Wednesday, August 29, 2012

Melankoli di Atas Rumput - Fatimah Busu

Halaman 138-159
Sinopsis

Penulis menggunakan perkataan aku seolah-olah mewakili dirinya. Gambaran "Aku" mungkin sedang berada di atas sebuah tanah perkuburan atau di atas padang datar yang dipenuhi dengan padang rumput. Penulis sedang mengenang dan membayangkan keadaan ibunya di dalam liang lahad. Ibunya sedang tidur aman dan mengharapkan supaya roh ibunya dalam keadaan selamat dan mengharapkan balasan syurga Allah. Lalu disertakan beberapa maksud ayat al-Quran yang menjanjikan balasan baik bagi orang mukmin yang taat kepada Allah serta sanggup berkorban demi anak-anaknya. Sebagai seorang perempuan, beliau telah melalui semua proses kehidupan daripada waktu lahir sehinggalah dewasa membesar seperti orang lain. Melah beliau telah bersekolah sehingga peringkat universiti, bekerja sebagai pensyarah dan kini sudah bersara. Penulis juga memikirkan untung nasibnya sesudah mati. Beliau sering berdoa sebelum waktu beradu seandainya kematian menjelang tiba pada waktu tidurnya. Seterusnya penulis mengucapkan rasa syukur kerana masih dipanjangkan usia sekalipun sudah bersara dan menjadi orang biasa-biasa sahaja tanpa darjat, gelaran dan harta yang banyak. Penulis sudah sedia untuk hidup sendirian dan ditinggalkan anak-anak. Beliau juga merasakan dunia kehidupan yang lalu umpama longgokan sampah sarap.

Pada waktu malam beliau tersedar dari tidur dan seolah-olah sedang berada di satu dunia asing dan terasa semacam beliau sudah mati. Namun apabila diamat-amati, beliau tidak mati tetapi sedang berada di kawasan tanah datar yang dipenuhi dengan rumput-rumput. Di hadapannya ada lautan dan persekitarannya ada tanah tinggi yang juga dipenuhi dengan rumput. Penulis melakukan ibadat daripada tengah malam, subuh, duha hinggalah ke petang. Beliau terus berzikir sambil mengimbau kenangan lalu. Lalu terbayang lukisan alam dihadapannya dan terdapat lautan yang dipenuhi warna merah darah. Terbayang korban umat Islam seluruh dunia di Palastin, Iraq, Afghanistan dan Selatan Thailand. Cerpen ini diakhiri dengan waktu latar waktu senja dan gambaran umat Islam bebas daripada pertumpahan darah dan mencapai kedamaian. 


Maksud perkataan

Melankoli bermaksud keadaan murung, sedih dan hiba.

Analisis Karya

Cerpen ini amat istimewa kerana menggunakan teknik imbas muka dan imaginasi pengarang. Berdasarkan pengetahuan penulis, beliau cuba membayangkan keadaan kematian dan hidup selepas mati. Penulis memikirkan untung nasib diri dan manusia yang lain apabila tamatnya kehidupan di dunia. Imaginasi penulis dibayangkan melalui beberapa maklumat ilmu agama beliau terutama daripada sumber al-Quran dan Hadis nabi.

Imaginasi pengarang sangat tinggi dan dipetik dari sumber-sumber yang boleh dipercayai. Kematian bagi penulis diumpamakan seperti orang yang sedang tidur. Roh manusia keluar dan berlegar-legar. Di bayangkan tentang kesusahan berada di alam kubur yang gelap, sempit dan terhimpit. Roh pula melayang-layang dan dapat melihat seluruh peristiwa dalam dunia. Terbayang kisah hidup sejak kecil, membesar, dewasa dan tua. Terbayang godaan-godaan syaitan yang sentiasa memusuhi manusia. Keseluruhan cerita diimaginasikan oleh pengarang sedemikian rupa untuk mengajak pembaca sedar tentang hakikat diri sendiri dan merasakan situasi yang diceritakan.

Bahasa yang digunakan pula amat halus dan indah. Cerpen bermula dengan catatan seolah-olah rintihan seseorang yang sudah berada di alam lain. Penulisan diselangi dengan sumber-sumber ilmu termasuk kitab al-Quran dan Hadis. Malah penulis menyelitkan puisi seperti pantun dan bahasa puitis termasuk tulisan Chairil Anwar. Terdapat juga sumber-sumber daripada kitab muktabar seperti kitab Riadus Salihin dan kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman.

Keseluruhan penceritaan cerpen ini banyak menggunakan kaedah pemerian. Pengarang seolah menjadi pencerita secara naratif dalam keseluruhan peristiwa yang beliau olah. Pengarang mengolah cerita secara terus seolah-olah dia serba tahu. Oleh itu cerpen ini kurang menggunakan teknik dialog. Penulis hanya menggunakan teknik dialogt ketika membuat imbas kembali kisah hidupnya membeli katil di Jalan Kerawang Indonesia.

Cerpen ini juga tidak menggunakan perwatakan yang banyak. Keseluruhan cerita hanya mengisahkan tentang "aku" yang merujuk kepada diri penulis. "Aku" telah digambarkan telah melalui pelbagai proses kehidupan dan pelbagai kisah hidup yang mungkin beliau hadapi. Seolah-olah "aku" sedang berada di satu daerah yang asing dan beliau cuba menggambarkan pengalamannya berada di daerah tersebut. Segala pengalaman yang beliau lalui dikaitkan pula dengan pengajaran hidup serta menjelaskan iktibar yang boleh diambil daripadanya.



Cerpen ini lebih mementingkan mesej yang ingin disampaikan. Aspek-aspek seperti plot dan perwatakkan tidak terlalu dipentingkan. Apa yang penting bagi pengarang adalah sejauhmana pembaca dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada cerita berkenaan. Banyak pengajaran agama yang cuba disampaikan kepada khalayak. Walaupun tidak ada plot yang menarik, namun rasa ingin tahun pembaca dibina oleh pengarang sejak mula cerpen ini ditulis. Pembaca akan senti

Pembaca tertanya-tanya tentang latar penceritaan yang terdapat di dalamnya. Penulis tidak menyebut latar tempat yang khusus. Cerita berkenaan hanya berkaitan dengan imaginasi pengarang semata-mata. Seolah-olah cerita pengarang tidak berpijak di bumi nyata.



Tema

Cerpen ini bertemakan keagamaan. Menggambarkan kehidupan selepas mati. Sebelum kematian datang, manusia perlu membuat persediaan yang rapi. Manusia mempunyai pilihan samada memilih jalan syurga atau jalan ke neraka. Amalan baik dan ibadat kepada pencipta adalah perlu seperti solat dan rukun Islam yang lain. Malah penulis mengajak manusia supaya bersedekah dan mengamalkan cara hidup Rasulullah.Penulis sedar asal usul dirinya. Tidak ada yang istimewa tentang dirinya kerana dia adalah manusia biasa.Lalu penulis membayangkan kehidupan selepas mati. Rohnya sedang berada di suatu daerah asing yang tidak diketahuinya. Lalu beliau tertidur lena.




