Friday, August 10, 2012

Mitos Secekak Kertas Tisu


Sinopsis

Wang bukan segala-galanya. Ketika wang mempunyai nilai yang tinggi, kita sangat bergembira untuk memiliki pelbagai barangan dan keperluan. Apabila nilai wang jatuh, manusia menjadi keluh kesah dan porak peranda. Lebih-lebih lagi apabila nilai wang jatuh yang menyebabkan harga barangan terlalu mahal. Wang yang banyak tidak mampu memiliki sejumlah barangan yang banyak dan tinggi nilainya. Manusia boleh hilang pegangan akibat mempunyai  masalah kewangan. Sejarah wang telah bermula sejak sekian lama. Terdapat banyak pendapat tentang asal usul wang. Daripada tamaddun awal manusia hinggalah  berlakunya revolusi perindustrian. Malah sebelum itu, matawang asalnya diperbuat daripada emas dan perak yang kemudiannya wujud dalam bentuk kertas yang diberi nilai. Manusia perlu sedar supaya mengelakkan diri daripada menjadi hamba kepada wang. Razeki kita bukan tertakluk kepada nilai wang semata-mata. Teguhkan iman dan yakinlah bahawa Allah yang memberi rezeki untuk kita.
                                                                                                                  (Terbitan Dewan Sastera 1998)

Cuba fahamkan tajuk cerpen. Maksud mitos itu satu kepercayaan yang dipercayai benar. Apa yang masyarakat percaya itu selalu dikaitkan dengan unsur luar biasa dan unsur suci. Namun dalam kes wang kertas secekak itu mungkin tiada yang jelas unsur sucinya. Tetapi ia memberi impak luarbiasa. Jika kita fahami naik dan turunnya nilai matawang dalam ekonomi kita akan cepat faham bagaimana masyarakat dunia termasuk negara kita bimbang bila nilai matawang jatuh. Wang yang banyak hanya boleh mendapat barang dan perkhidmatan yang sedikit bila nilainya jatuh. So matawang itu jadi satu dogma dan menakutkan ramai orang jika jatuh nilainya. Mereka takut tak cukup makan, pakaian dan tempat tinggal. Hal ini dikaitkan dengan beberapa ayat dalam cerpen yang menggambarkan secekak kertas tisu itu adalah wang yang sudah tiada nilai. Asalnya nilainya macam emas malah kadang lebih tinggi daripada itu. Bila sudah tiada nilai maka ia macam sehelai kertas tisu yang gunanya hanya untuk lap kekotoran. Seluruh cerpen ini berkait dengan kebimbangan masyarakat terhadap kejatuhnnya melalui penceritaan watak "dia". Lalu bagi yang beragama Islam sepatutnya percaya bahawa rezeki manusia bukan semestinya sumber wang. Ada lagi lain cara untuk dapat rezeki. Contoh bercucuk tanam, nelayan dan lain-lain kerana yang dikatakan rezeki itu ialah apa yang kita dapat makan dan masuk dalam mulut kita. Itu sebab dalam cerpen tersebut ada menyebut burung-burung masih bebas terbang mencari rezeki tanpa risau tentang kejatuhan "dia" secekak kertas yang jatuh nilai menjadi seperti tisu yang murah harganya.


Beberapa soalan di kalangan pelajar tentang maksud perkataan
1. "Dia" bermaksud kertas tisu yang seharga emas (matawang). Lihat hlm 137.
2. "Aku" mewakili diri sendiri selaku penduduk negara ini.
3. Ayah dan ibu bolah bermaksud pemimpin negara termasuk Perdana Menteri yang sering bercakap tentang isu-isu dan masalah negara.
4. "Mengetuk pintu rumahku?" hlm 131 bermaksud masalah telah datang ke negara kita.
5. "Ambulan" boleh bermaksud aktiviti menyelamat. Dalam konteks isu kejatuhan nilai matawang dan menyelamatkan ekonomi negara ialah langkah menambat nilai matawang kepada suatu nilai (contoh : RM3.80 untuk 1 dollar Amerika)


Senario isu kewangan semasa pada tahun 1998.

Malaysia pernah mengalami Krisis Kewangan pada akhir abad ke-20 iaitu pada tahun 1997 dan 1998. Krisis ini turut dialami beberapa negara serantau di Asia Tenggara seperti Thailand, Filipina dan Indonesia. Kejatuhan nilai Baht di Thailand dikatakan sebagai pencetus utama kepada permasalahan ini. Masalah ini turut menghilangkan keyakinan para pelabur di beberapa negara Asia Tenggara seterusnya mengakibatkan pelabur-pelabur asing di negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina melarikan diri. Malaysia yang turut tidak ketinggalan merasai kesan kehilangan keyakinan para pelabur asing dapat menanganinya dengan pelbagai campur tangan kerajaan. Terdapat beberapa fakta menarik mengenai Malaysia semasa mengalami krisis kewangan ini. 

Kesan daripada krisis ekonomi dan kejatuhan nilai wang yang membabitkan negara Malaysia, maka Bank Negara telah melaksanakan satu dasar tambatan nilai matawang demi menyelamatkan negara kita daripada terus menghadapi kejatuhan nilai ringgit. Berikut adalah cerpen yang ditulis dalam tahun berkenaan (1998), dan perlu difahami berdasarkan senario krisis matawang tersebut.



Cuba fahami petikan di bawah:

         Kata ayah, dia itu adalah seberkas kertas tisu, asalnya pengelap keringat atau pencuci najis yang terletak di tandas, kemudian melayang-layang ke seluruh dunia dengan penghargaan dan penilaian yang luar biasa melebihi emas tulen, Angin perkembangan dunia menyebabkan dia itu berada di sini. Dia jatuh di sini.
             "Berapakah umur dia yang jatuh itu?
      Kata orang di sudah wujud dalam zaman tamadun Sumeria dan tamadun lemah Sindhu, 4000-3000 tahun Sebelum Masihi.
                                                                                           (Halaman 128, Permata Sastera Melayu MPM)


Ulasan:

"Dia" bermaksud helaian kertas yang asalnnya bernilai rendah. Apabila dia diberi nilai, maka nilainya telah meningkat melebihi nilai emas. Oleh itu adalah tidak menjadi mustahil bahawa suatu masa, nilai yang tinggi itu akan jatuh pula termasuk di negara ini.


Juga baca di bawah:

            "Dia jatuh! "
            "Dia jatuh!"
            Seluruh pekan kecil ini menjadi histeria. Puluhan, ratusan, ribuan, erkejar ke tempat dia jatuh.
           "Tentu dia luka parah." kata seorang
           "Tentu dia luka parah, Tentu!"
           "Memang dia luka parah. Panggil ambulan!"
          Demikianlah kegemparan sepekan kecil itu pada pagi kejadian. Juga beberapa hari kemudian. Atau berbulan-bulan kemudian. Atau bertahun-tahun kemudian.
          Kata orang, dia menghilang apabila ambulans tiba.


