Google+ Followers

Sunday, September 23, 2012

Mantera Ulit Mayang

Aku tahu asal usulmu,
Seri Bersila nama asalmu,
Seri Berdiri nama batangmu,
Seri hidup asal usulmu,
Seri Menempak nama daunmu,
Seri Guntur nama bungamu,
Seri Gintir nama buahmu.
Aku tahu asal usulmu,

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  puterinya empat,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya enam,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya tujuh,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Ulit mayang diulit,
Ulit dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  tuan puteri,
Kutahu asal usulmu,
Yang laut pulang ke laut,
Yang darat pulang ke darat,
Nasi berwarna hamba sembahkan.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Pulih mayang kupulih,
Pulih balik sedia kala.


Jenis Puisi : Mantera

Mantera : dikenali sebagai jampi, serapah, tawar, sembur, cuca, puja, seru dan tangkal. Genre ini dituturkan oleh orang tertentu sahaja seperti bomoh dan pawing secara eksklusif. Apabila dituturkan, mantera dipercayai dapat menimbulkan kuasa ghaib dan konotasi magis untuk tujuan perubatan seperti untuk menyembuhkan penyakit (Harun Mat Piah, 1989).

Sumber wikipedia:
Istilah mantera berasal daripada kata mantramantr, atau matar, dalam Bahasa Sanskrit yang bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan kata-kata tertentu bagi memperolehi sesuatu yang dihajatkan yang mempunyai kesamaan dengan jampi serapah, tawar, sembuh, cuca, puja, dan takal. Keakraban masyarakat Melayu silam dengan alam sekitar mendorong kepada timbulnya kepercayaan-kepercayaan bahawa alam sekitar mempunyai pengaruh dan kuasa yang menentukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Kepercayaan ini berkait rapat dengan pengaruh animisme yang diwarisi secara turun-temurun. Dari situ timbullah unsur-unsur kuasa magis seperti semangat dan roh yang dianggap sebagai memberi kesan kepada sesuatu perkara yang dihajati secara langsung kepada unsur-unsur magis tersebut. Pawang atau bomoh adalah ahli-ahli penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan nadairama, dan tekanan suara yang tertentu sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati.
Mantera tergolong dalam kelompok puisi, kerana pengucapan dalam bentuk mantera menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai makna yang tersirat, bahasa yang padat puitis. Mantera boleh digolongkan sebagai sejenia puisi Melayu tradisional berbentuk bebas, kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-satu rangkap, manakala rima askihrnya pula tidak tetap.


Bentuk Mantera 

Sejenis Puisi bebas.
Bahasa Mantera : bukan seweang-wenang dituturkan. Bahasanya dianggap keramat dan tabu.
Mantera diturunkan kepada orang-orang yang dipercayai dan boleh menggantikan mereka dalam bidang perbomohan. Pawang atau bomoh ini merepakan orang perantaraan antara manusia dan kuasa ghaib dan dipercayai memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.

Empat tujuan mantera dibaca:
1.Perubatan
Merujuk kepada mengubati penyakit-penyakit tertentu. Biasanya dikaitkan dengan mengubat penyakit yang dikaitkan dengan gangguan makhluk halus dan jin.

      2. Pakaian diri.
      Seseorang itu akan menjadikan bacaan mantera ini sebagai pendinding diri daripada diganggu makhluk halus atau sihir. Individu tertentu akan menjadikannya sebagai satu amalan harian dan golongan ini percaya bahawa   mantera yang diamalkan itu akan dapat menghalang daripada terkena gangguan mistik. 
      
      3. Pekerjaan.
   Bagi golongan bomoh yang mengumbati penyakit di kalangan masyarakatnya, mereka akan menjadikan  mantera sebagai salah satu kaedah mengubati penyakit. Mereka akan mendapat bayaran tertentu samada dalam bentuk barangan atau nilai wang setelah upacara mengubat penyakit dijalankan. Masyarakat dahulu akan juga akan menunaikan syarat tertentu termasuk menyediakan bahan dan alatan mengubati penyakit. 
     
