Sunday, September 23, 2012

Taat Setia Rakyat Kepada Raja

Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri.

Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang pandai,
Tanda mengenal  kasa dan cindai.



Rangkap 1: Raja perlu berkerjasama dengan pegawai negeri terutamanya perdana menteri. Kesepakatan di antara mereka akan membentuk sebuah pemerintahan negara yang kukuh dan kuat. Negara mampu dipertahankan daripada serangan musuh negera.

Rangkap 2: Raja perlu pandai membuat keputusan dan persetujuan di atas sebarang rancangan pembangunan negara.

Rangkap 3: Raja perlulah menghukum rakyat yang bersalah dengan hukuman yang adil. Seseorang raja yang adil akan mendapat petunjuk dari Allah swt.

Rangkap 4: Hendaklah mengasihi orang yang mempunyai ilmu. Mengasihi orang berilmu akan membawa kepada keberkatan hidup kerana mendapat kasih sayang Allah.

Rangkap 5: Hendaklah menghormati orang yang bijaksana kerana perbuatan tersebut akan membantu kita membezakan perkara-perkara baik dan buruk.


Jenis Puisi : Gurindam

Gurindam, genre puisi Melayu lama yang mendapat pengaruh Hindu. Gurindam berasal daripada bahasa Tamil, iaitu Kirandam yang bererti amsal atau perumpamaan.


Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Gurindam merupakan sejenis bentuk puisi yang tidak terikat atau tiada tentu bentuknya (sama ada terikat atau tidak). Bentuk yang terikat biasanya terdiri dari pada dua baris serangkap, menyerupai syair dua baris atau nazam. Setiap baris biasanya mengandungi tiga atau empat, enam atau lebih perkataan; dan pola rima a-a; a-b atau serima (monoryme). Tiap serangkap merupakan sebahagian daripada idea yang berturutan dan biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk menyatakan keseluruhan idea.
Bentuk yang tidak terikat tergolong sebagai puisi bebas, sama ada berangkap atau tidak. Walaupun setiap rangkap dapat berdiri sendiri tetapi biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk meyatakan satu keseluruhan idea.
Dari segi bentuk ia sama seperti talibunteromba atau mantera; tetapi tergolong sebagai gurindam karena isinya mengandung nasihat, pengajaran dan kebenaran, berbeza dengan mantera. Gurindam tidak mengandung unsur sihir; dan berbeda dengan teromba, ia tidak merujukkan kepada salasilah atau undang-undang setempat.
Gurindam juga dapat merangkum puisi yang lebih bebas, yang secara sinkronis tergolong sebagai puisi moden, terutama di peringkat awal perkembangannya. Kebanyakan karya puisi dalam peringkat itu memperlihatkan kebebasan dari segi bentuk dan isi tetapi masih terkongkong kepada nilai-nilai puisi tradisional dari segi pola rima, rentak an unsur-unsur estetik yang lain.

Tema

Ketaatan rakyat terhadap raja mempunyai syarat-syarat tertentu. Bagi mengharapkan taat setia rakyat, raja mestilah mengamalkan ciri-ciri pemerintahan yang disukai rakyat. Antaranya ialah bekerjasama dengan setiap pembesar negeri termasuk Perdana Menteri. Kemudian raja hendaklah mempunyai hati yang mulia, bijak, adil, kasih dan menghormati orang lain.


Pemikiran puisi

1. Kerjasama raja dan rakyat
2. Perkenan raja (persetujuan raja) merupakan keputusan penting raja.
3. Menghukum dengan adil.
4. Mengasihi orang berilmu.
5. Mengormati orang yang pandai.

Gambaran Masyarakat

Puisi di atas menggambarkan sebuah negara yang mempunyai rakyat yang taat setia kepada pemerintah. Namun untuk mendapatkan taat setia, ia memerlukan muafakat yang tinggi antara raja dan rakyat. Zaman tradisional dapat digambarkan, telah wujud suasana aman damai dalam sesebuah pemerintahan negara yang diperintah oeh raja.

Sistem feudal tidak semestinya mewujudkan satu corak pemerintahan kuku besi dan sentiasa menindas rakyat. Jika raja melaksanakan pemerintahan yang mempunyai ciri-ciri yang terdapat didalam puisi berkenaan, maka taat setia rakyat kepada raja tidak memerlukan paksaan. Contohnya, jika raja menghormati rakyat, maka dengan sedirinya rakyat akan kagum dan dengan rela hati menumpahkan taat setianya kepada raja.

Kadang-kadang raja perlu mendapatkan ilmu-ilmu tertentu daripada para ilmuan negara. Raja tidak mungkin bijak dalam segala bidang. Oleh itu, ketika menuntut ilmu, raja hendaklah merendah diri dan tidak membawa jawatan yang dipegang ketika berhadapan dengan guru yang mengajarnya.