                                                                                (Halaman 131, Permata Sastera Melayu MPM)


Ulasan:
Istilah ambulan bagi petikan di atas boleh dikaitkan dengan aktiviti menyelamat. Apabila nilai matawang jatuh maka aktiviti menyelamat pada waktu itu adalah sebagaimana yang telah dilakukan oleh pihak Bank Negara iaitu menambat nilai ringgit pada satu nilai tertentu. Langkah tersebut telah menyelamatkan negara daripada menghadapi kejatuhan nilai matawang berterusan. Perkara tersebut digambarkan pada ayat Kata orang, dia menghilang apabila ambulans tiba.
                                                                                    


Baca pula petikan berikut:

"Ya Tuhan. Perteguhkan imanku. Biarlah aku tidak terjejas oleh kejatuhan kertas tisu seharga emas itu. Ikan mencari makan tanpa mempedulikan dia yang jatuh. Selama ini pun Engkau, ya Allah, yang memberi rezeki, bukan dia. Perteguhkan imanku. Kaulah yang memberi rezeki itu. Bukan dia."  
                                                                                       (Halaman137, Permata Sastera Melayu MPM)

Ulasan:
Gambaran petikan diatas mengukuhkan pendapat yang mengatakan dia adalah "wang" dan nilainya yang asalnya kertas biasa dan kemudian diberi nilai oleh manusia. 




Maksud Mitos:
Mitos merujuk kepada satu cerita dalam sesebuah kebudayaan yang dianggap mempunyai kebenaran mengenai sesuatu perkara yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu. Ia dianggap sebagai satu kepercayaan dan kebenaran mutlak yang dijadikan sebagai rujukan. Ia selalunya satu dogma yang dianggap suci dan mempunyai konotasi upacara
                                                                                                                                                         ( Sumber wikipedia)
Mitos juga bermaksud cerita zaman dahulu yg dianggap benar, terutamanya yg mengandungi unsur-­unsur konsep atau kepercayaan tentang se­jarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa, kejadian-kejadian alam, dsb; 2. cerita tentang seseorang atau sesuatu yg tidak benar atau direka-reka, dongeng; memitoskan
(sumber dewan bahasa dan pustaka)
Ulasan:
Berdasarkan kepada dapatan di atas, maka kepercayaan masyarakat terhadap sejenis kertas yang dianggap bernilai oleh dianggap satu mitos. Mitos yang kononnya secekak kertas itu boleh membuatkan seseorang itu bahgia atau sengsara. Semacam ada satu pengaruh luar biasa dan dipercayai benar oleh sebilangan orang ramai kepada nilai wang. Cuma dalam konteks maksud mitos cerpen ini, ia tidak wujud unsur-unsur suci pada pandangan agama secara nyata.



Tema


Bertemakan tentang masalah ekonomi semasa iaitu kejatuhan nilai mata wang. Manusia di dunia termasuk di negara kita menjadi resah dan tidak menentu kerana nilai wang. Bagi mereka, kejatuhan nilai matawang telah menyusahkan kehidupan dan ramai cuba menyalahkan pihak lain kerana nilai wang jatuh. Seolah-olah manusia telah menjadi hamba kepada wang dan manusia lupa bahawa pemberi rezeki adalah Allah. Manusia lupa untuk berikhtiar mencari sumber lain bagi mendapatkan barangan dan keperluan harian sebagaimana yang telah dilakukan oleh seekor burung ketika mencari rezeki (hlm 137).




Pemikiran

1. Krisis matawang yang melanda telah menyebabkan rakyat gelisah.
Mitos dikaitkan dengan kepercayaan. Sesuatu yang dipercayai benar. Ramai orang percaya kononnya sehelai kertas itu mempunyai nilai dan ramai percaya tanpa helaian kertas itu, kita akan sengsara. Malah ada yang menjadi leka kerananya. Jika helaian kertas itu semakin jatuh nilainya sehingga akhirnya tidak bernilai, maka ia tidak ubah umpama nilai secekak kertas tisu sahaja. Tisu akan dibuang di tempat longgokan sampah apabila tidak diguanakan lagi. Harga tisu amat murah, kerana itu ia mudah dibuang. Bayangkan jika dahulu kita mampu membeli 100 biji kuih dengan RM10 sebaliknya kini kita hanya mampu memiliki 25 biji kuih sahaja dengan wang yang sama.

2. Nilai matawang bukan penentu kebahagiaan hidup
Ramai orang menjadi resah kerana kejatuhan nilai matawang. Namun penentu kebahagiaan hidup bukan ditentukan oleh nilai wang semata-mata. Masih banyak faktor penentu lain yang mampu membuatkan seseorang itu bahagia.

3. Jangan menjadi hamba wang.
Ramai orang percaya bahawa kejatuhan matawang akan menyebabkan kesusahan dan hilang banyak rezeki. Mereka telah berusaha siang malam semata-mata untuk mengumpulkan duit yang banyak. Semoga dengan duit yang banyak akan menyelamatkan diri mereka daripada kemiskinan dan papa.


4. Yakin dengan kekuasaan Allah yang memberi rezeki kepada manusia.
Sebenarnya pemberi rezeki kita adalah Allah swt. Keyakinan kepada perkara yang lain selain Allah akan menjejaskan keimanan kita. Mempunyai wang sememangnya penting, namun kita tidak boleh meyakini bahawa mempunyai wang maka kita mempunyai banyak rezeki. Pengarang mengambil contoh burung-burung yang terbang tetap memperolehi rezeki tanpa menghiraukan kejatuhan nilai wang (secekak kertas tisu).




Bincangkan watak "dia" dalam cerpen mitos secekak kertas tisu.

1. Dia telah ditafsirkan dengan pelbagai maksud.
2. Dia adalah kertas tisu.
3. Dia asalnya mempunyai nilai yang rendah
4. Dia telah diberi nilai yang tinggi.
5. Dia kemudianya telah jatuh nilai.
6. Dia kini sudah menghilang.
7. Dia telah membuat manusia resah gelisah.
8. Dia mempunyai sejarah yang panjang.
9. Dia telah menjadikan manusia sedar tentang kebesaran Allah.



Cerpen Usia Emas



Sinopsis

Usia emas bukan satu anugerah tetapi satu pinjaman. Usah berbangga kerananya. Hargailah orang tua yang telah menjaga dan mendidik kita. Akhirnya kita perlu menerima hakikat bahawa ajal akan sampai juga akhirnya. Usia emas sememangnya hanya menunggu masa ajal kita akan sampai kerana usia nabi Muhammad hanya sekitar 62 tahun sahaja. Cikgu Baharum sudah bersara. Usia emasnya dipanjangkan Allah. Beliau pernah menjadi penulis dan tulisan beliau disiarkan di dalam Warta Malaya (sejenis akhbar  yang popular di tanah Melayu suatu ketika dahulu). Pada masa tuanya beliau memenuhi kehidupan dengan bangun pagi dan bersenam. Digambarkan kisah hidupnya ketika bergelar guru. Beliau bangun pagi dan datang kerja awal. Beliau sentiasa membimbing anak muridnya. Banyak ilmu pengetahuannya kerana banyak membaca. Suka berbincang dalam pelbagai perkara termasuk ekonomi, politik dan sosial. Bicara soal hari tua bukan masa untuk mendapat bermacam anugerah. Anugerah sudah tidak releven lagi buat warga tua, lebih-lebih lagi apabila sudah mati. Pemergiannya tidak perlu diratap dan merasa kehilangan kerana tugas manusia sudah tamat pada masa itu. Doakan sahaja untuk simati dengan kebaikan dan pohonkan pengganti yang lebih baik. Orang tua-tua beragama Islam hanya perlukan kasih sayang anak-anak. Jangan jadi seperti di tempat lain yang menghantar orang tua-tua di rumah kebajikan sebagaimana yang berlaku di Jepun. Berilah mereka peluang melanjutkan ibadahnya dan jangan anggap mereka sebagai golongan tidak berguna. Akhirnya mendapat penulis mendapat khabar cikgu Baharum telah kembali ke Rahmatullah. Semua yang fana ini akan kembali kepada penciptanya. Jangan mengeluh dan meratap. Kita perlu bersabar. 