      4. Adat istiadat.
    Biasa kaedah perubatan yang menggunakan jampi dan mantera akan diamalkan dalam satu adat istiadat tertentu seperti upacara puja pantai, pindah rumah baru, menuai padi dan lain-lain.



Pemikiran Puisi Mantera Ulit Mayang

1. Percaya adanya kuasa luarbiasa yang boleh mempengaruhi kehidupan manusia.
Perkataan "Aku tahu" menggambarkan bahawa mereka seolah-olah tahu segalanya tentang makhluk halus yang telah mengganggu kehidupan insan yang sedang diubati. Ini dapat buktikan melalui rangkap pertama puisi ini:

         Aku tahu asal usulmu,
         Seri Bersila nama asalmu,
         Seri Berdiri nama batangmu,
         Seri hidup asal usulmu,
         Seri Menempak nama daunmu,
         Seri Guntur nama bungamu,
         Seri Gintir nama buahmu.
         Aku tahu asal usulmu,


2. Tidak mahu bersekongkol dengan apa jua unsur ghaib.
Pembaca mantera mengharapkan supaya segala kuasa ghaib pulang ke tempat asal mereka. Malah dirinya meminta supaya jangan mengganggu lagi orang yang sedang diubatinya. Perkara ini dapat difahami melalui baris-baris puisi tersebut:

         Yang laut pulang ke laut
         Yang darat pulang ke darat


3. Percaya kepada amalan membuat persembahan kepada makhluk halus.
Masyarakat pengamal mantera biasanya telah meminta syarat persembahan tertentu sebelum mengadakan upacara mengubati pesakit. Biasanya bentuk persembahan yang dibuat adalah sebuah hidangan makanan tertentu yang dianggap istimewa kepada makhluk halus perkenaan. Hal ini dapat dibuktikan melalui baris puisi berikut:

          Nasi berwarna hamba sembahkan.

4. Percaya peranan tuan puteri dalam amalan mantera.
Sepanjang amalan mantera ulit mayang ini, pembaca mantera akan menyeru nama-nama tuan puteri yang dipercayai dapat membantu mengubati pesakit. Contohnya:

       Puteri dua berbaju serong,
       Puteri dua bersanggul serong,
       Puteri dua bersubang gading,
       Puteri dua berselendang kuning.

 Pembaca akan menyebut nama-nama putieri ini sehingga puteri ke tujuh.


5. Penggunaan kostium dan peralatan dalam rawatan.
Peralatan bagi mengubati pesakit dalam mantera ini ialah menggunakan "mayang". Mayang adalah sejenis bunga daripada pokok kelapa, pinang dan seumpamanya. "Ulit Mayang diulit" bermaksud satu perbuatan mengirai dan mengibaskan mayang ke atas pesakit ketika mantera dibaca.

6. Permintaan dan harapan supaya pesakit kembali pulih/sembuh.
Pengamal mantera ini memohon supaya pesakitnya kembali pulih seperti sedia kala. Maksudnya pesakit yang datang berubat dengannya akan sihat semula dan bebas daripada gangguan makluk halus. Hal ini dapat dilihat dalam petikan rangkap akhir puisi ini iaitu:

     Umbut mayang diumbut,
     Umbut dengan jala jemala,
     Pulih mayang kupulih,
     Pulih balik sedia kala.



Teromba Adat

Hidup dikandung adat,
Mati dikandung tanah.

Adat dipakai baru,
Kain dipakai usang.

Yang elok dipakai,
Yang buruk dibuang.

Lembaga berlingkungan,
Undang kelintasan.

Duduk meraut ranjau,
Tegak meninjau jarah.

Ke darat Adat Perpatih,
Ke laut Adat Temenggung.

Ke laut berteromba,
Ke darat bersalasilah.

Adat bersendi hokum,
Hukum bersendi Kitab Allah

(hlm. 15)


Jenis Puisi : Teromba


Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Teromba merupakan ungkapan berirama yang kelazimannya mengenai adat sebagai panduan atau amalan adat sesuatu masyarakat. Ia merupakan sejenis puisi bebas yang mungkin mempunyai bentuk lain seperti pantunsyairrubai dan talibun tetapi isi dan fungsinya merujuk kepada satu bidang tetap, iaitu adat. Puisi ini dikenali juga sebagai puisi adat. dan dikatakan berasal daripada masyarakatMinangkabau (MinangTambo).