Perwatakan "Aku"

Latarbelakang "Aku" dalam cerpen ini menunjukkan bahawa beliau seorang perempuan yang hidup bersendirian. Beliau telah melalui liku-liku kehidupan sejak kedil sehingga dewasa. Beliau pernah berkahwin dan mempunyai anak. "Aku" adalah seorang bekas pensyarah dan telah bersara. "Aku" digambarkan begitu taat kepada perintah Allah. Seorang yang kuat beribadat seperti sembahyang malam dan sentiasa memikirkan masalah umat manusia di seluruh dunia terutamanya umat Islam.






Tuesday, August 14, 2012

Drama Asiah Samiah oleh Johan Jaafar


Johan Jaafar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Johan bin Jaafar
Datuk Johan bin Jaafar adalah bekas pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggantikan Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin. Beliau juga merupakan pengerusi Media Prima Berhad dan juga pengarah Kumpulan New Straits Time Berhad. Beliau seorang penulis puisi dan drama di Malaysia yang terkenal. Beliau banyak kali menjadi hos temubual bersama pemimpin negara di televisyen.

Isi kandungan

  [sorokkan

[sunting]Kehidupan awal

Johan bin Jaafar (nama pena Jaafar Khan, J.J., Lanang Sejagat) dilahirkan pada 9 November 1953, diSungai Balang BesarMuarJohor. Beliau kini menetap di 44, Jalan 5/64, Bukit Gasing, 46000Petaling JayaSelangor.

[sunting]Pendidikan

Mulanya Johan Jaafar bersekolah di Sekolah Rendah Perserian, Semerah (1960-1965); sekolah menengah aliran Inggeris di Semerah (1966-1970) ;Sekolah Tinggi Muar (1972-1973); Universiti Malaya (1974-1977) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera .
Sejak 1960-an beliau terlibat dengan kegiatansandiwara di Muar seperti menarik tali tirai dan mencari bahan-bahan untuk latar pentas. Semasa di sekolah menengah, beliau mula berlakon, menulis skrip dan mengarah drama untuk acara persembahan sekolah. Di universiti beliau aktif dalam Kumpulan KesenianUniversiti Malaya (KESUMA).

[sunting]Kerjaya

Bertugas sebagai Pegawai Penyelidik (Pegawai Perancang Bahasa) di DBP; Ketua Bahagian Majalah (1988-1990) ;Ketua Bahagian Penerbitan Am DBP. Pada September 1991 belajar peringkat sarjana di Universiti Nottingham, England dalam bidang Critical Theory.
Oktober 1992 berhenti di DBP dan mula bekerja di Kumpulan Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang Kumpulan ; Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu.

[sunting]Penulisan dan pentadbiran

Beliau hidup dalam 'dua alam' iaitu alam sastera/budaya dan alam pengurusan moden / korporat. Beliau seorang “sasterawan” ,merangkap pengurus korporat.Beliau menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menanjak menjadiTimbalan Perdana Menteri Malaysia menggantikan Ghafar Baba . Apabila Anwar dipecat beliau turut terpelanting .
Beliau juga Ahli Majlis Perniagaan Malaysia (Malaysian Business Council) ; Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Multimedia(Multimedia Development Council) ;ahli Lembaga Pengarah BERNAMA serta pengarah di beberapa buah syarikat yang tersenarai diBursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Semasa bertugas di DBP, Johan menghasilkan cerpen “Potret Seorang Anu Sebagai Anu” (Dewan Sastera, Februari 1983). Novelet/drama/cerpen beliau berjudul Pemain (1987) - separuh autobiografi sasterawan/pentadbir bernama Johan. Selepas 1993, Johan tidaklah seproduktif para penulis sezamannya. Beliau ditugaskan memimpin Syarikat Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang dan tumpuannya hanyalah pada penulisan berita dan rencana. Novel terakhir beliau ialah Laguku Untukmu (1979). Cerpen yang terakhir ditulisnya lebih 15 tahun. Drama terbarunya, “Asiah Samiah” (1999).

Ketika bersama Badan Budaya DBP, beliau mengarahkan drama “Mayat” (karya Hatta Azad Khan); “Hari-hari Terakhir Seorang Seniman” (adaptasi sendiri daripada novel Anwar Ridhwan); “Salina” (daripada novel A. Samad Said) ; “Rumah Kedai di Jalan Seladang” (daripada cerpen A. Samad Ismail).

Dalam dunia kewartawanan jelas kelihatan dua Johan yang berbeza ; kolumnis “Selayang Pandang” (dengan nama Lanang Sejagat dalam Mingguan Malaysia. Kolumnis “Nota Kaki” (Utusan Malaysia) lebih santai. Sementara ruang “Cambuk Wak Cantuk” (Mingguan Malaysia), atau tulisan mudahnya mengenai filem dalam majalah Hai keluaran Utusan Melayu lebih ringan.
Johan terlibat dalamm menggerakkan kegiatan berpuisi (Malam Puisi Utusan) serta mementaskan beberapa buah drama tahunan (antaranya "Lantai T. Pinkie" karya A. Samad Said dan "Anugerah" adaptasi daripada novel Zaharah Nawawi).
Media arus perdana - Utusan MalaysiaUtusan MelayuMingguan Malaysia dan Utusan Zaman kembali menjadi tunggak kegiatan dan wadah budaya dan sastera. Majalah PemikirManggaKawanCerdas PintarSajiRias dan Hai dan majalah sastera 'Karya' turut diterbitkan. Majalah Karya yang mahu diangkat setanding dengan Dewan Sastera, terpaksa ditutup ekoran kegawatan ekonomi 1998. Majalah MastikaWanita dan Al-Islam turut diberi sentuhan .

Pada November 1992 beliau adalah 'orang luar' yang dibawa masuk sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu . Beliau bukan berasal dari Utusan Melayu. Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia mesti terus berpengaruh,lebih serius dan terus “laku”. Mingguan Malaysia kekal sebagai akhbar mingguan paling laris. Utusan Malaysia telah tewas dari segi edaran dengan akhbar saingannya mulai tahun 1988. Tetapi pada tahun 1998, Utusan Malaysia menjadi akhbar harian berbahasa Melayu paling laris di negara ini. Johan memimpin Utusan Melayu hanya lima setengah tahun (1992-1998). Pada 14 Julai 1998 beliau tidak lagi menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan setelah Anwar Ibrahim dipecat. Empat rakannya turut menerima nasib yang sama seperti A Kadir Jasin.
Selepas itu beliau menghasilkan drama pentas – “Asiah Samiah” – setelah lebih 14 tahun tidak berbuat demikian.