Aspek Ekstrinsik dan Intrinsik cerpen

Beberapa catatan dialog penting berdasarkan cerpen Permata Sastera Melayu

 "Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana umur panjang. Saya bimbang dengan usia dipinjamkan ini" (hlm. 116)

Perkataan "usia dipinjamkan" memberi gambaran bahawa manusia tidak mempunyai apa-apa kuasa terhadap umurnya. Walaupun ramai manusia bercita-cita untuk hidup lebih lama, tetapi hakikatnya mereka hanya mampu berusaha sahaja. Manusia akan cuba untuk mengamalkan cara hidup sihat seperti melakukan kegiatan beriadah.


"Sentiasa berlindung diri di belakang setiap solat dengan doa jangan sampai umur tua"    (hlm117)

Apabila melihat kesukaran hidup warga tua, kita seharusnya sedar bahawa umur yang panjang perlu disertai dengan anugerah kesihatan. Warga tua yang panjang usia mungkin akan menjadi beban kepada golongan muda. Oleh itu doa supaya jangan hidup sehingga terlalu tua ini suatu yang wajar diamalkan oleh insan yang sedar asal usul dirinya.

Aspek Estetik Cerpen

Cerpen ini mempunyai nilai kerohanian yang tinggi. Penulis mempunyai pengetahuan tentang agama dan sentiasa merujuk kepada perintah Ilahi dalam sebahagian besar penulisannya. 



Pemikiran Masyarakat


1. Perbezaan pandangan ahli masyarakat tentang hari tua. Bagi masyarakat barat, hari tua merupakan masa untuk   bergembira dan berhibur. Bagi penulis, hari tua adalah masa kita untuk melakukan sesuatu yang berfaedah dan melakukan ibadat. Masyarakat barat berpendapat orang yang dipanjangkan usia mempunyai keistimewaan. Mereka perlu diraikan dan diberi anugerah. Bagi penulis, usia tua adalah masa yang dipinjamkan dan perlu bersedia untuk menghadapi kematian.

2. Terdapat juga perbezaan pandangan antara masyarakat timur seperti di Jepun berbanding masyarakat melayu. Bagi masyarakat Jepun, orang tua dianggap tidak produktif  dan tidak mampu menyumbang apa-apa produktiviti. Malah kewujudan mereka merupakan satu beban dan perlu dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Bagi masyarakat kita, orang tua perlu disayangi dan perlu dijaga oleh ahli keluarga dengan baik.   






Kandungan Karya




Analisis karya



Tema

Cerpen ini bertemakan kemanusiaan. Kehidupan usia tua bukan satu kelebihan tetapi ia hanyalah pinjaman Usia emas bukan masa untuk mendapat  anugerah hidup dan berhibur sebagaimana orang barat. Usia emas perlu dipenuhi dengan aktiviti berfaedah dan beribadat kepada Allah. Warga tua perlu disayangi dan jangan dilupakan. 


Pemikiran

1- Jangan berbangga dengan baki umur kita.
Umur kita adalah anugerah Allah dan kita menerima anugerah itu dengan syukur. Semakin bertambah umur kita akan semakin mendekati mati. Oleh itu kita tidak boleh berbangga dengan anugerah sementara itu.

2- Anugerah dan penghargaan bukanlah suatu yang istimewa pada hari tua.
Cikgu Baharum tidak terlalu berbangga kerana mendapat anugerah warga emas. Umur yang panjang hanya perlu disyukuri. Rujuk halaman 116. "Saya bersyukur kepada Allah Taala.........."

3-Penuhi hari tua dengan aktiviti berfaedah.
Penulis menceritakan tentang aktiviti yang telah dilakukan oleh cikgu Baharum apabila menjelang hari tua. Malah cikgu Baharum juga diceritakan seorang yang sangat rajin bekerja. Beliau bangun pagi dan terus pergi bekerja dengan tekun. Malah apabila sudah pencen, dia terus mengamalkan aktiviti bangun pagi untuk solat, membaca al-quran dan  beriadah. (Rujuk halaman 119)

4-Banyakkan beribadat.
Cikgu Baharum diceritakan seorang yang taat mengerjakan suruhan tuhan. Beliau rajin sembahyang dan membaca al-Quran. Malah hujah dan pendapatnya sering dirujuk kepada kitab al-Quran. 


5-Sayangi warga tua.
Cikgu Baharum berpendapat bahawa orang tua memerlukan kasih sayang anak-anaknya (hlm 125). Oleh itu setiap anak yang mempunyai orang tua perlulah mengambil perhatian terhadap ibubapa mereka. Jangan serahkan mereka kepada rumah-rumah kebajikan seperti yang lazimnya dilakukan oleh pihak lain. 

6-Setiap yang hidup pasti akan mati akhirnya.
Cerpen ini diakhiri dengan  berita kematian cikgu Baharum dalam satu panggilan telefon  terhadap penulis pada suatu pagi. Oleh itu benarlah bahawa manusia yang hidup perlu sedar bahawa usia yang semakin meningkat menandakan dirinya semakin hampir kepada kematian.






                                                                        

Thursday, August 9, 2012

Taj Us Salatin

Ringkasan Maksud Isi Teks

a) Syarat yang Harus Dipelihara oleh Segala Raja

Syarat pertama raja hendaklah adil. Iaitu merasakan dirinya seperti kedudukan pengadu masalah.

Syarat kedua. Raja hendaklah sedia menerima aduan rakyatnya dengan sifat terbuka dan mengalu-alukan kedatangan rakyat.

Syarat ketiga. Raja hendaklah beriman dan jangan mengikut nafsu.

Syarat keempat. Raja hendaklah menghukum dengan sabar, lemah lembut dan menghindarkan rasa kebencian terhadap pelaku. Rujuk kisah Raja Ma'mun.

Syarat kelima. Raja hendaklah menghukum demi mendapat keredaan Allah. Menghukum dengan kebenaran (hak).

Syarat keenam. Raja hendaklah ingat bahawa segala pekerjaannya itu akan mendapat balasan kebajikan di dunia dan akhirat. Sebaliknya jika raja berbuat dosa, dirinya akan dibalas dengan kejahatan juga.

Syarat ketujuh. Raja hendaklah menghormati golongan bijak pandai (orang berilmu). Perlu bersikap merendah diri dan tidak berbangga dengan kedudukannya sebagai sultan. Sesungguhnya ilmu orang bijak pandai (pendeta) itu lebih mulia daripada kedudukan seorang raja.

Syarat kelapan. Raja hendaklah menghindarkan diri daripada sikap takbur.