Raja perlu mendapat nasihat daripada bijak pandai negara. Keupayaan membuat keputusan secara bersendirian sangat terhad kemampuannya. Raja perlu membuat perbincangan dan mendapat pandangan daripada pelbagai pihak yang pakar dalam bidang tertentu. Keputusan yang dibuat secara bersama akan mengurangkan kesilapan dalam proses membuat keputusan.



Norma-norma yang Baik dalam Perhubungan Suami Isteri

Halaman 12

Isteri cantik permainan mata, 
Isteri budiman tajuk mahkota.

Perempuan bagus suntingan dunia,
Perempuan beriman sangat mulia.

Suami isteri harus sekata,
Jauh segala silang sengketa.

Suami tempat isteri bergantung,
Kepadanya serahkan nasib dan untung.

Jika suami tak berhati lurus,
Isterinya kelak menjadi kurus.

Sungguh suami pegang kuasa,
Jika seorang ia binasa.

Suami isteri tubuh yang dua,
Sekata hendaknya sampai [ke] tua.




Maksud Puisi

Rangkap 1

Isteri cantik permainan mata,
Isteri budiman tajuk mahkota.


Memilih calon isteri yang sempurna bukan dinilai dari aspek kecantikan wajah. Kecantikan adalah sesuatu palsu pada pandangan mata. Kecantikan isteri juga bersifat sementara kerana kecantikan akan hilang mengikut masa. Isteri yang budiman adalah lebih sempurna kerana mampu menjadi suri rumah yang baik. Isteri budiman mempunyai kepimpinan yang tinggi untuk zuriatnya. Kedudukan isteri budiman berada di tempat yang tinggi sebagaimana kedudukan mahkota.


Rangkap 2

Perempuan bagus suntingan dunia,
Perempuan beriman sangat mulia.


Perempuan yang dianggap baik bukan hanya dinilai pada kecantikan di dunia nyata sahaja. Jika sesuatu yang disunting tersebut adalah sekuntum bunga, maka ia akan layu akhirnya. Jika dikaitkan dengan diri manusia maka kecantikan perempuan tersebut akan semakin pudar apabila umur bertambah. Namun pilihan  yang paling penting ialah memilih perempuan dari aspek agama iaitu keimanannya. Kemuliaan seorang wanita adalah diukur dari sudut keimanan yang dimilikinya. Keimanan adalah kecantikan yang kekal abadi.

Rangkap 3

Suami isteri harus sekata,
Jauh segala silang sengketa.

Hidup berumahtangga perlulah sependapat. Iaitu mempunyai cita dan pandangan yang sama. Pada waktu yang sama mestilah menjauhi perkara-perkara yang boleh mendatangkan pertelingkahan serta perselisihan pendapat.


Rangkap 4

Suami tempat isteri bergantung,
Kepadanya serahkan nasib dan untung.

Suami adalah tempat bergantung harap, sebagai pelindung dan memberi nafkah. Apabila sudah berumahtangga, isteri bergantung penuh terhadap suaminya. Suami adalah penentu kebahagiaan hidup isterinya. Oleh itu jangan sia-siakan harapan isteri kita.


Rangkap 5

Jika suami tak berhati lurus,
Isterinya kelak menjadi kurus.

Kejujuran itu sangat penting dalam hidup berumahtangga. Suami mesti jujur supaya isteri tidak menanggung siksa kerana memendam perasaan. Akibat memendam rasa, isteri akan mungkin akan sakit dan semakin kurus.


Rangkap 6

Sungguh suami pegang kuasa,
Jika seorang ia binasa.

Suami mempunyai kuasa dan tanggungjawab besar terhadap keluarga. Kuasa tersebut adalah meliputi kuasa terhadap isteri, anak-anak, harta dan kuasa menceraikan isteri. Namun kekuasaannya tidak mungkin wujud dan dapat digunakan jika dia hidup bersendirian tanpa teman.


Rangkap 7

Suami isteri tubuh yang dua,
Sekata hendaknya sampai [ke] tua.


Hidup berumahtangga adalah ibarat dua orang dalam satu tubuh. Maka mereka diharapkan sentiasa bermuafakat di antara keduanya sepanjang kehidupan berumah tangga. Suami dan isteri perlu berpakat dan mencapai persetujuan dalam segala tindakan. Contohnya mengurus rumah tangga, menjaga anak-anak yang telah mereka lahirkan sehigga anak-anak itu dewasa.