Beliau aktif dalam Kumpulan Sandiwara Kampung. Beliau menulis skrip berdasarkan kisah-kisah dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta lagenda dari Jawa. Beliau juga mencuba mengarah drama/teater pada usia yang sangat muda.
Semasa bersama KESUMA, beliau mementaskan “Kotaku Oh Kotaku” di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (1975); mengarahkan pula “Angin Kering” (1976); Sempena Pesta Teater Universiti Malaya (1979) mengarahkan “Si Bongkok Tanjung Puteri” karya Shaharom Husain.
Beliau juga terlibat dalam kumpulan Anak Alam. Anak Alam adalah grup penyair dan pelukis tempatan yang mendampingi teater. Dua tulisannya mengenai grup itu cukup menginsafkan. Anak Alam berkubar ekoran kekarutan birokrasi dan kesombongan anggotanya. ('Sebuah Fenomena Bernama Anak Alam' Utusan Malaysia, 10 Mac 1997 dan “Anak Alam Bahagian Kedua: Episod Sedih” Utusan Malaysia, 7 April 1997).
Johan gila menonton filem . Beliau menonton lebih 200 buah filem setahun. Antaranya di “Panggung Kandar” di pekan Semerah ketika belajar di Tingkatan lima. Artikel beliau “Mencari Cinema Paradiso” (Hai, 4 Ogos 1996).Pawagam itu milik Wak Kandar .Beliau banyak menulis kritik filem dalam Dewan Budaya dan majalah Era.Majalah Hai diterbitkan pada 1996 dan beliau memulakan ruang “Sembang Filem”.
Antara novel beliau ialah Warna Tinta, Genta Rasa dan Laguku Untukmu. Pelarian Sang Hero adalah satu-satunya antologi cerpen beliau .Antara cerpen beliau ialah Api di Tanah Perkuburan, Misteri Pulau Batu dan Tangan-tangan Kaku.
Semasa di DBP, beliau ditugaskan memimpin majalah Dewan Siswa dan menjadi sangat popular.Tahun 1988, beliau menjadi Ketua Bahagian Majalah DBP - majalah Dewan Bahasa (kemudian menjadi Jurnal Bahasa), Dewan MasyarakatDewan SasteraPelita BahasaDewan BudayaDewan Pelajar, selain Dewan Siswa. Di bawah pimpinan beliau, Dewan Masyarakat buat pertama kalinya mencecah edaran melebihi 100,000 naskhah sebulan. Begitu juga Dewan Pelajar dan Dewan Siswa.
Dewan Masyarakat membawa slogan “Berita, Maklumat, Ilmu” dengan laporan penyiasatan dan laporan lapangan.Antaranya membuat liputan kemuncak perjuangan Mujahidin di Afghanistan menentang rejim boneka Rusia pada tahun 1989.

[sunting]Penghargaan

Beliau pernah menjadi Anggota Panel Hadiah Karya Sastera (Bahagian Drama); panel sayembara seperti drama yang dianjurkan oleh ESSO-GAPENA, DBP serta panel Peraduan Menulis Cerpen Shell-New Straits Times (1988-1990).
Cerpen Johan yang berjudul “Sang Politikus” telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001 dan Hadiah Sastera Perdana 2000/2001.

Beliau menerima Anugerah Khas Hadiah Karya Sastera kerana adaptasinya untuk novel Anwar Ridhwan (1984/85). Johan juga telah membukukan adaptasi yang dibuat ke atas novel Langit Petang karya A. Samad Said.
Johan menerima Pingat Setia Mahkota Selangor (1994); Pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) (1995) ;Pingat Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Datuk (1997).





Petikan  tulisan Ku Seman Ku Hussain bertajuk "Naskhah pemikiran Johan" bertarikh 8/7/12.



............ naskhah Asiah Samiah adalah karya terbaru yang dihasilkan tahun 2000 dan ditulis di ladang pisangnya di Sungai Lembing dan Gambang, Pahang. Ini adalah pasca pergolakan politik antara Perdana Menteri Dr. Mahathir dengan Timbalannya, Anwar Ibrahim. Johan tersepit di tengah-tengah dan mengambil keputusan "membuangkan" diri dari gelanggang politik dan menjadi penanam pisang. Semasa rehat di celah-celah pokok pisang itulah Johan menulis Asiah Samiah.

Tetapi secara peribadi Asiah Samiah tidak boleh menandingi Kotaku Oh Kotaku atau Angin Kering. Barangkali ini disebabkan banyak faktor yang mempengaruhi Johan ketika menghasilkan Asiah Samiah. Daripada seorang aktivis teater, Johan mengepalai media arus perdana kemudian tersepit dalam politik yang sebenarnya bukan bidang beliau. Johan telah terkeluar dari milieu gelandangan 1970-an.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20120708/sa_04/Naskhah-pemikiran-Johan#ixzz2Amb4Xq7N
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Latar

Tempat = Mana mana
Waktu = Bila-bila

Babak 1
Kisah Asiah Samiah tua dengan Marga tua selama 15 tahun. Marga tua menganggap Asiah Samiah setengah gila dan beliau tidak sanggup untuk melayani karenah Asiah Samiah.. Marga tua membenci Asiah Samiah tetapi pada masa yang sama mengiktiraf dirinya yang bijak dan bersimpati dengan dirinya. 


Babak 2
Asiah Samiah masih muda (anak dara). Tuan Setiawan Tanjung mencari anaknya Asiah Samiah. Beliau bertengkar dengan tukang kebunnya Sari Saribiru. Kemudian diikuti dengan bicara Marga tua tentang Asiah samiah pada masa muda remaja. Gambaran Asiah Samiah masa muda dilihat sendiri oleh Asiah Samiah pada masa tua.

Babak 3
Marga tua berbicara tentang kisah silam termasuklah tentang Misa Sagaraga yang sudah berjaya dalam hidup. Misa Sagaraga seorang yang kaya raya begitu aktif menjual saham syarikat-syarikat besar. Jualan sahamnya meliputi pelbagai syarikat. Selayaknya dia menjadi kaya kerana tindakannya dalam jual beli saham. Aktiviti jual beli sahamnya ada yang berpunca daripada sumber yang haram.

Diikuti pula nasihat Siti Bunirah Pak Leh kepada Asiah Samiah selaku anak dara supaya menjaga diri baik-baik.

Babak 4
Marga Muda : Seorang penganggur yang dahulunya bekerja dengan penuh setia kepada majikannya selama 20 tahun.

Marga Muda berbicara dengan Anas Samanda tentang isu rumah dan tanah ibu bapa Anas Samanda yang ingin dirampas untuk dibina kondominium oleh seseorang yang dianggap lintah darat. Tanah yang diduduki sekian lama itu masih dianggap tanah haram dan akan dimiliki oleh orang yang datang kemudian.