Syarat kesembilan. Hendaklah segera bertindak menyiasat aduan rakyat dan menyegerakan hukuman demi menjaga kebajikan rakyat. Jika raja berdiam diri terhadap sebarang aduan rakyat, ia akan menyebabkan rakyat rasa teraniaya.

Syarat kesepuluh. Raja hendaklah bijaksana dan berhati-hati terhadap rakyat yang mengadu hal kepadanya.


b) Syarat yang Harus Dipelihara oleh Menteri.

Syarat pertama. Menteri hendaklah memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

Syarat kedua. Menteri hendaklah berterima kasih kerana pemberian raja dan anugerahnya.

Syarat ketiga. Menteri hendaklah berbelanja dengan kebenaran raja. Perbelanjaan hendaklah mengikut keperluan dan tidak membazir.

Syarat keempat. Menteri hendakalah mencari sumber harta bagi raja.

Syarat kelima. Menteri hendaklah menyediakan segala keperluan raja, pakaian dan kenderaan raja.

Syarat keenam. Menteri hendaklah mengingatkan raja supaya jangan melanggar hukum syarak.

Syarat ketujuh. Menteri hendaklah menegur kesilapan raja jika melanggar hukum syarak.

Syarat kelapan. Menteri jangan sombong (maghrur) kerana pangkatnya iaitu ketika bertugas bagi pihak raja. Jangan mengasari rakyat kerana perkara tersebut akan menjadi punca kejatuhan menteri itu sendiri.

Syarat kesembilan. Semasa menteri berusaha mencari harta, hendaklah memastikan segala hulubalang dan askar bertugas mengawal negeri kerana tanpa mereka, segala harta yang dicari tidak akan memberi makna apa-apa. Mungkin harta akan hilang jika tiada pengawal yang akan menjaganya.

Syarat kesepuluh.Menteri hendaklah mencari maklumat tentang keselamatan negara melalui maklumat yang diperolehi rakyat jelata dari seluruh pelusuk negeri.


c) Syarat yang Harus dipelihara oleh Pegawai.

Syarat pertama. Pegawai hendaklah mendahulukan perintah Allah dan menyedari bahawa raja juga makhluk Allah.

Syarat kedua. Pegawai hendaklah menghargai pemberian raja dan memuliakan rajanya.

Syarat ketiga. Pegawai hendaklah menunjukkan perkara yang baik di depan raja dan menyembunyikan apa-apa perkara yang sukar tentang dirinya.(Baca kisah dalam teks)

Syarat keempat. Pegawai harus mengutamakan tugasnya berbanding mendapat keredaan sultan.( Baca kisah dalam teks.)

Syarat kelima. Pegawai hendaklah lebih takut (taqwa) kepada Allah berbanding rajanya.

Syarat keenam. Pegawai hendaklah menyempurnakan segala pekerjaan dunia raja namun jangan lupa dengan pekerjaan akhirat dirinya.

Syarat ketujuh. Pegawai hendaklah jangan bersubahat dengan raja untuk menaniaya rakyat, kerana dirinya akan mendapat balasan yang sama di akhirat kelak.

Syarat kelapan. Pegawai jangan memuji orang lain yang tidak di kenalinya di hadapan raja.

Syarat kesembilan. Pegawai hendaklah menunjukkan kepada raja dahulu akan segala milik kesukaannya.

Syarat kesepuluh. Pegawai hendaklah menjaga tutur kata dan tingkah laku dan seluruh anggotanya apabila
berhadapan dengan rajanya.







****akan dikemaskini.

Wednesday, August 8, 2012

Hikayat Nabi Wafat



Sinopsis

Nabi Muhammad telah didatangi oleh dua orang malaikat iaitu Jibrail dan Malikul Maut atas arahan Allah. Nabi bersedih kerana akan meninggalkan umatnya yang dikasihi. Beliau telah berpesan kepada anak dan isterinya agar jangan bersedih dan menerima hakikat takdir serta berjanji akan bertemu semula di hari akhirat kelak. Kemudian Rasulullah pun pergi ke masjid untuk solat Jumaat yang terakhir. Baginda telah membaca khutbah dan mengimamkan solat. Setelah itu Rasulullah pun membuat pengumuman kepada sidang jumaat yang ingin menyelesaikan perkara-perkara tertentu termasuk hutang sebelum beliau wafat supaya tidak menjadi beban di hari akhirat kelak. Ada seorang sahabat bernama Akasyah, ingin menuntut hutang kerana telah terpukul oleh cemeti Rasulullah ketika perang. Akasyah ingin membalas balik ke atas Rasulullah sebagai syarat membayar balik hutang lama tersebut. Para sahabat dan ahli keluarga baginda bersedih namun Akasyah tetap ingin meneruskan niatnya. Rasulullah diminta membuka baju supaya Akasyah dapat memukul baginda dengan cemeti. Sebaik sahaja baginda membuka baju, Akasyah terus mencium perut (pusat) baginda kerana niat beliau bukan untuk memukul baginda tetapi ingin melihat kelebihan yang ada pada badan baginda yang bercahaya. Setelah peristiwa tersebut, baginda telah mengumumkan pengganti imam di masjid ialah Saidina Abu Bakar. Seterusnya baginda dibawa pulang oleh Saidina Ali. Setelah sampai waktunya, Malikul Maut datang ke rumah Rasulullah dan memberi salam di luar rumah baginda. Apabila Malikul Maut dibenarkan masuk maka dikahbarkan bahawa segala bidadari dan malaikat sedang menunggu roh nabi. Setelah baginda mencium kepala  Fatimah, nabi pun wafat.



Hikayat Pelanduk Jenaka

Hikayat Pelanduk Jenaka (Syeikh Alam Berlawan dengan Raksasa)



Sinopsis

Tuan Syeikh Alam di Rimba telah bertitah bahawa ada suatu bahaya akan menimpa masyarakat binatang yang tinggal di hutan. Kemudian msayarakat binatang berkenaan telah pergi ke sungai  Tinam untuk menangkap ikan yang banyak di sana. Namun di sungai berkenaan terdapat seorang raksasa yang menjadi penunggu tempat itu. Sang Beruang, Sang Seladang, Sang Harimau dan Sang Badak tidak berjaya menjaga ikan hasil tangkapan mereka lantaran ancaman raksasa tersebut. Malah Badak yang sudah tewas itu menipu rakan-rakannya dengan mengatakan dirinya cedera kerana berlawan dengan raksasa. Sebenarnya luka di badan Badak itu kerana tercangkuk onak dan duri ketika berlari menyelamatkan diri daripada Raksasa.

Kemudian masyarakat binatang pun meminta pertolongan daripada Pelanduk Jenaka (Syeikh Alam di Rimba). Pelanduk Jenaka meminta tempoh tujuh hari baru beliau hendak berangkat untuk melawan Raksasa. Setelah genap tujuh hari Pelanduk Jenaka pun pergi ke tampat Raksasa. Pelanduk Jenaka mengajak masyarakat binatang menangkap ikan sebanyak yang boleh. Pelanduk jenaka pula membuat simpai yang diperbuat daripada rotan. Pelanduk telah mengarahkan rakan binatang yang lain menyembunyikan diri sementara Pelanduk pula menunggu ikan yang sedang dimasak. Apabila Raksasa datang, Pelanduk pun berbuat helah dan menipu Raksasa menggunakan simpai yang kononnya boleh mengubat masalah sakit-sakit di badan. Akhirnya Raksasa terperangkap dengan simpai (diperbuat daripada rotan) yang dipasang dibadannya. Badan Raksasa terguling ke tanah. Pelanduk pun mengambil kesempatan mencakar mata Raksasa tersebut sehingga buta. Raksasa telah menjerit kesakitan dan jeritan berkenaan telah menyebabkan seluruh masyarakat rimba terkejut. Setelah Raksasa dapat dikalahkan, maka amanlah seluruh penduduk rimba dan dapat bermain-main di sungai Tinam.