Jenis Puisi : Gurindam

Wikipedia Malaysia
Gurindam merupakan sejenis bentuk puisi yang tidak terikat atau tiada tentu bentuknya (sama ada terikat atau tidak). Bentuk yang terikat biasanya terdiri dari pada dua baris serangkap, menyerupai syair dua baris atau nazam. Setiap baris biasanya mengandungi tiga atau empat, enam atau lebih perkataan; dan pola rima a-a; a-b atau serima (monoryme). Tiap serangkap merupakan sebahagian daripada idea yang berturutan dan biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk menyatakan keseluruhan idea.
Bentuk yang tidak terikat tergolong sebagai puisi bebas, sama ada berangkap atau tidak. Walaupun setiap rangkap dapat berdiri sendiri tetapi biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk meyatakan satu keseluruhan idea.
Dari segi bentuk ia sama seperti talibunteromba atau mantera; tetapi tergolong sebagai gurindam kerana isinya mengandung nasihat, pengajaran dan kebenaran, berbeza dengan mantera. Gurindam tidak mengandung unsur sihir; dan berbeza dengan teromba, ia tidak merujukkan kepada salasilah atau undang-undang setempat.
Gurindam juga dapat merangkum puisi yang lebih bebas, yang secara sinkronis tergolong sebagai puisi moden, terutama di peringkat awal perkembangannya. Kebanyakan karya puisi dalam peringkat itu memperlihatkan kebebasan dari segi bentuk dan isi tetapi masih terkongkong kepada nilai-nilai puisi tradisional dari segi pola rima, rentak dan unsur-unsur estetik yang lain.

Wikipedia Indonesia
Gurindam adalah satu bentuk puisi Melayu lama yang terdiri dari dua bait, tiap bait terdiri dari 2 baris kalimat dengan rima yang sama, yang merupakan satu kesatuan yang utuh. Gurindam ini dibawa oleh orang Hindu atau pengaruh sastra Hindu. Gurindam berasal daribahasa Tamil (India) yaitu kirindam yang berarti mula-mula amsal, perumpamaan. Baris pertama berisikan semacam soalmasalah atau perjanjian dan baris kedua berisikan jawaban nya atau akibat dari masalah atau perjanjian pada baris pertama tadi. Contoh:
Barang siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma’rifat.
Gendang gendut tali kecapi
Kenyang perut senang hati
Pengarang gurindam yang terkenal adalah Raja Ali Haji, saudara sepupu Raja Ali yang menjadi raja muda di Riau (1844-1857). Gurindam 12 pasal karya Raja Ali Haji yang terkenal berjudul “Gurindam Dua Belas”.


Seloka


Seloka

Seloka Pandai Pak Pandir

Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela
Harta habis bawaan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh dilangit
Air di tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak,
Gunting makan di hujung
Pak pandir juga menanggung.
Apa didengar gelagak dagang
Gelagak rambutan jantan:
Orang berbunga, dia berbunga
Orang berbuah, dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan.


Harun Mat Piah.


Seloka bermaksud
Seloka merujuk kepada puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, samaada mempunyai irama atau tidak. Secara amnya,, ia terdiri daripada ungkapan sejajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai kadensa yang sama seperti talibun dan prosa berirama.
Satu ciri penting bagi seloka adalah ia mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah-laku dan sifat negatif.
Antara contoh seloka yang terdapat dalam kesusteraan Melayu lama adalah :-
§  Seloka Emak Si Rendang
§  Seloka Pak Kaduk
§  Seloka Pak Pandir



Pandangan sarwajagat (world views) seloka Pak Pandir.

Pak Pandir mewakili sikap sebahagian masyarakat melayu yang dikatakan mempunyai sifat-sifat yang negatif.  Lalu sifat negatif  tersebut dijadikan senda gurau dan sindiran di dalam seloka. Watak Pak Pandir telah dijadikan watak yang mewakili sikap orang melayu berkenaan. Dikatakan juga bahawa Pak Pandir seorang yang sering tidak bernasib baik. Berikut adalah sebahagian daripada sifat-sifat negatif yang telah diutarakan:



1. Sikap mengutamakan orang lain. Contohnya ayat “Anak dipijak dagang dijinjing”. Pak Pandir bukan sahaja sanggup mengabaikan anaknya sendiri malah menyakitinya sebagaimana dalam perkataan "anak dipijak". Manakala pihak yang tidak berkaitan dengan keluarganya pula diberi layanan baik sebagimana perkataan "dagang dijinjing".


2. Hartanya telah habis kerana tergadai. Contohnya ayat“hartanya habis tergadai”. Gambaran ini menunjukkan Pak Pandir tidak pandai mengurus hartanya. Ada kemungkinan beliau seorang yang boros berbelanja, banyak hutang dan terpaksa menggadaikan hartanya. Malah kemungkinan yang lebih besar ialah beliau suka berjudi atau bertaruh. Petaruhan seorang yang berjudi selalunya melibatkan harta. Jika kalah berjudi dengan sendirinya harta akan terjual atau terpaksa diserahkan kepada pihak yang menang. 