[sunting]Struktur

Teromba tergolong sebagai puisi tidak terikat kepada kata perbilangan. Teromba ada yang berangkap dan ada yang tidak. Jumlah perkataan dan suku katanya dalam sebaris tidak tentu. Begitu juga dengan rima dan jedanya.

[sunting]Fungsi

  • Bagi memberi panduan dan pengajaran mengenai cara hidup atau sistem hidup bermasyarakat yang baik dan harmoni melalui adat, peraturan dan undang-undang yang dibentuk.
  • Mengekalkan norma-norma yang tertentu di dalam masyarakat yang telah dipersetujui oleh anggota masyarakat itu sejak turun-temurun.


Teromba : merupakan susunan adat yang disampaikan dalam bentuk puisi. Puisi ini dikenali juga sebagai puisi adat.

Baca juga yang berikut


Maksud Puisi

Rangkap 1
Hidup dikandung adat,
Mati dikandung tanah.

Ketika manusia berada di dunia, mereka setiasa terikat dengan adat atau tingkah laku yang biasa dilakukan setiap hari yang menjadi sebahagian budaya hidup. Segala ikatan peraturan adat akan luput apabila manusia sudah meninggal dunia. Ketika itu, manusia hanya dilingkungi oleh tanah sahaja.

Rangkap 2
Adat dipakai baru,
Kain dipakai usang.

Adat yang diamalkan setiap hari adalah sesuai mengikut zaman dan sentiasa segar untuk diamalkan. Berbanding dengan pakaian seperti kain dan baju tentunya akan semakin lama, buruk dan tidak boleh dipakai sepanjang masa.

Rangkap 3
Yang elok dipakai,
Yang buruk dibuang.

Adat yang baik patut diamalkan oleh masyarakat namun jika adat (budaya) itu buruk dan bertentangan dengan nilai dan agama, ia patut ditinggalkan atau tidak boleh diamalkan.

Rangkap 4
Lembaga berlingkungan,
Undang kelintasan.

Lembaga bermaksud :
Dato' Lembaga adalah gelaran seorang pemimpin yang mengetuai sesuatu suku dalam masyarakat Adat Perpatih. Dato' Lembaga ini dipilih oleh para Buapak daripada beberapa Perut yang menjadi anggota sesuatu suku. Dato' Lembaga yang dilantik mestilah mendapat persetujuan daripada Undang atau Penghulu Luak. Tanggungjawab Dato' Lembaga meliputi hal ehwal anak buahnya di dalam suku yang diwakilinya. Ini termasuklah urusan harta pusaka dan pentadbiran tanah adat bagi anak-anak buahnya. Seseorang Dato' Lembaga itu boleh dipecat daripada jawatannya jika terbukti dia cuai atau bekelakuan yang tidak selayaknya.

Undang bermaksud:
Undang adalah jawatan ketua bagi sesuatu Luak di dalam masyarakat Adat Perpatih. Perlantikan Undang ini dilakukan oleh Dato'-Dato' Lembaga di dalam sesuatu luak itu. Di Negeri Sembilan kini adalah empat orang Undang yang mengetuai empat buah luak utama. Mereka ialah Undang RembauUndang Sungai UjungUndang Johol dan Undang Jelebu.

Peranan dan kuasa ketua ( Lembaga dan Undang) dalam amalan adat sebenarnya mempunyai had dan batasan. Malah kawasan jajahan takluk pentadbiran mereka juga telah ditentukan oleh adat.

Rangkap 5
Duduk meraut ranjau,
Tegak meninjau jarah.

Ranjau = Daun kelapa yang dibuat lidi penyapu. Ia perlu diraut dengan pisau yang tajam.
Jarah  = Musuh atau penjahat (penjarah). Musuh perlu ditinjau (perhatikan).

