api. Kebijaksanaan Hang Tuah ini adalah salah satu bukti beliau layak digelar wira.

      Mempunyai kebolehan yang luar biasa. Hang Tuah telah menunjukkan sesuatu pertunjukan yang dianggap permainan. Beliau telah mengeluarkan suatu benih pokok kayu. Apabila benih itu ditanam terus tumbuh serta berdaun dan sesaat itu juga berbunga lalu berputik dan berbuah masak. Beliau telah memperolehi benih itu melalui mimpi. Apabila sudah dimakan buahnya, dengan segera pohon itupun ghaib. Kebolehan Hang Tuah yang luar biasa ini merupakan satu lagi bukti bahawa beliau layak digelar wira epik.

       Mampu memperdaya dan melihat Maharaja China. Ketika rombongan Hang Tuah ke negeri China hendak dijamu makan, beliau telah menyatakan bahawa orang Keling  makan sayur, daun kayu dan buah kayu. Sayur yang hendak dimakan itu pula tidak dikerat dan dibiarkan panjang-panjang. Ketika makan, Hang Tuah telah mendongakkan kepala ketika makan sayur kangkung yang tidak dikerat itu. Pada masa itulah beliau dapat melihat Raja China yang duduk dalam mulut naga emas bersisik. Tatkala Laksamana memandang ke atas, HangTuah hendak dipenggal oleh hulubalang Raja China. Namun Raja China telah menghalang tindakan rakyatnya kerana Hang Tuah sebenarnya telah bertindak bijaksana.

         Kesimpulannya, semua huraian di atas dapat membuktikan bahawa Hang Tuah mempunyai ciri-ciri yang sesuai sebagai tokoh epik yang masyhur.






Sunday, October 21, 2012

Contoh Soalan KMK 922/1 No 003


Pandai Pak Pandir

Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela
Harta habis badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh dilangit
Air di tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak,
Gunting makan di hujung
Pak pandir juga menanggung.
Apa didengar gelagak dagang
Gelagak rambutan jantan:
Orang berbunga, dia berbunga
Orang berbuah, dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan.


Jelaskan tindakan anda untuk mengelakkan diri daripada mewarisi sikap yang ada pada diri Pak Pandir seperti mana yang terdapat dalam puisi di atas.                                         


Saya perlu menghindari daripada perbuatan-berbuatan negatif yang ada pada diri Pak Pandir dan perlu bersikap lebih positif dalam segala tindakan saya, 

Antara sikap yang perlu saya ubah ialah memastikan diri saya sentiasa mengambil berat terhadap keluarga sendiri. Sebarang masalah yang mereka hadapi perlu diselesaikan dan diurus dengan baik termasuklah menjaga makan minum dan tempat tinggal keluarga saya. Menghormati tetamu adalah amalan baik, namun saya tidak perlu memberikan layanan yang berlebihan sehingga mengabaikan kepentingan keluarga saya sendiri. Jika saya tidak berbuat demikian sudah tentu akan mengakibatkan masalah yang besar kepada diri dan keluarga saya.


sila sambung.......................

Contoh Soalan KMK 922/1 No 002


Tanam bunga di dalam pasu,
        Bunga melati bunga pandan;
Jangan ikut hawa nafsu,
       Kelak nanti binasa badan.

Burung tiung terbang tinggi,
       Burung merpati mencari sarang;
Kalau sombong meninggi diri,
       Ke mana pergi dibenci orang.


Soalan perbincangan:


Apakah kemungkinan amalan hidup masyarakat tradisional yang anda dapat difahami berdasarkan pantun di atas?                                                                                          [25]                                                                                                                                        




Saya berpendapat amalan masyarakat tradisional berkait rapat dengan kegiatan pertanian. Mereka gemar menanam pokok termasuk menanam pokok bunga. Biasanya bunga yang ditanam di halaman rumah akan ditanam di dalam sebuah bekas seperti pasu. Pengetahuan masyarakat begitu tinggi terhadap pelbagai jenis bunga. Mereka sentiasa mengambil tahu tentang jenis tanaman mereka itu.

Masyarakat tradisional juga suka kepada hiasan yang diperolehi daripada sumber pokok tertentu. Pemilihan jenis hiasan ini bukan sahaja berdasarkan kecantikan semata-mata malah juga berdasarkan bau-bauannya. Saya pasti pokok bunga melati dan bunga pandan akan mnegeluarkan bau yang wangi dan mengharumkan kawasan persekitaran rumah mereka.

Kegiatan mencari dan menangkap burung adalah salah satu kegiatan masyarakat tradisional. Perkara ini dapat dilihat melalui pengetahuan masyarakat tentang pelbagai jenis dan sifat burung. Bukan itu sahaja, mereka juga tahu tentang habitat setiap jenis burung yang mereka cari. Persekitaran kehidupan masyarakat tradisional membenarkan kegiatan seperti itu dilakukan. Mereka mengisi waktu lapang dengan kegiatan seperti itu kerana mungkin tiada kegiatan lain yang sesuai untuk mereka lakukan. 