Mengenalpasti jenis dan ciri-ciri prosa tradisional.

Hikayat Pelanduk Jenaka adalah sebahagian daripada cerita binatang. Cerita binatang adalah sebahagian daripada cerita rakyat. Cerita rakyat pula adalah sebahagian daripada sastera rakyat (juga dikenali sebagai sastera lisan).

Cerita rakyat merupakan satu bentuk cerita yang popular di kalangan rakyat, yang menjadi hiburan penting di masyarakat berkenaan.Dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagi jenis cerita rakyat seperti cerita binatang, cerita jenaka, cerita penglipur lara dan cerita pengalaman.Cerita rakyat juga sebagai ekspresi budaya suatu masyarakat melalui bahasa tutur yang berhubung langsung dengan berbagai aspek budaya, seperti agama dan kepercayaan, undang-undang, kegiatan ekonomi, sistem kekeluargaan, dan susunan nilai sosial masyarakat tersebut.prosa.

Cerita binatang biasanya menceritakan sebuah masyarakat binatang yang tinggal di dalam hutan. Golongan binatang ini boleh bertutur seperti watak manusia. Terdapat watak binatang yang unggul dan menjadi hero di kalangan mereka sementara binatang yang lain adalah watak kecil yang sentiasa mengharapkan bantuan. Binatang yang unggul itu biasanya dikaitkan dengan Sang Kancil dan Pelanduk. Sang Kancil atau Pelanduk digambarkan sebagai binatang cerdik yang mampu mengatasi sebarang masalah masyarakat binatang. Pada masa yang sama, terdapat pula ancaman daripada golongan yang dianggap sangat kuat dan berkuasa. Biasanya golongan yang mengancam keharmonian masyarakat binatang adalah seperti harimau, buaya, gergasi dan raksasa. Golongan yang dianggap kuat dan mengancam keselamatan ini akan ditewaskan oleh binatang kecil yang lebih cerdik akalnya.

Sesuai dengan genre sastera rakyat (sastera lisan), maka penceritaan tentang kisah binatang akan lebih menarik sekiranya ia disertakan dengan intonasi suara binatang yang berbeza ketika cerita berkenaan disampaikan. Khalayak yang biasa mendengar cerita binatang pula biasanya adalah golongan kanak-kanak. Penyampai cerita pula tidak semestinya golongan profesional seperti penglipurlara. Ia mungkin hanya disampaikan oleh golongan penyampai biasa secara turun temurun melalui orang-orang tua di kampung.

Pemikiran

Kehidupan masyarakat rimba yang sedang menghadapi masalah seperti manusia biasa. Kegiatan mencari rezki meraka telah terhalang lantaran adanya ancaman raksasa. Mereka telah berusaha menyelesaikan masalah tersebut namun usaha mereka gagal. Akhirnnya mereka terpaksa memohon pertolongan daripada golongan bijak pandai dan pakar strategi. Pelanduk Jenaka merupakan pihak yang menjadi penyelamat atau penyelesai masalah.

Pengajaran

- Perlu berwaspada
- Perlu berusaha menyelesaikan masalah
-Jangan takbur
-Jangan menipu
-Bantulah rakan yang memerlukan pertolongan.
-Gunakan akal sebaiknya ketika bertindak.
-Perlu bijak merancang strategi (kaedah penyelesaian masalah).


Persamaan kehidupan manusia dengan kehidupan masyarakat binatang dalam Hikayat Pelanduk Jenaka.

1. Terdapat golongan manusia yang bersikap takbur atau bercakap besar. Sang Beruang sangat takbur dan mengatakan bahawa dirinya mampu mengalahkan raksasa dengan mudah. Hakikatnya Sang Beruang tidak berkemampuan untuk mengalahkan raksasa secara fizikal. Akhirnya beliau tewas dan mengaku kalah.

2. Sebahagian daripada manusia bersikap tidak jujur kepada diri sendiri dan rakan. Perkara ini dapat dibuktikan berdasarkan sikap badak yang telah mengalami kecederaan. Badak menyatakan bahawa kecederaan yang telah berlaku ke atasnya adalah disebabkan berlawan dengan raksasa. Hal tersebut sebenarnya tidak berlaku sama sekali.

3. Manusia kadangkala bertindak dengan cara yang salah. Mereka tidak menggunakan kelebihan akal yang ada pada diri mereka. Sebaliknya mereka hanya menggunakan kekuatan fizikal semata-mata. Akibat tidak bertindak dengan betul, manusia akan mengalami kegagalan dalam usaha mereka mengatasi masalah kehidupan. Malah ada di antara mereka bertindak terburu-butru. Masyarakat binatang dalam cerita ini diselubungi rasa takut yang melampau. Apabila berjumpa raksasa, mereka segera melarikan diri tanpa erfikir pajang. Akibatnya mereka mengalami kecederaan dan kesukaran.

4. Manusia perlu berkerjasama sesama ahli masyarakat. Muafakat yang diamalkan oleh masyarakat binatang dalam cerita ini begitu baik. Mereka cuba memberikan peranan kepada setiap anggota masyarakat yang ada.  Malah Pelanduk juga bijak mengarahkan rakan-rakan mereka supaya melaksanakan tugasan masing-masing ketika hendak memerangkap raksasa.

Tuesday, August 7, 2012

Hikayat Hang Tuah Bab XIX

Utusan ke Benua Keling

Kisna Rayan (raja benua Keling) menyambut surat daripada Sultan Melaka (Sang Maniaka). Hang Tuah selaku utusan raja telah sampai di negeri Bijaya Nagaram. Latar tempat negeri berkenaan sangat indah dan unik. Surat raja Melaka sangat dimuliakan kerana raja Melaka keturunan melayu. Surat sultan pun dibaca dan Kisna Rayan pun bertanya tentang utusan raja yang bernama Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah yang berkebolehan dalam bahasa Nagaram telah menjawab dengan baik. Hang tuah pernah belajar bahasa keling ketika berada di majapahit dengan seorang lebai.  Semua orang kagum dengan kebolehan Hang Tuah. Hang Tuah telah mendapat layanan yang sangat istimewa daripada raja benua Keling itu. Hang Tuah telah dijamu dan dijadikan anak angkat. Kemudian Hang Tuah telah diminta mengubati isteri Nala Sang Guna yang mandul supaya mendapat anak. Hasrat itu telah di tunaikan oleh Hang tuah dengan membuat ubat yang rupanya seperti "madat". 

Seterusnya beliau dicabar untuk menaiki kuda teji dan beliau telah berjaya menunggang kuda tersebut. Hang Tuah telah memacu kuda berkenaan dengan meletakkan kepala beliau di belakang telinga kuda berkenaan.

Sikap dan watak Hang Tuah sangat memikat hati Kisna Rayan dan berhajat ingin menjadikan Hang Tuah sebagai hulubalangnya. Ketika Nala Sang Guna ingin menjamu sultan, didapati kayu untuk memasak tiada kerana Kisna Rayan menghalang rakyatnya menjual kayu. Hang Tuah telah menyelesaikan maslah tersebut dengan mencadangkan agar kain dijadikan bahan api.

Kemudian Hang Tuah menunjukkan kebolehannya yang luarbiasa. Beliau telah menunjukkan kepada raja keling kemampuannya menanam benih pokok yang cepat membesar dan berbuah, masak dan boleh dimakan oleh raja keling itu. Selepas baginda makan buah masak itu, pokok kayu itu pun ghaib.


Seterusnya Hang Tuah telah dititahkan ke benua China oleh Kisna Rayan. Setelah dua bulan perjalanan, Hang Tuah pun sampai dan berlabuh di tempat Feringgi berlabuh. Wujud sedikit pertelingkahan antara utusan benua keling dengan Feringgi. Hang Tuah dan utusan lain disambut dan surat di arak. Kebijaksanaan Hang Tuah terserlah apabila berjaya membuat muslihat untuk melihat raja China yang duduk di dalam mulut naga emas bersisik.

Maksud perkataan:
1. Madat
1. candu yg belum dimasak; minum ~ 2. segala jenis dadah (spt ganja, morfin, heroin, candu, dsb) yg disalahgunakan oleh penagihnya; 

2. perihal menghisap madat; 2. Jk biasa melakukan sesuatu yg tidak sopan (kurang baik dll);pemadat orang yg biasa (ketagih) menghisap madat: orang yang ~ itu semuanya kurus kering.




Bahan yang mengandungi kandungan kimia yang mengkhayalkan dan merosakkan kesihatan yang menjadi barang dagang di antara China dan orang-orang Eropah di zaman dinasti Manchu.




2. Ceteria

sl anak raja-raja, kesateria: maka duduklah segala orang kaya-kaya, dan segala ~, sida-sida, bentara hulubalang, masing-masing pada martabatnya.

Hang Tuah sebagai tokoh epik dalam Hikayat Hang Tuah
1. Mempunyai kebolehan berbahasa. Beliau pandai bertutur dalam bahasa Nagaram (hlm 52). Ketika mengadap Kisna Rayan (Raja benua Keling- Bijaya Nagaram), beliau telah bercakap menggunakan bahasa Nagaram. Beliau telah mempelajari bahasa tersebut daripada seorang lebai. Kemampuan beliau ini adalah salah satu ciri penting seorang tokoh epik iaitu bijak menguasai ilmu berbahasa di dunia

2. Mampu mengubati isteri Nala Sang Guna yang mandul atau tidak mampu meahirkan anak. Tindakan beliau ini adalah diatas permintaan Nala Sang Guna sendiri. Hang Tuah telah membuat satu ubat yang rupanya seperti madat. Setelah siap, ubat berkenaan telah diserahkan kepada Nala Sang Guna untuk diserahkan kepada raja. Kebolehan mengubati permaisuri raja benua Keling ini telah menunjukkan bahawa beliau mempunyai kebolehan yang istimewa.

3. Tangkas menunggang kuda. Hang Tuah telah diminta supaya menunggang kuda teji. Kuda teji adalah salah seekor kuda Kisna Rayan yang sukar dikendalikan. Setelah Hang Tuah belajar menunggang kuda, beliau telah berjaya memacu kuda tersebut dengan selamat iaitu dengan cara tunduk dan melindungkan kepalanya dibalik telinga kuda tersebut. Kebolehan ini adalah salah satu bukti keperwiraan beliau ketika berada di benua Keling.

4. Mampu menyelesaikan masalah dengan kebolehan akal fikirannya. Apabila hendak memasak untuk jamuan diraja, terdapat masalah ketiadaan kayu untuk memasak. Hang Tuah telah berjaya menyelesaikan masalah ketiadaan kayu dengan menjadikan kain sebagai bahan api. Kebijaksanaan Hang Tuah ini adalah salah satu bukti beliau layak digelar wira.

5. Mempunyai kebolehan yang luar biasa. Hang Tuah telah menunjukkan sesuatu pertunjukan yang dianggap permainan. Beliau telah mengeluarkan suatu benih pokok kayu. Apabila benih itu ditanam terus tumbuh serta berdaun dan sesaat itu juga berbunga lalu berputik dan berbuah masak. Beliau telah memperolehi benih itu melalui mimpi. Apabila sudah dimakan buahnya, dengan segera pohon itupun ghaib. Kebolehan Hang Tuah yang luar biasa ini merupakan satu lagi bukti bahawa beliau layak digelar wira epik.

6. Mampu memperdaya dan melihat Maharaja China. Ketika rombongan Hang Tuah ke negeri China hendak dijamu makan, beliau telah menyatakan bahawa orang Keling  makan sayur, daun kayu dan buah kayu. Sayur yang hendak dimakan itu pula tidak dikerat dan dibiarkan panjang-panjang. Ketika makan, Hang Tuah telah mendongakkan kepala ketika makan sayur kangkung yang tidak dikerat itu. Pada masa itulah beliau dapat melihat Raja China yang duduk dalam mulut naga emas bersisik. Tatkala Laksamana memandang ke atas, HangTuah hendak dipenggal oleh hulubalang Raja China. Namun Raja China telah menghalang tindakan rakyatnya kerana Hang Tuah sebenarnya telah bertindak bijaksana.




Thursday, July 26, 2012

Hikayat Hang Tuah Bab VII

Perkahwinan Radin Mas Ayu 
dengan Raja Melaka (Sang Maniaka)

Sultan Melaka bersama rombongan telah datang ke Majapahit bertujuan untuk mengahwini Raden Mas Ayu. Rombongan ini diringi oleh Patih Kerma Wijaya, Hang Tuah dan lain-lain pegawai serta rakyat Melaka. 


Di Majapahit, Radin Mas Ayu adalah anak kepada Betara Majapahit. Upacara perkahwinan dimulakan dengan majlis berjaga-jaga. Hang Tuah berjawatan sebagai seorang Bentara. Sultan Melaka telah menghantar belanja perkahwinan dengan persembahan emas tujuh bahara, kain tujuh peti dan perempuan dayang seramai 70 orang. Sultan Melaka telah mengadap Betara Majapahit. 

Ketika majlis mengadap diadakan berlaku perancangan jahat Patih Gajah Mada iaitu salah seorang pembesar Majapahit. Hang Tuah telah menunjukkan kehebatannya memarang mata tombak dan membunuh pencabarnya.







Kemudian datang pula Taming Sari datang mengamuk dan menikam ramai orang. Hang Tuah berani berhadapan dengan tentangan Taming Sari ketika pihak lain termasuk Patih Gajah Mada melarikan diri. Pada awalnya Taming Sari sukar dikalahkan kerana tidak lut diparang oleh Hang Tuah. Kekuatan Taming Sari ada pada kerisnya. Hang Tuah pun membuat muslihat agar mereka berdua bersama-sama mengamuk Betara Majapahit. Hang Tuah mengajak Taming Sari bertukar keris. Apabila sahaja Hang Tuah mendapat Keris Taming Sari, beliau telah memekis dan berlawan semula dengan Taming Sari. Hang Tuah telah berjaya mengalahkan Taming Sari dan dianugerahkan keris yang dimiliki oleh Taming Sari. Hang Tuah juga diberi gelaran Laksamana oleh Ratu Majapahit serta   anugerah Sungai Jemaja. 