Menggambarkan peranan anggota masyarakat yang mengamalkan adat. Dalam semua aktiviti kehidupan, ahli masyarakat sebenarnya mempunyai peranan masing-masing tidak kira samada ketika duduk maupun berdiri

Rangkap 6
Ke darat Adat Perpatih,
Ke laut Adat Temenggung.

Walau dimana pun kita berada, kita akan terikat dengan adat tertentu seperti Adat Perpatih ketika berada di daratan, Manakala ketika berada di laut kita terikat dengan Adat Temenggung.

Rangkap 7
Ke laut berteromba,
Ke darat bersalasilah.

Teromba merupakan ungkapan berirama yang kelazimannya mengenai adat sebagai panduan atau amalan adat sesuatu masyarakat. Ia merupakan sejenis puisi bebas yang mungkin mempunyai bentuk lain seperti pantunsyairrubai dan talibun tetapi isi dan fungsinya merujuk kepada satu bidang tetap, iaitu adat. Puisi ini dikenali juga sebagai puisi adat. dan dikatakan berasal daripada masyarakatMinangkabau (MinangTambo)

Salasilah keturunan atau Salasilah keluarga seseorang itu amat penting diketahui dalam masyarakat manusia bertamadun. Menjejaki asal usul keturunan seseorang boleh memberi manfaat kepada hubungan silaturahim kaum kerabat; dan merapat dan mengekalkan hubungan silaturahim sangatlah dituntut dalam Islam.

Berteromba selalu dikaitkan dengan pengucapan beberapa amalan adat manakala bersalasilah selalunya berkait dengan amalan silaturrahim dan pembahagian harta pusaka.

Rangkap 8
Adat bersendi hukum,
Hukum bersendi Kitab Allah

Amalan adat sebenarnya masih terikat (tertakluk) dengan hukum agama yang secara tidak langsung berkait dengan Kitab Allah iaitu Al-Quran.



Keindahan dan kemakmuran Negeri

Medannya indah bukan kepalang
Rantaunya luas bagai dibentang
Tebingnya tinggi bagai diraut
Pasirnya serong bentuk taji
Batunya ada  besar kecil
Yang kecil pelontar balam
Jikalau untung kena ke balam
Jikalau tidak kena ke tanah
Menderu selawat ibu ayam
Helang disambar punai tanah
Seumpama kundur dengan labu
Kecil pohon besar buahnya
Negerinya beruntung Bandar rayanya bertuah
Cari di darat boleh di darat
Cari di laut boleh di laut
Ayam itik penuh di reban
Lembu kerbau penuh di tengah padang
Gajah badak penuh di tengah hutan
Sejuk dingin seperti ular cintamani
Di negeri Teluk Bidung Kota Lama.


Gambaran Keindahan Negeri

Talibun di atas memaparkan tentang keindahan sesebuah negeri bernama Teluk Bidung Kota Lama. Keindahan tersebut dilihat dari aspek persekitaran dan sempadan yang ada. Keadaan kawasan negeri mempunyai keistimewaan tertentu berbanding dengan tempat lain. Perkataan medan dan boleh diertikan sebagai persempadanan bagi sesebuah negeri yang diperintah. Rantau pula adalah gambaran keluasan kawasa negeri berkenaan.

Tebing pula dilihat sangat indah seolah-olah seperti diraut. Keadaan ini menambah keindahan pemerian sesebuah negeri kerana tercipta sebegitu rupa. Tebing juga boleh bermaksud kawasan yang boleh menjadi pertahanan sesebuah negeri. Keadaan tersebut boleh juga dimaksudkan dengan jaminan keselamatan kawasan tersebut. Disebut juga tentang sifat objek yang besar seperti batu dan objek yang paling kecil seperti pasir.

Batu menggambarkan objek-objek yang berguna untuk dimanfaatkan bagi mendapatkan sumber negeri. Kegunaannya adalah pelbagai perkara seperti boleh digunakan untuk melontar sesuatu objek atau boleh juga menjadi peluru/senjata untuk menumpaskan musuh. Pada masa yang lain  batu juga boleh berfungsi untuk kegunaan lain.