3. Tak sedar kelemahan diri sendiri. Contohnya ayat “tak sedar bertelanjang”. Jika Pak Pandir sedar dirinya tidak berpakaian sudah tentu dia telah bertindak menuntup bahagian badannya yang terdedah. Oleh kerana beliau tidak sedar, maka dia telah membiarkan dirinya tidak berpakaian. Gambaran ini telah menunjukkan bahawa Pak Pandir seolah-olah tidak mengetahui kelemahan yang ada pada dirinya. Oleh itu beliau tidak mampu memperbaiki kelemahan dirinya sendiri.

4. Terlalu mendengar kata pihak lain. Cepat terpengaruh dengan orang lain. Contohnya ayat “Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan”.

5. Hidup terikat, tersiksa disebabkan pihak lain. Contohnya ayat “Mulut kena suap pisang”, “Buntut kena cangkuk onak”.

6. Menanggung masalah diri yang tidak berkesudahan. Contohnya ayat  “Awak juga berkecundangan”

7. Tidak memberi faedah kepada orang lain. Contohnya ayat  “ Gelagak rambutan jantan”

8. Melakukan sesuatu perkara tetapi tidak bersungguh-sungguh. Contohnya ayat  “Kilat memancar hujan tak jadi”.



Catatan: Cuba huraikan yang lain.


Gambaran masyarakat.

Keseluruhan isi seloka tersebut menyindir dengan sinis tentang sikap sebahagian daripada masyarakat melayu yang bersikap negatif. Banyak kelemahan yang wujud di dalam kehidupan harian mereka. Watak Pak Pandir hanyalah seseorang yang mewakili sikap keturunan melayu yang perlu diberi teguran supaya mengubah sikap. 

Sikap masyarakat yang mengutamakan pihak lain. Kadang-kadang suka memberi pertolongan kepada orang lain sedangkan ahli keluarga sendiri tidak dibantu.

Masyarakat yang tidak pandai menjaga hartanya. Kadang-kadang mereka tamak dan ingin cepat kaya. Masyarakat melayu tradisional suka berjudi dan bertaruh dengan harapan mereka cepat kaya.

Sebahagian masyarakat yang tidak sedar diri. Mereka menganggap segala tindakan mereka itu betul dan tidak mahu mendengar nasihat pihak lain. Kelemahan diri sering terserlah tetapi mereka tidak menyedarinya ibarat “tak sedar bertelanjang”.

Masyarakat yang terlalu mendengar pendapat orang lain. Sebahagian masyarakat sangat malas berfikir. Semua kerja perlu dibantu oleh pihak lain.

Akibat terlalu mendengar kata pihak lain, hidup mereka terikat. Mereka tidak mampu hidup bebas dan melaksanakan kerja tanpa dikongkong. Seolah-olah mereka sudah menjadi hamba kepada pihak lain lantaran sikap mereka yang tidak mampu berdikari.

Masyarakat yang suka cakap besar. Ibarat perlakuan rambuatan jantan yang rajin berbunga tetapi tidak menghasilkan buah. Sikap ini wujud dalam kehidupan sesetengah ahli masyarakat. Biasanya mereka ini ingin hidup senang dengan cara yang mudah dan mengambil jalan singkat. Rajin menghebahkan rancangan hidupnya sedangkan usaha mereka tidak seberapa.

Sikap masyarakat yang malas. Apabila melakukan sesuatu perkara, mereka tidak melakukannya secara bersungguh-sungguh. Segala kerja yang dilakukan dibuat setengah jalan sahaja. Contohnya mengusahakan kebun tetapi akhirnya menjadi semak semula dan tidak mampu mengeluarkan apa-apa hasil.


Syair Ikan Terubuk


Syair Ikan Terubuk (rujuk teks muka surat 7-10)

Syair Ikan Terubuk adalah sebuah kumpulan syair Melayu yang diciptakan pada abad ke-19, berupa media lisan tanpa diketahui siapa penciptanya. Terdiri dari 285 bait, karya besar yang menjadi masterpiece ini membentangkan kehidupan habitat ikan didalam air, baik air laut maupun air tawar secara lengkap. Uniknya, Syair Ikan Terubuk menjadi sangkakala mantra dalam upacara Semah Laut di Bengkalis, iaitu sebuah upacara mengundang ikan-ikan terubuk melalui cara supernatural, yang dilakukan secara turun-temurun.

Kisah dua kerajaan yang memerintah di persekitaran kawasan kerajaan air masin dan air tawar. Kerajaan air masin diwakili oleh ikan terubuk manakala kerajaan air tawar diwakili oleh ikan puyu-puyu. Ikan terubuk dikatakan seolah-oleh ikan puaka yang berasal dari laut di Melaka. Perkataan “puaka” boleh dikaitkan dengan ancaman musuh dan perseteruan. Ikan terubuk sangat meminati ikan puyu-puyu. Namun ikan puyu-puyu tidak sedikitpun menyukai ikan terubuk. Ini dapat dilihat pada rangkap 2 dan 3;

            Mula dikarang ikan terubuk,
            Lalai memandang ikan di lubuk,
            Hari dan jantung bagai serbuk,
            Laksana kayu dimakan bubuk.