1. Mengenal pasti jenis dan ciri-ciri prosa tradisional terpilih.

Jenis karya di atas adalah sejenis karya sastera epik seperti definisi berikut:

Epik adalah sebuah genre puisi naratif yang luas, dicirikan dengan kepanjangannya, pelbagai latar, sejumlah watak-watak yang besar dan berat serta jangka masa yang lama. Biasanya melibatkan cerita-cerita zaman kuno ratusan tahun lampau dan kadang-kala sukar untuk difahami kerana ada maksud tersurat dan maksud tersirat. Ia mengemukakan watak wira yang agung dalam satu rentetan peristiwa yang meliputi mitoslagendadongeng dan sejarah. Epik biasanya dianggap penting bagi perjalanan sejarah sesebuah bangsa, dan merupakan sumber inspirasi kepada bangsa yang melahirkan epik tersebut.[1]
Dasar penceritaan epik tertumpu kepada kepahlawanan seseorang wira. Sebagai seorang wira, dia perlu mempunyai sifat-sifat dan perlakuan fizikal yang berbentuk kepahlawanan. Wira harus bersedia menghadapi cabaran dan dapat membuktikan kepahlawanannya. Masyarakat pula dapat menerima dan mengakui kepahlawanan wira tersebut sebagai yang terunggul pada zamannya.



Ciri-ciri epik adalah:

1. Pahlawan tampil sebagai susuk tubuh yang mengkagumkan. Hang Tuah mampu mengalahkan pencabarnya seorang diri dan memenangi pertarungan tersebut. Malah Hang Tuah sangat bijaksana kerana mampu memperdaya Taming Sari agar mereka saling bertukar keris.

2. Latar penceritaan pahlawan adalah luas, universal dan berlaku di sebarang tempat. Asal Hang Tuah daripada Melaka sedangkan penceritaan di atas adalah di Majapahit.

3. Keberanian tokoh dijadikan bahagian penting dalam keseluruhan tema.
Hang Tuah digambarkan sangat berani menentang musuh seorang diri tanpa bantuan rakan-rakan yang lain.

4. Ada keterlibatan unsur supernatural (kuasa luarbiasa). Hang Tuah tidak cedera walau sedikitpun dalam pertarungannya. Perkara ini adalah suatu yang luar biasa.

5. Tindakan pahlawan bersifat objektif. Watak epik dilukiskan secara tidak langsung melalui dialog dan aksinya sahaja...seperti Hang Tuah diceritakan berjaya mengelak tikaman, melompat ke kiri dan kanan. Hal ini menggambarkan ketangkasan watak Hang Tuah.




2. Menyatakan kepentingan karya dalam konteks sarwajagat (world view) masyarakat melayu tradisional.

Sekiranya kita mengkaji sikap dan sifat Hang Tuah, beliau boleh dijadikan contoh kepada setiap individu manusia seperti berikut:

2.1 Perlu bersikap berani
Seseorang individu yang dianggap berani ialah, sanggup menggadaikan nyawa demi membantu orang lain. Dalam konteks Hikayat Hang Tuah, keberanian Hang Tuah tidak dapat dinafikan. Kesanggupan menentang musuh seorang diri sudah cukup menggambarkan beliau seorang yang sanat berani. Apatah lagi menentang musuh yang handal seperti Taming Sari.

2.2 Manusia perlu bijaksana.
Kebijaksanaan adalah sesuatu yang penting dan signifikan kepada diri seseorang. Selalunya aspek kebijaksanaan dikaitkan dengan kebolehan seseorang itu menyelesaikan masalah dan dapat mengatasi masalah dengan jayanya. Ketika Hang Tuah bertikam dengan Taming Sari, Hang  Tuah sangat bijaksana mencari punca masalah yang menyebabkan dirinya tidak mampu mencederakan Taming Sari. Seterusnya, dengan kebijaksana. Akhirnya Taming Sari terpedaya dan dapat dibunuh.

2.3 Taat setia kepada ketua.
Kemana sahaja Sultan Melaka pergi, Hang Tuah sentiasa bersamanya.

2.4 Menghargai jasa dan sumbangan pihak lain.
Hang Tuah diberi anugerah Sungai Jemaja oleh Betara Majapahit sebagai salah satu cara menghargai jasa-jasanya.

2.5 Sentiasa berwaspada.
Perlu bersikap waspada terutama dengan pihak yang tidak kita kenali saperti Patih Gajah Mada. Apabila kita berada di perantuan, kita perlu sentiasa berhati-hati.

2.6 Hormat menghormati.
Sebarang tindakan yang dilakukan Hang Tuah di Majapahit mendapat restu pemerintah di sana. Sultan Melaka dan Hang Tuah sentiasa sedar bahawa mereka berada di negara orang (Majapahit). 

2.7 Menghormati tetamu.

2.8  Gambaran adat dan budaya masyarakat.
Majlis perkahwinan antara Raja Melaka dengan Radin Emas Ayu digambarkan mempunyai adat-adat tertentu yang diamalkan oleh masyarakatnya. Di antara adat perkahwinan itu ialah seperti adat berjaga-jaga, hantaran mas kahwin, berarak dan mengadap raja.

********sekadar beberapa pandangan yang boleh difikir bersama.





3. Menjelaskan watak dan perwatakan

Watak Hang Tuah.

Seorang rakyat Melaka, pengiring kepada Sultan Melaka. Mendapat Gelaran Laksamana apabila berjaya mengalahkan Taming Sari. Ada lima sahabat.

Perwatakan Hang Tuah
     1. Taat setia
     2. Berani
     4. Bijaksana
     5. Tangkas bermain senjata.
     6. Sangat menghormati raja.

**** perwatakan di atas perlu dihuraikan.

.

4. Menyatakan aspek estetik dalam karya kajian.

4.1 Penggunaan bahasa yang indah sesuai dengan zaman.
4.2 Ketepatan pemilihan kata.
4.3




Rujukan untuk pengetahuan tambahan: http://resam-melayu.com/2010/03/hang-tuah-antara-sejarah-mitos-atau-hikayat.html


  ..........................akan dikemaskini.

Panduan Kajian Puisi

Puisi Tradisional


Banyak daripada puisi Melayu tergolong dalam genre tradisional yang muncul dalam zaman sebelum berkembangnya tradisi tulisan pencetakan. Puisi dalam Bahasa Melayu larut dalam jiwa masyarakat Melayu tidak hanya sebagai satu hasil kesenian, tetapi juga mengjangkau alam mistik, berperanan sebagai wadah pemeliharaan adat, pembinaan sahsiah, pengajaran agama, pengajaran ilmupengasih, pertahanan, hiburan, dan kepercayaan[1].
Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar sejarah mula perkembangan puisi Melayu tradisional. Berdasarkan kajian oleh ramai sarjana, dapat dikatakan perkembangan puisi Melayu tradisional telah bermula secara bersama dan sezaman dengan perkembangan prosa Melayu tradisional. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran banyak genre puisi tradisional dalam karya hikayat dan cerita-cerita rakyat.