Balam dalam puisi tersebut boleh ditafsirkan sejenis pokok kayu. Balam berfungsi sebagai bahan yang menjadi sasaran iaitu batu. Sekiranya batu gagal mencapai sasarannya, ia masih tetap berguna apabila jatuh ke tanah semula. Mungkin sekurang-kurangnya menjadikan tanah yang ada diliputi oleh batu-batan.

Perkataan ibu ayam memberi maksud ketua negeri yang sering berdoa akan keselamatan penduduk negeri daripada ancaman musuh. Manakala helang menggambarkan ancaman yang mungkin dihadapi oleh penduduk negeri. Punai tanah pula ialah penyelamat penduduk negeri yang mampu menghalang serangan helang yang ganas.

Hasil negeri makmur diibaratkan seperti pokok kundur dan labu. Walaupun pokok tersebut kecil tetapi menghasilkan buah yang banyak. Ini menggambarkan bahawa sesebuah negeri yang makmur itu ialah negeri yang mempunyai hasil mahsul yang banyak.

Mencari rezeki yang di negeri yang makmur boleh didapati di mana-mana tempat samada di darat maupun di lautan. Malah hasil ternakan begitu banyak termasuk lembu dan kerbau.

Sumber-sumber persekitaran secara semula jadi begitu banyak di hutan. Suasana persekitaran dalam negeri tersebut juga begitu nyaman dan dingin sesuai dengan keindahan negeri.


Jenis Puisi : Talibun

Maksud talibun: Harun mat Piah (1989), Ismail Hamid (1987) mendefinisikan talibun sebagai puisi berangkap tantang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara (cerita kaba) di kalangan masyarakat Minangkabau.

Menurut Mohd Taib Osman (1979) puisi talibun memakai kata-kata yang menimbulkan gambaran mata kerana kata-kata yang menimbulkan pemikiran dan pendengaran tentang imej yang lantang dan bermakna. Baris-barisnya memberi dua macam gambaran, iaitu gambaran bunyi yang seolah-olah kita mendengarnya, dan gambaran objek-objek dalam situasinya masing-masing.


Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Talibun atau juga dikenali sebagai sesomba adalah satu puisi yang bentuknya, rangkapnya, jumlah baris dalam rangkap, jumlah kata dalam baris, irama, yang tidak tetap. Talibun merupakan bentuk puisi yang terdiri daripada beberapa rangkap dan setiap baris dapat melengkapkan keseluruhan idea.
Ciri-ciri Talibun adalah seperti berikut:-
  • Ia merupakan sejenis puisi bebas
  • Terdapat beberapa baris dalam rangkap untuk menjelaskan pemerian
  • Isinya berdasarkan sesuatu perkara diceritakan secara terperinci
  • Tiada pembayang. Setiap rangkap dapat menjelaskan satu keseluruhan cerita
  • Menggunakan puisi lain (pantun/syair) dalam pembentukannya
  • Gaya bahasa yang luas dan lumrah (memberi penekanan kepada bahasa yang berirama seperti pengulangan dll)
  • Berfungsi untuk menjelaskan sesuatu perkara
  • Merupakan bahan penting dalam pengkaryaan cerita penglipur lara.

Kepentingan talibun dalam cerita penglipur lara.

1. Menjelaskan sesuatu perkara atau peristiwa. Puisi ini berupaya menjelaskan sesuatu perkara atau keadaan secara ringkas dan padat. Khalayak akan dapat mendengar dengan jelas puisi ini dan memahami isi puisi dengan meggunakan pemikiran yang mendalam.

2. Sebagai selingan dalam cerita. Biasanya puisi ini diselitkan dalam sesebuah karya cerita lipurlara yang menjadi selingan kepada cerita berkenaan.

3. Menarik perhatian dan minat khalayak (pendengar dan pembaca). Puisi ini mampu menarik perhatian khalayak kerana penggunaan bahasanya yang tersusun indah dan mudah difahami. 

4. Salah satu kaedah penceritaan para penglipurlara. Memang telah diketahui umum bahawa para penyampai cerita lipurlara akan menjadikan puisi talibun dan lain-lain jenis puisi sebagai salah satu teknik penyampaian cerita. Tanpa selingan ini mungkin cerita lipurlara akan menjadi hambar tanpa sebarang bentuk hiburan.

