Google+ Followers

Sunday, January 20, 2013

Pembangunan insan: ilmu

Ilmu

Pembangunan ilmu adalah salah satu aspek penting yang ditekankan dalam kedua-dua karya samada Sejarah Melayu maupun SBDKL. Ilmu  adalah salah satu indikator penting bagi seseorang insan yang menunjukkan dirinya telah maju dalam kehidupannya. Orang berilmu tidak akan sesat jalan dan sentiasa mempunyai idea untuk terus memajukan diri. Umpamanya seseorang yang mempunyai ilmu perniagaan, tentunya akan lebih maju dan berjaya dalam perniagaannya berbanding dengan seseorang yang tidak mempunyai ilmu. Hal ini wujud dalam diri encik Muhammad dalam novel SBDKL. 



Ilmu mampu membangunkan modal insan pada hadapan. Istilah modal insan adalah mendekati maksud sumber manusia. Namun istilah modal insan mempunyai maksud yang lebih mendalam. Golongan manusia yang boleh dikategorikan sebagai modal insan adalah dari golongan anak-anak  kecil sehinggalah para pelajar di institusi pengajian tinggi. Golongan ini perlu diajar dan diddik supaya menjadiinsan yang berguna pada masa hadapan. Matlamat pendidikan ilmu keatas mereka bukan bermaksud ke arah pembangunan fizikal semata-mata tetapi termasuklah pembangunan spiritual. 



Merujuk kepada Sejarah Melayu, Sultan adalah pemerintah yang sentiasa bertanggungjawab untuk melahirkan rakyat yang berguna dan mampu menyumbang sesuatu yang positif kepada negaranya. Hal ini dapat dilihat apabila Sultan sendiri mengajar rakyat agar merendahkan diri untuk belajar dan seterusnya berguru. Sultan Mahmud sanggup meninggalkan jawatan sultan di luar pusat pembelajaran kerana ingin mendalami ilmu. Tentunya perlakuan sultan dalam sistem feudal ini akan diikuti oleh rakyat jelata dan akhirnya seluruh rakyat Melaka akan menjadi insan yang berguna.


Berdasarkan Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur pula, kita melihat kegigihan ibubapa kepada Rahim dan Robert menghantar anaknya ke London. Tindakan ini adalah semata-mata untuk memastikan anak-anak mereka menuntut ilmu. Ternyata sekembalinya mereka dari London, kedua anak mereka telah berjaya memberikan sumbangan yang baik kepada negara umumnya dan kepada perniagaan keluarga mereka khasnya. Banyak idea-idea baru mampu mereka kemukakan dan mereka berani bersuara demi kebenaran. Rahim misalnya, berani berbincang dan berdebat dengan ayahnya bagi memastikan segala tindakan ayahnya menepati norma kehidupan masyarakat dan tidak menindas sesiapa. Bagi Rahim keuntungan perniagaan bukan segala-galanya tetapi yang penting kejayaan dalam perniagaan mesti diperoleh melalui jalan yang betul.


Ilmu mampu mengeluarkan manusia daripada kepompong kemiskinan. Kelebihan orang berilmu ialah, mereka mampu memanfaatkan ilmunya samada ketika susah atau senang. Manusia yang berilmu mampu mencari rezeki dan kreatif menggunakan kebolehannya. Berdasarkan sejarah melayu, kita sering melihat bagaimana golongan pendakwah mampu belayar jauh merentasi lautan kerana ilmunya. Ilmu pelayarannya telah membantu dirinya belayar dan menyebarkan ilmu sambil berniaga.

Perkataan kemiskinan bukan sahaja diukur dari sudut material semata-mata. Manusia boleh dikatakan sebagai miskin budi, miskin budi bahasa, miskin akhlak dan miskin ilmu seandainya mereka tidak berusaha menambah ilmunya. Berdasarkan sejarah melayu kita juga dapat menilai betapa miskinnya seorang pemimpin kerana tidak tahu menilai baik buruk sesuatu perkara lantaran miskin ilmu. Raja Singapura sanggup membunuh seorang yang kaya ilmu kerana beliau tidak tahu kelebihan Tuan Jana Khatib. Malah dirinya sangat miskin untuk menilai betapa berharganya seorang yang bernama Hang Nadim.

Malah ketika penghujung pemerintahan kesultanan Melaka, Sultan Mahmud sedar bahawa ilmu sangat penting untuk negara. Beliau naik takhta ketika masih kecil sehingga ketika beliau sakit, segala-galanya diuruskan oleh bendahara Tun Perak dan Hang Tuah. Sehingga itu,beliau tidak didedahkan dengan ilmu. Sehinggalah datangnya Maulana Abu Bakar, barulah sultan mula bertindak menjadi contoh insan berilmu dan sekurang-kurangnya beliau dapat mengatasi masalah miskin ilmu.           Beliau sanggup belajar dan merendahkan tarafnya buat seketika.

Merujuk pula kepada SBDKL, kita melihat dengan jelas perbezaan orang berilmu dengan yang tidak berilmu. Orang berilmu dilihat kaya harta sebagaimana encik Muhammad yang hebat berniaga. Malah orang berilmu juga dilihat kaya budi sebagaimana Lebai Maarup yang sentiasa merendah diri. Berbanding dengan golongan yang kurang berilmu seperti Mat Akil dilihat miskin budi dan miskin akhlak. Mat Akil sukar untuk menjadi pemuda sopan. Akhlaknya buruk kerana suka bergaduh dan sanggup membuang najisnya sendiri di atas  katil sepasang pengantin baru kerana dendamnya. Sudin pula tidak berjaya menyelesaikan masalah kewangannya kerana tiada ilmu. Malah perniagaannya menjual kereta juga tidak berjaya.