Marga Muda meminta Anas Samanda akur dengan permintaan pemaju namun Anas Samanda enggan. Marga Muda menceritakan kisah hidup bapanya yang telah dianggap penjenayah kerana memperjuangkan tanah tempat tinggalnya. Bapanya dipenjara manakala keluarganya hidup sengsara. Jiran sebelah rumah yang menikmati hidup senang lantaran perjuangan bapanya pula tidak membantu keluarganya.

Babak 5
Perbualan antara Asiah Samiah Muda dengan Sari Saribiru. Asiah Samiah mohon pertolongan kepada Sari tetapi beliau tidak mahu memberikan pertolongan. Misa Sagaraga lebih berpengaruh untuk memiliki Asiah Samiah berbanding Anas Samanda. Misa Sagaraga mempunyai kuasa wang dan harta sedangkan Anas Samanda miskin tidak berharta.


Babak 6

Puan Suari Alimin          : Ibu Asiah Samiah
Tuan Setiawan Tanjung : Bapa Asiah Samiah.

Misa Sagaraga bagaikan dewa pemberi kurnia. Apa sahaja permintaan orang kampung dapat ditunaikan olehnya. Misa Sigaraga mampu mengurniakan jalan, cakruk, peluang kerja, lesen kontraktor dan lain-lain lagi.

Puan Suari Alimin, ibu kepada Asiah Samiah begitu bangga dengan bakal menantunya. Ibu dan bapa Asiah berharap anaknya dapat menerima Misa Sagaraga sebagai suami. Asiah Samiah membantah dan menyatakan bahawa kebahagian bukan ditentukan oleh kemewahan harta tetapi hati dan perasaan. Asiah Samiah sentiasa menunggu kepulangan dan pertolongan Anas Samanda bagai orang gila.

Babak 7

Marga Tua berbicara tentang pengalaman hidup dan menjadi saksi kepada masalah manusia di persekitaran hidupnya. Masalah itu adalah masalah Anas Samanda, Asiah Samiah dan Misa Sagaraga. Kisah Asiah Samiah yang enggan berkahwin dengan Misa Sagaraga. Kehidupan Asiah menjadi suram dan tidak menentu. Pada masa yang sama Marga Tua mengkagumi Misa Sagaraga yang bernasib baik menjadi orang kaya. Gaya hidup Misa Sagaraga sangat mewah dan cuba menjadikan Asiah Samiah yang hidup ala kampung menjadi seorang yang moden dan menggunakan fesyen terkini. Asiah Samiah merintih dan mengenng kisah hidupnya yang malang kerana dijodohkan dengan Misa Sagaraga. Kisah Asiah Samiah terpaksa meninggikan suara membantah cadangan ibubapanya yang mahukan dirinya berkahwin dengan orang yang tidak dicintainya. Asiah sentiasa terkenang kekasihnya Anas Samanda yang telah pergi meninggalkan Asiah tanpa khabar berita.

Babak 8

Sari Saribiru, Siti Bunirah dan Pak Leh Lak Lak saling berdialog antara satu sama lain tentang hak ke atas hasil usaha mereka. Semuanya telah dirampas dan menjadi milik Misa Sagaraga. Bagi Asiah Samiah pula mengalami nasib yang lebih menyakitkan. Dirinya telah dimiliki secara paksa oleh Misa Sagaraga tanpa kasihan belas. Lalu lahirlah zuriat daripada hubungannya dengan Misa Sagaraga yang bernama Laila Anurisah yang beliau benci.


Babak 9

Laila Anurisah lahir tetapi ditinggalkan oleh ibunya. Ibunya, Asiah Samiah menjadi tidak siuman dan Misa Sagaraga juga membenci anak kecil itu. Laila telah diusir dan Marga telah mengambil dan memelihara anak itu. 

Anas Samanda yang lama menghilangkan diri tiba-tiba muncul dengan semangat perjuangannya yang ingin menegakkan ketidakadilan. Perjuangan beliau adalah melampaui tentangannya keatas Misa Sagaraga iaitu memerangi sistem, nilai dan minda. Bagi Anas, masalah Asiah dan Laila Anurisa adalah masalah kecil. Perjuangannya lebih besar daripada itu. Marga tidak mampu mempertahankan Laila, akhirnya Laila Anurisah disiksa dan hilang entah kemana dan.

Babak 10
Anas Samanda telah mati dalam perjuangan kerana dihukum mati. Marga pula terpenjara kerana hadir dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh Anas Samanda. Walaupun beliau hadir untuk menunjukkan Laila Anurisah kepada Anas namun beliau dianggap bersimpati dan menyokong perjuangan Anas Samanda. Setelah keluar dari penjara, Marga terpaksa pula mendengar rintih pilu cerita Asiah Samiah. Drama ini diakhiri dengan kemunculan semula anak Asiah Samiah iaitu Laila Anurisa yang sudah remaja. Laila yang disangkakan sudah mati di tangan ayahnya (Misa Sigaraga), sebenarnya masih hidup kerana diselamatkan oleh Pak Leh dan Siti Bunirah. Laila telah diselamatkan dan dibawa lari ke luar negara. Laila telah bertemu Marga tua dan mengucapkan terima kasih kepada Marga kerana telah menjaga dirinya ketika kecil. Asiah Samiah pula dikhabarkan sudah meninggal dunia.



Analisis karya.

Watak

1. Asiah Samiah
Seorang yang cantik. Anak kepada Tuan Setiawan Tanjung dan  Puan Suari Alimin . Perempuan yang kecewa kerana cintanya terhalang. Cintanya hanya kepada Anas Samanda, namun cintanya tidak kesampaian. Berkahwin dengan Misa Sagaraga kerana menunaikan permintaan ibubapanya. Asiah Samiah tidak mencintai Misa Sagaraga. Mempunyai anak bernama Laila Anurisah namun tidak mampu membesarkan anaknya lantaran menghadapi masalah mental.

2. Anas Samanda
Seorang yang dicintai oleh Asiah Samiah, namun beliau lebih cenderung memperjuangkan hak diri dan keluarga. Pernah ditangkap dan dipenjarakan. Akhirnya beliau mati dibunuh.

3. Marga
Ada dua perwatakan Marga iaitu Marga Muda dan Marga Tua. Sejarah kehidupan Marga sangat tragis untuk dikenang oleh diri Marga sendiri. Beliau berasal dari keluarga miskin yang tinggal di sebuah rumah haram. Tanah yang diduduki bukan tanah yang dimiliki secara sah. Keluarganya dihalau daripada tanah tersebut dan ayahnya ditangkap kerana menentang pihak yang berkuasa.

Marga tua pula adalah seorang yang sudah berusia yang mengingat kisah lampau kehidupannya. Beliau telah menjaga Asiah Samiah ketika kecil. Beliau sering menjadi penasihat kepada Anas Samanda yang sentiasa berjuang demi survirval diri dan masyarakatnya.