Calon seharusnya dapat:

a) mengenal pasti jenis dan ciri-ciri puisi tradisional terpilih;
b) menyatakan kepentingan karya dalam konteks sarwajagat (world view) masyarakat Melayu tradisional;
c) menyatakan aspek estetik dalan karya kajian;
d) menghuraikan kepelbagaian aspek pemikiran masyarakat dalam karya;
e) menjelaskan nilai kemanusiaan, kepercayaan, dan keagamaan dalam puisi tradisional;
f) menganalisis karya.

Masa pemelajaran 20 waktu
Puisi tradisonal terdapat 7 tajuk.




Puisi Moden
Calon-calon seharusnya dapat:

a) mengenal pasti dan menjelaskan aspek intrinsik dan ekstrinsik dalam puisi moden terpilih;
b) menyatakan aspek estetika dalam karya kajian;
c) menghuraikan kepelbagaian aspek pemikiran masyarakat dalam karya;
d) menganalisis karya.

Masa pembelajaran 20 waktu
Jumlah sajak = 7 tajuk

Sajak Seorang Jemaah oleh A. Wahab Ali



Seorang Jemaah
A Wahab Ali

               I
Pada setia subuh bening
Sedang azan memancar di menara masjid
Kutemui dia tenang  berjalan
Jubahnya putih, serbannya putih, kasutnya putih

Sesekali aku berhenti
Mempelawanya menaiki kereta
Dia memberikan salam
Bersamanya menerpa wangi haruman

Bila berjemaah
Sesekali kami bersebelahan
Sebelum takbir
Dia sibuk bersugi.

Sebaik selesai imam memberi salam
Dia berdoa singkat
Kemudian menerjah ke luar
Melipat jubahnya
Dia ligat berjoging di asfalt
Putih topinya, putih bajunya, putih seluarya,
Putih kasutnya.

Setiap derap sepatunya
Dia menyebut kebesaran Allah
Setiap denyut jantungnya
Dia menyambung doa yang tertinggal
Minta umur dipanjangkan
Minta selamatkan anak isteri
Minta selamatkan saudara seagama
Selamat yang hidup Selamat yang mati
Selamat di dunia
Selamat di akhirat
Selamat semuanya.

               II

Kini
Setiap subuh bening
Azan tetap memancar di menara masjid
Jalan tinggal sepi, pintu keretaku tertutup
Tetapi setiap aku lalu di tempat aku mengambilnya
       dulu
Wangi harumnya masih menerpa
Putih jubah dan putih serbannya kubawa bersama.

Kini
Ketika aku berjemaah
Di sisiku dia tiada
Tetapi sugi dan usallinya
Memanjang di mataku

Kini
Bila selesai imam memberi salam
Tidak kelihatan dia bergegas ke luar
Asfalt lama merindukan  seretan kasut putihnya
Pejalan kaki pagi
Merindukan topi putihnya
Doanya masih mengambang
Tetapi degup jantungnya sudah lama berhenti
Dia telah lama selamat
Berbaring bersama deretan pusara
Dato’ dan Tan Seri

Kuala Lumpur – Kuala Terengganu
5-6.12.1991


Maksud Sajak

Bahagian 1
Ketika ahli jemaah masjid itu masih hidup.

R1: Aktiviti jemaah pada waktu subuh yang datang ke masjid dengan berjalan kaki dengan pakaian jubah.

R2: Penyajak sering mengajak jemaah tersebut menaiki kenderaannya.

R3: Amalan sunnah nabi iaitu bersugi merupakan amalan jemaah tersebut.

R4: Selesai solat jemaah tersebut melakukan aktviti senaman/riadah dengan pakaian lengkap.

R5: Sepanjang aktiviti kehidupannya jemaah berkenaan senstiasa mengingati den menyebut nama Allah. Beliau juga sentiasa berdoa kebaikan dan keselamatan kepada saudara seagama yang lain.


Bahagian 2
Ahli jemaah masjid itu sudah meninggal dunia.

R6: Penyajak terkenang kisah hidup jemaah. Beliau merasa kehilangan pada waktu pergi ke masjid.

R7: Malah penyajak juga merasakan ketiadaan ahli jemaah tersebut. Namun perbuatan jemaah ketika solat tetap menjadi ingatan beliau.

R8: Ketika selepas solat penyajak merindukan aktiviti jemaah yang telah pergi itu. Penyajak rindukan topi putih dan doa bekas jemaah itu. Jemaah tersebut telah kembali ke rahmatullah dan bersemadi di kubur. Ahli jemaah yang telah meninggal itu dahulunya mungkin orang ternama, ada gelaran dan berpangkat besar.

Tema sajak

Sajak ini bertemakan kemanusiaan. Penyajak merakam kisah seorang pesara tua ketika pengujung usia dan setelah beliau meninggal dunia. Pesara tua tersebut manfaatkan hujung usianya dengan beribadat di masjid dan menjaga kesihatan dengan beriadah. Sifatnya sangat mulia kerana sentiasa mendoakan kebaikan untuk seluruh saudara Islamnya. Pemergiannya sangat dirasai oleh penyajak dan sentiasa terkenangkan kisah rutin hidupnya.

Pemikiran sajak

1. Manfaatkan kehidupan kita dengan beribadat dan amal kebaikan.
Perbuatan bangun pagi dan solat berjemaah di masjid adalah amalan yang sukar bagi mereka yang tidak biasa beramal dengannya. Jika amal ini berjaya dilaksanakan, sudah tentu amalan solat di waktu yang lain telah dilakukan oleh jemaah itu.

2. Sentiasa mendoakan kebaikan untuk orang lain.
Hati manusia yang suci bersih digambarkan melalui warna putih dalam ayat penyajak. Sebaik-baik manusia adalah orang yang sentiasa mendoakan kebaikan untuk orang lain. Individu itu tiada dendam malah pemaaf orangnya.

3. Menjaga kesihatan dengan beriadah.
Kegiatan beriadah adalah salah satu ikhtiar hidup kita untuk menjaga kesihatan. Malah ia menjadi bukti kerajinan seseorang dan menjauhi sifat malas. Manusia akan lebih cergas dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti kehidupan.

4. Setiap yang hidup pasti akan mati.
Mengakui hakikat kehidupan bahawa penghujungnya adalah mati walau kita hebat menjaga kesihatan dengan bersenam. Segala aktiviti yang diusahakan merupakan ikhtiar semata-mata. Takdir Allah akan mengatasi segala-galanya. Jemaah tetap pergi apabila ajalnya telah tiba.


Pandangan Sarwajagat

Melakukan sesuatu yang bermakna di penghujung kehidupan kita.Semua orang tahu bahawa seseorang manusia tidak akan hidup kekal. Apabila mencapai umur persaraan, selalunya kita kian kuat beribadat dan cuba mengisi seluruh ruang kehidupan yang masih berbaki dengan aktiviti yang bermanfaat. Namun kita tidak boleh menolak ketentuan Ilahi bahawa manusia mempunyai umur yang terhad. Akhirnya manusia akan sampai ajalnya jua. Bagi mereka yang masih hidup tentunya akan mengenang rakan mereka yang telah pergi.Kita akan ingat jasa rakan kita malah akan mengingati kenangan indah sewaktu bersama rakan tersebut. 

922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...