Ilmu membuka peluang pekerjaan. Orang berilmu akan mampu berfikir kreatif. Mereka bukan sahaja mampu mencari rezeki, tetapi juga membuka peluang kepada orang lain mendapat peluang pekerjaan. Sejarah Melayu mungkin tidak dapat melihat aspek ini secara jelas kerana sistem masyarakat feudal telah menyebabkan hal sedemikian berlaku. Semua rakyat bekerja untuk raja dan pembahagian kerja ini dilakukan oleh raja dan para pembesar. Namun kita dapat melihat watak Tun Perak yang mampu melaksanakan arahan tugas dengan baik. Semua pihak dapat berperanan degan baik mengikut kebolehan masing-masing.

Berdasarkan SBDKL, kita dapat melihat perancangan encik Muhammad dan  yang berhormat Yusuf menugaskan setiap ahli masyarakat di Kampung Tualang. Ramai pihak mendapat pekerjaan seperti Sudin, Mat Akil, Imam Saad dan lain-lain. Semua ini dirancang oleh orang yang mempunyai ilmu dan berpendidikan tinggi. Sebaliknya, sebelum itu, golongan yang dikategorikan sebagai kacang hantu ini, hanya melepak di kedai kopi dan melakukan kerja yang tidak berfaedah.

Perancangan membuka lombong bijih timah pula dilihat sebagai salah satu peluang besar bagi masyarakat Kampung Tualang dan sekitarnya untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik. Pengusaha yang berpendidikan tinggi seperti encik Muhammad telah membuka peluang pekerjaan itu kepada ramai orang termasuklah kepada anaknya sendiri Rahim yang baru menamatkan pengajian di luar negara. Keperluan jawatan seperti pengurus besar, pengurus sumber manusia, pengurus kewangan, pekerja pengeluaran dan lain-lain lagi adalah hasil usaha manusia berilmu tinggi. Sebaliknya jika hal sedemikian tidak berlaku, tentunya penduduk kampung akan terus mundur dan tidak mempunyai peluang kerja yang lebih baik.


Ilmu melahirkan insan yang bermoral. Orang berilmu sepatutnya mempynyai keperibadian tinggi. Jika kita mengamalkan ilmu yang baik, manusia itu akan semakin tunduk dan merendah diri. Dirinya akan dihormati dan menghormati orang lain.

Peristiwa perbualan Makhdum Sadar Jahan dan Tun Mai Ulat Bulu ketika menuntut ilmu telah menyedarkan diri kita supaya jangan takabbur dan sentiasa bersangka baik sesama guru dan murid. Kita sedar bahawa ilmu yang kita kuasai sangat sedikit dan dilarang berlagak sombong.

Lebai Maarup dilihat sebagai seorang insan yang tidak sombong dan memandang harta. Dirinya dilihat sebagai seorang yang sentiasa merendah diri dan pemaaf. Walaupun dirinya dianiaya, beliau tetap sabar dan memaafkan orang yang mengkhianatinya.Berdasarkan cadangan Lebai Maarup juga, syarikat encik Muhammad perlu menyediakan tempat solat lengkap dengan imam dan bilalnya. Cadangan ini akan dapat mendidik manusia supaya sentiasa seimbang antara tuntutan dunia dan tuntutan akhirat.

Bagi Rahim pula, peluang menuntut ilmu di London telah membuka pemikirannya supaya memperjuangkan keadialan sosial sebagaimana yang beliau telah pelajari di luar negara. Beliau sangat perihatin tentang nasib masyarakat yang ditindas oleh kapitalis dan juga menyayangi alam sekitar. Semua perkara tersebut telah membuktikan bahawa insan berilmu akan menjadikan dirinya matang dan berakhlak tinggi. Sebaliknya jika Rahim tidak dihantar belajar tinggi, mungkin kesedarannya terhadap sosial dan alam sekitar tidak wujud sebagaimana yang berlaku ke atas pemuda kampung yang tidak berpelajaran di kampung Tualang.

Ilmu akan menyebabkan seseorang itu dihormati dan disanjung tinggi. Seorang yang berilmu tinggi akan dihormati kerana kebolehannya dalam pelbagai bidang. Penghormatan ini akan datang dengan sendirinya sekiranya kita membuktikan kelimuan kita dan beramal dengan ilmu yang telah dipelajari.

Maulana Abu Bakar dihormati oleh sultan kerana dirinya kaya dengan ilmu pengetahuan. Sultan sanggup menanggalkan pakaian diraja kerana merasakan ilmu Maulana Abu Bakar lebih bernilai dari jawatannya.

Berdasarkan SBDKL, encik Muhammad dan YB Yusuf sangat dihormati oleh orang kampung kerana ketinggian ilmunya. Begitu juga Lebai Maarup dan Imam Saad sangat dihormati kerana ketinggian ilmu agamanya. Malah setelah Rahim menamatkan pelajarannya, pendapat beliau didengar dan diterima oleh ayahnya. Lebai Maarup pula sangat dihormati oleh encik Muhammad dan cadangannya untuk mewakafkan harta dan membina surau di tempat perlombongan diterima oleh beliau.  Sebaliknya jika kita tidak berilmu, mungkin tidak siapapun mahu mendengar hujah dan kata-kata kita lantaran kita kekurangan ilmu.



No comments: