Tuesday, June 13, 2017

922/3 A:Mencipta Pantun 4 Kerat

Pantun 4 kerat dikenali sebagai pantun yang mempunyai 4 baris dalam satu rangkap. Anda perlu mengenali dahulu ciri-ciri pantun tersebut sebelum menciptanya. Cuba baca sebanyak mungkin contoh-contoh pantun yang telah dibukukan. Lihat cara penulisannya, pemilihan kata dan bentuknya. Anda akan lebih kreatif memilih kata-kata puitis apabila semakin banyak membaca contoh pantun di pasaran. Katakan anda diminta menulis lima rangkap pantun 4 kerat bertemakan kasih sayang kepada keluarga. Tindakan pertama yang perlu lakukan ialah menentukan lima mesej utama yang hendak anda lakukan pada setiap rangkap. Contoh:
1. Menghargai kasih sayang
2. Sayang kepada ibu
3. Sayang kepada bapa.
4. Kasih ibu
5. Bahagia kerana disayangi.


Langkah 1
Setelah menentukan mesejnya yang selaras dengan tema yang diminta, anda perlu menulis dua baris maksud puisi dahulu. Abaikan pembayang maksud puisi. Biarkan dua baris yang awal kosong. Pastikan setiap baris maksud puisi mesti mengandungi 4-5 patah perkataan dengan sukukata antara 8-12 suku kata. Rima akhir yang yang baik adalah a/b. Contoh:


-------------------------------------------,
       --------------------------------------------;
 Biarlah hidup tak punya harta,
       Kasih tak mungkin dijual beli,


Langkah 2
Setelah puas hati dengan baris ayat yang telah diciptakan, barulah anda memikirkan tentang aspek pembayang maksud pantun. Pembayang maksud pantun biasa berkaitan langsung dengan aspek maksud. Anda boleh memasukkan apa sahaja perkara seperti alam sekitar, binatang dan peristiwa tertentu. Pastikan rima akhir anda wujud a/b yang menyamai rima maksud pantun di bawahnya. Dengan rima "ta" dan "li", cuba pilih kata yang hampir sama dengannya. Contoh:

Perkataan kota, kita, beta, berkata dan lain-lain bagi baris pertama.
Perkataan tali, barli, kali, Bali, keli, beli dan lain-lain bagi baris kedua.


Bina ayat bagi pembayang:

Pagi hari pergi ke kota,
       Pulang membawa seikat tali;


Langkah 3
Gabungkan pembayang dengan maksud pantun.


Pagi hari pergi ke kota,
       Pulang membawa seikat tali;
 Biarlah hidup tak punya harta,
       Kasih tak mungkin dijual beli.


Ulang langkah 1,2 dan 3 untuk mencipta pantun seterusnya.


Selamat mencuba.


       





922/1 Bahagian C: Prosa Moden. Drama Asiah Samiah

Gambaran masyarakat dalam Drama 1. Masyarakat yang mementingkan kebendaan 2. Wujudnya masyarakat yang mempertahankan hak 3. Masyarakat gemar...