            Asal terubuk ikan puaka,
            Tempatnya konon di laut Melaka,
            Siang dan malam berhati duka,
            Sedikit tidak menaruh suka.


            Dendam rindu inginkan ikan puyu-puyu sangat mendalam dan terubuk sering merindu siang dan malam. Lalu terubuk sering menyeru dan memuja puyu-puyu.Sebagaimana rangkap ke 4 dan 5;

            Pagi petang duduk bercinta,
            Berendam dengan airnya mata,
            Kalbunya tidak menderita,
            Kerana mendengar khabar berita.

            Pertama mula terubuk merayu,
            Berbunyilah guruh mendayu-dayu,
            Senantiasa berhati sayu,
            Terkenangkan puteri ikan puyu-puyu.


Dikatakan bahawa ikan puyu-puyu itu sangat cantik dan sangat berbudi bahasa. Ini dapat dilihat pada rangkap 6;

            Puteri Puyu-puyu konon namanya,
            Di dalam kolam konon tempatnya,
            Cantik mejelis barang lakunya,
            Patutlah dengan budi bahasanya.

            Asal puyu-puyu dikatakan di Tanjung Padang. Ada pendapat mengatakan kawasan ini adalah di Pagar Ruyung Minangkabau di pulau Sumatera. Diceritakan juga gambaran rupa paras tuan puteri yang menyerupa puyu-puyu. Terubuk sangat tertarik dan sering memerhati keayuan wajah puyu-puyu;

            Kolamnya konon di Tanjung Padang,
            Di sanalah tempat Terubuk bertandang,
            Pinggangnya ramping dadanya bidang,
            Hancurlah hati terubuk memandang.

            Asal usul puyu dikatakan keturunan raja. Dikatakan dia mempunyai keupayaan memuja dan berdoa. Sebarang pinta dan doanya akan dimakbulkan demi mengelakkan ancaman terubuk.



Rangkap 10;

            Setelah hari hampirkan senja,
            Puteri bersiap hendak memuja,
            Jika sungguh asalku raja,
            Disampaikan Allah barang disaja.


Rangkap 13;
            Selang tidak berapa antara,
            Turunlah ribut dengan segera,
            Kilat dan petir tidak terkira,
            Datuk nenek turun dari udara.

         Puyu-puyu mendapat pertolongan berkat doanya yang telah dimakbulkan. Pertolongan tersebut telah menyelamatkan dirinya daripada ancaman terubuk yang sangat inginkan dirinya. Lalu dengan berkat datuk neneknya, maka datanglah pertolongan. Pertolongan telah datang dengan kewujudan sepohon pokok pulai yang rendang.  Puyu dapat melompat keluar daripada kolam ke pucuk batang pulai. Maka terselamatlah puyu  daripada ikan terubuk. Dapat dibuktikan pada rangkap ke 14 da 15,

Rangkap 14;
            Membawa sepohon batangnya pulai,
            Datangnya dari Tanjung Balai,
            Eloknya tidaklah ternilai,
            Puteri melihat hairan terlalai.

Rangkap 15;
            Pulainya rendang dengan rampaknya,
            Di tengah kolah terdiri dianya,
            Sampailah waktu dengan janjinya,
            Puteri melompat ke atas pucuknya.

    Kehilangan puyu-puyu telah sampai kepada pengetahuan terubuk. Berita kehilangannya telah menyebabkan tuanku bersedih dan mengarahkan supaya segera mencari puyu-puyu. Hajat terubuk ingin bertemu puyu-puyu tidak kesampaian lalu kembalilah terubuk ke laut semula dalam keadaan kecewa sebagaimana rangkap 21;

            Terubuk berenang lalu ke laut,
            Sekalian ikan ramai yang mengikut,
            Hati di di dalam terlalu kusut,
            Bagaikan datang rasanya takut.



Jenis Puisi : Syair

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Syair merupakan sejenis puisi berlagu. Ia berasal dari Parsi dan telah dibawa masuk ke Nusantara bersama-sama dengan kedatangan Islam. Syair telah diubahsuaikan mengikut kesesuaian Bahasa Melayu Klasik ketika itu. Namun begitu, A. Teeuw berpendapat bahawa syair merupakan puisi Melayu lama yang telah sedia wujud tetapi namanya telah ditukar.
Terdapat bukti bahawa bentuk syair itu sendiri telah wujud sebelum kejatuhan Kerajaan Melaka, sebagaimana yang tersurat dalam kata-kata yang tertulis pada sebuah batu nisan tua yang telah di-jumpai di Minye Tujuh, Acheh, bertarikh kira-kira pada T.M. 1380 itu, ialah berbentuk syair; bagitu juga hasil-hasil sastera yang berbentuk syair bait, seloka, gurindam, istimewa pula pantun, harus telah sedia di ketahui oleh orang Melayu sebelum zaman kejatuhan Melaka atau pun tatkala buku Sejarah Melayu di karang; buktinya boleh di pastikan dalam kisah "Meminang Puteri Gunung Ledang" di dalam buku Sejarah Melayu itu, yang menyebutkan demikian
"…….segala burung di dalam taman itu pun berbunyi, pelbagai bunyinya, ada yang seperti orang bersiul, ada yang seperti orang berbangsi, ada yang seperti orang bersyair, ada yang seperti orang ber­bait, ada yang seperti orang berseloka, ada yang seperti orang bergurindam "
Syed Naquib al-Attas berpendapat bahawa syair dicipta oleh Hamzah Fansuri sendiri selepas kedatangan Islam iaitu pada tahun 600 Masihi. Za'aba pula mendakwa bahawa syair berasal daripada perkataan "syir" yang membawa maksud perasaan serta pengenalan dengan pancaindera yang selalunya membangkitkan pelbagai perasaan dan pengalaman serta mempunyai bahasa yang indah dan menarik.
Syair disampaikan dalam bentuk rangkap dan menjadi kegemaran masyarakat Melayu lama. Syair tidak mempunyai pemilik atau penulis yang khusus. Syair dianggapa milik bersama oleh masyarakat Melayu lama. Hamzah Fansuri telah menghasilkan syair yang lebih bersifat Melayu dan menyebabkan syair Melayu sudah menyimpang daripada bentuk syair Arab.


Ciri-ciri syair :
  • terdiri daripada 4 baris serangkap (tetapi sesetengah syair boleh juga dihasilkan dalam 2 atau 3 rangkap).
  • syair tidak mempunyai pembayang maksud (berbeza dengan pantun).
  • setiap baris dalam syair mempunyai makna yang berkaitan dengan baris-baris terdahulu. Sebuah syair biasanya menceritakan suatu kisah.
  • bilangan perkataan dalam setiap baris adalah sama iaitu 4 perkataan dan 8-12 suku kata dalam satu baris.
Syair boleh terdiri daripada syair romantik, syair sejarah, syair ibarat dan juga syair keagamaan.


Kepentingan karya syair ikan terubuk dalam konteks sarwajagat (world views) masyarakat melayu.

Syair ini bukan mengisahkan perkara tersurat sahaja iaitu tentng kehidupan ikan. Kisah atau naratif syair ini boleh dikaitkan dengan kehidupan manusia secara hakiki.


Wujudnya dua kerajaan yang berbeza.

Berdasarkan latar sejarah penciptaan syair ini, kerajaan ikan terubuk dan ikan puyu ini adalah dua buah kerajaan yang berbeza latar tempatnya. Keinginan saling menakluk antara satu sama lain memang wujud. Malah dikatakan bahawa kerajaan ikan terubuk sangat berkuasa dan mampu mengalahkan kerajaan ikan puyu. Bagi pihak yang lemah, adalah lebih baik membuat tipu muslihat dan mengelakkan diri dari berperang dengan pihak yang lebih kuat. Begitulah juga tentang kehidupan manusia yang juga mempunyai pelbagai kawasan dan pemerintahan. Perbezaan kawasan  dan pemerintahan ini perlu diterima sebagai hakikat kehidupan sebenar dan para penduduknya perlu menghormati hal-hal persempadanan negara dan perbezaan ideologi pemerintahan. Jika perbezaan itu tidak dapat diterima, mungkin akan berlaku pertelingkahan sehingga kepada peperangan antara negara.


Perbezaan budaya hidup.
Syair ini juga memberi gambaran secara simbolik tentang kehidupan manusia yang berbeza budaya dan pegangan hidup. Perbezaan budaya dan pegangan hidup ini mungkin tidak boleh diterima oleh pihak yang lain. Contohnya dalam soal makan dan minum yang halal bagi umat Islam, mungkin akan menjadi masalah besar bagi mereka untuk hidup dalam kalangan orang yang bukan Islam. Latar budaya hidup ikan terubuk sudah tentu berbeza berbanding kehidupan ikan puyu. Oleh itu ikan terubuk tidak boleh memaksa ikan puyu untuk hudup bersamanya kerana ikan puyu tidak mungkin boleh menerima cara hidup masyarakat terubuk.


Perbezaan prinsip dan pegangan hidup
Kadang-kadang pegangan hidup yang bebeza tidak memungkinkan kesatuan pendapat dan idea. Ahli masyarakat akan saling berbeza pendapat dan saling membantah antara satu sama lain. Adalah lebih baik ikatan kesatuan itu tidak diwujudkan kerana mungkin akan menyebabkan persengketaan yang berpanjangan. Kehidupan ikan terubuk dan ikan puyu amat berbeza latar tempat, suasana dan budaya hidupnya. Maka adalah lebih baik cinta kasih sayang yang berbeza antara dua latar belakang ini tidak direalisasikan.