4. Misa Sagaraga.
Seorang yang kaya raya. Berkahwin dengan Asiah Samiah dan mendapat seorang anak bernama Laila Anurisa. Anaknya diabaikan dan dijaga oleh Marga. Manakala Asiah Samiah lari daripada cengkaman Misa Sagaraga. Digambarkan sebagai seorang yang zalim dan menindas. Cuba memiliki harta sebanyak mungkin yang boleh. Aktif membeli saham-saham mewah dan menguasai syarikat besar. Malah dia cuba merampas hak orang lain dengan kuasa yang ada atas nama pembangunan. Mempunyai kuasa besar keatas penduduk negara. Kekayaan telah menyebabkan Misa Sagaraga lupa diri. Beliau menganggap bakal isterinya (Asiah Samiah) seorang yang kolot dan perlu diubah penampilannya. Beliau sangat mementingkan barang-barang berjenama dari luar negeri kerana beliau mampu memilikinya




Teknik Penulisan Drama

Drama ini mengunakan banyak teknik imbas kembali. Maksud imbas kembali ialah menurut kamus dewan ialahbahagian cerita filem, novel, dsb yg memperlihatkan semula peristiwa-peristiwa yg terdahulu: beliau menggunakan teknik ~, igauan, dan mimpi-mimpi ngeri; mengimbas kembali membayangkan sesuatu atau melihat kembali dlm fikiran: dia ~ detik perkenalannya dgn suaminya sekarang.

Drama ini dimulakan dengan watak Marga yang sudah tua sedang mengingat kisah lampau yang pahit tentang kehidupan Asiah Samiah. Pada babak dua diamarkan kisah kehidupan Asiah ketika muda yang hidup senang bersama keluarganya. Tuan Setiawan Tanjung dan isterinya Puan Suari Alimin mempunyai orang gaji bagi menjaga Asiah. Kehidupan Asiah sentiasa dipantau melalui orang gajinya.


Plot Drama.

Sekiranya kita menyusun drama mengikut kronologi (ikut urutan masa), maka drama ini akan bermula dengan perkembangan cerita ketika Asiah Samiah masih kecil. Beliau dijaga dengan penuh perhatian daripada keluarganya yang dikategorikan sebagai golongan berada. Orang gaji akan sentiasa memantau di mana sahaja Asiah berada. Sebarang masalah melibatkan Asiah sangat diambil berat oleh ibu bapanya.

Plot cerita semakin berkembang apabila Asiah semakin membesar di persekitaran yang pelbagai. Masyarakatnya ada golongan miskin dan kaya. Ada yang menjadi pejuang masyarakat dan ada yang mementingkan diri. Ada insan yang penyayang dan ada insan yang zalim. Ada yang menetap di rumah yang mereka miliki dan ada yang menumpang tanpa hak pemilikan tanah.

Asiah Samiah semakin dewasa dan berkenalan dengan ramai orang seperti Marga dan Anas Samanda. Pada masa yang sama ada golongan pemodal yang kaya raya dan mampu menguasai segalanya dengan wang ringgit. Misa Sagaraga adalah golongan kaya yang mampu membeli saham besar negara tanpa memikirkan halal haramnya. Beliau hidup gaya moden, berbelanja di luar negara dan mampu memiliki segala-gala keinginannya.

Keluarga Asiah menerima pinangan Misa Sagaraga dan mengahwinkan Asiah tanpa rela. Asiah sebenarnya mempunyai kekasih bernama Anas Samanda. Namun jiwa Anas lebih tertumpu kepada perjuangan menuntut hak rakyat. Marga pula adalah insan yang bersimpati dengan perjuangan Anas tetapi terbungkam kerana mengenangkan nasib ayahnya yang tersiksa ketika berjuang dahulu sedangkan orang yang tidak berbuat apa-apa berbahagia di atas apa yang telah diperjuangkan oleh ayahnya. Lalu Marga hanya hidup seolah-olah sebagai pemerhati,

Walaupun Asiah kahwin tanpa rela, namun dirinya dikurniakan zuriat yang juga. Anaknya yang bernama Laila Anurisa telah diabaikan oleh Asiah (dibuang) dan dibenci Misa Sagaraga lantaran isterinya yang tidak setia kepadanya. Marga mengambil Laila Anurisa dan memeliharanya.

Plot cerita sampai klimaknya apabila Anas Samanda membuat perhimpunan untuk memperjuangkan hak dan ketidak adilan. Beliau telah ditangkap, dipenjara dan akhirnya mati dibunuh. Marga yang dikaitkan dengan perjuangan ayahnya dahulu juga ditangkap kerana hadir dalam perhimpunan itu sekalipun hadirnya hanya untuk menunjukkan Laila Anurisa. Laila yang masih kecil disiksa oleh Misa Sagaraga, namun diselamatkan oleh orang gaji datuknya iaitu Pak Leh dan Siti bunirah dan dibawa kesatu tempat yang tidak diketahui. Disepanjang masa sebelum kemuculan Laila itu, Asiah Samiah menjadi tidak menentu dan setengah gila mengenangkan anaknya dan cintanya Anas. Lalu Marga telah menjadi insan yang sering melihat dan melayani kehidupan kosong Asiah Samiah.

Peleraian cerita dapat dilihat apabila Laila sudah besar dan berjumpa semula dengan Marga yang sudah tua. Laila mengucapkan terima kasih kerana menjaga dirinya semasa kecil dan mengambil berat tentang ibunya. Pada waktu tersebut juga, dimaklumkan bahawa ibu Laila telah meninggal dunia.

Pemikiran Drama

1. Darjat dan pangkat
Tuan Setiawan Tanjung hanya melihat Misa Sagaraga sebagai bakal jodoh Asiah Samiah. Orang kaya hanya boleh berkahwin dengan golongan yang setaraf dengan mereka.

2. Kahwin Paksa.
Asiah Samiah dijodohkan dengan Misa Sagaraga secara paksa. Lalu anak yang telah beliau lahirkan tidak diasuh dengan sempurna lantaran dirinya menghadapi masalah mental.

3. Penindasan golongan yang dianggap berkuasa.
Misa Sagaraga merampas harta milik Anas Samanda. Anas Samanda memperjuangkan haknya sehingga beliau ditangkap dan akhirya mati dibunuh.

4. Manusia berkuasa kerana harta dan kedudukan.
Misa Sagaraga berjaya memiliki harta secara paksa. Dirinya dipandang orang kerana harta.

5. Cinta sejati.
Asiah sangat mencintai Anas Samanda walaupun telah dipenjarakan.

6. Manusia yang lupa tanggungjawab.
Misa Sagaraga lupa tanggungjawab terhadap anaknya Laila Anurisa. Marga bertindak menyiksa Laila tanpa belas kasihan. Membiarkan anaknya dipelihara orang lain.