5. Sebagai salah satu bentuk hiburan. Puisi ini mampu menghibur khalayak kerana menjadi selingan kepada cerita lipurlara. Setelah mengikuti penceritaan daripada penyampai cerita, ia akan diselangi dengan pengucapan talibun yang disertai dengan alatan muzik si penyampai cerita.







Taat Setia Rakyat Kepada Raja

Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri.

Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang pandai,
Tanda mengenal  kasa dan cindai.



Rangkap 1: Raja perlu berkerjasama dengan pegawai negeri terutamanya perdana menteri. Kesepakatan di antara mereka akan membentuk sebuah pemerintahan negara yang kukuh dan kuat. Negara mampu dipertahankan daripada serangan musuh negera.

Rangkap 2: Raja perlu pandai membuat keputusan dan persetujuan di atas sebarang rancangan pembangunan negara.

Rangkap 3: Raja perlulah menghukum rakyat yang bersalah dengan hukuman yang adil. Seseorang raja yang adil akan mendapat petunjuk dari Allah swt.

Rangkap 4: Hendaklah mengasihi orang yang mempunyai ilmu. Mengasihi orang berilmu akan membawa kepada keberkatan hidup kerana mendapat kasih sayang Allah.

Rangkap 5: Hendaklah menghormati orang yang bijaksana kerana perbuatan tersebut akan membantu kita membezakan perkara-perkara baik dan buruk.


Jenis Puisi : Gurindam

Gurindam, genre puisi Melayu lama yang mendapat pengaruh Hindu. Gurindam berasal daripada bahasa Tamil, iaitu Kirandam yang bererti amsal atau perumpamaan.


Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Gurindam merupakan sejenis bentuk puisi yang tidak terikat atau tiada tentu bentuknya (sama ada terikat atau tidak). Bentuk yang terikat biasanya terdiri dari pada dua baris serangkap, menyerupai syair dua baris atau nazam. Setiap baris biasanya mengandungi tiga atau empat, enam atau lebih perkataan; dan pola rima a-a; a-b atau serima (monoryme). Tiap serangkap merupakan sebahagian daripada idea yang berturutan dan biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk menyatakan keseluruhan idea.
Bentuk yang tidak terikat tergolong sebagai puisi bebas, sama ada berangkap atau tidak. Walaupun setiap rangkap dapat berdiri sendiri tetapi biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk meyatakan satu keseluruhan idea.
Dari segi bentuk ia sama seperti talibunteromba atau mantera; tetapi tergolong sebagai gurindam karena isinya mengandung nasihat, pengajaran dan kebenaran, berbeza dengan mantera. Gurindam tidak mengandung unsur sihir; dan berbeda dengan teromba, ia tidak merujukkan kepada salasilah atau undang-undang setempat.
Gurindam juga dapat merangkum puisi yang lebih bebas, yang secara sinkronis tergolong sebagai puisi moden, terutama di peringkat awal perkembangannya. Kebanyakan karya puisi dalam peringkat itu memperlihatkan kebebasan dari segi bentuk dan isi tetapi masih terkongkong kepada nilai-nilai puisi tradisional dari segi pola rima, rentak an unsur-unsur estetik yang lain.

Tema

Ketaatan rakyat terhadap raja mempunyai syarat-syarat tertentu. Bagi mengharapkan taat setia rakyat, raja mestilah mengamalkan ciri-ciri pemerintahan yang disukai rakyat. Antaranya ialah bekerjasama dengan setiap pembesar negeri termasuk Perdana Menteri. Kemudian raja hendaklah mempunyai hati yang mulia, bijak, adil, kasih dan menghormati orang lain.


Pemikiran puisi

1. Kerjasama raja dan rakyat
2. Perkenan raja (persetujuan raja) merupakan keputusan penting raja.
3. Menghukum dengan adil.
4. Mengasihi orang berilmu.
5. Mengormati orang yang pandai.