Cinta tidak kesampaian.
Apabila peristiwa di dalam syair di atas dikaitkan dengan kehidupan manusia biasa, ia boleh dikaitkan dengan kehidupan manusia yang sedang bercinta. Terdapat cita-cita inginkan seorang gadis atau seorang teruna yang tersemat di dalam hati. Mungkin harapan cinta tidak dapat dipenuhi kerana secara realitinya mereka tidak mungkin bersatu. Terdapat halangan besar yang mungkin menghalang jodoh mereka. Mungkin juga pihak yang dicintai tidak sanggup menerima cinta yang dihajatkan lantaran perbezaaan darjat dan sebagainya. Oleh itu cinta tidak kesampaian dan perpisahan berlaku.


Nilai kepercayaan masyarakat

Kepercayaan Anamisme. Masyarakat melayu dahulu sangat mempercayai roh-roh leluhur mereka. Mereka sering memuja semangat roh nenek moyang mereka apabila mereka menghadapi masalah hidup. Contohnya ayat “Dengan berkat nenek moyangku” dalam rangkap 12 baris ke 3.

Kepercayaan Hindu. Selepas anamisme, masyarakat melayu mengamalkan ajaran hindu. Oleh itu kepercayaan terhadap dewa adalah salah satu bentuk kepercayaan yang penting bagi mereka. Dewa selalunya menjadi pengantara bagi memohon doa dan permintaan mereka agar dimakbulkan. Contohnya ayat “Disampaikan dewata barang pintaku”.

Kepercayaan agama Islam. Kepercayaan masayarakat yang diterjemahkan dalam syair ini adalah setelah kedatangan Islam. Oleh itu, walaupun terdapat unsur kepercayaan lain wujud dalam syair ini namun keutamaannya adalah usur-unsur Islam. Hal ini dapat dilihat melalui pembukaan syair ini telah memulakannya dengan menyebut nama Allah dan bismillah. Contohnya “bismillah itu permulaan kalam”. “Dengan nama Allah khalik al-alam. Ia dikenali juga dengan isilah “Doksologi”. Kemudian di tengah syair ada menyebut “Ya Ilahi Ya Tuhanku,”.  Semua perkara ini menunjukkan bahawa kepercayaan Islam adalah menjadi teras gambaran masyarakat melayu.


Semua nilai kepercayaan masyarakat di atas adalah bercampur aduk di dalam syair kerana masyarakat tersebut belum mempunyai pengetahuan yang jelas tentang kepercayaan yang hakiki. Walaupun kepercayaan masyarakat pada ketika itu adalah agama Islam tetapi unsur-unsur kepercayaan sebelum itu masih memberi pengaruh kepada penciptaan syair mereka terutama dari sudut pemilihan kata-kata dan amalan harian. Oleh itu tidak mustahil untuk mengatakan bahawa syair ini pernah dijadikan salah satu bentuk mantera dan pemujaan tentang laut dan isinya.

Pantun Nasihat


Pantun Nasihat

Tanam bunga di dalam pasu,
        Bunga melati bunga pandan;
Jangan ikut hawa nafsu,
       Kelak nanti binasa badan.

Burung tiung terbang tinggi,
       Burung merpati mencari sarang;
Kalau sombong meninggi diri,
       Ke mana pergi dibenci orang.

Kepentingan puisi dalam konteks sarwajagat masyarakat Melayu tradisional.


Masyarakat yang suka bercucuk tanam. Termasuk jenis-jenis bunga menjadi satu budaya masyarakat melayu kerana tanaman tersebut menjadi lambang keindahan. Malah sering mengaitkan bunga dengan perempuan.

    Masyarakat yang suka kepada keindahan alam dan persekitaran. Mereka suka menghias halaman rumah dengan hiasan tumbuh-tumbuhan dari jenis pokok bunga.

3   Masyarakat yang tidak suka perbuatan yang terlalu mengikut nafsu Masyarakat yang menyedari bahawa perbuatan mengikut hawa nafsu akan memusnahkan diri sendiri akhirnya. Ucapan pantun supaya jangan mengikut hawa nafsu merupakan nasihat yang mampu mencegah seseorang ahli masyarakat supaya jangan melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu menyesal di kemudian hari.

      Masyarakat yang tidak suka perbuatan sombong dan tinggi diri.
Perbuatan sombong adalah amalan yang tidak baik. Perbuatan itu mungkin menjerumuskan seseorang itu tidak bercampur gaul dengan masyarakat. Hidup ahli masyarakat tersebut akan diibaratkan seperti melukut di tepi gantang, ibarat kera sumbang dan ibarat katak di bawah tempurung. Ahli masyarakat lain akan salah tanggap dan sering memperkatakan keburukan rakan yang sombong itu. Hal ini akan menambahkan dosa dan konflik sesama ahli masyarakat.