7. Konflik jiwa manusia.
Asiah Samiah mengalami konflik jiwa kerana dirinya dijodohkan dengan orang yang tidak dicintainya. Malah Asiah juga digambarkan setengah gila kerana sering mengingati anaknya yang sudah lama tidak ditemuinya. Marga pula terpaksa menghadapi gelagat manusia yang pelbagai ragam. Semasa kecil Marga menghadapi penindasan bersama ayahnya. Setelah dewasa beliau melihat nasib Anas Samanda pula yang terpaksa menghadapi lintah darat dan golongan yang berkuasa kerana harta. Malah Marga sendiri terpaksa meringkuk di penjara lantaran hadir dalam perhimpunan anjuran Anas Samanda. Akhir sekali Marga menghadapi golongan yang tersiksa jiwa raga seumpama Asiah Samiah. Marga menghadapi semua dugaan ini dengan tabah. 



Jika anda menjadi seorang yang kaya raya sebagaimana Misa Sagarga, cadangkan tindakan yang berkesan untuk membantu masyarakat di persekitaran anda.

Kewangan yang dimiliki boleh membantu masyarakat melalui tindakan berikut:
1. Menyediakan keperluan asas masyarakat termasuk keperluan tempat tinggal.
2. Menambah baik keperluan pendidikan masyarakat.
3. Membantu masyarakat dari sudut kewangan.
4. Memajukan keperluan ekonomi masyarakat.
5. Membaiki prasarana spritual dan keagamaan masyarakat.
6. Merancang dan menganjurkan program insaniah terhadap masyarakat.

Monday, August 13, 2012

Contoh Soalan

Berdasarkan contoh soalan dalam sukatan Majlis Peperiksaan Malaysia.


Pisang emas dibawa belayar,
        Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
        Hutang budi dibawa mati.


a) Nyatakan jenis puisi di atas dan jelaskan tiga ciri-ciri yang terdapat dalam puisi tersebut.               [7]

Jawapan

Jenis puisi di atas adalah pantun. Pantun di atas dikategorikan sebagai pantun empat kerat. Ia juga dkenali sebagai pantun budi.

       Ciri puisi pertama bagi pantun di atas ialah mengandungi pembayang maksud. Pembayang maksud tidak mengandungi kaitan dengan maksud pantun. Ia hanya menambahkan keindahan pantun semata-mata. Ia wujud pada separuh kuplet(perenggan) yang awal.  Contohnya;

         Pisang emas dibawa belayar,
               Masak sebiji di atas peti.

       
      Ciri kedua pula, pantun di atas mempunyai maksud pantun.. Biasanya ia wujud pada separuh perenggan yang akhir iaitu pada baris ke tiga dan ke empat. Contohnya adalah seperti berikut;

            Hutang emas boleh dibayar,
                  Hutang budi dibawa mati.

        Contoh di atas adalah maksud bagi pantun.


      Ciri ketiga bagi pantun di atas adalah mengandungi jeda. Jeda bermaksud hentian sebentar ketika membaca pantun. Perkara tersebut berlaku ditengah-tengah ayat atau baris pantun. Contohnya seperti di bawah;

            Hutang emas/ boleh dibayar.
               Hutang budi/ dibawa mati.

       Garis sendeng ( / ) dalam contoh pantun di atas adalah jeda bagi pantun. Pembaca pantun akan berhenti sebentar sebelum membaca perkataan seterusnya.

                                                                                                                                          [ 7 markah ]

Sunday, August 12, 2012

Selamat Hari Raya


SELAMAT
                  HARI
                             RAYA
...............................................maaf zahir batin







Selamat Hari Raya Idul Fitri. Udah lama tak mancing udang galah. dapat tengok gambar lama cukuplah. Berkabung....ibu mertua baru kembali ke Rahmatullah 30 Julai 2012....Isteri pulak baru bedah apendik 11 Ogos 2012. Lepas raya bila ada kelapangan aku kan kembali dengan aktiviti mengail.






Friday, August 10, 2012

Pantun Budi



Pantun Budi


Pisang emas dibawa belayar,
                Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
                Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
                Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
                Budi baik dikenang juga.

Tenang-tenang air dilaut
                Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
                Budi yang baik rasa nak junjung.


Jenis Pantun   : Pantun empat kerat
Tema Pantun  : Pantun budi


Ciri-ciri pantun

1.      Jumlah baris serangkap
      Empat baris serangkap

2.      Pembayang maksud.
Separuh baris yang awal adalah pembayang maksud.

3.      Maksud
Separuh baris yang akhir merupakan maksud pantun.

4.      Jeda.
Terdapat hentian sebentar di tengah-tengah baris yang dekenali sebagai jeda.

Contoh: Pulau pandan / jauh ketengah.


5.      Jumlah perkataan sebaris.

6.      Jumlah sukukata sebaris.



Kepentingan pantun  budi kepada sarwajagat masyarakat melayu tradisional

1.      Komunikasi.
Pantun di atas boleh digunakan ketika berucap di hadapan khalayak ramai. Biasanya sebagai bahasa pengucapan para pemimpin masyarakat. Pantun di atas mampu menyampaikan mesej yang berguna kepada pendengarnya. Pendengar akan faham permintaan dan harapan seseorang pengucap pantun. Malah pantun itu mampu mengungkapkan rasa terimakasih yang tidak terhingga kepada orang yang telah “berbudi”.

 Nasihat.
Pantun di atas mampu memberikan nasihat kepada seseorang untuk melakukan kebaikan dengan berbudi kepada orang lain. Malah ia juga menasihatkan seseorang yang telah menerima budi agar sentiasa mengenang dan menyanjung pihak yang telah berbudi kepada dirinya. Nasihat diterima secara rela tanpa dipaksa kerana khalayak merasakan nasihat melalui pantun boleh diterima dengan baik melalui susunan kata-kata indah. Kesedaran tentang nasihat dalam pantun mampu memujuk sesiapa sahaja yang berhati keras sekalipun. 

3.      Pengajaran.
Seterusnya pantun tersebut mengajar manusia supaya mengamalkan perbuatan menolong orang lain atau dengan kata lain berbudi kepada rakan. Ajaran mulia ini mampu diterapkan andai seseorang itu memahami maksud pantun di atas. Malah ia juga akan mendorong khalayak mengamalkan budaya tolong menolong kerana amalan mulia akan menjadi bekal ketika kita sudah meninggal dunia. Ajaran baik ini terus diamalkan sesama ahli masyarakat yang memahami maksud mendalam pantun ini.

4.      Gambaran masyarakat.
Gambaran amalan berbudi dapat dilihat dalam kegiatan harian masyarakat melayu. Mereka menjadikan budaya tolong menolong sebagai amalan hidup seharian kerana ahli masyarakat saling bergantung antara satu sama lain. Hidup yang serba kekurangan akan mendorong individu supaya perihatin akan kesusahan ahli masyarakat yang ada di sekitar mereka.