Gambaran Masyarakat

Puisi di atas menggambarkan sebuah negara yang mempunyai rakyat yang taat setia kepada pemerintah. Namun untuk mendapatkan taat setia, ia memerlukan muafakat yang tinggi antara raja dan rakyat. Zaman tradisional dapat digambarkan, telah wujud suasana aman damai dalam sesebuah pemerintahan negara yang diperintah oeh raja.

Sistem feudal tidak semestinya mewujudkan satu corak pemerintahan kuku besi dan sentiasa menindas rakyat. Jika raja melaksanakan pemerintahan yang mempunyai ciri-ciri yang terdapat didalam puisi berkenaan, maka taat setia rakyat kepada raja tidak memerlukan paksaan. Contohnya, jika raja menghormati rakyat, maka dengan sedirinya rakyat akan kagum dan dengan rela hati menumpahkan taat setianya kepada raja.

Kadang-kadang raja perlu mendapatkan ilmu-ilmu tertentu daripada para ilmuan negara. Raja tidak mungkin bijak dalam segala bidang. Oleh itu, ketika menuntut ilmu, raja hendaklah merendah diri dan tidak membawa jawatan yang dipegang ketika berhadapan dengan guru yang mengajarnya.

Raja perlu mendapat nasihat daripada bijak pandai negara. Keupayaan membuat keputusan secara bersendirian sangat terhad kemampuannya. Raja perlu membuat perbincangan dan mendapat pandangan daripada pelbagai pihak yang pakar dalam bidang tertentu. Keputusan yang dibuat secara bersama akan mengurangkan kesilapan dalam proses membuat keputusan.



Norma-norma yang Baik dalam Perhubungan Suami Isteri

Halaman 12

Isteri cantik permainan mata, 
Isteri budiman tajuk mahkota.

Perempuan bagus suntingan dunia,
Perempuan beriman sangat mulia.

Suami isteri harus sekata,
Jauh segala silang sengketa.

Suami tempat isteri bergantung,
Kepadanya serahkan nasib dan untung.

Jika suami tak berhati lurus,
Isterinya kelak menjadi kurus.

Sungguh suami pegang kuasa,
Jika seorang ia binasa.

Suami isteri tubuh yang dua,
Sekata hendaknya sampai [ke] tua.




Maksud Puisi

Rangkap 1

Isteri cantik permainan mata,
Isteri budiman tajuk mahkota.


Memilih calon isteri yang sempurna bukan dinilai dari aspek kecantikan wajah. Kecantikan adalah sesuatu palsu pada pandangan mata. Kecantikan isteri juga bersifat sementara kerana kecantikan akan hilang mengikut masa. Isteri yang budiman adalah lebih sempurna kerana mampu menjadi suri rumah yang baik. Isteri budiman mempunyai kepimpinan yang tinggi untuk zuriatnya. Kedudukan isteri budiman berada di tempat yang tinggi sebagaimana kedudukan mahkota.


Rangkap 2

Perempuan bagus suntingan dunia,
Perempuan beriman sangat mulia.


Perempuan yang dianggap baik bukan hanya dinilai pada kecantikan di dunia nyata sahaja. Jika sesuatu yang disunting tersebut adalah sekuntum bunga, maka ia akan layu akhirnya. Jika dikaitkan dengan diri manusia maka kecantikan perempuan tersebut akan semakin pudar apabila umur bertambah. Namun pilihan  yang paling penting ialah memilih perempuan dari aspek agama iaitu keimanannya. Kemuliaan seorang wanita adalah diukur dari sudut keimanan yang dimilikinya. Keimanan adalah kecantikan yang kekal abadi.

Rangkap 3

Suami isteri harus sekata,
Jauh segala silang sengketa.

Hidup berumahtangga perlulah sependapat. Iaitu mempunyai cita dan pandangan yang sama. Pada waktu yang sama mestilah menjauhi perkara-perkara yang boleh mendatangkan pertelingkahan serta perselisihan pendapat.


Rangkap 4

Suami tempat isteri bergantung,
Kepadanya serahkan nasib dan untung.