Masyarakat yang lebih bersifat positif.
Pantun di atas menunjukkan bahawa ahli masyarakat ketika itu tidak bersifat negatif. Mereka sentiasa bersifat positif sebagai ahli masyarakat dan cuba mengelakkan diri daripada cercaan dan umpatan. Salah satu cara mengelakkan diri daripada menjadi sasaran kebencian ahli masyarakat ialah tidak bersifat sombong dan berbangga diri. Anggota masyarakat hendaklah sering bercampur gaul dan mesra sesama anggota masyarakat dengan menghadirkan diri dalam aktiviti masyarakat seperti mesyuarat, kenduri, gotong-royong, bersukan dan lain-lain.
6.       


Ulasan tentang pembayang maksud

Rangkap pertama pembayang pantun wujud pada baris pertama yang mengungkapkan ayat berkaitan kegiatan masyarakat melayu yang suka menanam pokok hiasan. Pokok tersebut menjadi hiasan kerana pokok bunga itu ditanam di dalam sebuah pasu. Kesesuaian pembayang ini dilihat dari aspek rima akhir baris pantun sahaja iaitu perkataan “pasu” dapat di sesuaikan dengan perkataan “nafsu”. Kitan mungkin boleh menanam bunga di mana-mana tempat asalkan di atas tanah, tetapi mungkin kurang sesuai kerana ia mungkin tidak mampu menghias sesuatu tempat. Sedangkan menanam bunga di dalam sebuah pasu mampu menjadikan bunga yang ditanam itu menghiasa sesuatu tempat dan mudah alih sifatnya.

Rangkap kedua, pembayangnya ada dua baris. Kedua-dua baris memberikan senario kegiatan unggas iaitu burung tiong dan burung merpati. Kesesuaian burung tiong adalah mampu terbang tinggi sedangkan burung merpati lebih suka kepada kegiatan mencari sarang sahaja. Kegiatan burung tiong yang terbang tinggi mungkin sesuai dengan isu yang hendak dibawa dalam maksud pantun iaitu perbuatan sombong dan tinggi diri. Kadang-kadang sifat manusia yang mampu mencapai pencapaian yang tinggi akan menyebabkan seseorang itu terlalu berbangga diri sehingga dianggap sebagai orang yang sombong dan bongkak. Contohnya seperti sudah belajar tinggi, sudah kaya, lebih kuat, lebih berkuasa dan lain-lain lagi.

Sifat merpati pula yang sibuk dengan hal sendiri iaitu mencari sarang juga menyebabkan dirinya lalai dan terlalu bersifat individualistik. Jika dikaitkan dengan sifak manusia, orang yang hanya memikirkan hal diri sendiri tanpa memikirkan masalah orang lain boleh menyebabkan dirinya dianggap sombong. Jika hidup berjiran, mereka hanya pergi dan balik ke rumah semata-mata kerana mencari rezeki dan menyelesaikan urusan diri sendiri sahaja. Pada pandangan mereka, peduli apa dengan hal-hal orang lain termasuk hal-hal kejiranan. Mereka tidak ambil tahun masalah jiran-jiran dan mengabaikan kegiatan kemasyarakatan.


Ulasan tentang maksud pantun.

Dua rangkap pantun di atas merupakan larangan-larangan terhadap individu supaya menjauhkan diri dari sikap buruk atau tidak melakukan sesuatu sikap yang buruk.
           
Larangan pada rangkap pertama ialah jangan mengikut hawa nafsu. Jika bertindak mengikut nafsu mungkin akan menyebabkan diri kita terjerumus kepada akibat yang tidak baik.

Larangan kedua pula ialah menghindarkan diri dari sikap sombong. Perkataan yang lain yang mempunyai maksud yang sama ialah seperti bongkak dan tinggi diri. Pantun kedua ini seterusnya menyatakan akibat daipada perlakuan sombong. Perbuatan sombong dan bongkak akan menyebabkan seseorang itu dibenci oleh orang lain.



Pemikiran pantun

1.      Larangan terlalu mengikut hawa nafsu. Secara umumnya manusia memang mempunyai nafsu dan perlu memenuhi keperluan nafsu. Gambaran pantun di atas adalah nasihat supaya jangan terlalu mengikut hawa nafsu kerana perlakuan tersebut boleh menyebabkan satu akibat yang buruk. Contohnya seorang yang memerlukan makanan mungkin akan mendapat penyakit sekiranya makan berlebih-lebihan.

2.      Larangan berbuat sombong. Perbuatan sombong adalah satu perbuatan yang tidak disukai oleh orang lain. Perkara ini sangat diambil perhatian oleh ahli masyarakat melayu kerana amalan bertegur sapa dan mengambil berat adalah budaya masyarakat yang diamalkan sejak sekian lama dan berterusan.

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...