5.      Motivasi supaya berkelakuan baik.
Pantun di atas boleh menjadi pendorong seseorang supaya berbudi kepada orang lain. Dorongan ini wujud kerana masyarakat melayu sangat menghargai jasa orang lain. Malah balasan orang berbudi akan di bawa setelah seseorang itu meninggal dunia. Bagi mereka yang menerima budi pula akan cuba menolong rakan yang lain pada waktu yang sesuai.

6.      Budaya sopan santun.
Gaya bahasa pantun yang menarik sebenarnya menggalakkan seseorang menasihat dan menyampaian mesej secara bersopan santun. Keindahan penggunaan pembayang maksud yang menarik dan disertai dengan mesej pantun tentunya akan menjurus seseorang yang mendengar pantun rasa terdorong untuk berbudi dan menghargai budi orang lain.

7.      Adat istiadat.
Penggunaan pantun di atas sangat sesuai digunakan dalam majlis-majlis tertentu dan ketika menjalankan adat istiadat. Orang melayu sangat mementingkan pengucapan yang tersusun untuk menyampaikan hasrat dan meluahkan perasaan mereka. Perbincangan kepentingan pantun sebagai amalan adat istiadat ini mungkin di luar dari maksud pantun budi, tetapi ia lebih menjurus kepada konsep sarwajagat (universal) yang terdapat dalam keseluruhan fungsi pantun yang umum sifatnya.


8.      Hiburan.
Kadangkala pantun di atas boleh digunakan ketika melagukan sesuatu irama yang diiringi dengan bunyi-bunyian seperti gendang dan tiupan serunai. Selain memberi nasihat, pada masa yang sama mampu menghibur khalayak melalui keindahan susunan kata dan maksud puisi. Mungkin kepentingan pantun budi berada di luar konteks hiburan. Namun secara universalnya, pantun mampum menghiburkan khalayak apabila diucapkan kerana kesan penghargaan kepada pihak yang mengucapkan pantun itu. Ia menjadi suatu selingan pengucapan, malah kadangkala menjadi gurauan. Sehingga kini fungsi pantun sebagai hiburan kian menyerlah kerana pantun mampu dilagukan atau dinyanyikan.


Estetik Pantun.

Estetika adalah salah satu cabang falsafah. Secara sederhana, estetika adalah ilmu yang membahas keindahan, bagaimana ia boleh terbentuk, dan bagaimana seseorang boleh merasakannya. Pembahasan lebih lanjut mengenai estetika adalah sebuah falsafah yang mempelajari nilai-nilai sensoris (perasaan), yang kadang dianggap sebagai penilaian terhadap sentimen dan rasa. Estetika merupakan cabang yang sangat dekat dengan filosofi seni.

Esetetika berasal dari Bahasa Yunani iaitu  aisthetike. Pertama kali digunakan oleh filasuf Alexander Gottlieb Baumgarten pada 1735 untuk pengertian ilmu tentang hal yang boleh dirasakan melalui perasaan.
Pada masa kini estetika boleh berarti tiga perkara iaitu:
1. Kajian mengenai fenomena estetik
2. Kajian mengenai fenomena persepsi (tanggapan)
3. Kajian mengenai seni sebagai hasil pengalaman estetik


Setelah memahami maksud estetik maka berikut adalah rumusan aspek estetik bagi pantun budi secara umum.


1.      Keindahan pemilihan kata.
Aspek utama nilai estetik pantun ialah pemilihan kata yang tepat. Perkataan yang wujud dalam pantun sangat menepati maksud dan tujuan puisi dicipta. Contohnya perkataan “hancur badan” begitu tepat untuk memberi maksud seseorang yang sudah mati. Kematian itu pula digambarkan dengan jangka masa kematian yang sudah lama.

2.      Keindahan unsur bunyi
Kemudian diikuti dengan penggunaan rima yang tepat samada di awal, di tengah dan di akhir baris. Contoh yang jelas seperti perkataan “pandan” dan “badan” pada tengah baris. Begitu juga perkataan penggunaan perkataan “tiga” dan “juga” digunakan di akhir baris. Unsur bunyi juga wujud dalam aspek bunyi vokal dan konsonan. Ia dikenali juga sebagai asonansi dan aliterasi.

3.      Keindahan cara berkomunikasi
Penyampaian komunikasi yang menggunakan gaya bahasa yang lemah lembut dan sopan mampu menimbulkan rasa hormat kepada khalayaknya. Para pendengar akan rasa terusik dan terkesan yang mendalam kerana gaya penyampaian, pengucapan dan pemilihan kata yang menyentuh perasaan. Para penutur pantun bijak berfikir dan menggunakan pantun sebagai satu cara komunikasi yang sangat berkesan.

4.      Keindahan pengucapan yang sopan.
Seseorang yang ingin memberi nasihat perlu berhati-hati dengan pengucapan agar tidak mengguris hati dan perasaan rakan. Budaya melayu yang mengamalkan sopan santun memerlukan sesorang itu menyusun kata secara sopan dan teratur.

5.      Keindahan maksud puisi.
Maksud puisi begitu indah dan mendalam maksudnya. Khalayak akan rasa dihargai dan sentiasa bersangka baik kepada teman dan taulan. Maksud puisi ini membolehkan seseorang menerima baik nasihat, saranan dan permintaan penutur pantun. Tidak wujud rasa kecil hati dan rendah diri kerana nilai pantun ini begitu lembut ketika menyatakan tujuan pengucapan. Kefahaman terhadap maksud dapat dirasa sehingga ke dalam sanubari hati pendengar.


Pemikiran Pantun

1.    Nilai perbandingan budi.
Nilai budi tidak boleh dibandingkan dengan sebarang nilai harta dunia termasuk emas. Budi itu mempunyai nilainya yang tersendiri. Budi tidak ada tukar ganti. Sesuai dengan ayat “hutang emas boleh dibayar”, maka orang yang menerima budi tetap tidak akan mampu membayarnya sekalipun dengan harta yang paling tinggi nilainya iaitu emas.

2.    Mengenang budi sehingga mati.
Mengenang budi seseorang bukan setakat ketika seseorang hidup di dunia sahaja. Budi seseorang itu akan tetap dikenang walaupun dia telah mati tetap akan disebut orang. Sesuai dengan isi pantun tersebut iaitu “hancur badan dikandung tanah” yang memberi maksud sudah meninggal dunia.

3.    Menghargai budi/Rasa terhutang budi.
Bagi mereka yang telah menerima budi tentunya akan rasa terhutang budi. Penghargaan terhadap orang yang berbudi begitu tinggi sehingga meletakkan penghargaan itu di tempat yang sangat mulia dan dibawa ke mana sahaja. Hal ini merujuk kepada maksud perkataan “rasa nak junjung” dalam rangkap ketiga pantun di atas.



Nilai Kemanusiaan

1.      Manusia yang saling bergantung antara satu sama lain.
Hidup masyarakat melayu pada zaman tradisional penuh dengan kesusahan dan saling bergantung antara satu sama lain. Setiap individu yang menjadi ahli masyarakat akan sering memerlukan pertolongan ahli masyarakat yang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Budi merupakan amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Sesiapa yang tidak mengamalkannya dianggap bersifat melukut di tepi gantang, seperti kera sumbang dan sebagainya.