Suami adalah tempat bergantung harap, sebagai pelindung dan memberi nafkah. Apabila sudah berumahtangga, isteri bergantung penuh terhadap suaminya. Suami adalah penentu kebahagiaan hidup isterinya. Oleh itu jangan sia-siakan harapan isteri kita.


Rangkap 5

Jika suami tak berhati lurus,
Isterinya kelak menjadi kurus.

Kejujuran itu sangat penting dalam hidup berumahtangga. Suami mesti jujur supaya isteri tidak menanggung siksa kerana memendam perasaan. Akibat memendam rasa, isteri akan mungkin akan sakit dan semakin kurus.


Rangkap 6

Sungguh suami pegang kuasa,
Jika seorang ia binasa.

Suami mempunyai kuasa dan tanggungjawab besar terhadap keluarga. Kuasa tersebut adalah meliputi kuasa terhadap isteri, anak-anak, harta dan kuasa menceraikan isteri. Namun kekuasaannya tidak mungkin wujud dan dapat digunakan jika dia hidup bersendirian tanpa teman.


Rangkap 7

Suami isteri tubuh yang dua,
Sekata hendaknya sampai [ke] tua.


Hidup berumahtangga adalah ibarat dua orang dalam satu tubuh. Maka mereka diharapkan sentiasa bermuafakat di antara keduanya sepanjang kehidupan berumah tangga. Suami dan isteri perlu berpakat dan mencapai persetujuan dalam segala tindakan. Contohnya mengurus rumah tangga, menjaga anak-anak yang telah mereka lahirkan sehigga anak-anak itu dewasa.


Jenis Puisi : Gurindam

Wikipedia Malaysia
Gurindam merupakan sejenis bentuk puisi yang tidak terikat atau tiada tentu bentuknya (sama ada terikat atau tidak). Bentuk yang terikat biasanya terdiri dari pada dua baris serangkap, menyerupai syair dua baris atau nazam. Setiap baris biasanya mengandungi tiga atau empat, enam atau lebih perkataan; dan pola rima a-a; a-b atau serima (monoryme). Tiap serangkap merupakan sebahagian daripada idea yang berturutan dan biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk menyatakan keseluruhan idea.
Bentuk yang tidak terikat tergolong sebagai puisi bebas, sama ada berangkap atau tidak. Walaupun setiap rangkap dapat berdiri sendiri tetapi biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk meyatakan satu keseluruhan idea.
Dari segi bentuk ia sama seperti talibunteromba atau mantera; tetapi tergolong sebagai gurindam kerana isinya mengandung nasihat, pengajaran dan kebenaran, berbeza dengan mantera. Gurindam tidak mengandung unsur sihir; dan berbeza dengan teromba, ia tidak merujukkan kepada salasilah atau undang-undang setempat.
Gurindam juga dapat merangkum puisi yang lebih bebas, yang secara sinkronis tergolong sebagai puisi moden, terutama di peringkat awal perkembangannya. Kebanyakan karya puisi dalam peringkat itu memperlihatkan kebebasan dari segi bentuk dan isi tetapi masih terkongkong kepada nilai-nilai puisi tradisional dari segi pola rima, rentak dan unsur-unsur estetik yang lain.

Wikipedia Indonesia
Gurindam adalah satu bentuk puisi Melayu lama yang terdiri dari dua bait, tiap bait terdiri dari 2 baris kalimat dengan rima yang sama, yang merupakan satu kesatuan yang utuh. Gurindam ini dibawa oleh orang Hindu atau pengaruh sastra Hindu. Gurindam berasal daribahasa Tamil (India) yaitu kirindam yang berarti mula-mula amsal, perumpamaan. Baris pertama berisikan semacam soalmasalah atau perjanjian dan baris kedua berisikan jawaban nya atau akibat dari masalah atau perjanjian pada baris pertama tadi. Contoh:
Barang siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma’rifat.
Gendang gendut tali kecapi
Kenyang perut senang hati
Pengarang gurindam yang terkenal adalah Raja Ali Haji, saudara sepupu Raja Ali yang menjadi raja muda di Riau (1844-1857). Gurindam 12 pasal karya Raja Ali Haji yang terkenal berjudul “Gurindam Dua Belas”.