Apa yang lebih penting, masyarakat tradisional adalah masyarakat yang berani menegur kelakuan yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat timur. Oleh itu nasihat supaya menjauhkan diri daripada perbuatan yang boleh memdaratkan diri sendiri sangat ditekankan. Masyarakat melayu dilarang mengamalkan gaya hidup yang terlalu menurut nafsu. Teguran tersebut boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja di kalangan ahli masyarakat. 

Masyarakat tradisional tidak suka individu yang sombong dan tinggi diri . Ahli masyarakat seperti ini mungkin akan dipulaukan dan tidak diambil peduli. Mereka sentiasa menekankan cara hidup bermasyarakat dengan cara bergaul mesra sesama mereka. Sebaliknya golongan yang tidak bergaul dengan ahli masyarakat akan dianggap kera sumbang atau melukut di tepi gantang. Golongan ini akan disisihkan daripada masyarakat kerana sifat sombongnya dan tidak mahu terlibat dengan kegiatan masyarakat tradisional yang megutamakan hubungan mesra sesama anggota masyarakat.

Contoh Soalan KMK 922/1 No 001


Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri.

Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang pandai,
Tanda mengenal  kasa dan cindai.



Berdasarkan puisi di atas, bincangkan kemungkinan amalan yang anda akan amalkan sekiranya anda dilantik menjadi memimpin masyarakat.                                                                                                         [25]


Pemimpin adalah ketua kepada sesebuah komuniti samada bersaiz kecil atau besar. Sebagai pemimpin, kita perlu memberikan khidmat yang terbaik kepada ahli masyarakat yang telah mengangkat kita sebagai pemimpin. Oleh itu, banyak puisi melayu telah menekankan nasihat tentang kepimpinan ini kepada masyarakat melayu khasnya. Sekirannya saya dipilih untuk menjadi pemimpin, tentunya saya akan cuba memberikan khidmat terbaik kepada pengikut saya.

Saya akan menjadi pemimpin yang sentiasa bekerjasama dengan ramai pihak. Mungkin dengan amalan bekerjasama, saya akan dapat melaksanakan banyak matlamat kerja saya sebagai pemimpin. Saya mungkin tidak mampu mencapai matlamat yang telah ditetapkan jika saya tidak mendapat pertolongan pihak lain. Contohnya, jika saya hendak laksanakan satu program sukan, tentunya saya perlu bekerjasama dengan pihak yang ada pengetahuan tentang sukan. Begitu juga ketika melaksanakan program keagamaan, sudah tentu saya perlu bekerjasama dengan ahli dalam bidang agama. Saya sedar bahawa kemampuan diri saya terhad dan tidak mungkin dapat melaksanakan kerja yang berat seorang diri.


Saya perlu berani membuat keputusan yang tepat. Keputusan seorang ketua adalah penting kerana ia akan membolehkan matlamat pemimpin dapat dilaksanakan. Orang bawahan tentu mengharapkan keputusan yang terbaik daripada ketuanya. Jika ketua tidak mampu membuat keputusan, sesuatu kerja akan tergendala dan akan menyebabkan orang bawahan ternanti-nanti pendapat ketuanya. Cara membuat keputusan yang terbaik adalah melalui mesyuarat.


Sebagai pemimpin juga, saya perlu bersikap adil dan tidak berat sebelah. Saya tidak boleh cenderung untuk menyokong satu pihak dan mengabaikan satu pihak yang lain. Untuk berlaku adil, saya perlu memahami dan mendapat maklumat tertentu. Untuk mendapat petunjuk, saya perlu menghubungi mereka yang pakar dan ada pengetahuan terutamanya golongan yang dianggap bijaksana. Namun sebaik-baik petunjuk adalah daipada Allah.


Seterusnya, saya perlu menambahkan ilmu pengetahuan saya. Walaupun saya sudah menjadi pemimpin, saya perlu banyak berguru dengan para ilmuan. Saya perlu merendahkan taraf saya ketika belajar dan tidak perlu berbangga dengan jawatan saya. Saya perlu berdamping dengan orang yang berilmu dan terus hadir ke majlis ilmu supaya saya sentiasa sedar tentang siapa diri kita. Dengan itu saya akan sedar akan segala kekurangan diri dan tidak ego dengan jawatan yang disandang.


Akhir sekali, saya perlu menghormati golongan bijak pandai. Saya perlu sedar dan saya tidak boleh mendabik dada bahawa saya tahu dalam segala perkara. Saya perlu menghormati pendapat dan saranan orang yang mempunyai idea yang lebih baik. Pendapat mereka mungkin lebih baik dan sesuai dilaksanakan bagi mencapai visi kepimpinan saya. Bantuan golongan bijaksana akan dapat membantu saya mengenali sesuatu perkara yang baik dan buruk seumpama mengenali yang mana satu kain kasa dan yang mana satu kain cindai.


Sebenarnya banyak lagi amalan baik yang boleh saya lakukan jika saya menjadi seorang pemimpin. Kesimpulannya, untuk menjadi pemimpin yang baik bukanlah satu perkara yang mudah. Seorang pemimpin mempunyai tanggung jawab yang besar dan menjaga perlu amanah kepimpinan. 

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...