2.      Manusia yang sentiasa mengejar harta
Masyarakat melayu tidak ketinggalan dari segi mengumpulkan harta kekayaan. Lambang kekayaan masyarakat diukur dari sudut jumlah hartanya. Harta yang dianggap paling tinggi nilainya adalah emas. Lalu perbandingan kekayaan seseorang diukur melalui jumlah emas yang mampu dimiliki oleh seseorang. Namun nilai emas tidak sama dengan nilai budi.


3.      Manusia yang boleh menilai erti budi berbanding harta.
Seeorang itu perlu meletakkan kedudukan budi itu sesuatu yang amat mulia di sisi mereka. Budi perlu diletakkan pada tempat yang tinggi dan tidak boleh dibandingkan nilainya dengan harta seperti emas. Oleh itu manusia hendaklah sedar bahawa budi itu tidak boleh dibayar.

4.      Manusia yang sentiasa mengenang budi orang lain.
Setiap individu perlu menghargai pertolongan orang lain walau sekecil mana budi tersebut. Rangkap puisi ketiga menggambarkan betapa seseorang yang pernah menerima budi akan sentiasa menjunjung budi.

5.      Manusia yang percaya dengan hari pembalasan.
Kebanyakan pantun budi mengaitkan balasan budi itu tertangguh sehingga seseorang itu meninggal dunia sebagaimana rangkap pertama dan rangkap kedua pantun. Manusia percaya bahawa berbudi adalah amalan mulia yang mendapat balasan pahala di sisi Allah. Kita perlu ikhlas dengan pertolongan yang telah diberikan dan jangan terlalu mengharapkan balasan di dunia sahaja.




Gambaran masyarakat dalam pantun

1.      Masyarakat yang tinggal di tepi pantai.
Melalui ketiga-tiga pembayang maksud pantun terdapat gambaran bahawa pencipta pantun ini tinggal dalam persekitaran tepi pantai dan lautan. Ini dapat digambarkan melalui pemilihan kata yang berkaitan dengan latar tempat berkenaan seperti “belayar”, “pulau Pandan”, ”tanjung”,  “kolek” dan gambaran suasana “air tenang” .

2.      Masyarakat petani dan nelayan.
Masyarakat melayu terdisional tidak boleh lari daripada menjalankan kegiatan bertani seperti menanam “pisang” dan sebagainya. Manakala bagi mereka yang tinggal di persisir pantai akan “belayar” dan menjalankan kegiatan nelayan.

3.      Masyarakat yang menggunakan jalan air sebagai pengangkutan.
Sistem pengangkutan tradisional yang paling mudah di kalangan masyarakat melayu zaman dahulu adalah melalui jalan air. Mereka akan menggunakan alatan yang sesuai ketika bergerak melalui jalan air. Penggunaan alat pelayaran, sampan dan kolek adalah sesuatu yang perlu pada waktu itu. Malah mereka perlu memahami keadaan yang sesuai ketika bergerak supaya selamat dalam perjalanan. Mereka perlu menunggu air yang tenang apabila menggunakan sampan kolek.

4.      Masyarakat yang saling tolong menolong.
Lumrah kehidupan orang yang hidup bermasyarakat adalah saling bantu membantu antara satu sama lain. Orang yang  tidak mengamalkan hidup berbudi dan tolong menolong akan dianggap tidak bermasyarakat.

5.      Masyarakat yang sentiasa mengenang budi.
Masyarakat yang baik akan selalu mengenang budi walau budi itu kecil nilainya. Perkara tersebut termaktub dalam ketiga-tiga maksud pantun budi di atas. Malah mereka yang tahu erti budi akan menjunjung dan mengingati budi orang lain.

6.      Masyarakat yang mempercayai hari kemudian.
Mesyarakat melayu secara umumnya beragama Islam. Mereka mempunyai kepercayaan yang kukuh terhadap hari kemudian atau disebut juga hari pembalasan. Mereka yakin seseuatu amal samada baik atau buruk akan mendapat pembalasan yang setimpal. Begitu juga amal berbudi kepada orang lain dipercayai akan mendapat balasan baik selepas meninggal dunia sekalipun tidak mendapat balasan di dunia.


Analisa Karya


Kehidupan masyarakat melayu zaman dahulu yang serba kekurangan menyebabkan mereka saling bergantung antara satu sama lain. Budaya tolong menolong dan berkerjasama adalah amalan yang diamalkan setiap hari. Tanpa bantuan ahli masayarakat yang lain, sesuatu kerja itu mungkin tidak akan selesai. Sebagai contoh dalam kegiatan membina sebuah rumah. Pembinaan rumah akan bermula daripada kegiatan menebang pokok, membelah, memahat sehingga mendirikannya tentu tidak mampu dilaksanakan secara bersendirian. Semuanya memerlukan bantuan ahli masyarakat.

Semua aktiviti yang memerlukan pertolongan pihak lain ini dianggap aktiviti yang tergolong sebagai perbuatan berbudi. Apabila manusia sudah menerima budi tentunya individu tersebut akan sentiasa terkenang budi, terhutang budi dan cuba untuk membalas budi. Mungkin pada masa yang lain, pihak yang sudah menerima budi tersebut akan cuba membalas budi mengikut kemampuan masing-masing. Bentuk pertolongan yang mereka akan lakukan mungkin dalam bidang yang lain pula. Kalau dahulunya mereka ditolong ketika membina rumah, mungkin pada masa yang lain balasan budi itu berbentuk pertolongan lain pula.

Walaupun budi boleh dibalas tetapi nilainya tidak mungkin sama dengan ketika budi itu diberi berbanding ketika pihak yang telah menerima budi itu membalas budi. Oleh itu nilai budi tidak boleh dibanding-bandingkan. Malah sekiranya dibandingkan akan menyebabkan ungkitan dan rasa tidak ikhlas. Nilai pertolongan ketika seseorang itu memerlukan sebenarnya amat tinggi nilainya. Contohnya seperti pertolongan ketika lemas di sungai, ketika lapar dan sebagainya. Seseorang itu mungkin sukar untuk menolong pihak yang telah berbudi pada peristiwa yang sama. Jika adapun mungkin wujud dalam bentuk pertolongan yang lain.

Tegasnya budaya berbudi ini adalah sebahagian daripada kehidupan masyarakat melayu zaman dahulu dan akan diamalkan sehingga sekarang. Sesiapa yang tidak mahu berbudi akan dianggap sombong dan mementingkan diri sendiri. Ahli masyarakat tidak boleh hidup bersendirian seolah-olah tidak memerlukan rakan-rakan dan saudara mara. Oleh itu tema budi menjadi salah satu tema pantun masyarakat melayu zaman tradisional.




922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...